Monday, 11 August 2014

Orang Buta Memimpin Orang Buta

Rencana "'The Blind Leading the Blind " oleh Liam bertarikh 28 Julai 2014 terbit di angryflatcap









Saya fikir saya mempunyai idea yang cukup baik tentang apa yang akan terjadi apabila kehilangan penglihatan saya.



Kadang-kadang pada waktu malam apabila hendak ke tandas membuang air kecil, saya malas menghidupkan lampu. Saya tahu arah ke tandas, dan tahu apa halangan yang mungkin menyebabkan saya jatuh tersungkur. Kalau ketika itu saya rasa begitu tenang, saya juga akan mensasarkan pancutan ke dalam mangkuk tandas tanpa bantuan cahaya buatan.



Rasa bangga dengan kepekaan saya dengan persekitaran, saya sering berfikir bahawa saya tidak akan apa-apa jika buta. Jangan salah anggap: memanglah ia satu kejadian yang tidak diingini, tetapi saya fikir saya boleh menanganinya.



Rupa-rupanya saya salah. Terima kasih kepada Niewidzialna Wystawa Warsaw ('Pameran ghaib'), saya mendapat peluang untuk mencuba pengalaman buta sementara. Saya teruk. Mengemudi sebuah bilik yang anda lihat seribu kali sebelum ini adalah satu hal, tetapi menghadapi bilik yang tidak dikenali tanpa mampu melihat benar-benar berbeza.



Sekumpulan pengunjung telah dibawa ke dalam bilik yang hitam pekat. Seorang buta bertindak sebagai pemandu anda, tetapi kebanyakan masa pandai-pandailah anda mengendalikan diri sendiri. Anda dibawa melalui satu siri senario setiap hari. Walaupun dengan mata terbuka luas, saya tidak dapat melihat apa-apa.



Kami tidak dibenarkan mengambil gambar, tetapi memang patut pun kerana tiada apa pun yang kelihatan.



Saya berjalan memegang dinding dengan satu tangan, perlahan-lahan meraba-raba untuk maju ke hadapan. Saya cuba meraba halangan di laluan hadapan, tetapi acap kali teraba dada seseorang. Kadang-kadang saya akan sampai ke depan dan terlanggar sesuatu yang lebih boleh diterima, seperti tangan atau lengan, tetapi selalunya dada orang. Saya hairan juga bilik itu tidak diterangi sinar rasa malu saya.



Saya tidak tahu besar mana bilik itu. Saya benar-benar takut dengan kemungkinan ruang yang terbuka. Saya cuba mengecip lidah untuk mengetahui sama ada saya boleh mengukur persekitaran saya menggunakan echolocation. Rupa-rupanya, saya tidak boleh.



Selepas 45 minit, kami telah dibawa keluar. Kami meraba-raba pintu dan berjalan keluar. Mata saya menyesuaikan fungsinya dengan cahaya, dan saya berasa lega dan bersyukur.



Saya pernah lihat orang buta berjalan di kawasan keretapi Tube dibantu oleh tidak lebih daripada sebatang tongkat sahaja. Saya lebih kagum kini. Saya tentu tidak keruan, merangkak-rangkak atau berpaut pada belakang badan penumpang komuter supaya selamat. Walaupun jika saya berjalan tegak, saya akan mengambil langkah-langkah kecil dan melakukan satu demi satu gangguan seksual yang tidak disengajakan.



Jika saya menggunakan pendekatan meraba-raba dinding di sebuah kafe di pinggir jalan, saya sudah pasti tersungkur ke atas meja. Jika saya berjalan mengikut kelajuan di dalam bilik tadi, masa untuk berjalan kaki yang biasanya mengambil masa 30 minit mungkin menjadi sepanjang hari.



Di sinilah perancangan jalan yang baik diperlukan, bukan? Itu merupakan beberapa cara untuk membantu orang buta berjalan ke mana sahaja.



Malangnya, masih banyak yang perlu dilakukan di Britain. Dalam kaji selidik yang dijalankan oleh Guide Dogs UK, 63% daripada orang buta atau separa buta telah dilaporkan cedera oleh halangan-halangan di jalan.



Papan-A memang banyak di laluan pejalan kaki. Tutup mata anda dan cuba berjalan di jalan yang bersepahan dengan benda-benda ini. Di akhir perjalanan, anda akan berfikir benda-benda ini tidaklah selucu mana.



Dengan begitu banyak kemalangan menunggu untuk berlaku, adalah mudah untuk melihat mengapa melangkah ke luar rumah merupakan kemungkinan yang membimbangkan. Ini sedikit sebanyak menjelaskan mengapa hanya satu pertiga daripada orang dewasa buta atau separa buta bekerja, dan mengapa hampir separuh daripada orang buta dan separa buta berasa 'sedikit' atau 'sepenuhnya' terputus daripada orang dan perkara-perkara di sekeliling mereka (RNIB) .



Teknologi seperti 'Argus II' oleh Second Sight dapat membantu mengatasi beberapa bentuk kebutaan, tetapi penyelesaian ini tidak sesuai untuk semua orang dan jauh daripada sempurna.



Walaupun mereka bentuk semula bandar-bandar dari akar umbi bukanlah pilihan yang praktikal dalam kebanyakan kes, Guide Dogs UK telah menyenaraikan beberapa langkah yang lebih segera untuk menjadikan jalan-jalan lebih selamat. Perkara-perkara mudah seperti tidak meletakkan kereta anda di kaki lima (apabila meletak kereta atau ketika memandu), dan tidak meninggalkan tong sampah anda di tengah-tengah jalan amat membantu.



Tetapi bagaimana jika kita dapat mereka bentuk semula zon bandar dengan mengambil kira keperluan orang buta? Seperti mana-mana post blog sendiri yang berwibawa, saya telah menemui TED Talk yang merangsang pemikiran sebagai penutup rencana..



Chris Downey adalah seorang arkitek yang kehilangan penglihatannya selepas pembedahan otak. Beliau bercerita tentang bagaimana dia mengatasi permasalahan buta yang dialaminya, dan strategi beliau untuk bergerak ke mana-mana. Dia dapat menyesuaikan dirinya dengan merasa bahang matahari pada mukanya. Itulah yang luar biasa. Saya begitu bergantung kepada GPS. Saya yakin bahawa jika satelit GPS gagal saya akan kekal di sesuatu tempat itu, perlahan-lahan berputar dalam satu bulatan sehingga saya mati akibat kebuluran.



Di akhir ceramah itu, beliau berkongsi idea tentang apa rupa bentuk sebuah bandar yang mesra orang buta seperti: kawasan pejalan kaki yang luas dengan rangkaian pengangkutan awam yang hebat. Ia akan memberi manfaat kepada semua orang, yang celik atau tidak. Dan kita tidak perlu berhadapan dengan jenaka yang bukan-bukan terpampang di Papan-A lagi.



Yup. Saya akan turut serta.

No comments:

Post a Comment