Rencana "'At first
sight: How Wills Eye doctors helped a blind toddler " oleh Tom
Avril bertarikh 27 Julai 2014 terbit di
philly
Faye Corman sedang
memimpin anak kecil bermata coklat tua itu di platform kereta api
apabila tiba-tiba dia berhenti, berdiri tegak, dan enggan bergerak.
"Jom, Jon Paul,"
dia mendesak. Tidak berganjak.
Faye dan suaminya telah
mengambil anak angkat itu yang berumur 3 tahun dari China beberapa
bulan sebelum ini, dan komunikasi masih rumit. Memang ada halangan
bahasa, itu sudah pasti, tetapi kanak-kanak itu juga buta - dan
setakat yang diketahui memang begitu dari dulu.
Dia telah menjalani
pembedahan kedua di Hospital Wills Eye, tetapi doktor-doktor tidak
menaruh harapan yang tinggi bahawa dia akan melihat.
Tiba-tiba, Jon Paul
tunduk ke hadapan, seolah-olah dia melihat sesuatu - mencari? - dan
membongkok ke lantai konkrit stesen PATCO di Westmont.
Dia mengambil
pembungkus gula-gula getah berwarna perak yang berkilat.
Ibunya mula menangis.
Kekaburan
Semuanya bermula dengan
Camille. Keluarga Corman mengambilnya sebagai anak angkat dari China
pada tahun 2005, dan dalam beberapa tahun mereka tidak sabar-sabar
untuk mengambil seorang anak angkat lagi.
Tetapi dalam tempoh
itu, China dan negara-negara lain telah mula memikir semula tentang
jumlah besar kanak-kanak yang menuju ke Amerika Syarikat.
Kali ini, agensi anak
angakat memberitahu keluarga Corman bahawa pegawai China tidak lagi
menganggap mereka calon yang baik, kata Faye Corman.
Sebabnya? Oleh kerana
suaminya buta.
Tidak kisahlah bahawa
Michael Corman, seorang peguam yang bagus dan juga pemain piano,
adalah seorang bapa yang penyayang kepada anak perempuannya. Jalan
hendak mengambil anak angkat dari negara luar seolah-olah ditutup.
Kemudian keluarga ini
mendapat tahu tentang sebuah agensi di Wilmington, Madison Adoption
Associates, yang pakar dalam mencari keluarga angkat untuk
kanak-kanak istimewa. Keluarga Corman, yang tinggal di Barrington,
Camden County, menghubungi agensi itu tentang proses mengambil anak
cacat penglihatan sebagai anak angkat.
"Kami banyak
berdoa," kata Faye Corman, seorang pengendali produk di DuPont.
Tempoh beberapa bulan
berlalu melibatkan kertas kerja dan sokongan, tetapi akhirnya pada
Februari 2011, keluarga Corman pergi ke Fuzhou, di Wilayah Fujian,
beberapa ratus kilometer ke timur laut Hong Kong, untuk bertemu Jon
Paul.
Rekod dari rumah anak
yatim itu menyatakan tentang "kekaburan" pada sebelah mata.
Tetapi apabila pasangan itu bertemu anak lelaki mereka, jelaslah
kedua-dua matanya buta: berlanggar dengan dinding, teraba-raba
menggunakan tangga, tidak dapat melihat makanan di pinggannya.
Tidak perlu bimbang.
Michael Corman, yang pada tahun 1991 menjadi graduan buta pertama
sekolah undang-undang Rutgers University di Camden, boleh membantu
dia belajar membaca braille. Dan isterinya, berfikir lebih jauh,
telah membuat temujanji untuk Jon Paul di Hospital Wills Eye, yang
ditubuhkan pada tahun 1832 sebagai hospital mata pertama di negara
ini.
Michael Corman telah
dirawat di sana semasa masih seorang kanak-kanak buta sejak lahir,
dan dia menghargai khidmat doktor-doktor di Hospital Wills Eye kerana
memberinya sedikit persepsi cahaya.
Adalah sukar untuk
mengetahui bila hendak membuat temujanji Jon Paul kerana tarikh akhir
proses mengambil anak angkat diluluskan masih belum pasti, tetapi
jangkaan Faye Corman tepat. Empat hari selepas mendarat di bumi AS,
anak lelaki beliau pergi ke bangunan besar yang melengkung di depan
di Walnut Street.
Ketika itulah keadaan
menjadi rumit.
Otak plastik
Alex V. Levin tidak
pernah berasa bosan memerhatikan saat pertama apabila balutan dibuka
dan kanak-kanak yang sebelum ini buta dapat melihat.
Ketua oftalmologi
pediatrik dan genetik okular di Hospital Wills Eye, dia kerap ke luar
negara melakukan pembedahan pada kanak-kanak yang memerlukan. Tiga
minggu lalu, dia berada di Filipina, di mana salah satu tugas beliau
adalah untuk mengeluarkan katarak daripada mata seorang kanak-kanak
lelaki berumur 6 tahun.
"Anda boleh
melihat kehairanan, kebingungan di wajah seorang kanak-kanak yang
tidak pernah melihat seluruh hidupnya," kata Levin.
Semakin lama,
penyelidik sedar bahawa otak adalah lebih plastik daripada yang
difikirkan sebelumnya. Walaupun jika seseorang anak itu buta untuk
beberapa tahun pertama kehidupan, adalah mungkin selepas pembedahan
pembetulan mata untuk otak belajar mentafsir kemasukan baru maklumat
visual.
Namun, Levin tidak
begitu optimistik tentang Jon Paul.
Penglihatan pada mata
kiri kanak-kanak itu telah terjejas oleh katarak tebal, berkabut,
yang mungkin telah ada sejak lahir. Anak matanya pula berada di
tempat yang salah - di bahagian atas iris beliau dan bukan
betul-betul di tengah. Maklumat ini semua tidak terkandung di dalam
rekod perubatan terhad yang dihantar oleh rumah anak yatim tersebut.
Mata kanan kanak-kanak
itu - yang dikatakan "kabur" - lebih menyusahkan. Mata yang
telah mengecut dan berparut, ia "pada dasarnya mata yang telah
mati," kata Levin. Apatah lagi, ia mengandungi cebisan kalsium -
satu petunjuk kemungkinan kanser.
Keluarga Corman
ingatkan mereka membawa anak itu untuk temujanji satu jam. Ia
bertukar menjadi satu urusan sehari penuh, dan pakar onkologi
Hospital Wills Eye Carol Shields berkata mata kanan Jon Paul perlu
dikeluarkan.
Walaupun jika tidak ada
kanser, mata itu begitu cacat sehinggakan ia tidak akan dapat melihat
dan akan mula sakit, katanya. Keluarga Corman terkejut.
"Saya teringat
hari-hari itu seolah-olah begitu kelam, seperti melihat melalui skrin
TV bersalji," kata Faye Corman. "Kami hanya hidup dari hari
ke hari. Hanya mengangguk-angguk, dan mendengar bunyi bergaung. "
Empat hari selepas
temujanji pertama, pada bulan Mac 2011, Shields mengeluarkan mata
kanan Jon Paul dan digantikan dengan implan. Nasib baik tidak ada
kanser. Tetapi jika dia hendak mempunyai apa-apa visi, semuanya
bergantung pada bahagian kiri mata yang tinggal.
Elmo dan Oscar
Levin melakukan
pembedahan katarak pada bulan Jun 2011, dan juga memperbesarkan anak
mata supaya sekurang-kurangnya sebahagian daripadanya akan
ditempatkan di tengah-tengah - membentuk semacam bentuk lubang kunci.
Keesokan harinya
berlaku episod pembungkus gula-gula getah di platform kereta api.
Faye Corman tidak tahu sejauh mana budak lelaki itu dapat melihat,
tetapi ternyata dia melihat sesuatu.
Keadaan telah menjadi
semakin baik selepas itu.
Berbeza dengan
pembedahan katarak dewasa, Levin tidak meletakkan kanta baru dalam
mata kiri Jon Paul, kerana ia adalah lebih kecil daripada biasa.
Sebaliknya, kanak-kanak itu telah dipasang dengan kanta plastik
tebal, yang mengambil tempat kanta semula jadi sementara pada masa
sama melindungi mata.
Preskripsi telah diubah
beberapa kali dalam tempoh tiga tahun, dan Jon Paul telah membuat
kemajuan yang mantap.
Pada musim panas lalu,
penglihatannya telah diukur pada 20/200, yang bermaksud bahawa jika
seseorang yang mempunyai penglihatan 20/20 dapat melihat sesuatu dari
200 kaki, Jon Paul boleh melihatnya dari 20 kaki. Jauh daripada
sempurna, tetapi besar ertinya bagi seseorang yang bermula dari
sifar. Dengan preskripsi baru pada bulan Mac, beliau kini
diperhatikan melihat dengan lebih baik, kata ibunya - yang tidak
dapat bercerita tanpa emosi.
"Ajaib,"
katanya.
"Kami sangat,
sangat diberkati," kata suaminya.
Jon Paul bergerak
pantas di bahagian dalam rumah putih keluarga tersebut yang selesa,
teruja menunjukkan helikopter mainan dan alat-alat permainan yang
lain kepada pengunjung. Apabila menonton video Sesame Street
menggunakan iPad, beliau dengan mudah mengenal pasti watak-watak Elmo
dan Oscar, sementara kakaknya Camille, 9, berlegar berdekatan
menjaganya .
Beliau belajar membaca
cetak dan braille, dan menghadiri sekolah awam dengan bantuan seorang
pembantu.
Pada mulanya, ibu
bapanya bimbang dia mungkin autistik, kerana dia duduk di satu-satu
tempat dan menghayun jarinya. Kini disedari bahawa tingkah laku itu
mungkin fenomena yang dipanggil autisme institusi, di mana
kanak-kanak mempunyai tingkah laku yang menyerupai autisme sebagai
tindak balas kepada kekurangan rangsangan, seperti yang dialami di
rumah anak yatim. Perkembangan beliau telah mencapai kemajuan besar
semenjak itu, mudah berinteraksi dengan orang lain.
Dia menonton Roda
Impian di TV bersama-sama keluarganya, dan mengajuk juruhebah yang
melaungkan "Roda ... Impian" di awal setiap rancangan.
"Itu aksi
partinya," kata Michael Corman.
Aksi sebenar, sudah
tentu, adalah dapat melihat.
No comments:
Post a Comment