Tuesday, 19 August 2014

Skvarla menangani kehidupan dengan cita-cita jitu

Rencana "Skvarla tackles life with blind ambition" oleh Jeff Miller bertarikh 2 Ogos 2014 terbit di ocvarsity




Anaheim Hills, California - Ketika pesawat itu memecut untuk berlepas, bergerak semakin cepat, tiba-tiba dia tersentak.

Di benak nalurinya.

"Apa," kata Jim Skvarla kepada dirinya sendiri, "saya buat di sini?"

Soalan yang baik. Soalan jujur.

Lihat, Cessna 172 ini sedang dipandu oleh seorang anak muda, anak Jim. Pasti, Andrew juga pernah memandu helikopter dan mencuba menggunakan glider.

Tetapi dia masih hanya seorang remaja dan ibu Andrew, Bridget, telah diberi pilihan untuk datang bersama-sama dan dia membuat keputusan lebih selamat tidak ikut sama.

Ya, di dalam pesawat itu pada hari berkenaan juga ada seorang juruterbang yang lebih berpengalaman dengan akses kepada semua kawalan. Tetapi Andrew yang sudah tentu akan memandu pesawat itu.

"Saya perlu akui, semasa bergerak di atas landasan itu, saya gementar," Jim mengingat kembali. "Ia akhirnya menjadi agak mengujakan."

Ia agak mengujakan bagi Andrew juga, terbang dan mendarat seperti seorang yang pakar sehingga hampir seperti, seolah-olah kalau anda hendak tahu, dia tidak buta.

"Saya tidak ragu-ragu tentang Andrew," kata Carol Anne McGuire, seorang bekas guru salah seorang daripada atlet yang paling memukau pada masa ini, "kerana saya pernah melihat beliau melakukan perkara yang mustahil."

Seperti menunggang basikal di sekitar kejiranan, walaupun menuruni bukit berhampiran rumah keluarga, membelok ke kiri pada masa yang tepat untuk ke simpang jalan.

Seperti berdiri di belakang rumah dan membaling batu ke arah kabel elektrik yang terletak di atas, mengenai sasaran dengan ketepatan yang lebih baik daripada pemain besbol pasukan Angels..

Seperti permainan besbol di Nintendo Wii beliau, terus berlatih perlawanan demi perlawanan, berjaya membuat banyak larian penuh, selain larian yang hanya berada di benak fikiran dan yang terlalu mustahil untuk dipercayai.

"Memang menarik," kata McGuire. "Maksud saya, ia adalah permainan yang benar-benar memerlukan penglihatan. Meremang bulu roma saya memikirkan. Perkara yang sama ditunjukkan dalam hampir semua yang dicubanya. "

Andrew, 18, menyertai pertandingan gusti pada tahun lepas sebagai seorang junior di Canyon HIgh. Beliau menang 11 daripada 12 perlawanan, seorang lawan yang dikalahkan begitu marah sehingga menghentam tikar dengan geram, seorang lagi cukup kecewa sehingga menangis.

Kebanyakan yang lain, bagaimanapun, memberi reaksi yang agak berbeza, termasuk beberapa orang yang apabila keputusan itu diumumkan, kerana mereka secara rasmi dikenalpasti sebagai yang kalah, dengan spontan mengangkat lengan Andrew untuk memberi isyarat kemenangan beliau.

Bekas jurulatih Canyon, Scott Lawson, menggelarkan Andrew "daya penarik orang ramai yang popular," semua mata tertumpu kepada satu-satunya ahli gusti yang tidak dapat melihat.

"Banyak perkara yang dilakukan Andrew menyebabkan saya rasa 'wow', tetapi tidak ada apapun yang dilakukan itu mengejutkan saya," kata Lawson. "Saya benar-benar percaya beliau boleh melakukan apa sahaja yang dia mahu."

Jadi anak muda ini terbang, diberi peluang mencapai awan oleh ibu bapa yang tidak takut melihat anak sulung mereka terjatuh.

Andrew yang lahir tiga bulan lebih awal, seberat hanya 2 paun dan begitu kecil sehinggakan Jim dan Bridget meletakkan kesan tangan dan kakinya di atas bola sepak kerana lebih kurang sama dengan saiz beliau.

Beliau dikejarkan ke Children's Hospital of Orange County, dibawa keluar sebegitu cepat malahan Bridget sendiri tidak berpeluang untuk melihat anaknya sehingga hampir enam jam kemudian. Akhirnya satu minggu berlalu sebelum dia dibenarkan memegang anaknya.

Perkara yang sangat membantu Andrew hidup pada bulan-bulan seterusnya - terapi oksigen - akhirnya meragut penglihatan beliau dengan keadaan yang dipanggil retinopati pra-matang. Pembedahan pertama gagal membetulkan masalah tersebut. Begitu juga dua pembedahan berikut.

Tiba-tiba berhadapan dengan cabaran yang lain daripada yang lain, Jim dan Bridget memilih jalan yang amat konvensional.

"Satu hari," kata Jim, "kami membuat keputusan dia akan dibesarkan seperti kanak-kanak biasa."

Bermulalah kehidupannya di Blind Children’s Learning Center Santa Ana sehingga sekarang, Andrew melibatkan diri dalam perkara-perkara biasa seperti pancaragam berkawat dan pasukan trek, berenang di Newport Aquatic Centre dan menghadiri majlis keraian pelajar-pelajar.

Musim panas ini, beliau melawat Memorial 9/11 dan Patung Liberty. Ya, anak muda yang buta ini, di New York bersiar-siar.

"Pasangan suami isteri Skvarla merupakan salah pasangan ibu bapa yang terbaik yang pernah saya temui," kata McGuire, yang telah lama menjadi seorang guru orang buta untuk Orange Unified School District. "Hadiah yang mereka berikan kepada Andrew adalah mencabar dirinya untuk melakukan perkara-perkara yang mereka sendiri mungkin fikirkan adalah di luar keupayaan beliau.

"Jika beliau gagal, mereka hanya akan berkata, 'OK, mari kita mencuba sesuatu yang lain pula.' Mereka bertekad bahawa ini adalah satu peluang untuk berjaya bukan peluang untuk gagal. Kurang upaya penglihatan beliau bukanlah satu halangan. Ia adalah satu peluang untuk melihat sejauh mana mereka boleh mencapai sesuatu."

Seperti kebanyakan masyarakat buta, Andrew dianugerahi deria rasa yang luar biasa tentang ruang, keupayaan untuk membayangkan dan mengagak pergerakan serta pendengaran yang amat peka.

Apabila seseorang memukul bola golf, sebagai contoh, dia boleh dengan serta-merta menentukan nota muzik bunyi yang dihasilkan.

Dan ingat kehebatannya dengan Nintendo Wii? Setiap lontaran dihantar dengan kesan bunyi tertentu, membolehkan Andrew mengukur dengan tepat hayunan beliau.

"Saya tidak berasa seperti saya kehilangan apa-apa," kata anak muda yang tidak memerlukan penglihatan yang sempurna untuk membayangkan dunia beliau. "Saya sentiasa gembira, sentiasa positif dan sentiasa bersedia untuk bertemu orang baru."

Sikap Andrew begitu sebati dengan jiwanya sehinggakan adik-adik beliau - Alyssa, 16, dan Jaclyn, 15 - telah bertanya kepadanya mengapa dia sentiasa begitu gembira.

Ia satu pendekatan yang boleh dibuat iktibar, pandangan hidup Andrew boleh disimpulkan pada hari pertama dia melangkah masuk ke rumah baru keluarganya dan, sambil menyentuh dinding cermin di hadapannya, dengan hidungnya seinci di depan, dia berkata, "Hei, tengok, saya boleh nampak diri saya sendiri."

"Dia seorang kanak-kanak yang luar biasa," kata Jim. "Sikapnya memberi kesan baik kepada seluruh keluarga. Cara dia menghadapi hidup telah membantu kita semua. Kita semua boleh belajar daripada dia. "

Kita tentu boleh, menyedari bahawa sesuatu batasan bukanlah benar-benar batasan, bahawa apa-apa juga boleh dilakukan jika anda mempunyai keberanian untuk menutup mata anda dan membayangkan ia boleh berlaku.

Kita semua boleh terbang tinggi seperti Andrew Skvarla, yang semalam, memutuskan dia mahu mencuba sesuatu yang baru.

Dia pergi meluncur udara.

No comments:

Post a Comment