Sunday, 3 August 2014

Buta tidak menghalang kejayaan adik beradik

Rencana "'Brothers not held back by blindness" oleh Karen Morrison bertarikh 25 Julai 2014 terbit di producer



Keusahawanan luar bandar – kembar dua beradik mengendalikan perniagaan komputer dan memasak dari rumah di Swan River, Manitoba, Kanada

Menghadapi virus komputer dan selera makan yang menggoda adalah kejayaan yang bukan kecil maknanya bagi kembar dua beradik dari Sungai Swan.

Usahawan-usahawan berusia 29 tahun ini kedua-duanya sah buta di sisi undang-undang.

Christopher Yelinek membaiki, menjual dan memasang sistem di Cat 'N' Mouse Computers, manakala Devon menyediakan pelbagai jenis biskut hasil pesanan pelanggan di Devon's Cookies.

Mereka membesar di sebuah ladang gandum berdekatan Minitonas, tetapi meneruskan usaha keluarga bukanlah satu pilihan untuk pasangan kembar ini, yang telah berkongsi sebuah rumah di bandar selama lebih daripada sedekad.

Christopher memegang telefon bimbit rapat ke muka beliau, sambil menunjukkan bagaimana dia mengatasi cabaran penglihatan dengan menggunakan monitor komputer yang lebih besar, pembesar dan pembaca skrin.

"Saya sudah tahu apa yang perlu dilakukan dalam banyak perkara dan tidak memerlukan skrin," kata Christopher, yang belajar tentang sains komputer melalui program atas talian Athabasca University.

Beliau berhenti belajar di pertengahan tempoh pengajian selepas sukar mendapatkan bahan-bahan yang boleh diakses.

Christopher mempunyai visi separa pada sebelah mata, manakala adiknya adalah buta dan autistik.

Devon mengadun dan menyukat bahan-bahan dalam membuat biskut, muffin dan kek beliau, dengan menggunakan puluhan buku masakan dan resepi keluarga.

"Saya suka memasak sejak masih kanak-kanak," katanya.

Ibunya, Evelyn, berkata biskut yang merangkumi pinwheel sehinggalah mentega kacang telah menerima anugerah di pameran tempatan.

"Seseorang hanya perlu makan biskut beliau sekali dan mereka akan ingat selama-lamanya," katanya.

Devon berkata ibunya membantunya menubuhkan perniagaan di rumah, mendapatkan bekalan dari penjual yang lebih besar untuk mengurangkan kos. Pekerja sokongan beliau membantu membuat biskut.

Devon, yang sukar duduk diam lama-lama, pernah membuat seramik, tetapi sekarang membuat biskut sahaja.

"Dengan autisme, adalah lebih mudah untuk memberi tumpuan kepada satu-satu perkara," kata Evelyn.

Orang kurang upaya bukan sahaja menghadapi banyak cabaran mereka sendiri tetapi juga yang ditimbulkan oleh orang lain.

"Anda dinilai sebelum kebolehan terbukti," kata Christopher.

"Saya seorang mekanik. Tetatpi saya jenis yang berbeza," katanya tentang kerja yang dilakukannya, yang pada masa lalu termasuklah menghasilkan permainan untuk orang buta.

"Saya sentiasa suka membantu orang," katanya.

Beliau bekerja melalui telefon, atas talian dan secara peribadi apabila dia menyelesaikan masalah kegagalan perkakasan dan serangan virus. Beliau mengemaskini pelbagai peralatan khusus dan menjual peralatan menurut permintaan pelanggan.

"Tidak berbaloi jika ada timbunan komputer di atas rak. Kami memesan apa yang diperlukan bukan menjual secara pukal," katanya.

"Oleh kerana kami tinggal di luar bandar, perlulah melakukan sedikit sebanyak segala-galanya."

Christopher juga meluangkan masa untuk hobi terbaru beliau iaitu radio amatur.

Beliau terkenangkan waktu dia diminta membantu seorang pelajar memulihkan komputer riba yang rosak teruk dengan tesis kolej yang terperangkap di dalamnya.

"Anak-anak muda sekarang sering tidak membuat salinan kerja mereka," katanya.

Apabila memulakan sesuatu projek, Christopher bertanya dahulu tentang keperluan pelanggan dan kemudian cuba memberikan perisian yang sesuai.

"Kami memberi apa yang anda perlukan sahaja," katanya. "Kebanyakan orang tidak perlu perisian tambahan, kerana semua itu hanya melambatkan proses sistem komputer."

Devon dan Christopher berkata ramai tidak sanggup membayar kos pembaikan dan berasa lebih mudah menggantikan sahaja komputer mereka.

"Seperti sebuah kereta, lebih baik anda beli yang baru," kata Devon.

Christopher menjalankan perniagaan dari rumah dan juga dari pejabat kecil di Be Seeing You Vision Centre Main Street, di mana pelbagai peranti tetikus, monitor dan lain-lain peralatan komputer memenuhi ruang kerja dan rak.

Optometrist Dr Michele Marshall memberi ruang sewa percuma, dan dia memperbaiki komputer-komputer di pejabat dan rumahnya.

"Jika komputer tidak berfungsi, dia ada membantu," kata Dr Michele.

"Saya tidak tahu siapa lagi akan kami panggil di sekitar sini. Dia akan membantu lebih daripada apa yang diperlukan semasa memperbaiki sesuatu. "

Evelyn berkata kekuatan Christopher itu terletak pada keupayaannya memberitahu dengan jelas bagaimana hendak menyelesaikan masalah komputer kepada pelanggan dan bukan hanya menunjukkannya kepada mereka.

"Dia memberi arahan yang sempurna," tambah Evelyn.

Falsafah keibubapaan beliau termasuklah menerapkan etika kerja, mengingat kembali tentang bagaimana kembar dua beradik itu pernah membersihkan salji dan mengangkut kayu.

"Saya percaya anak-anak mempunyai tanggungjawab dalam keluarga," kata Evelyn, dengan anak ketiga, Paul, 19, bekerja sebagai pemandu truk di Winnipeg.

"Jika mereka mahu benda-benda lain, mereka bekerja ke arah itu."

Evelyn bekerja di ladang dan juga menjalankan perniagaan buku skrap di rumah dipanggil Scraps of Love sementara suaminya, Larry, bekerja sepenuh masa dengan kerajaan Manitoba.

Pelekat, pewarna dan folder cetak timbul kepunyaan Evelyn mengisi sebuah bilik di rumah kembar dua beradik itu dari lantai ke siling.

"Saya di sini bukan untuk menyapu kaviar di atas roti, jem OKlah," katanya tentang matlamat perniagaannya yang sederhana.

Larry berkata kehidupan di bandar adalah kurang terpencil berbanding di ladang, dan akses kepada perkhidmatan dan pekerjaan adalah lebih baik.

"Ia memberikan mereka lebih banyak peluang bersama dengan orang ramai. Hidup ini lebih bermakna di Swan River," katanya.

"Adalah sihat bagi seseorang berupaya melakukan sesuatu."

Ketiga-tiga perniagaan dari rumah menggunakan laman web untuk memasarkan perkhidmatan mereka dan adalah ahli Swan River Chamber of Commerce.

Heather Nielsen, presiden pertubuhan, berkata perniagaan di bandar ini menyediakan pelbagai barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan tempatan.

Beliau berkata kelebihan keahlian pertubuhan adalah bertambahnya pendedahan melalui direktori telefon, laman web, promosi placemat dan akses ke pameran perdagangan dan mesyuarat-mesyuarat pertubuhan.

"Ia berkisar pada keadaan tempatan dan berasaskan pertemuan muka ke muka," katanya

No comments:

Post a Comment