Rencana "'My eyes
are in my hands: Blind craftsman George Wurtzel's magic touch"
oleh Kristin Tillotson bertarikh 25 Julai 2014 terbit di
thestar
Tukang kayu buta George
Wurtzel mengatakan bahawa seseorang boleh belajar melihat dengan
tangan mereka.
George Wurtzel bersiul
lagu Camptown Races sementara pelarik berkuasa tinggi berputar suku
inci dari ibu jari dan jari telunjuk beliau. Arus habuk kayu senipis
benang bertaburan seperti bunga api meletup daripada seketul kecil
kayu pain yang sedang dibentuknya menjadi penyumbat botol wain
berbentuk sombrero, sesetengahnya jatuh ke janggut penuh beliau.
"Apabila kita memutar sebatang kayu, bunyinya berubah secara
mendadak menurut bentuknya," kata George. "Anda boleh tahu
apa yang berlaku daripada bunyi dan rasa getaran."
Tiba-tiba, penyumbat
yang sudah separuh terbentuk itu terkeluar daripada genggaman ragum
dan berguling ke bawah bangku kerja di studio selatan Minneapolis
beliau. "Whoops," katanya, mematikan mesin dan membongkok
meraba-raba di atas lantai mencari apa yang sedang dikerjakannya. Dia
meraba-raba dengan satu tangan tetapi tidak menjenguk di bawah meja
kerja. Itu tidak akan membantu, kerana George buta. Beliau secara
beransur-ansur kehilangan penglihatannya sewaktu remaja akibat
retinitis pigmentosa, penyakit mata degeneratif yang disebabkan oleh
gen bermutasi.
"Ia amat jarang
berlaku, tetapi kedua-dua ibu bapa saya juga mendapatnya,"
katanya. "Saya rasa mungkin nasib akan lebih menyebelahi saya
pada masa akan datang."
Bersikap lucu, senang
ketawa dan berpandangan luas adalah sebahagian daripada aura menawan
George. Begitu juga cara dia yang lemah lembut berdepan dengan
ketidakpercayaan kenalan baru yang kagum dengan keupayaannya bukan
sahaja menghasilkan perabot dan seni objek indah bersendirian dalam
gelap-gelita, tetapi melakukannya dengan gergaji gergasi yang sedang
berputar dan lain-lain alat kuasa berbahaya. "Tangan yang
melakukan kerja, bukan mata," katanya. "Dalam kerja kayu,
visual sebenarnya adalah sebahagian kecil daripada keseluruhan usaha
itu. Semuanya berkisar tentang ketangkasan manual. "
Melihatkan dia, kerja
itu juga berkaitan dengan minda seni yang peka tentang bentuk wanita
abstrak pada jalur kayu walnut hitam yang telah diricih, atau
bagaimana tanda yang ditinggalkan oleh kulat di atas sekeping kayu
birch boleh menjadi perhiasan yang sempurna untuk sebuah kotak barang
kemas. Jurugambar terkenal Bandar Berkembar Alec Soth baru-baru ini
telah memilihnya untuk bekerjasama dalam pameran di Museum of
Contemporary Art Detroit. Pameran "People's Biennial" untuk
tahun kedua ini mengiktiraf kerja oleh karyawan di luar dunia seni
yang lazim dan melibatkan hasil kerja yang tidak begitu dikenali
tetapi patut diberi perhatian.
George berpindah ke
Minneapolis dari Michigan empat tahun lalu untuk mengajar kerja kayu
kepada pelajar-pelajar di National Federation of the Blind, tetapi
dipecat dua tahun kemudian berikutan perselisihan dengan majikannya
dan mengambil keputusan menyambung semula kerjaya solonya.
Bengkel beliau terletak
di belakang sebuah kedai yang cantik di kejiranan Whittier yang
membolehkan beliau memaparkan ciptaan yang dihasilkan, dari penyumbat
wain aneh berbentuk seperti topi dan mangkuk dengan gaya yang
tersendiri sehinggalah meja kopi yang mudah selain rak dan kabinet
yang muat ke dalam satu sama lain tanpa pengikat. "Datuk saya
pernah membuat teka-teki kayu seperti ini," katanya. "Anda
boleh merungkai atau menyusun semula perabot saya dalam beberapa
minit, dan tidak ada selak yang jatuh dan hilang."
George pernah
memikirkan sama ada beliau akan melakukan perkara yang berbeza jika
dia dapat melihat. "Saya ingin membaca pelan induk dan membuat
lakaran awal - Semua itu dilakukan dalam kepala saya," katanya.
"Tetapi saya tidak fikir saya akan menjadi tukang yang lebih
baik." Dan di sisi positifnya, "Saya tidak dibebankan oleh
reka bentuk orang lain dalam kepala saya."
Malah, katanya
berjenaka, sebahagian daripada sebab beliau mengambil keputusan untuk
membela janggut adalah kerana saya dilabel sebagai 'lelaki yang buta
itu' walaupun saya lebih suka disebut sebagai 'tukang kayu yang
berjanggut'. Saya mahu dinilai oleh apa yang saya lakukan sebagai
tukang, bukan diberitahu saya luar biasa kerana saya tidak dapat
melihat. "
Jari hantu tangan kiri
George adalah lebih pendek daripada yang di sebelah kanannya sebanyak
kira-kira setengah inci, akibat kejadian tidak diingini yang berlaku
lewat satu malam di bengkel tadi apabila dia bekerja membuat
kira-kira 300 potongan berulang-ulang. "Ia tiada kaitan dengan
tidak dapat melihat," katanya. "Saya teringat benar bahawa
saya hanya tertidur. Memang ramai tukang kayu di luar sana dengan
jari yang hilang. "
Kayu kegemaran George
ialah kayu "jenis percuma", yang biasanya bermaksud
menggeledah timbunan kayu api kawan-kawan seperti Lee Tourtelotte,
yang juga seorang tukang kayu dengan timbunan di belakang rumahnya
seolah-olah lombong emas untuk seorang lelaki seperti George. "Anda
menghakimi kekayaan seseorang dengan saiz longgokan kayu itu,"
katanya ketika ke tempat Lee yang terletak berhampiran Tasik Nokomis.
"Lee, anda seorang lelaki yang kaya."
Sambil kedua-dua mereka
bercakap tentang ira pelbagai kepingan kayu, George menyentuh atas,
bawah dan sekeliling kayu tersebut. Walaupun dia sering meminta
pandangan kawan yang celik tentang perbezaan warna pada sesuatu
kepingan kayu, dia telah belajar membezakan kayu tadi dengan
memanaskan permukaannya dengan kain basah yang panas atau dalam
ketuhar gelombang mikro, dan buat sementara waktu menimbulkan ira
kayu, serta membolehkan dia merasa corak yang ada di situ. Beliau
juga boleh mengenal pasti jenis kayu yang berbeza daripada baunya.
"Saya mencari
barangan yang berkerinting, ira kayu yang bengkok, atau simpulan yang
menambah watak," katanya. "Saya agak yakin bahawa apabila
saya meletakkan tangan pada kayu itu, imej yang saya dapat dalam
kepala saya adalah hampir sama dengan apa yang Lee lihat dengan
matanya."
George baru-baru ini
menjual hasil karyanya yang bernilai hampir AS $ 10,000 (RM31, 677)
melalui paparan di depan sebuah kedai kosong di pusat bandar,
sebahagian daripada projek "Made Here" yang menonjolkan
kerja artis-artis tempatan. Tetapi walaupun dia bercita-cita untuk
hidup sepenuhnya bergantung pada hasil seninya, kerja seni bina
beliaulah yang kini membayar bil. Beliau pakar dalam memulihkan atau
menghasilkan semula pintu, tiang dan perapi yang mempunyai gaya
tersendiri yang diketengahkan di dalam banyak rumah-rumah lama zaman
Victoria.
Pemilik rumah Tamar
Bagley di kejiranan Whittier mendapat tahu tentang George melalui
persatuan kejiranan beliau dan memintanya untuk mengemukakan tawaran
kerja membuat semula beberapa tiang oktagon untuk anjung dan tempat
letak kereta di rumah miliknya yang dibina pada tahun 1906. "Kos
boleh melambung naik jika anda mahu kerja dilakukan betul-betul
seperti yang dikehendaki, tetapi anggaran beliau amat munasabah,"
kata beliau. "Dia datang ke sini, menyentuh permukaan kayu
dengan tangannya dan membuat semula apa yang diminta dengan
sempurna."
Selain pencapaian seni
beliau, George yang berusia 60 tahun telah melalui kehidupan yang
kaya dengan pelbagai pengembaraan.
Beliau dibesarkan di
Traverse City, Michigan, di mana beliau membuka perniagaan kerja
kayunya yang pertama sebaik menamatkan pengajian dari sekolah tinggi.
Beliau telah menghadiri Michigan School for the Blind pada masa yang
sama dengan penyanyi Stevie Wonder, dan membuatkannya replika kayu
piano konsert Steinway berskala satu pertiga.
Beliau kemudiannya
berpindah ke North Carolina, di mana perniagaannya membuat kes kayu
segi tiga untuk bendera pengebumian tentera Amerika Syarikat amat
berjaya sehinggakan dia menjualnya dan mampu mengembara selama
beberapa tahun hasil jualan itu. Beliau pernah mengendalikan sebuah
kem belia musim panas. ("Remaja seperti wayar," katanya.
"Anda letak dua bersama-sama dan pasti ia menjadi kusut.")
Beliau pernah melatih
kuda Arab, dan menunggang sejauh 80km dengan kuda kepercayaannya. Dia
juga pemain ski merentas desa yang mahir dan menjadi ahli pasukan
Paralimpik AS di tahun-tahun 1970-an, beliau telah berski di seluruh
Lapland dan juga dari Fargo ke Tasik Superior pada tahun 1980.
Pengarang buku yang terlaris, John Camp (lebih dikenali sebagai John
Sandford) adalah sebahagian daripada kumpulan yang melakukan
perjalanan beberapa hari dari Fargo.
"George adalah
seorang lelaki yang kuat dan sukakan olahraga, dan dia kadang-kadang
memeranjatkan saya di laluan-laluan yang sukar," kata John, yang
ketika itu seorang wartawan untuk St Paul Pioneer Press. "Saya
berada di belakang beliau memekik memberi panduan seperti 'belok
kanan di hadapan' tetapi dia punya deria rasa alami tentang sesuatu
laluan, dan selalu bersendirian di laluan tadi, malah menuruni bukit
yang curam. Pada satu ketika kami berski menuruni bukit yang agak
berbahaya apabila saya tiba-tiba melihat sebatang kayu melintang di
laluan hadapan. Saya hanya sempat menjerit 'Hati-hati!' apabila salah
satu skinya tergelincir di bawah kayu, sementara dia jatuh di atas,
menyentap ski yang dipakainya. Nasib baik bukan kakinya. George jatuh
beberapa kali, tetapi tidaklah lebih daripada kami yang lain."
George adalah
pengunjung yang dikenali di banyak lokasi beriadah berdekatan,
termasuk Black Forest and Eat Street Sosial, yang mempunyai kes
berbentuk helix yang dibuat olehnya untuk memaparkan minuman buatan
kedai itu. Seorang pengedar wain dari Perancis yang menemui dia di
sana membeli kesemua stok penyumbat wain beliau. "George sangat
berkarisma dan bercakap terus terang," kata Nick Kosevich, rakan
kongsi di Eat Street. "Kami senang dengan kehadirannya. Dia ada
sahaja sesuatu yang menarik untuk diperkatakan."
George bergerak sekitar
kejiranan tempat tinggalnya menggunakan tongkat putih berlipat yang
dimasukkan ke dalam salah satu poket kargo pakaian seragam hariannya,
sepasang overall pudar jenama Liberty. Dia mengatakan anjing pemandu
tidak sesuai untuknya: "Anda perlu menjaga anjing itu, dan
terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan."
Satu projek yang amat
dekat di hati beliau adalah kapal layar pain kecil untuk seorang
wanita muda yang sakit tenat yang ditemuinya tahun lepas bernama
Maire Kent. Diilhamkan oleh buku yang diminatinya di zaman
kanak-kanak beliau, Maire mahu abu beliau membuat perjalanan di atas
bot kecil itu melalui Great Lakes dan kemudian ke laut. Beliau
meninggal dunia akibat sarcoma jantung September lalu sebelum dia
dapat melihat bot yang telah siap, tetapi George dan seorang rakan
pembikin filem dokumentari - yang melakukan ujian percubaan di Tasik
Calhoun - merancang memenuhi keinginan Maire dengan melancarkan bot
tadi dalam perjalanan akhirnya dari Tasik Michigan di pertengahan
bulan Julai.
Selain itu ada projek
yang akan datang dengan Alec Soth untuk pameran di Detroit, yang
dibuka pada 12 September. Beliau merancang membina satu siri kotak
yang masing-masing akan mempamerkan aspek-aspek yang berbeza dalam
hidupnya. "Apabila anda melihat di dalam kotak itu,
masing-masing akan memberikan imbasan perkara-perkara yang membentuk
saya menjadi siapa saya hari ini," katanya. Beliau tentu sekali
perlu bermula sekarang. Dia akan memerlukan banyak kotak.
No comments:
Post a Comment