Tuesday, 5 August 2014

Kecantikan di mata mereka yang melihat

Rencana "'Beauty in the Eye of the Beholder" oleh Laura Wolk bertarikh 25 Julai 2014 terbit di verilymag





Dalam beberapa minggu dan bulan yang lepas ini serentetan video muzik dan iklan telah tersebar luas mempromosikan idea kecantikan "semula jadi" atau "sebenar". Video-video oleh John Legend dan Colbie Caillat, misalnya, mencabar standard kecantikan dengan menampilkan wanita yang tidak menepati acuan seorang supermodel bersama-sama mesej memperkasakan kecantikan dalam.

Mungkin kelihatan agak mengejutkan bagi seseorang seperti saya yang sama sekali tidak dapat melihat untuk memberikan komen tentang kecantikan dalam pengiklanan. Pada tanggapan ramai orang yang boleh melihat, konsep hidup dalam dunia tanpa penglihatan namun yang masih dipenuhi kecantikan seolah-olah satu ilusi, jika tidakpun sesuatu yang sama sekali mustahil. Kenalan-kenalan sering mengatakan bahawa saya bernasib baik kerana tidak terjejas oleh imej terkini yang dianggap boleh diterima apabila memperkatakan tentang bentuk badan seorang wanita, dan komen saya bahawa sesuatu itu adalah "cantik" sering menemui cubaan yang membingungkan dalam usaha memahami apalah erti perkataan itu kepada orang yang buta.

Tetapi hakikatnya, dalam banyak aspek, pengalaman saya dengan kecantikan tidak berbeza daripada mana-mana wanita muda biasa. Seperti mana-mana teman wanita saya yang telah menjadi mangsa kepada sesi foto rambut pada pukul 5:30 pagi atau percubaan yang tidak berjaya merakam video diri sendiri dari belakang boleh membuktikan, saya, seperti ramai yang lain, sudah lama ingin merasa dan dilihat cantik. Dan, seperti terlalu ramai wanita lain, saya juga telah mengalami sisi buruk daripada budaya yang mengutamakan kesempurnaan lebih daripada realiti. Saya menjadi buta akibat satu bentuk kanser retina yang menyebabkan mata saya terlalu kecil, terlalu jauh ke belakang, dan terlalu berkilau untuk dianggap sebagai wajah yang "cantik" oleh standard pengiklanan massa.

Saya tidak akan melupakan hari apabila seorang profesional yang berniat baik memberitahu ketika saya berumur enam belas tahun bahawa saya mungkin patut mempertimbangkan menyembunyikan mata saya di sebalik cermin mata hitam kerana ia akan membuat saya lebih mudah mendapat pasangan, atau semasa seorang wanita mabuk di satu majlis memberitahu saya bahawa adalah tidak adil bahawa badan seperti saya telah dibazirkan ke atas seseorang yang tidak akan pernah boleh menggunakan atau menghargainya-bahawa jika wujudlah Tuhan, Dia akan menukarkan muka kami. Seperti ramai wanita yang akan berasa empati setelah berhadapan dengan isu kecantikan, tidaklah menghairankan bahawa dalam saat paling lemah, di mana keyakinan diri yang paling diperlukan tetapi hadir hanya sekejap, pengalaman ini, dan bukan pelbagai contoh-contoh balas daripada rakan-rakan dan keluarga, mengancam dialog dalaman saya.

Saya merenung kecantikan daripada sudut ini dan, khususnya, bagaimana pengiklanan boleh menunjukkan kecantikan sebenar orang lain dengan badan yang berbeza bentuk.

Saya perhatikan usaha artis-artis seperti Legend dan Caillat serta kempen pengiklanan seperti Dove's Real Beauty terpuji, dan saya tidak ragu-ragu bahawa bintang-bintang yang terlibat-Caillat khususnya-mempunyai niat yang terbaik untuk projek-projek ini. Pada saya, bagaimanapun, pendekatan semua-atau-tiada-apa-apa langsung ini, di mana sama ada status quo glamor masih utuh atau video menampilkan secara eksklusif wanita "yang secara semula jadi cantik", melahirkan risiko yang hanya menyerlahkan satu lagi bentuk pecah belah di bidang yang sudah memang berpuak-puak.

Ia secara tersirat mengadu domba wanita "semula jadi" dengan mereka yang benar-benar menikmati ekspresi diri melalui solekan, pakaian, kasut, dan aksesori. Ia terlepas pandang hakikat bahawa wanita yang mungkin kelihatan menarik, cantik dari segi konvensional, walaupun dalam keadaan "semula jadi" mereka, mungkin bergelut dengan rasa tidak yakin yang sama mendalam sebagaimana seorang wanita biasa. Dan ia gagal menangani hakikat bahawa memandang rendah seseorang kerana bentuk badannya dialami oleh wanita yang memang kurus mahupun yang lain. Jika ada satu perkara yang tidak dingini oleh mereka yang terjejas oleh industri fesyen, ialah kewujudan satu lagi klasifikasi "dalam kumpulan berbanding luar kumpulan" bagi menentukan siapa yang mempunyai tuntutan yang sahih terhadap gelaran "cantik."

Tetapi, lebih daripada itu, saya tertanya-tanya sama ada mesej ini mengalami masalah mengulangi apa - kita semua cantik - tanpa mengambil kira mengapa. Kenapa, mengambil kata-kata Caillat, kita tidak perlu mencuba? Tanpa jawapan yang lebih mendalam ini, mesej-mesej tadi menjadi kenyataan cetek semata-mata, kemungkinan besar akan terus tewas kepada imej negatif yang jauh lebih kuat dan meluas yang bukan sahaja memberitahu apa kekurangan kita, tetapi mengapa kita harus berasa tidak berpuas hati sehingga kita memilikinya.

Asal bermulanya soalan mengapa, walaupun ia hanya suatu pemerhatian saya terletak pada yang berikut: saya telah nyatakan sebelum ini bahawa saya mengalami keindahan dalam banyak cara sama seperti orang yang boleh melihat. Walau bagaimanapun, satu perbezaan dasar telah memberi kesan besar terhadap idea-idea saya tentang kecantikan, dan ini adalah apa yang ingin saya kongsi bersama. Kerana, apabila anda renungkan, jika kecantikan adalah di mata yang melihat, maka saya mempunyai keistimewaan yang berbeza dan menarik kerana hamparan hidup saya dilukis oleh beratus-ratus orang yang membantu saya melihatnya, semuanya cuba menerangkan kepada saya dengan perkataan pemandangan yang paling menarik kepada mereka.

Mereka yang melihat adalah daripada semua lapisan masyarakat, dengan pelbagai idea tentang apa itu kecantikan. Tetapi dalam setiap kes, mereka yang melihat nampaknya terperangkap oleh keinginan serentak untuk menerangkan dan kesedaran bahawa apa yang dia terangkan kepada saya tidak akan memadai. Ayat-ayat dibiarkan tergantung, yang akan diganggu dan terganggu sekali lagi. Kata sifat yang dipilih, direnung kembali, dan dibuang digantikan dengan ayat-ayat yang sama-sama memualkan. Kadang-kadang kata-kata terhenti sama sekali dan yang melihat tidak boleh berbuat apa-apa selain daripada memekik, menggenggam tangan saya dengan kuat, tanpa disedari menjentik jari, atau menyerah kalah terus, diam sahaja. Pengalaman ini telah mengajar saya bahawa asas melihat sesuatu objek yang cantik adalah satu pengiktirafan keseluruhan keunikannya - bagi yang melihat, ia tidak boleh ditukar ganti, tidak berulang lagi, tidak boleh dikurangkan, dan tidak terkongkong dalam kotak konsep linguistik yang terbatas.

Maka amat berbeza sama sekali dengan cara mereka yang membantu saya melihat melakarkan potret diri sendiri. Tanpa bergelut dengan lakaran yang tepat, mereka sering bergerak dari kepala ke kaki, dengan bersahaja menyusun kata-kata sifat seperti membosankan, kempis, besar, pendek dan gemuk, berserabut, satu di atas yang lain seolah-olah melibatkan diri dalam masalah campur tolak gergasi di mana jumlah semua ciri-ciri yang biasa atau negatif adalah bersamaan dengan segala sesuatu yang menonjolkan mereka sebagai seorang manusia. Tanpa bergelut dengan perkataan yang tepat, mereka menggunakan kata sifat dan kata nama yang boleh digunakan untuk menggambarkan apa sahaja daripada sebuah gudang sehinggalah ke ladang rumput. Benar, kebiasaan akan membawa rasa jelek, tetapi mesti ada sesuatu yang lebih tentang cerita ini.

Apakah mungkin kita, sebagai satu budaya, telah kehilangan pemandangan yang cuba dilakarkan oleh mereka yang membantu saya melihat, kita semua tidak boleh ditukar ganti, tidak boleh diulang lagi, tidak boleh dikurangkan, dan tidak terkongkong dalam konsep linguistik yang terbatas? Bahawa walaupun dengan usaha yang terbaik, sebahagian daripada kita akan sentiasa tidak mengikut definisi, kekal selama-lamanya di luar pemahaman walaupun rakan yang paling intim atau kekasih? Apakah mungkin kita terlupa bahawa intipati kita sebagai individu tidak boleh dihadkan hanya kepada badan kita (mudah digambarkan dengan beberapa kata sifat) tetapi juga merangkumi minda, pengalaman, perjuangan, dan kegembiraan kita-setiap satu dibentuk oleh pengalaman hidup yang unik kasih sayang dan kekecewaan yang tidak pernah terjadi dan yang tidak akan wujud lagi? Pendek kata, pada saya seolah-olahnya perkara paling semula jadi tentang setiap daripada kita, dan apa yang membuatkan setiap daripada kita begitu cantik, adalah hakikat mudah yang kita semua hidup penuh keindahan, tragedi dan misteri.

Jadi bagaimana kita mengambil kira semua ini? Bagaimana kita menggabungkan idea ini ke dalam bidang pengiklanan? Pertama sekali, tentulah kita boleh belajar untuk mengakui dan menerima andaian, bahawa oleh kerana pengalaman hidup kita berlaku bukan sahaja terhadap minda kita tetapi juga kepada badan kita, adalah amat "semula jadi" badan kita akan mengingati sekurang-kurangnya beberapa butir-butir naratif kehidupan unik yang tidak dapat berulang lagi. Kita boleh belajar menerima andaian bahawa wanita yang secara semula jadi cantik berhak dipanggil cantik dengan pendekatan yang sama seperti Grand Canyon; yang wujud megah dan menakjubkan kerana dan bukan berkurang keindahannya, dengan batu-batu yang berbongkol, belukar kering, dan tebing curam yang membahayakan. Kita boleh menerima andaian bahawa wanita yang secara semula jadi cantik tepat dipanggil cantik dengan pendekatan yang sama seperti puncak Gunung Fuji, dengan sumber kemegahan dan penderitaan yang satu dan sama. Sama ada kesan lebam bayi selepas lahir, beg kolostomi, pam insulin, parut kanser payudara, atau manifestasi luaran cubaan bunuh diri, badan kita mencerminkan perjuangan untuk menjadi dan mencari dan hidup dan memahami kehidupan kita, mengubah kesakitan menjadi kegembiraan dan kegembiraan menjadi identiti diri yang kekal.

Kita boleh mengajar diri menjadi orang yang melihat kecantikan, dalam diri kita dan di antara satu sama lain, dengan belajar melihat satu sama lain sebagai orang yang kukuh, lengkap, dan unik. Kecantikan tidak berpunca semata-mata daripada sama ada nilai badan atau minda kita, tetapi dari fakta misteri dan unik manusia bahawa kita memiliki kedua-duanya, setiap satu dipengaruhi dan diubah suai oleh yang lain.

Dan kemudian kita boleh meminta pengiklan melakukan yang sama. Mungkin ini kedengaran idealistik, tetapi hal yang lebih aneh pernah berlaku. Wang punya kuasa, dan pengiklan telah mendekati, walaupun perlahan-lahan, pasaran-pasaran yang terpinggir kerana terbukti telah berkembang popular. Jika pengguna boleh memberi tekanan supaya membuang fruktosa tinggi sirap jagung dan sulfat syampu, sesungguhnya kita juga boleh menekankan hasrat untuk hidup dengan gaya hidup yang bebas daripada tumpuan kepada badan sahaja. Saya fikir bahawa kekuatan kita yang ramai bilangannya memang boleh digunakan untuk menyampaikan mesej bahawa kita mahu iklan yang bertindak sebagai peringatan bahawa, seperti yang dinyatakan oleh satu video yang tersebar meluas baru-baru ini, "Kecantikan adalah lebih daripada apa yang kita lihat dengan mata. Kita lebih daripada itu. "

Iklan Nordstrom dan Dove Campaign for Real Beauty yang memaparkan orang kurang upaya merupakan satu langkah ke arah yang betul yang perlu disokong dan diharapkan akan diperluaskan. Walaupun saya tidak begitu bersetuju dengan penggunaan perkataan "sebenar" oleh Dove untuk menggambarkan pendekatannya, saya masih percaya strategi ini, secara tidak langsung, berusaha untuk mewujudkan satu konsep yang lebih holistik tentang kecantikan yang meliputi kehidupan, bukan hanya badan seseorang - semua bentuk rupa wanita dan untuk semua rupa paras wanita. Saya berharap gerakan-gerakan ini akan membantu menyediakan momentum bagi cita-cita baru dan memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk menambah suara mereka terhadap panggilan untuk perubahan.


Laura Wolk adalah pelajar undang-undang tahun kedua di University of Notre Dame.

No comments:

Post a Comment