Rencana "'Impaired
vision doesn’t slow dragon boat crew" oleh Geoffrey Vendeville
bertarikh 27 Julai 2014 terbit di
montrealgazette
Montreal – Pendayung
perahu Caravela yang masih mentah melepasi masa peribadi terbaik
mereka dalam setiap perlumbaan di Cabaran Perahu Naga 2014 di
Lembangan Olimpik pada hujung minggu yang lalu, tetapi mereka
mencipta rekod yang lebih penting dengan kehadiran pada hari itu.
Hampir separuh daripada
pendayung adalah mereka yang buta atau separa buta, pasukan pertama
seumpamanya di Quebec.
Selebihnya pasukan 22
anggota itu terdiri daripada kakitangan dari Pusat Pemulihan
MAB-Mackay, penaja pendayung-pendayung tadi, yang mengkhusus membantu
mereka yang mempunyai masalah visual, pendengaran atau gangguan lain.
Seramai 158,000 orang di Quebec buta atau kurang upaya penglihatan,
menurut National Institute for the Blind Canada.
Sebagai "pembuka
jalan," peranan Daniel Morris di perahu itu adalah membantu
menetapkan rentak untuk pendayung.
"Ia adalah satu
sukan yang hebat, lebih seperti sukan hidup," katanya, sejurus
selepas pasukan itu menduduki tempat keenam daripada 13 dalam
perlumbaan dua kilometer, yang terakhir bagi mereka pada hujung
minggu itu. "Ia sukar dari segi mental serta fizikal dan anda
perlu bekerjasama dalam satu pasukan. Ada pelbagai kemahiran yang
terlibat, dan orang-orang yang cacat penglihatan mempunyai kemahiran
tersebut. "
Morris dan pendayung
perahu Caravela yang lain mempunyai Retinitis pigmentosa, penyakit
mata degeneratif genetik. Beliau membandingkan apa yang dihadapinya
seolah-olah seperti melihat skrin TV lama. "Anda boleh mengagak
apa yang terpapar di skrin, mungkin orang," katanya, "tetapi
ia kabur. Anda tidak nampak butir-butirnya dengan jelas." Beliau
juga menghadapi kesulitan melihat dalam gelap atau ketika sinaran
matahari terlampau terang.
Untuk melindungi
matanya, dia memakai cermin mata hitam dengan kanta yang menapis
cahaya dari spektrum biru, sama seperti cahaya UV, dan topi besbol
untuk mengurangkan silau.
Morris memang sentiasa
berminat dengan olahraga, tetapi apabila penglihatannya semakin teruk
dia terpaksa melupakan banyak sukan kegemarannya, seperti ragbi,
berlari halangan dan berbasikal gunung. Pada dia dan lain-lain yang
menjadi pendayung perahu, perlumbaan perahu naga adalah peluang
keemasan untuk menyertai sukan berpasukan semula.
Morris dan seorang
pembuka jalan yang lain duduk di belakang pemain drum perahu, yang
memukul rentak untuk pendayung lain. Di perahu Caravela, kedudukan
itu dipangku oleh kapten pasukan, Annie Gouveia, pakar pemulihan
penglihatan di MAB-Mackay dan pendayung perahu naga dengan tujuh
tahun pengalaman. Beliau memulakan perlumbaan perahu naga di CEGEP,
dan kemudian mewakili Kanada di peringkat umur bawah 23 tahun.
Bagi beliau,
menganjurkan satu pasukan yang cacat penglihatan adalah "gabungan
sempurna" dua kegemaran beliau.
"Adalah amat
penting mereka melibatkan diri dalam aktiviti fizikal, kerana ia
benar-benar memberi manfaat dari segi sosial," jelas beliau.
"Ini menunjukkan bahawa mereka mampu bersukan walaupun mempunyai
kekurangan dari segi fiziklai, memberi peluang berhubungan dengan
orang lain dan membina keyakinan."
Dua bulan yang lalu,
kebanyakan pendayung Caravela ini tidak pernah menjejakkan kaki di
dalam sebuah perahu naga. Oleh kerana ramai daripada mereka
menghadapi kesulitan melihat, Gouveia dan jurulatih pasukan itu,
Brian Lee, terpaksa mencari cara lain mengajar perkara-perkara asas.
Sebagai contoh, dia akan meminta seorang pendayung yang cacat
penglihatan merasa lengan atau bahunya ketika dia mengayuh. Gouveia
dan Lee, seorang pendayung yang mahir, juga akan memberi banyak
isyarat bunyi untuk mengajar mereka mendayung serentak sebagai satu
pasukan.
Selepas perlumbaan
akhir mereka, ahli-ahli Caravela bertanyakan Gouveia jika sesi
latihan musim ini boleh dilanjutkan.. Mereka mungkin tidak berlumba
lagi tahun ini, tetapi merancang untuk turut serta sekali lagi pada
musim depan - dan memecahkan lebih banyak rekod.
No comments:
Post a Comment