Wednesday, 20 August 2014

Program musim panas membantu kanak-kanak cacat penglihatan

Rencana "Summer program helps visually impaired children" oleh Kirsten Johnson bertarikh 2 Ogos 2014 terbit di washingtontimes




Idaho Falls, Idaho - Di dalam sebuah bilik darjah yang tenang di Pusat Aktiviti Idaho Falls, Mei Mei Hill yang berusia 8 tahun menampal bahan melekit bercorak zebra, pita perekat berwarna warni dan pelekat getah berbentuk biji mata pada tongkat barunya.

"Saya suka bentuk bola mata kerana menjadikannya kelihatan seolah-olah menakutkan," kata Mei Mei, yang tinggal di Pocatello.

Apabila tongkatya selesai diberi wajah baru, Mei Mei, bersama-sama dengan para peserta lain dalam program musim panas Braille Enrichment for Literacy and Learning tahun ini, berlatih mengayun, mengetuk dan meneroka dewan bangunan yang kosong dengan alat mobiliti baru mereka.

Tadi adalah satu aktiviti menghias tongkat pada hari pertama program musim panas dua minggu yang direka untuk kanak-kanak buta dan cacat penglihatan. Program ini, yang masuk tahun kedua, dikendalikan oleh National Federation of the Blind. Tahun ini, enam pelajar mendaftar, meningkat daripada empat tahun lepas.

"(Kem) ini adalah penting untuk kanak-kanak, dari segi perhubungan sosial," kata Nancy Luth, yang bekerja dengan kebanyakan kanak-kanak itu sepanjang tahun sekolah melalui Idaho Educational Services for the Deaf and Blind yang berpusat di Gooding. "Bagi pelajar buta, tidak banyak kem yang ada untuk mereka. Untuk mengumpulkan mereka bersama-sama supaya mereka boleh bercakap tentang perkara-perkara yang penting kepada mereka, dan cabaran yang mereka (kongsi), itu adalah amat penting. "

Kem Idaho timur bermula pada musim panas lalu apabila pegawai-pegawai dalam bahagian Snake River Valley National Federation of the Blind mengenal pasti keperluan. Kem Idaho timur mengikut jejak langkah kejayaan kem Boise yang pertama kali diadakan pada tahun sebelumnya, kata jurucakap Sean Malone.

"Bagi kebanyakan kanak-kanak ini, apabila mereka mencapai usia remaja atau awal 20-an, mereka mungkin buta sepenuhnya," kata Malone. "Jadi ini adalah keyakinan untuk mereka. Mereka tidak berasa terpinggir atau ke belakang kerana apabila mereka berusia 20-an, mereka tidak boleh membaca cetakan biasa lagi. Apabila mereka tamat sekolah tinggi, mereka telah satu langkah ke hadapan. "

Sepanjang program ini, kanak-kanak melalui pelbagai aktiviti yang direka untuk membantu mereka dalam kehidupan seharian. Ini termasuk membaca dan menulis braille, menggunakan tongkat dan pembelajaran teknik bukan visual seperti menuang cecair ke dalam cawan atau membuat biskut. Pembelajaran berstruktur digandingkan dengan lawatan lapangan, termasuk lawatan ke taman trampolin iJump, golf mini dan lawatan ke kedai gula-gula yang berdekatan.

Allison McCracken, 12 tahun, mendaftar untuk kem itu bersama adiknya, Ashton McCracken, 8 tahun, buat kali pertama tahun ini. Kedua-dua mereka tinggal di Idaho Falls. Allison berkata dia paling teruja untuk bersama dalam lawatan iJump. Ashton berkata dia pula paling teruja untuk aktiviti mempertahankan diri pada hari Rabu, di mana para peserta akan belajar satu siri teknik mempertahankan diri.

Walaupun aktiviti-aktiviti tadi menyeronokkan, latihan membaca braille setiap hari juga membantu, Ashton berkata, kerana ia memberi lebih banyak peluang untuk berlatih.

"Latihan membantu," katanya. "(Kerana) braille kadang-kadang sukar, saya tidak boleh (sentiasa) membezakan di antara setiap huruf."

Kem ini dibiayai tahun ini dengan wang daripada Idaho Commission for the Blind and Visually Impaired dan geran daripada Idaho National Laboratory sebanyak $ 1,000. Wang digunakan untuk gaji seorang guru braille bertauliah, dan juga membeli bekalan - setiap peserta menerima tongkat juga slate dan stylus percuma (sejenis alat menulis braille). Kos tahun lepas ialah kira-kira $ 3,500, dan tahun ini, dijangka meningkat lebih sedikit, bagi menempatkan pelajar tambahan.

Pegawai-pegawai berharap melihat lebih ramai pelajar mengambil bahagian di tahun-tahun akan datang. Mereka juga sedang mencari jalan memperluaskan program ke lokasi ketiga pada tahun-tahun akan datang, yang mungkin akan dilaksanakan di utara Idaho.

"Kita tahu pelajar-pelajar ada di luar sana," kata Malone. "Mudah-mudahan tahun depan dan selagi kita terus melaksanakannya, kita akan mendapatkan lebih ramai yang akan datang."

Mei Mei merupakan peserta yang kembali semula tahun ini. Beliau mengimbas kembali aktiviti kegemarannya pada musim panas lalu ialah lawatan ke balai bomba apabila kumpulan tersebut pergi ke Station 3 Jabatan Bomba Idaho Falls dan bertemu anggota bomba. Beliau berkata latihan setiap hari membaca braille pada musim panas lalu juga telah membantu dia belajar dengan lebih baik bahasa bertulis tadi.

"Lebih banyak masa dengan latihan memberikan saya lebih banyak masa untuk menjadi pembaca yang baik," katanya. "Ia adalah mudah pada mulanya, kini, ia semakin agak sukar, tetapi selepas berlatih, saya berjaya."

No comments:

Post a Comment