Monday 30 June 2014

Melawan arus: Buta bukan penghalang kejayaan

Rencana “Against all odds: Being blind is not an obstacle to success” oleh Naveena Nathene James bertarikh 29 Jun 2014 terbit di thestar




Wong Shin Yee mungkin buta tetapi itu tidak menghalang dia daripada mencapai cita-citanya.

Kemiskinan, penderaan, ketaksuban, peperangan dan bencana - ini adalah krisis sosio-ekonomi yang biasa berlaku di seluruh dunia. Kelihatan mustahil bagi seseorang dari latar belakang yang mencabar itu untuk melihat impian mereka tercapai.

Oleh itu, memang suatu kejutan yang sentiasa menyenangkan apabila melihat bakat yang muncul walaupun dalam keadaan sedemikian.

Kita mendapat inspirasi dan bermotivasi apabila membaca tentang orang yang telah mencapai kejayaan yang besar walaupun mereka perlu melalui pelbagai perjuangan.

Sebagai contoh, Perdana Menteri India yang baru dilantik, Narendra Modi, membesar sebagai seorang remaja yang mengendalikan sebuah gerai teh dengan adiknya. Tidak lupa juga Subhas Chandra Bose yang terkenal, pemimpin radikal yang berjuang untuk kemerdekaan di India, yang telah dipenjarakan beberapa kali dan dipukul dengan kejam. Mereka mampu melawan arus dan menjadikan yang mustahil sesuatu yang mungkin.

Walau bagaimanapun, cerita-cerita yang kita baca atau tonton di televisyen ini, sering berakhir sebagai tidak lebih daripada perbualan makan malam atau topik untuk perbincangan akademik.

Cerita-cerita ini tidak menyentuh kita secara peribadi kerana tidak melibatkan sesiapa yang diketahui. Tetapi bagaimana jika ada seseorang berhampiran anda, seseorang yang tinggal di seberang jalan atau belajar di sekolah yang sama seperti yang anda, yang telah mencapai kejayaan cemerlang yang memberi inspirasi kepada anda untuk mengejar impian anda sendiri?

Saya bernasib baik bertemu orang seperti itu. Ini mengubah cara saya berfikir tentang perkara-perkara tertentu dan terima kasih kepada beliau kerana telah memberi kesan kepada hidup saya.

Seorang gadis pintar yang bersahaja, yang saya dengan bangganya boleh katakan sebagai rakan saya sekarang, cerita Wong Shin Yee saya percaya perlu diketahui dunia.

Beliau buta dan yang pasti, membesar tidaklah mudah walaupun ahli keluarganya sentiasa berada di sampingnya memberi sokongan, terutama sekali ibunya. Semasa kanak-kanak, Shin Yee cepat mempelajari sesuatu kerana dia memahami perkataan dengan mudah. Ibunya mengajar beliau menggunakan muzik dan puisi kanak-kanak, jadi kebanyakan pembelajaran beliau adalah melalui pendengaran.

Beliau menamatkan pengajian sekolah rendah di SK Sg Kantan dan kemudian lulus dari SMK Kajang Utama selepas Tingkatan Lima. Sebahagian besar masa pengajiannya, Shin Yee telah menggunakan Braille dan komputernya dengan bantuan perisian komputer yang menuturkan maklumat yang terpapar di skrin.

Di sekolah, dia belajar di kelas biasa dengan bantuan seorang guru yang menterjemahkan bahan-bahan pembelajaran ke dalam Braille untuknya. Dia juga mempunyai sekumpulan rakan-rakan yang membantunya dalam kelas dengan membaca apa yang telah ditulis di atas papan hitam.

Saya amat terkejut apabila diberitahu bahawa dia belajar bahasa Inggeris sendiri dengan bantuan komputer kerana dia bukanlah daripada latar belakang berbahasa Inggeris. Menurut ibunya, Shin Yee boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik hanya ketika berada di tahun terakhir beliau di sekolah rendah. Video dan audio Bahasa Inggeris membantu beliau meningkatkan perbendaharaan kata dan sekarang, dia bercakap dengan lancar.

Cintanya terhadap bahasa itu semakin bertambah apabila dia menjadi kagum dengan cara guru muzik beliau bercakap dalam bahasa tersebut dengan gaya yang menarik. Dari saat itu dan seterusnya, minatnya terhadap Bahasa Inggeris meningkat dan dia telah menulis banyak cerpen dalam talian. Dia merancang menamatkan kursus ijazah dalam Bahasa Inggeris dan Sastera, dan bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah atau penulis.

Beliau suka membaca novel dan yang paling digemarinya ialah Touching Spirit Bear oleh Ben Michaelson. Ketika belajar di Tingkatan Empat, beliau mewakili Malaysia dalam satu forum kanak-kanak antarabangsa yang diadakan di Singapura.

Shin Yee juga bermain piano dan apabila ditanya bagaimana dia belajar untuk bermain tanpa bantuan penglihatan, dia berkata: "Saya bergantung kepada pendengaran saya dan walaupun ia mengambil masa lebih sedikit, dengan latihan dan bantuan pengajar, saya berjaya melengkapkan skor.'' Walaupun muzik beralun dengan deria pendengaran kita, kebanyakan kita bergantung kepada lembaran skor muzik dan cenderung melihat kunci piano untuk memainkan sebuah lagu. Hakikat bahawa Shin Yee mampu lulus peperiksaan muzik berprestij dan bermain piano dengan baik memperlihatkan satu sifat yang menakjubkan di dalam dirinya.

Mengimbau kembali pertemuan kami, saya bernasib baik dapat bertemu Shin Yee dalam satu majlis anugerah. Saya berjaya mencapai keputusan yang baik di dalam peperiksaan SPM. Tidak lama selepas saya meninggalkan pentas, jurucakap majlis memanggil nama dia dan saya teruja menyaksikan gadis ini yang telah berjaya melepasi pelbagai cabaran dan berjaya memperoleh 6A, empat daripadanya A +, menikmati kejayaan beliau di pentas yang sama selepas saya.

Pembawaan dirinya amat baik dan dia juga mempunyai kemahiran komunikasi yang baik. Saya amat kagum dan menjadi lebih teruja apabila saya tahu bahawa dia tinggal 10 minit dari rumah saya.

Saya berkunjung ke rumahnya dan berbual dengan dia, tanda permulaan persahabatan baharu yang indah.

Satu perkara yang dikatakannya benar-benar menyentuh hati saya: dia mengaku bahawa dia berasa tidak ada keperluan yang mendesak untuk mempunyai penglihatan kerana beliau gembira seadanya. Dalam perbualan saya dengan beliau, tidak pernah sekalipun dia melihat kehidupannya sebagai sesuatu yang sukar.

"4K hidup: Keghairahan, Kesabaran, Ketabahan dan Kegigihan adalah penting untuk mencapai impian anda,'' kata Shin Yee apabila saya meminta beliau memberi pandangan tentang kejayaan. Beliau percaya bahawa hidup boleh menyebabkan kita rasa murung dan juga gembira, tetapi kita mesti sentiasa kekal positif dan tidak sekali-kali berputus asa. Setiap masalah ada penyelesaian. Jadi mesti ada cara untuk menyelesaikannya.

Secara peribadi, saya percaya Shin Yee akan menyedarkan dunia supaya melihat sesuatu dengan pandangan yang berbeza, bukan sahaja disebabkan oleh bagaimana dia telah mengatasi cabaran yang dihadapi tetapi sikapnya yang tidak pernah menganggap kebutaannya menjadi penghalang kepada matlamatnya mencapai kejayaan. Cara berfikir beliau perlu dicontohi oleh semua orang, terutamanya generasi muda.

"Tiada ada sesiapa yang mempunyai kuasa untuk menghancurkan impian anda, melainkan anda memberikannya kepada mereka," kata pengarang Amerika, Maeve Greyson.

Kadang-kadang, hidup menyeret kita ke tahap paling rendah sehingga kelihatan seolah-olah lebih baik mengaku kalah. Walau bagaimanapun, apabila kita memilih untuk bekerja keras dan membuktikan kepada orang lain bahawa mereka salah, itulah ketikanya apabila kita benar-benar melawan arus dan menjadi orang yang kita dambakan. Sama seperti Shin Yee.

Friday 27 June 2014

Ambil kira pandangan gelandangan

Rencana "Consult the homeless" oleh Petra Gimbad bertarikh 25 Jun 2014 terbit di thesundaily



Bekerja dengan kumpulan yang tiada tempat tinggal di dalam dan di luar negara, telah memaksa saya mengkaji semula beberapa tanggapan awal..

Pada mulanya, saya menganggap bahawa gelandangan hidup tidak menentu, ganas dan perlu pertolongan, terutamanya oleh kita yang berniat baik.

Apa yang berlaku selepas melibatkan diri adalah peralihan dalam perspektif: kumpulan ini menunjukkan kepada rakan-rakan dan saya sendiri bagaimana orang boleh memilih menjadi kuat dan baik walaupun dalam kesusahan.

Apabila saya bekerja dengan gelandangan, saya kerap ditanya sama ada saya berasa takut pergi ke “tempat-tempat seperti itu” dengan “orang yang sebegitu rupa”.

Bekas rakan sekerja saya dan saya akan ketawa dan mengatakan tidak: kumpulan itu yang akan melindungi kami. Kami memilih tempat-tempat di mana kami bekerja, dan kami telah belajar untuk bergantung kepada beberapa individu yang tinggal atau pernah tinggal di dalam kumpulan tersebut.

Pada masa itu, kami akan bekerja sehingga waktu makan malam sebelum keluar menjalankan pantauan - kadang-kadang dengan individu-individu itu. Selalunya, kami dikelilingi oleh kanak-kanak bukan gelandangan yang tinggal di kawasan itu.

Apabila berita tersebar pantas di sesuatu kawasan, hakikat bahawa kami bekerja dengan kanak-kanak terpinggir dan orang muda, memudahkan kerja kami..

Bagi kes-kes gelandangan yang teruk yang memerlukan campur tangan, kami bergantung kepada rakan-rakan yang mempunyai kepentingan sebenar: ahli-ahli atau bekas ahli kumpulan itu sendiri. Mereka mengajar kami tentang tempat yang lebih selamat, apa yang perlu dicari dan yang paling penting: untuk sentiasa sedar bahawa apa yang dikehendaki mereka adalah untuk berbual dengan selesa dan berkawan.

Beberapa orang yang semakin rapat dengan kami sentiasa mengingatkan kami supaya menjaga diri, dan menawarkan diri mereka untuk ikut bersama jika diperlukan untuk mendapatkan nasihat atau sebagai keselamatan. Mereka yang telah meninggalkan kumpulan itu, mahu membantu juga - dan mereka lebih tahu daripada kami apa yang tidak akan berjaya kerana mereka telah melalui sistem itu sendiri.

Baru-baru ini, saya menemani seorang wanita yang bekerja dengan gelandangan, untuk memerhati kerjanya. Beliau dengan sabar menemuramah seorang demi seorang gelandangan meminta pandangan mereka tentang apa yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah tiada tempat tinggal di Malaysia.

Apa yang mengejutkan saya, ramai di antara mereka yang bekerja, tetapi tidak mampu untuk membayar sewa tempat tinggal. Inilah sebabnya mengapa mereka tidur di tempat terbuka, sedar bahawa mereka lebih selamat di kalangan gelandangan lain daripada bersendirian di lorong-lorong yang tersembunyi.

Sepanjang malam, ada yang akan berhenti berbual dan meninggalkan beg mereka untuk berjalan-jalan atau mencari tandas awam.

Saya perhatikan bagaimana mereka saling mempercayai yang rakan-rakan akan menjaga barang-barang dengan selamat, dan berapa ramai pula yang menjaga keselamatan rakan-rakan lain sepanjang malam.

Ini bukan dunia orang mempergunakan orang lain yang saya baca dalam tulisan-tulisan atau buku-buku akademik.

Kebanyakan mereka adalah rakyat Malaysia daripada semua kaum dari luar Kuala Lumpur, dan berasa bimbang apabila penemuduga membangkitkan bagaimana undang-undang dan dasar-dasar akan memberi kesan terhadap hak dan kebajikan mereka sebagai sebuah masyarakat pada masa akan datang.

Saya menjangkakan mereka yang ditemubual akan menuntut apa yang diperlukan oleh seseorang individu serta-merta: seperti, elaun bulanan atau tempat tinggal yang bersih. Sebaliknya, tiada siapa yang saya perhatikan semasa temu bual, meminta wang malam itu.

Tidak meminta kemudahan untuk diri mereka sendiri, tetapi kebanyakannya meminta kerajaan menyediakan pekerjaan untuk golongan muda di luar bandar.

"Anda boleh membantu kami di sini, tetapi ia tidak akan berakhir. Sediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda dan orang dewasa di tempat mereka, supaya mereka tidak perlu datang ke bandar untuk mencari kerja."

“Lebih baik membantu mereka.”

Apa yang nyata, ramai daripada mereka datang ke bandar untuk mencari kerja. Mereka kehilangan tempat tinggal apabila simpanan mereka habis, selepas majikan mereka mempermainkan mereka tanpa membayar gaji untuk beberapa bulan.

Namun, di sebalik kekecewaan, mereka terus hidup dan saling membantu.

Melihat semua ini membuatkan saya tertanya-tanya: Adakah saya mampu berdikari dan baik seperti mereka di antara satu sama lain, jika saya berada dalam kedudukan seperti mereka?

Selesai bekerja di situ dan membaca laporan tentang gelandangan memaksa saya bertanya: mengapa kita memburukkan imej kumpulan ini tanpa mengakui kekuatannya?

Paling penting: dalam ketidakupayaan kita mengenali mereka, adakah kita pembuat keputusan yang lebih baik daripada mereka, dalam undang-undang dan dasar?

Pembuat keputusan yang terbaik mungkin kumpulan yang berkepentingan itu sendiri.

Thursday 26 June 2014

Perbezaan di antara sikap bertolak-ansur dan pengecut

Rencana "The difference between compromise and cowardice" oleh Erna Mahyuni bertarikh 25 Jun 2014 terbit di themalaymailonline




Ada yang berkata kepada saya, lupakan saja isu Allah . "Akhirnya, apabila kita berada di hadapan-Nya, semua ini tidak ada makna."

Memang terserlah inilah cara Malaysia melihat sesuatu perkara. Jangan bercakap tentang perkara ini - terlalu sensitif. Jangan pentaskan pertunjukan atau buat filem tentang itu – berapi nanti.

Kita amat berhati-hati sepanjang masa, sedaya upaya tidak mahu orang itu atau orang ini marah.

Tetapi biarlah kita berterus-terang di sini; seolah-olah hanya ada satu bangsa yang kita takut rasa tersinggung manakala tiada masalah mengheret kepala lembu merata-rata atau melontar koktel Molotov ke gereja.

Kita tidak boleh terus-menerus mengenepikan masalah yang timbul kerana takut akan berlaku rusuhan awam. Kita tidak boleh berterusan mengharamkan buku-buku dan filem-filem serta memberitahu penganut agama minoriti supaya berhenti "mengancam" kepercayaan majoriti.

Memang benar, wujud orang yang berbahaya. Orang bersenjata, memiliki bom, mereka yang sama sekali tidak ragu-ragu membunuh hanya untuk meneruskan impian mereka.

Tetapi sekarang, lebih daripada sebelumnya, kita perlu berdialog. Kita perlu berbincang sesama sendiri tentang perkara-perkara yang paling menakutkan kita; kita perlu mula mendengar pendapat-pendapat yang mengganggu cara kita sendiri melihat sesuatu perkara.

Yang paling penting, rakyat Malaysia perlu belajar bersetuju untuk tidak bersetuju. Namun apa yang kita perhatikan ialah perbuatan mengejek-ejek seperti di zaman sekolah di mana kita menghina satu sama lain dan bukannya cuba memahami pandangan pihak yang bertentangan.

Saya sudah benar-benar bosan apabila orang mengatakan bahawa jelaslah bahawa hidaup saya yang kekurangan seks yang menyebabkan saya tidak tahu berdiam tentang hal ehwal semasa. Jangan libatkan badan saya dalam perbincangan. Di manapun kepala saya, sudah pasti bukan di situ tempatnya.

Yang lebih membimbangkan, saya sentiasa disoal bagaimana hendak "menyatukan" Timur dan Barat Malaysia. Jawapan pendek: api dan darah. Apabila ada kuasa asing yang mengisytiharkan perang terhadap kita, saya pasti semangat patriotik akan mencapai tahap yang epik.

Jawapan panjang ialah perpaduan, kawan-kawan, diberi penekanan yang melampau. Perpaduan adalah impian palsu, kepercayaan yang bermasalah bahawa semua rakyat harus dan mesti mahu perkara yang sama. Amatlah sangat jelas bahawa saya mahu sebuah negara sekular dan adalah sangat jelas pula bahawa PAS mahukan sebuah negara Islam.

Semua warganegara harus menghormati undang-undang negara dan juga mempunyai hak untuk membantah pelaksanaan satu set undang-undang yang kedua. Semua warganegara perlu mempunyai akses kepada hak asasi dan dapat mempersoalkan arahan kerajaan tanpa dihumban ke dalam tahanan.

Lawan perpaduan bukanlah anarki; tetapi kewujudan pilihan. Satu keadaan di mana perbezaan diterima, di mana kita tidak secara paksa diminta mentaati kerajaan atau pemerintah.

Kepelbagaian dan perbezaan bukanlah perkara-perkara yang perlu ditakuti, tetapi ketakutan seolah-olah menjadi satu-satunya alat tawar-menawar yang digunakan oleh kerajaan kita tanpa batasan. Undi kami atau negara ini akan runtuh. Undi kami atau minoriti akan mengambil-alih semua hak-hak anda. Undi kami kerana pihak lawan adalah penyokong LGBT yang hedonistik dan penyembah syaitan.

Kita perlu berhenti menjadi begitu takut sepanjang masa tetapi kita kadang-kadang terlampau pengecut, hingga hampir memalukan hendak mengaku rakyat Malaysia. Sedarlah, ini Malaysia. Tiada ada skuad pembunuh berkeliaran di jalan-jalan. Anda tidak akan ditembak di katil anda oleh penguatkuasa kerajaan kerana mempunyai sesuatu pendapat. Memanglah satu perasaan biasa jika hendak menumbuk jiran anda yang begitu fanatik, tetapi adalah salah jika benar-benar mahu bertumbuk.

Bercakaplah tentang perkara-perkara yang menakutkan anda. Bercakap. Fikirkan. Baca. Fahami. Hanya cahaya yang akan menerangi kegelapan dan membiarkan orang (dan isu-isu) dalam kegelapan tidak membantu sesiapa.

Saya tahu ini satu permintaan yang besar tetapi apabila ada orang yang pada masa depan memberitahu saya supaya berdiam diri untuk "menjaga keamanan", saya mungkin akan mencadangkan pemindahan tulang belakang adalah amat perlu. Kita tidak dapat mencari tulang belakang kerajaan jadi mungkin lebih elok kita sendiri berusaha memilikinya.

Monday 23 June 2014

Kisah peribadi cabaran hidup

Rencana "Personal tales of life's challenges" oleh Kathleen Michael bertarikh 23 Jun 2014 terbit di thestar




Hidup ini umpama permainan karom, kita banyak kali dihantuk sebelum mencapai matlamat – ini merupakan salah satu mesej inspirasi yang ditulis oleh Kenny Lee Man Jun.

Lee, 18, didiagnosis dengan Duchenne Muscular Dystrophy ketika berusia sembilan tahun dan berkerusi roda pada usia 11 tahun.

Kedua-dua Lee dan adik perempuannya berusia lapan tahun, Penny, yang mengalami sakit jantung, tidak tinggal dengan ibu bapa mereka kerana bapanya, seorang pemandu teksi, menderita kanser kolon manakala ibunya meninggal dunia beberapa tahun yang lalu.

Ketika berumur 14 tahun, Lee dihantar tinggal di Yayasan Beautiful Gates Petaling Jaya manakala adiknya tinggal di rumah kebajikan yang lain.

Lee menggambarkan dirinya sebagai seorang yang sedang belajar mengatasi kecacatannya.

"Saya dulu sangat pemarah, terutamanya apabila orang lain mentertawakan saya. Saya tidak mempunyai ramai kawan kerana sikap cepat marah itu dan sering berkelahi dengan rakan-rakan saya, "katanya.

Walau bagaimanapun, dia mendapat seorang rakan yang baik di kelas, Utaya Muthi.

"Dia sering membantu menolak kerusi roda saya," kenang Lee, sambil menambah bahawa dia ingin menghubungi Utaya Muthi semula kerana mereka terputus hubungan apabila dia meninggalkan sekolah ketika berumur 14 tahun.

Lee kini menghabiskan banyak masa dengan komputer.

"Saya menggunakan Facebook dan berbual dengan rakan-rakan dan sukarelawan, menonton video di YouTube dan menulis cerpen tentang pengalaman hidup saya."

Dia amat gemar mendengar muzik instrumental terutama sekali Sungha Jung di YouTube.

Lee mendapat sedikit wang saku dengan membantu teman serumah beliau, yang mengendalikan perniagaan dalam talian.

Oleh kerana keadaannya, Lee memerlukan bantuan penjaga dan memerlukan sukarelawan untuk membantu dengan keperluan asas seperti mandi, mengemas diri serta sesi fisioterapi setiap hari.

Dr Khoo Boon Hock, yang mendapat tahu tentang Lee daripada seorang teman, berkata kadang-kadang remaja itu tidak makan atau minum kerana dia akan memerlukan bantuan untuk ke tandas.

"Lee akan hanya makan dan minum apabila ada sukarelawan.

"Ada kalanya dia makan dan tidur di atas kerusi roda kerana tidak dapat mengangkat dirinya ke katil," katanya.

Sekumpulan sukarelawan, yang tidak mahu nama mereka dikenali, telah mengumpul dana supaya Lee mempunyai penjaga.

Lee memerlukan penjaga lelaki lapan jam sehari, enam hari seminggu dari Isnin hingga Sabtu.

"Kami masih memerlukan lebih banyak wang. Apabila pembiayaan tidak ada, begitu jugalah penjagaan yang diberikan kepada Lee, "kata seorang daripada sukarelawan itu.

Sukarelawan-sukarelawan berharap dengan adanya seorang penjaga, kualiti hidup Lee akan bertambah baik.

Remaja itu cuba kekal positif dan sedang belajar menerima kecacatannya.

Lee menyifatkan perubahan dalam sikapnya hasil seorang doktor yang ditemuinya tahun lalu.

Beliau juga adalah sebab Lee memutuskan untuk menerbitkan sebuah buku mengenai hidupnya.

"Saya memberitahunya bahawa saya mahu menulis buku dan selepas membaca beberapa hasil nukilan saya, dia menggalakkan saya untuk terus menulis dan memberi inspirasi kepada orang lain," katanya.

Lee telah menulis lebih daripada 40 petikan ringkas tentang kehidupan beliau dan pengajaran yang telah diperolehinya.

Beliau berharap untuk mengumpulkan kesemua tulisan itu ke dalam sebuah buku yang akan diterbitkan tahun ini. Beliau membincangkan perkara-perkara seperti mengatasi cabaran dalam hidup, menerima dirinya dan mengurus kemarahan.

Lee berharap ia akan memberi inspirasi kepada orang lain sepertimana Nick Vujicic, yang dilahirkan tanpa anggota badan, dan Lizzie Velasquez yang digelar "Wanita terhodoh di dunia", yang telah memberikan inspirasi kepada beliau.

"Saya melihat mereka sebagai individu bersikap positif yang percayakan diri mereka sendiri," kata Lee, yang mahu menjadi seorang penceramah motivasi seperti Vujicic.

Beliau berharap akan berjaya mendapat biasiswa untuk belajar Komunikasi Massa dan Kewartawanan di sebuah universiti swasta.

Dana bantuan untuk Lee telah ditubuhkan oleh Persatuan Hidup Berdikari Bagi Orang Kurang Upaya Selangor.

Sumbangan kepada Dana Hidup Berdikari Kenny Lee Man Jun boleh dibuat ke akaun Public Bank 3150110225.

Untuk maklumat lanjut, bolehlah menelefon 03-7875 0943 or emel kepada xtheleong@gmail.com


Friday 20 June 2014

Gunakanlah bahasa yang sama

Surat kepada editor "Speak the common language" oleh Sumathi Sivamany bertarikh 19 Jun 2014 terbit di thestar



Saya menghadiri perjumpaan semula murid-murid sedarjah setelah 36 tahun berlalu pada Sabtu lepas. Perjumpaan itu berjaya diadakan hasil kerja kuat beberapa orang di dalam kumpulan kami. Kami juga terpaksa bergantung kepada media sosial untuk menguruskan rancangan sehinggalah menjadi nyata pada 14 Jun.

Kami berjaya menghubungi 23 daripada 42 rakan sedarjah dan 21 orang dapat menghadiri perjumpaan. Kumpulan kami memang mencerminkan konsep 1Malaysia dengan baik sekali kerana kami terdiri daripada mereka yang berketurunan Melayu, China dan India.

Kami membentuk satu kumpulan melalui Whatsapp dan mula menghantar pesanan sesama sendiri. Pesanan saling bertukar dan kami selesa berkomunikasi menggunakan Bahasa Melyu dan Inggeris kerana kami boleh bertutur dengan baik di dalam kedua-dua bahasa.

Semuanya berjalan dengan baik sehingglah tiba hari Selasa, apabila salah seorang ahli kumpulan mula bertukar-tukar pesanan menggunakan bahasa ibundanya (versi rumi tentunya) dan ini diikuti oleh yang lain yang menggunakan bahasa yang sama. Mereka yang tidak faham apa yang diperkatakan berhenti menghantar pesanan. Saya kecewa sedikit dan mengakhiri pesanan dengan ucapan “Selamat Malam” oleh kerana saya juga tidak faham apa yang sedang dibincangkan.

Pengerusi kumpulan kami sedar tentang apa yang telah berlaku dan menghentikan perbuatan tadi. Dia menasihatkan ahli kumpulan supaya tidak menggunakan bahasa yang tidak difahami oleh yang lain-lain dan tidak lama kemudian kami bertukar-tukar pesanan seperti biasa.

Mujurlah peristiwa yang saya sebutkan tadi berakhir dengan baik kerana ada yang faham apa yang sedang berlaku dan mengambil tindakan menangani masalah yang timbul.

Malangnya, kejadian seperti yang berlaku tadi semakin meluas di dalam masyarakat kita.

Saya pernah menghadiri pelbagai jamuan makan dan perjumpaan sosial dengan tuan rumah yang mengambil masa dan usaha meletakkan para tetamu dengan baik supaya mereka rasa selesa antara satu sama lain.

Apa yang sering terjadi di majlis-majlis ini ialah apabila seorang tetamu mula bercakap dalam bahasa ibundanya akan diikuti pula dengan perbualan seterusnya di dalam bahasa masing-masing.

Tetamu-tetamu lain di meja yag sama rasa tersisih dan tidak menyertai perbualan kerana mereka tidak tahu hujung pangkal apa yang sedang dikatakan.

Ini adalah amalan yang tidak sihat tetapi malangnya kerap berlaku setiap masa. Di dalam sebuah negara seperti Malaysia, kebanyakan daripada kita boleh bertutur sekurang-kurangnya satu bahasa yang boleh difahami semua. Mungkin tidak sempurna daripada segi sebutan dan tatabahasa tetapi difahami semua.

Hakikatnya, setengah-setengah daripada kita berjaya menjalin persahabatan berdekad-dekad dengan kawan-kawan pelbagai kumpulan etnik dengan bertutur menggunakan Bahasa Melayu atau Inggeris sahaja.

Saya mempunyai kawan-kawan pelbagai latarbelakang bangsa dan sosial dan kami sentiasa berusaha bertutur sama ada dalam Bahasa Melayu atau Inggeris ketika berjumpa supaya semua yang hadir faham apa yang sedang diperkatakan.

Kami mahu semua yang hadir berasa sebagai sebahagian daripada kumpulan dan boleh mengambil bahagian di dalam perbualan. Ada ketikanya seseorang secara tidak sengaja bercakap tentang sesuatu menggunakan bahasa mereka sendiri, tetapi mereka akan menterjemahkannya untuk memastikan bahawa apa yang dikatakan akan difahami oleh semua.

Bertutur menggunakan bahasa yang sama menyatukan rakyat pelbagai bangsa tanpa mengira kedudukan sosial dan kepercayaan. Apabila kita bertutur dalam bahasa yang difahami oleh semua, ia adalah satu tanda hormat kepada orang lain dalam kumpulan itu kerana ia menunjukkan bahawa kita mengiktiraf kehadiran mereka.

Saya tidak menentang orang berbual dalam bahasa ibunda atau dialek etnik mereka. Tidak salah berbuat demikian, tetapi pastikan ia adalah dalam kumpulan di mana semua yang hadir dapat memahami dan juga mengambil bahagian.

Thursday 19 June 2014

Cara Islam Menangani Keganasan Terhadap Wanita? Lelaki Yang Beradab

Rencana "Islam's Way to End Violence Against Women? Civilized Men" oleh Qasim Rashid bertarikh 18 Jun 2014 terbit di huffingtonpost



“Dia yang buat saya melakukannya.”

Saya kerap sangat mendengar frasa ini, dan setiap kali mendengarnya hati saya terluka. Dalam kerja undang-undang pro bono saya, saya mewakili wanita miskin yang mengalami atau telah mengalami keganasan rumah tangga. Sebagai seorang peguam, sebagai seorang Muslim, sebagai suami, dan sebagai seorang bapa saudara kepada lima anak saudara perempuan yang cantik, saya melihat pelanggan saya sebagai individu yang mungkin sekali adalah keluarga saya sendiri.

Pelanggan-pelanggan saya berkulit putih, hitam, Asia dan Latin. Mereka orang Islam, Kristian, agnostik dan yang tidak menyatakan apa agama mereka. Mereka mengingatkan saya bahawa keganasan terhadap wanita merupakan wabak di seluruh dunia – dan keganasan itu adalah punca utama kecederaan terhadap wanita di Amerika. Sebahagian daripada proses temuduga pelanggan bertujuan untuk memahami akar umbi yang menyebabkan keganasan tadi. Walaupun saya tahu sebabnya, persoalannya adalah untuk memahami apa yang mereka sendiri percaya tentang punca keganasan terhadap mereka. Selalunya, pelanggan kes keganasan rumahtangga saya akan menyatakan, "Dia kata, saya puncanya, yang saya menyebabkan dia melakukannya." Kadang-kadang saya tidak lagi tahu sama ada mereka benar-benar percaya apa yang mereka katakan, atau telah dipukul - secara literal atau kiasan - untuk mempercayai kenyataan itu.

Satu rencana Washington Post baru-baru ini berhujah bahawa perkahwinan adalah sebaik-baik matlamat untuk memastikan wanita menghindari keganasan rumahtangga dan keganasan, dengan mendakwa, "wanita yang berkahwin adalah lebih selamat dibandingkan dengan rakan-rakan mereka yang belum berkahwin, dan kanak-kanak perempuan yang dibesarkan dalam rumah bersama-sama bapa mereka berkemungkinan disalahgunakan atau diserang ketara sekali jauh lebih kurang berbanding kanak-kanak yang hidup tanpa bapa mereka sendiri. "Oleh itu, penulis membuat kesimpulan "satu cara untuk menamatkan keganasan terhadap wanita [adalah] bapa yang berkahwin."

Demi hujah, saya percaya rencana itu berniat baik. Malangnya, dalam menganalisis data yang menyeluruh dan menjadikan wanita satu statistik, rencana itu- jika dilihat pada sudut terbaik - berjaya melakarkan beberapa graf bar berwarna-warni yang melaporkan tentang wanita yang kurang sedikit didera berbanding wanita lain. Rencana itu menyimpang jauh daripada sebab utama di sebalik mengapa keganasan terhadap wanita wujud, dan oleh itu tidak menjumpai penyelesaian yang betul untuk menghentikan keganasan yang berlaku.

Pakaian wanita, status perkahwinan, dan gaya hidup bukanlah pencetus keganasan terhadap wanita. Keganasan terhadap wanita wujud kerana lelaki dalam hidup mereka - bujang, berkahwin dan orang yang tidak dikenali - melakukan keganasan itu. Keganasan terhadap wanita wujud kerana lelaki tidak melayan wanita dengan hormat. Keganasan terhadap wanita wujud kerana masyarakat kita tidak menghargai ciri-ciri kesopanan moral dalam wacana, menghormati tubuh wanita, menghormati hak wanita untuk menentukan nasib sendiri, serta kesaksamaan dan ekuiti wanita amnya.

Sebaliknya, kita beralih meletakkan beban mengelakkan keganasan ke atas wanita, manakala lelaki bebas tanpa apa-apa kesan. Pendekatan sedemikian adalah amat cela kerana ia tidak berkesan - seperti yang dibuktikan oleh kes keganasan rumahtangga yang meningkat. Menyedari bahawa pendekatan ini adalah bertentangan dengan sifat manusia, Nabi Muhammad saw melaksanakan banyak pembaharuan di kalangan lelaki untuk menghentikan keganasan terhadap wanita 1400 tahun yang lalu.

Semenanjung Arab Pra-Islam merupakan lubuk kebencian terhadap wanita, keganasan terhadap wanita, dan ketidaksamaan. Wanita tidak mempunyai hak memiliki harta, membuat keputusan dalam perkahwinan, hak dalam perceraian, atau penentuan nasib sendiri. Islam mula-mula sekali dengan segera memberikan hak-hak ini kepada wanita dan melarang paksaan apa-apapun ke atas wanita. Walaupun keganasan terhadap wanita sudah menjadi wabak di beberapa bahagian dunia Islam hari ini – sama seperti di Amerika dan Barat - hidup bagi wanita selepas dan selama berabad-abad setelah Islam muncul, mewakili bagaimana ajaran tulen Islam akhirnya menaikkan taraf wanita ke tahap kesaksamaan dan sikap lelaki diperbaharui supaya berhenti melakukan keganasan.

Sebagai contoh, untuk mengajar berkenaan tubuh wanita, Islam menekankan kehormatan - tetapi meletakkan beban utama bagi kehormatan ke atas lelaki, bukan wanita. Walaupun ulama dan imam hari ini mengisytiharkan bahawa wanita perlu "berkahwin" atau "berpakaian lebih sederhana" untuk mengelakkan keganasan rumah tangga, Nabi Muhammad saw mempunyai pandangan yang berbeza. Sambil menggalakkan perkahwinan dan pakaian sederhana bagi kedua-dua lelaki dan perempuan, Nabi Muhammad saw dengan ketara dan sebagai satu asas memerintahkan lelaki, "Kamu sendiri hendaklah bersedehana, dan wanita akan bersederhana." Dia memerintahkan lelaki berhenti memberi perhatian lebih tentang bagaimana wanita berkelakuan dan berpakaian, dan sebaliknya menuntut lelaki memberi tumpuan kepada reformasi diri dan memperbaiki diri sendiri. Sementara Al-Quran memberi pengajaran kepada wanita untuk berpakaian sopan mengikut jejak langkah Maryam ibu Nabi Isa as, arahan pertama kepada lelaki adalah untuk "menundukkan pandangan" dan "tidak merenung wanita hanya untuk memuaskan nafsu syahwat" - tidak kira bagaimana seorang wanita memilih untuk berpakaian . Seorang wanita adalah bertanggungjawab kepada dirinya sendiri dan Allah cara dia berpakaian dan bertindak dengan sederhana, manakala seorang lelaki adalah amat penting bertanggungjawab terhadap wanita, kepada dirinya sendiri, dan kepada Allah menghormati wanita berkenaan.

Al-Quran mengisytiharkan lelaki dan wanita sebagai dua makhluk yang sama tara dicipta dari diri yang satu, mengisytiharkan lelaki dan wanita sebagai pakaian bagi satu sama lain yang direka untuk melindungi satu sama lain daripada bahaya dan penderitaan, dan menyuruh umat Islam bertutur dengan cara yang menyenangkan dan beradab. Setakat dakwaan bahawa "Dia yang menjadi punca penyebab," al-Quran dengan tegas memberi jawapan, "Bersamalah dengan wanita dalam kebaikan, dan jika kamu tidak menyukai mereka, mungkin kamu benci kepada sesuatu yang Allah telah berikan padanya kebaikan yang banyak." Al-Quran seterusnya menyuruh lelaki yang jika menghadapi keadaan seorang wanita memang melakukan suatu perbuatan terang-terangan - seperti berlaku curang - seorang lelaki mesti menasihatinya dengan kata-kata, dan jika masih marah memisahkan dirinya daripada keadaan yang tidak menentu - dan tidak menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya dalam apa juga keadaan.

Dalam satu perjalanan melalui padang pasir, seorang pemandu lelaki mempercepatkan kumpulannya. Nabi Muhammad saw, yang memerhatikan bahawa ada wanita dalam perjalanan itu dengan mereka dan akan rasa tidak selesa kerana perjalanannya yang sukar, memberi peringatan dan menasihatkan pemandu tadi supaya memperlahankan perjalanan, dan mengisytiharkan, "Hati-hati dengan permata yang dibawa!" Sesungguhnya, kata-kata terakhir Nabi Muhammad saw adalah "Layanlah wanita dengan baik. Kamu mempunyai hak ke atas mereka dan mereka mempunyai hak ke atas kamu. Mereka merupakan rakan kongsi kamu yang setia."

Strategi ini berjaya. Wanita selepas Islam mencapai peningkatan sehingga ke tahap ulama yang tidak ada tolok tandingnya seperti Hazrat Aisyah, tentera yang berani seperti Nusayba b. Ka'b al-Anṣārīyya dan Khawla b. al-Azwar, pemimpin masyarakat yang cemerlang seperti Zainab b. 'Ali, dan ahli akademik yang mengagumkan seperti Lubna Cordoba dan Fatima al-Fihri Maghribi. Senarai ini hanyalah secebis gambaran kejayaan yang tercapai..

Paling ketara, penyelesaian Islam untuk menghentikan keganasan terhadap wanita bukanlah jawapan agama - ia adalah jawapan sekular. Ia mewajibkan lelaki melindungi kehormatannya, melayan wanita dengan saksama, bertanggungjawab ke atas tingkah laku mereka sendiri, dan menghormati badan dan hak wanita untuk menentukan nasib sendiri

Keganasan terhadap wanita akan berhenti apabila lelaki berhenti melakukan keganasan terhadap wanita. Saya memang ingin sekali kerja pro bono saya dalam keganasan rumah tangga lenyap terus. Tetapi selagi kita merasionalkan data untuk menyokong tanggapan bahawa wanita adalah punca - atau penyebab - keganasan terhadap wanita, malang sekali saya akan mendapat lebih banyak pelanggan daripada yang boleh dikendalikan,

Demi kemanusiaan, berhentilah menyalahkan wanita. Dalam pada itu, saya akan membesarkan dua anak lelaki saya mengikut contoh Nabi Muhammad saw - bahawa kunci untuk menghentikan keganasan terhadap wanita terletak pada lelaki yang beradab dan bertanggungjawab terhadap peribadi mereka sendiri.

Akta Keganasan Rumah Tangga: Lelaki juga, boleh menjadi mangsa penganiayaan mental, fizikal

Surat kepada editor "Domestic Violence Act: Men, too, can become victims of mental, physical abuse" oleh Dr Muzaffar Syah Mallow, bertarikh 18 Jun 2014 terbit di nst



Keganasan rumah tangga diakui sebagai satu isu penting di Malaysia. Pada tahun 1994, Akta Keganasan Rumah Tangga (Akta 521) telah akhirnya diluluskan oleh Parlimen, menjadikan Malaysia negara Asia dan Islam yang pertama menerima pakai undang-undang seperti itu.

Keganasan rumah tangga adalah satu corak tingkah laku menganiaya dan mengancam termasuklah keganasan fizikal, emosi, ekonomi dan seksual serta ugutan, pengasingan dan paksaan.

Matlamat keganasan rumah tangga adalah untuk mewujudkan dan menggunakan kuasa dan kawalan ke atas orang lain. Keganasan rumah tangga, juga dikenali sebagai penganiayaan rumahtangga, penderaan pasangan, serangan atau keganasan keluarga, adalah corak tingkah laku yang melibatkan penderaan oleh satu pasangan terhadap yang lain dalam suatu hubungan intim, seperti perkahwinan

Pada masa ini, sistem keadilan jenayah terlalu memberi tumpuan kepada bukti fizikal jenayah ganas. Namun begitu, mengawal secara paksa dan ugutan emosi, tidak meninggalkan parut atau lebam – juga meninggalkan kesan yang buruk. Oleh itu, pada tahun 2012, pindaan telah dibuat terhadap Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521). Ia berkuat kuasa pada 20 Februari tahun itu.

Di bawah pindaan tersebut, keganasan rumah tangga diperluaskan merangkumi penderaan mental, emosi dan psikologi. Ia juga memberi asas berkanun kepada definisi kerajaan berhubung keganasan rumah tangga, menawarkan perlindungan yang lebih banyak kepada mangsa dan menjadikannya kewajipan pihak polis untuk menyiasat. Akta ini adalah "neutral jantina" dan bukan hanya meliputi pasangan tetapi juga bekas pasangan, kanak-kanak dan orang dewasa tak berkeupayaan atau mana-mana anggota keluarga yang lain.

Adalah penting mengubah anggapan bahawa Akta ini hanya melindungi wanita. Lelaki juga boleh menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Majoriti lelaki yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga enggan membuat laporan kerana beberapa sebab. Satu ialah rasa malu atau berfikiran mereka mungkin dapat menangani keadaan dengan lebih baik. Sesetengah mangsa lelaki bimbang bahawa mereka akan diejek kerana mengakui didera isteri.

Mungkin tidak mudah mengenali keganasan rumah tangga terhadap lelaki. Pada awal hubungan, pasangan mungkin kelihatan memberi penuh perhatian, murah hati dan melindungi yang kemudian berubah mengawal dan menakutkan.

Keganasan rumah tangga terhadap lelaki mungkin termasuk kejadian kedua-dua pasangan menampar atau menolak satu sama lain apabila mereka marah, dan setiap pasangan tidak melihatnya sebagai didera atau dikawal.

Tanda-tanda dan gejala keganasan rumah tangga, terutamanya terhadap lelaki, termasuklah diejek, penghinaan atau merendah-rendahkan mangsa secara emosi, menghalang mangsa daripada pergi bekerja, mennyekat mangsa daripada melihat keluarga atau rakan-rakan, kawalan ketat tentang cara mangsa membelanjakan wang mereka, ke mana dia pergi atau apa yang harus dipakainya, bertindak cemburu atau mengongkong atau sentiasa menuduh mangsa tidak setia dan mengancam mangsa dengan keganasan atau senjata, dan penganiayaan lain.

Ramai orang masih percaya bahawa pertikaian rumah tangga yang ganas perlu diselesaikan secara peribadi antara suami dan isteri atau dalam keluarga dan jika keadaan benar-benar seburuk yang dikatakan mangsa, maka mangsa yang didera hendaklah meninggalkan pasangan mereka dan bukannya terus tinggal bersama.

Adalah penting realiti keganasan rumah tangga difahami oleh orang yang bekerja di agensi-agensi yang diberi mandat untuk membantu dalam masalah mangsa keganasan rumah tangga. Ini termasuklah agensi kebajikan sosial, polis, organisasi undang-undang dan agama, agensi perubatan dan organisasi yang menyediakan tempat perlindungan atau perkhidmatan untuk semua mangsa keganasan rumah tangga tidak kira jantina mereka dalam sesuatu krisis.

Wednesday 18 June 2014

Ikut kata Peguam Negara, dia yang ada kata putus

Surat kepada editor "Abide by A-G, he has final say" oleh Shad Saleem Faruqi , bertarikh 17 Jun 2014 terbit di thestar



Sebagai seorang Muslim dan pelajar undang-undang perlembagaan, saya malu dan kecewa akibat beberapa tindakan melampau dan menindas yang diambil oleh MAIS (Majlis Agama Islam Selangor) dan JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) sejak beberapa bulan lalu.

Beberapa tindakan tersebut termasuklah perampasan 321 Al-Kitab dari Bible Society of Malaysia (BSM) pada 2 Januari, serbuan di sebuah kuil Hindu dengan tujuan menangkap seorang pengantin perempuan beragama Hindu yang disyaki seorang Muslim dan tentangan pihak-pihak berkuasa negeri berkenaan terhadap keputusan yang telah diambil mengikut perlembagaan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, bahawa BSM tidak melakukan apa-apa kesalahan apabila mengimport atau memiliki Al-Kitab dalam bahasa Melayu atau Iban.

Peguam Negara ialah pegawai undang-undang negara yang tertinggi di bawah Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan. Dialah dan bukan JAIS yang berkuasa menentukan sama ada pendakwaan perlu dimulakan di mahkamah sivil (BSM tidak tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.)

Peguam Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
Statusnya ialah seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan dan untuk mengetepikan pandangan beliau mengenai sesuatu perkara dengan implikasi perlembagaan, antarabangsa dan politik yang penting jelas mempamerkan tindakan yang melulu dan angkuh.

Adalah benar di sisi undang-undang bahawa di bawah Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan, Dewan Undangan Negeri diberi kuasa untuk "mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan" orang Islam.

Menurut kuasa ini, Selangor telah menggubal Seksyen 9 Enakmen 1988 tentang Agama Bukan Islam (Kawalan Penyebaran Di kalangan Umat Islam) yang mengharamkan penggunaan 35 perkataan, termasuk istilah "Allah". Undang-undang ini adalah melampau dan (pada pandangan saya) jelas tidak mengikut perlembagaan. Ia tidak mengaitkan penggunaan perkataan yang dilarang dengan penyebaran. Lebih tidak masuk akal, ia mengenakan pengharaman mutlak

Perkataan Allah ada di dalam lagu negeri Selangor. Perkataan Allah dan Muhammad ada pada setiap lencana polis. Adakah kita kemudian akan percaya bahawa tiap-tiap pegawai polis yang bukan beragama Islam memakai lencana polis itu cuba menukar pegangan agama umat Islam dan oleh itu mesti didakwa?

Untuk memahami undang-undang ini, ia mesti dibaca bersama-sama bahagian-bahagian lain Perlembagaan, terutamanya Perkara 10 tentang kebebasan bersuara dan Perkara 11 berhubung kebebasan beragama. Hanya jika penggunaannya menjejaskan ketenteraman awam, keselamatan negara atau merupakan satu penyebaran, barulah undang-undang ini boleh digunapakai.

Inilah juga pandangan Peguam Negara yang mendapati bahawa pengimportan dan pemilikan Al-Kitab oleh BSM tidak melanggar syarat apa juga undang-undang.

Pandangan MAIS dan JAIS bahawa Al-Kitab yang dirampas tidak harus dikembalikan tetapi hendaklah dirujuk kepada mahkamah untuk dilupuskan di bawah Seksyen 407A Kanun Tatacara Jenayah. Pemahaman saya adalah bahawa seksyen itu terpakai hanya jika pertuduhan telah dibuat. Peguam Negara telah pun menyatakan bahawa tidak akan ada sebarang pertuduhan.

Menurut MAIS dan JAIS, Peguam Negara adalah salah. Perintah kerajaan Selangor adalah salah. Hanya MAIS dan JAIS yang betul

Ini jelas sifat bermegah-megah dan sombong yang kedua-duanya mengancam sistem kedaulatan undang-undang kita dan melanggar semangat Islam.

Saya teringat ayat 17:37 Al Quran:”Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai tingginya gunung-ganang.”


Sunday 15 June 2014

Surat kepada anak perempuanku yang bukan Bumiputra

Rencana asal "Letter to my non-Bumi daughter" oleh Abdar Rahman Koya, bertarikh 14 Jun 2014 terbit di themalaysianinsider



Salma

Ayah masih ingat hari pertama kamu di taman didikan kanak-kanak. Kami berdiri di luar bilik darjah kamu, melihat hidung mancungmu yang terserlah di antara semua yang ada di situ. Ayah tahu bagaimana perasaan mempunyai hidung seperti itu berbanding yang tidak langsung seperti itu.

Kamu kemudian bertanya ayah, “Kenapa semua kawan saya matanya kecil-kecil?” Kami memberitahu, “Jangan cakap macam tu depan orang, terutama sekali mak cik yang kamu selalu jumpa di luar.” Tetapi kami tidak dapat menahan ketawa. Kamu mesti bingung ketika itu.

Kemudian pada satu hari ketika ayah mengambil kamu dari sekolah, cikgu kamu bertanya, “Boleh saya tahu, encik ni bangsa apa? Kami sedang menjalankan satu aktiviti kelas dan saya tidak pasti hendak bubuh bangsa apa untuk anak encik.”

Ayah beritahu “India”. Tetapi kamu tidak pernah bertanya tentang kejadian itu.

Ayah pulang ke rumah hari itu, terkenangkan hari ayah mendaftarkan kelahiran kamu di Jabatan Pendaftaran Negara. Pegawai bertugas bertanya tentang bangsa apa yang harus diletakkan untuk kamu. Orang tidak bertanya tentang itu di negara-negara lain. Jika ibu bapa seseorang itu berbangsa India, tentulah anaknya pun India.

Mungkin kerani itu menjangkakan ayah meminta kamu didaftarkan sebagai Melayu. Seperti yang dillakukan oleh ibu bapa sepupu-sepupu kamu. Seperti yang dilakukan oleh ramai kawan-kawan Islam bukan Melayu kita.

Setengah-setengahnya berkulit gelap, tetapi adalah Melayu. Sesetengah masih melawat keluarga mereka di India tetapi adalah Melayu. Ada juga seorang dua yang tidak mahu ke JPN mendaftarkan bayi mereka yang baru lahir.

Sebaliknya, rakan-rakan Melayu diwakilkan melakukannya untuk mereka, bimbang wajah bukan Melayu mereka akan mengurangkan peluang anak didaftarkan sebagai Melayu

Begitulah takutnya mereka tentang apa yang akan berlaku sebagai bukan Melayu. Saya tahu bahawa ada yang berulang kali menunaikan haji di Mekah, namun kembali tanpa petunjuk tentang tanda-tanda Allah. Tetapi Malcolm X hanya pergi sekali sahaja ke Mekah untuk mengubah keseluruhan perspektif beliau tentang bangsa dan kesaksamaan

Ayah juga seorang Melayu mengikut definisi Perkara 160. Ayah dilahirkan di Malaysia dan seorang Muslim -. Dan seorang Muslim Shafi'i pula - sama seperti orang Melayu lain.

Ayah lazimnya bercakap bahasa Melayu dengan loghat yang boleh menyebabkan orang Melayu yang makan petai dan fobia terhadap kari pun berasa malu. Dan ayah mengamalkan – katakanlah lebih kurang - adat resam Melayu.

Malahan ayah juga suka belacan dan semua lauk-pauk yang baunya semacam. Apa yang menonjol ialah ayah suka sangat makan kambing, dan tidak menonton filem Melayu (tetapi, difikir-fikirkan, begitu juga ramai kawan-kawan berkulit sawo matang ayah yang lain).

Salma, ayah tahu semua ini membingungkan kamu. “Jadi, apa masalahnya?” kamu mungkin bertanya. Tetapi kamu di Malaysia. Kamu perlu tahu karut-marut yang berhubung dengan bangsa. Mereka akan memberitahu, ini berkaitan dengan masa hadapan kamu.

Tahun hadapan kamu akan ke Sekolah Rendah. Ayah tidak mampu menghantar kamu ke sekolah swasta (kamu harus sedar, ayah bekerja di The Malaysian Insider). Di sekolah, akan ada tekanan supaya sama dengan yang lain.

Ayah telah mengalami semua itu. Dalam pemahaman ayah yang terhad ketika itu, ayah telah cuba menerangkan kepada rakan-rakan Melayu bahawa ayah bukan Melayu, namun ayah masih Islam.

Mereka keliru. "Bagaimana kamu boleh menjadi 'Islam' tetapi tidak 'Melayu'?" Mereka tidak dapat menerima penjelasan ayah. Akhirnya, ayah terima saja menjadi Melayu.

Tahun dahulu, apabila adik-adik kembar kamu dilahirkan, ayah terpaksa membuat perjalanan itu lagi. Pegawai itu memberitahu ayah, "Jadi saya letak Melayu ya, sebab emak diorang Melayu kan."

Itulah jenis tindak balas yang hanya boleh diimpikan oleh ramai ibu bapa bukan Melayu Islam. Oh, betapa berusahanya mereka, untuk mendapatkan pengiktirafan itu pada sijil kelahiran anak-anak mereka!

Dan siapa yang boleh menyalahkan mereka? Lagipun, ia datang dengan banyak faedah. Hak istimewa, saham yang telah diperuntukkan secara khusus, pendidikan universiti, biasiswa.

Di JPN, ayah teringat bahawa bangsa kamu telah didaftarkan sebagai India. Jadi bagi adik-adik kamu, ayah meminta mereka melakukan yang serupa. Bagaimana boleh ayah tidak melakukannya? Adakah ayah mahu mereka membesar sebagai Melayu dan kamu sebagai India? Bagaimana ayah akan menjelaskan kepada kamu semua kekeliruan ini?

Ayah tak kisah kamu membesar sebagai apa, tetapi kamu berada di Malaysia, tanah pelbagai kaum. Di sinilah di mana keadilan Tuhan diuji, dan di mana hujah seorang ateis mungkin bermakna: sekiranya Tuhan wujud, bagaimana Dia boleh menjadi begitu kejam membuat saya dilahirkan seorang bukan Melayu tanpa keistimewaan?

Ayah tidak mahu menjadi sebahagian daripada sistem hodoh ini. Ayah menentang layanan istimewa kerana bangsa atau agama seseorang, itulah sebabnya ayah tidak ragu-ragu membenci Zionisme, tidak kisahlah semua hujah-hujah oleh bangsa lain yang mengatakan ia bukan perkauman atau apartheid.

Ayah meyakini al-Quran, yang menyatakan bahawa manusia adalah hanya satu negara (2:213), tetapi yang dicipta Allah dalam pelbagai warna, yang bertutur pelbagai bahasa untuk menunjukkan tanda-tanda kekuasaanNya (30:22) dan yang Allah menciptakan berbagai bangsa dan suku-suku supaya kita mengenali di antara satu sama lain (49:13).

Oleh itu adakah betul untuk ayah, sebagai seorang Muslim, meraih manfaat daripada sistem yang tidak bertuhan ini? Bagaimana ayah boleh membenarkan kamu mendapat biasiswa apabila ayah tahu ia menyebabkan bebanan kepada pelajar bukan Islam miskin yang lulus cemerlang dengan ibu bapa kelas pertengahan yang terpaksa membiayai semula rumah mereka bagi membolehkan anak dihantar ke kolej-kolej swasta atau ke luar negara?

Bagaimana pula mereka yang bukan kelas menengah? Sentiasa menyanyikan Negaraku dan mengibarkan Jalur Gemilang tetapi kehidupan mereka tidak tentu arah.

Beberapa saudara-mara kita tidak percaya apabila mereka mendapat tahu bahawa ayah mendaftarkan kamu sebagai India. "Dia akan menghadapi banyak kesukaran satu hari nanti." Ayah tidak peduli. Tetapi ayah faham perasaan mereka.

Hanya bulan lepas, salah seorang sepupu kamu yang berjaya mendapat semua A dalam SPM telah tidak diterima masuk ke sebuah universiti awam. Semuanya kerana 18 tahun lalu, ibu bapanya gagal mendaftarkan dia sebagai Melayu.

Sesetengah orang mengulangi cerita ini kepada ayah dengan nada menghina, seolah-olah untuk mengingatkan tentang kebodohan ayah, ayah memusnahkan masa depan kamu dengan tidak mahu berbohong bahawa kamu adalah Melayu.

Malah rakan-rakan bukan Islam ayahpun terkejut. Walaupun penuh kebencian kerana tidak dilayan dengan adil, ayah mengesyaki mereka juga jika diberikan separuh peluang, akan bersemangat untuk meraih hak keistimewaan.

Salma, ayah tidak menyesal dengan apa yang telah dilakukan. Ayah berharap suatu hari nanti kamu akan berterima kasih bahawa bapa kamu tidak memulakan hidup kamu dengan satu pembohongan.

Ayah berharap suatu hari nanti kamu akan berjaya, atau kurang berjaya (terpulang bagaimanapun kamu menentukannya), kerana kerja keras sendiri, dan bukan kerana sistem yang tidak adil mengiktiraf status kaum kamu sebagai yang terunggul. Tuhan bersama kamu. Beliau melihat kebenaran, tetapi menunggu.

Ayah mungkin mementingkan diri sedikit berbuat begini. Tetapi ini yang ayah akui: Ayah tidak mahu satu hari nanti berdiri di hadapan Allah yang akan mempersoalkan mengapa ayah, walaupun Islam, telah bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada sistem yang tidak adil ini.

Ayah boleh lebih praktikal dan pragmatik dan tidak membenarkan kamu mengalami kehidupan yang tidak menentu. "Jadi apa masalahnya? Bubuh je dia sebagai Melayu. Kamu tidak rugi apa-apa malah semakin untung."

Terima kasih banyak-banyak sajalah. Kamu boleh ambil semua keistimewaan dan kuota.

Jadi Salma, bukan niat ayah menyukarkan hidup kamu. Ayah yakin kamu akan bekerja keras satu masa kelak untuk menjadi manusia yang baik.

Malah, ayah pasti kamu akan bekerja lebih keras, dan kejayaan kamu bukan kerana sesiapa tetapi hasil keimanan kepada Allah.

Sementara itu, ayah berharap kamu boleh belajar satu dua perkara daripada rakan-rakan kamu yang bermata kecil. Tetapi jangan tinggalkan kari daging kambing. Itu adalah warisan kamu yang tidak boleh dipisahkan.