Tuesday, 5 August 2014

Pelari buta merancang berlari 50 batu dalam 12 jam

Rencana "'Legally blind runner to tackle 50 miles in 12 hours" oleh Matthew Chase bertarikh 25 Julai 2014 terbit di wakefield



Wakefield, Massachusetts

Kebanyakan pelari berlatih menamatkan larian maraton sejauh 26.2 batu, tetapi Kyle Robidoux masih mempunyai janji-janji untuk ditepati dan berbatu-batu lagi yang hendak ditamatkan sebelum dia tidur.

Robidoux, dari Roxbury, akan mengambil bahagian dalam Ultra Around the Lake di Lake Quannapowitt Wakefield pada hari Sabtu 26 Julai, dan dia merancang berlari sekurang-kurangnya 50 kilometer dalam 12 jam.

Malah atlet bertaraf dunia akan menghadapi masalah dengan jarak dan masa sedemilkian, tetapi keadaan Robidoux ini agak berbeza. Robidoux disahkan buta di sisi undang-undang, setelah mewarisi penyakit yang dikenali sebagai Retinitis Pigmentosa, penyakit keturunan di mana pigmen retina menghakis retina itu sendiri. Robidoux didiagnosis ketika berumur 11 tahun, dan pada masa dia berusia 18 tahun, beliau telah diisahkan buta.

"Saya mempunyai kira-kira 5 hingga 7 peratus daripada apa yang dianggap sebagai penglihatan tradisional," kata Robidoux, "Saya tidak mempunyai penglihatan malam dan penglihatan periferal sangat terhad. Penglihatan saya boleh diibaratkan sebagai bulatan yang sama saiznya dengan bahagian dalam satu gelung kertas tandas. "

Lama kelamaan, Robidoux belajar menyesuaikan diri dengan kebolehan yang masih ada. Robidoux telah terlibat dalam beberapa pertubuhan masyarakat untuk kanak-kanak cacat penglihatan dan baru-baru ini dilantik sebagai ahli Suruhanjaya bagi Orang Kurang Upaya Bandar Boston oleh Datuk Bandar Marty Walsh.

"Saya menghabiskan waktu remaja dengan tidak menghiraukan perkara itu dan sering rasa marah mengenainya," kata Robidoux. "Tetapi sesi terapi bertahun-tahun dan kematangan membantu saya menerima hakikat."

Selepas mengatasi perasaan benci yang menular dalam diri dan menerima keadaannya, Robidoux menukarkannya menjadi suatu kekuatan. Beliau telah menyertai empat maraton sebelum tahun lepas, tetapi Maraton Boston sentiasa menimbulkan isu.

"Semua orang bertanya bila saya akan menyertai Maraton Boston. Hakikatnya, saya tidak tahu jika saya boleh berlatih di musim sejuk, "kata Robidoux.

Kesukaran berlari dengan kekurangan penglihatan beliau bertambah rumit di musim sejuk apabila faktor salji diambilkira.

"Tetapi, saya lihat semakin ramai atlet cacat penglihatan menyertai Maraton Boston, jadi saya tidak boleh menggunakannya sebagai alasan lagi," katanya.

Selepas berlatih di antara waktu bekerja, Robidoux menamatkan Maraton Boston 2014. Cabaran seterusnya bagi Robidoux iallah larian Ultra-Maraton mengelilingi Tasik Quannapowitt.

"Saya mahu melihat sejauh mana saya boleh menolak diri saya, jadi saya akan cuba menamatkan seluruh 12 jam larian," kata Robidoux. "Saya merancang berlari sekurang-kurangnya 50 batu, dan dengan masa latihan yang telah dilakukan, saya mungkin boleh berlari kira-kira 57 batu dalam tempoh 12 jam."

Latihan Robidoux memang intensif. Ultra-maraton, memerlukan sejenis latihan yang dipanggil 'latihan sandwic'.

"Matlamatnya adalah melakukan dua larian yang mengambil masa lama dua hari berturut-turut," kata Robidoux. "Untuk beberapa minggu yang lalu, saya telah melakukan larian tiga jam pada hari Sabtu dan larian empat jam pada hari Ahad."

Motivasi adalah kebimbangan utama yang dikaitkan dengan larian selama itu. "Saya akan mempunyai satu siri pemandu yang berlari bersama-sama dengan saya sepanjang jangka masa larian," kata Robidoux, "Tugas mereka adalah membantu saya mengemudi perjalanan dan memberikan sokongan. Laluan larian yang merupakan satu bulatan adalah elok kerana saya akan dapat melihat muka-muka biasa yang memberi motivasi kepada saya setiap tiga hingga empat batu."

"Saya telah belajar menerima dan menyesuaikan diri dengan keadaan saya sebanyak mungkin," kata Robidoux. "Saya diberitahu bahawa saya merupakan pelari cacat penglihatan pertama menyertai Maraton Ultra."

No comments:

Post a Comment