Saturday, 9 August 2014

Semakin mesra dengan anjing yang terlatih

Rencana "'Warming up to trained canines " oleh Sheila Sri Priya bertarikh 8 Ogos 2014 terbit di thestar




Keadaan adalah lebih mudah sedikit untuk mereka yang cacat penglihatan bergerak dengan anjing pemandu mereka kerana beberapa pusat membeli-belah membenarkan haiwan pekerja di premis itu.



Memulakan langkah

Beberapa pusat membeli-belah membenarkan anjing pemandu membantu orang kurang upaya

Anjing pemandu adalah pemandangan biasa di negara-negara Barat. Kehadiran mereka memang membantu meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti untuk orang kurang upaya, terutamanya yang buta.

Di Malaysia, penerimaan anjing pemandu dengan lebih meluas dikekang oleh pantang larang budaya dan agama.

Walau bagaimanapun, ada beberapa pusat membeli-belah yang membenarkan haiwan peliharaan dan anjing pemandu, termasuk Sunway Pyramid, di Bandar Sunway, untuk membantu orang kurang upaya di dalam bangunan.

Ketua Pegawai Operasi Sunway Pyramid, Kevin Tan berkata pelanggan di kalangan orang kurang upaya boleh membawa anjing pemandu mereka bersama-sama ketika membeli-belah.

Walau bagaimanapun, mereka akan diiringi sepanjang masa oleh seorang pekerja pusat membeli-belah dan anggota keselamatan.

"Biasanya, anjing pemandu dilatih untuk bergerak dalam ruang yang biasa dilawati tetapi oleh kerana mungkin tidak tahu susun atur pusat membeli-belah, concierge akan berada di sana untuk membantu mereka," katanya.

Jaya One merupakan satu lagi pusat membeli-belah yang membolehkan anjing pemandu dan haiwan peliharaan untuk membantu orang kurang upaya.

Pemaju Jaya One, Pengarah Eksekutif Tetap Tiara Sdn Bhd Charles Wong berkata pusat membeli-belah itu mesra orang kurang upaya.

"Kami membenarkan haiwan peliharaan ke dalam pusat membeli-belah dan semua tempat kecuali kawasan makanan dan minuman.

"Kami juga mempunyai sebuah pusat menarik, Dialogue in the Dark, untuk menerokai dan mengalami pengalaman seperti mereka yang kurang upaya penglihatan. Oleh kerana kami menyokong komuniti orang kurang upaya, kami juga membenarkan mereka membawa anjing pemandu.

"Kami mahu menunjukkan contoh yang baik kepada generasi muda. Kami mahu orang ramai menerima mereka yang menghadapi pelbagai jenis cabaran dan lebih mesra haiwan," katanya.

Pusat membeli-belah itu tidak menerima sebarang aduan daripada pelanggan tentang kehadiran anjing pemandu yang mengiringi mereka yang cacat penglihatan.

"Pengasas Dialogue in the Dark berada di sini hampir setiap hari dengan anjing pemandu beliau.

"Mereka bebas untuk ke mana-mana di dalam pusat membeli-belah," kata Wong.

Di Pavilion Kuala Lumpur, anjing pemandu pelanggan yang kurang upaya akan dijaga oleh pihak pengurusan pusat membeli-belah manakala orang kurang upaya tadi akan dibantu oleh seorang pekerja untuk pergi ke sekitar kedai-kedai.

Seorang jurucakap berkata mereka akan membawa anjing pemandu tersebut daripada pemilik di pintu masuk pusat membeli-belah.

"Anjing pemandu akan dijaga di lokasi yang berasingan di dalam pusat membel-belah.

"Kami akan memastikan anjing itu di tempat yang selesa dan disediakan penjagaan yang diperlukan," kata jurucakap itu.


'Anjing pekerja' membantu pemilik bergerak secara bebas

Stevens Chan, 52, dan anjing pemandunya LaShawn, adalah pemandangan biasa di Jaya One, Petaling Jaya.

Isteri Chan menurunkan beliau di tempat letak kereta dan dia dipandu ke pejabat oleh LaShawn, anjing Labrador jantan berkulit kuning air.

"Anjing saya membimbing saya di tempat kerja, kami pergi ke kedai-kedai kopi, senaman dan juga membuang sampah bersama-sama," kata Chan.

LaShawn telah dilatih di China dan telah menjadi sebahagian daripada kehidupan Chan sejak awal tahun ini.

Chan menjadi buta pada usia 45 tahun kerana glaukoma. Sebelum itu, beliau adalah seorang perunding perniagaan.

Beliau kemudiannya menjadi pengasas Persatuan Glaukoma Malaysia dan Dialogue in the Dark, satu inisiatif yang membolehkan orang celik merasai pengalaman mereka yang kurang upaya penglihatan. Ia terletak di Jaya One.

Anjing itu telah memberikan Chan mobiliti, kebebasan, persahabatan dan kehidupan sosial yang lebih baik.

"Ada beberapa pemilik kedai kopi membenarkan saya membawa LaShawn di premis tersebut kerana mereka tahu anjing pemandu saya berkelakuan baik.

"Saya berdepan dengan kesukaran keluar rumah dan menggunakan pengangkutan awam kerana kebanyakan tempat tidak membenarkan haiwan peliharaan dan tidak bersedia untuk anjing pemandu.

"Saya harap keadaan ini akan berubah perlahan-lahan," katanya.

Selain membantu untuk meningkatkan mobiliti, Chan berkata anjing itu telah mengajarnya menjadi lebih bertanggungjawab dan merupakan sahabat yang hebat.

Orang yang tidak dikenali juga lebih berinteraksi dengan Chan apabila mereka melihat dia dengan LaShawn.

"Apabila kamu buta, orang cenderung tidak mengendahkan anda. Walau bagaimanapun, apabila bersama-sama dengan anjing saya, orang lebih lagi berinteraksi dengan saya," katanya.

Beliau inginkan lebih kesedaran di kalangan orang ramai tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan apabila mereka melihat anjing pemandu.

Beliau menegaskan bahawa anjing pemandu bekerja dan tidak harus dianggap hanya sebagai haiwan kesayangan.

"Mereka tidak boleh diberi makan oleh orang yang tidak dikenali. Walau bagaimanapun, mereka juga berkelakuan baik dan tidak akan menggigit orang, '' katanya.

Chan berkata kedua-dua sektor awam dan swasta mesti berusaha lebih untuk membantu orang buta mengintegrasikan diri ke dalam masyarakat.

"Kemudahan dan tempat-tempat awam mesti mudah diakses dan selamat untuk orang buta," katanya.


Maklum balas akan membantu menentukan garis panduan yang lebih jelas tentang penggunaan anjing pemandu

Tiada garis panduan yang jelas tentang penggunaan anjing pemandu di tempat-tempat awam.

Walau bagaimanapun, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Mohamad Azmie Zakaria mengalu-alukan perkongsian pendapat berhubung perkara itu.

"Apabila kita mula berkongsi pandangan, barulah kita boleh berusaha ke arah melaksanakan beberapa garis panduan.

"Ini tidak boleh terjadi dalam sekelip mata tetapi perbincangan sentiasa digalakkan seperti yang seharusnya membawa kepada pelaksanaan dasar-dasar yang lebih baik tentang isu-isu yang berbeza," katanya.

"Garis panduan kami pada masa ini yang berkaitan dengan haiwan, secara amnya, masih tidak jelas.

"Walau bagaimanapun kita mesti meneroka dan melihat isu anjing pemandu secara serius. Barulah kita akan dapat mencapai penyelesaian," katanya.

"Sebagai doktor haiwan, saya tahu tujuan anjing pekerja adalah untuk membantu orang yang buta dan ini adalah satu perkara yang baik.

"Ini akan memberi kuasa kepada orang kurang upaya menjadi lebih bebas menjalankan tugas-tugas harian mereka. Mereka boleh menjadi lebih produktif.

"Saya bukan pakar agama, tetapi berdasarkan pemahaman saya tentang Islam, anjing pemandu tidak menjadi masalah.

"Bagaimanapun, mungkin ada perbezaan pandangan daripada ulama yang berbeza," katanya.

Dr Mohamad Azmie berkata masyarakat bertamadun moden diadili berdasarkan bagaimana mereka memperlakukan haiwan dan pelbagai kumpulan seperti orang kurang upaya.

Semua maklum balas yang relevan mesti dikumpulkan jika isu itu hendak ditangani bagi memberi manfaat kepada masyarakat orang kurang upaya, katanya.

"Ini termasuklah mendapatkan pandangan daripada masyarakat orang kurang upaya, ulama-ulama dan wakil-wakil lain dari segmen masyarakat yang berkaitan.

"Mereka juga mesti mengambil kira aspek-aspek budaya," katanya.

Jabatan Perkhidmatan Haiwan sedang meniliti meminda Akta Kebajikan Haiwan 2012.

"Apabila pindaan ini menjadi undang-undang, ia akan membantu menyelesaikan banyak isu yang saling berkaitan," katanya.

Dr Mohamad Azmie berkata penerimaan orang ramai terhadap peraturan adalah penting untuk hasil yang lebih baik.

"Mungkin terdapat peraturan yang memerlukan pemilik anjing memekap haiwan kesayangan mereka atau menggunakan jaket khas untuk memberi petunjuk yang jelas bahawa mereka adalah anjing pemandu,'' kata beliau.

No comments:

Post a Comment