Sunday, 17 August 2014

Bagi yang baru hilang upaya penglihatan, penyelamat di jalan raya kota

Rencana "For the Newly Blind, a Guiding Hand on the City’s Streets" oleh Keith Williams bertarikh 30 Julai 2014 terbit di wsj




Untuk beberapa minit, Barbara Robins berdiri di tepi jalan East 78th Street, bersedia melintas pada bila-bila masa.

Tetapi tongkat sepanjang 4 kaki yang didakap rapat ke tubuhnya memberi petanda bahawa itu tidak akan berlaku. Cik Robins, berusia 66 tahun, hilang penglihatan beliau pada awal tahun ini dan telah belajar untuk menyesuaikan diri semenjak itu.

Di sebelah beliau ialah Diane Formoso, yang menunjukkan kaedah untuk mencari arah yang betul melintas ke seberang jalan.

"Di bandar, terdapat banyak garis selari dan yang bertentangan," kata Cik Formoso. "Jika anda terlajak beberapa inci, anda boleh dapati diri di tengah-tengah jalan."

Cik Formoso bekerja untuk Lighthouse Guild, pertubuhan terbesar di kota itu yang memberi perkhidmatan kepada OKU penglihatan. Beliau ialah pengajar orientasi dan mobiliti, salah satu daripada tujuh orang yang tugasnya adalah untuk membantu yang baru hilang upaya penglihatan menyesuaikan diri dengan keadaan mereka dan cabaran unik yang mengiringinya.

Semasa perjalanan mereka juga, Cik Robins dan Cik Formoso telah mengenal pasti beberapa isyarat untuk mengemudi yang ada di Third Avenue: bunyi lalu lintas menuju ke utara, bau daging panggang dari cart penjual, getaran kaki lima.

Cik Formoso, yang telah bersama dengan Lighthouse Guild sejak 1986, mengesyorkan beberapa isyarat untuk membantu Cik Robins berjalan dalam arah yang betul. Kaki lima, tepi bangunan, dasar tiang jalan, dan perhentian bas semua cenderung memberi arah yang betul.

Dengan kira-kira 20 pelanggan pada satu-satu masa, Cik Formoso menekankan keunikan setiap kes. Ada yang mempunyai penglihatan separa sementara yang lain hilang penglihatan sepenuhnya. Sesetengah hanya mahu bergerak di sekitar pangsapuri mereka sendiri; orang lain pula mahu beregerak di sekitar bandar menggunakan pengangkutan awam.

Keinginan mereka adalah pelbagai seperti penyebab ketidakupayaan mereka juga.

Penglihatan boleh menurun dalam tempoh bertahun-tahun, dengan setiap tahap degradasi memberikann cabaran-cabaran baru dan memerlukan mekanisme baru mengatasinya.

Atau ia boleh hilang dalam sekelip mata, seperti seorang pelanggan Lighthouse Guild apabila saraf optik beliau terputus semasa perlanggaran berbasikal.

Kira-kira 170,000 penduduk bandar adalah sama ada buta atau mempunyai masalah yang serius melihat, menurut anggaran 2012 oleh Biro Banci Amerika Syarikat.

Pada bulan November, Cik Robins, seorang ahli psikologi sekolah bersara, mula melihat tompok-tompok di mata kirinya - kesan sampingan radiasi untuk rawatan tumor otak yang berjaya. Walaupun dengan percubaan untuk menyelamatkan penglihatan beliau, dalam tempoh hanya dua bulan, dia telah kehilangan penglihatan.

Belajar bergantung kepada deria selebihnya adalah satu proses yang mengecewakan, terutamanya di tempat yang begitu sibuk seperti New York. Ketika menyeberang jalan, sebagai contoh, OKU penglihatan mesti mendengar isyarat berjalan kaki atau bunyi kereta.

"Orang yang mempunyai penglihatan boleh melihat warna cahaya," kata Romeo Edmead, 34 tahun, seorang wartawan yang hilang penglihatan pada usia 2 tahun. "Kita perlu mendengar arah mana trafik bergerak."

Sepanjang tiga dekad yang lalu, Encik Edmead telah menguasai kemahiran pergerakan tanpa penglihatan.

Ketika berjalan kaki melalui kawasan tengah bandar, dia dengan cekap bergerak mengelak beberapa halangan, termasuk sebuah teksi yang berhenti di persimpangan jalan - perkara biasa di New York," katanya.

"Semua orang mempunyai pandangan sendiri tentang pergerakan," katanya, sambil mengatakan bahawa dia lebih suka bergantung kepada deria mendengar lebih daripada yang lain.

Enam bulan selepas kehilangan penglihatan beliau, Cik Robins masih bergelut dengan kemahiran asas.

Dengan Cik Formoso satu atau dua langkah di belakangnya, Cik Robins perlahan-lahan bergerak sepanjang Third Avenue. Tongkat beliau memberitahunya - sering kali - bahawa dia telah tersasar: dinding bangunan, pondok telefon, penghadang tanaman di pinggir jalan.

Cik Robins berjaya menumpukan perhatian kepada perjalanannya, tetapi tumpuan itu ada kesannya.

"Satu-satunya perkara yang saya ambil berat ialah berjalan dengan betul," katanya. "Ia meletihkan dari segi mental. Sekarang saya tidak boleh melakukan seratus satu perkara pada satu masa. "

Bagi kebanyakan yang baru hilang penglihatan, mencapai tahap paling rendah mobiliti bersendirian pun boleh menjadi sesuatu yang membingungkan.

"Kebanyakan pelanggan saya akan berfikir mereka sudah bersedia," kata Cik Formoso, "tetapi apabila saya memberikan mereka tongkat, emosi yang terpendam mencurah keluar."

Kira-kira satu pertiga daripada orang dewasa yang lebih tua, sebagai contoh, mengalami gejala kemurungan klinikal selepas kehilangan sedikit penglihatan mereka, kata Amy Horowitz, seorang penyelidik di Universiti Fordham.

Cik Robins tahu benar tentang perasaan kecewa. Beliau telah disahkan menghidap kemurungan semasa dia kehilangan penglihatan.

Seorang pencinta seni, apa yang amat dirinduinya ialah keupayaan untuk melihat lukisan kegemarannya dan kecewa dengan kekurangan kemudahan di banyak teater dan panggung wayang.

"Timbul rasa berkabung: saya berkabung kehilangan penglihatan saya," katanya. "Ia datang dan pergi seperti kehilangan orang yang dikasihi."

Untuk mengatasinya, dia berjumpa ahli psikologi secara tetap, dan mengambil ubat-ubatan untuk menangani kebimbangan dan insomnia. Mungkin yang paling penting, dia mempunyai rangkaian sokongan daripada rakan-rakan dan orang yang disayangi, dan pakar-pakar berkata itu adalah penting dalam usaha mendapatkan keyakinan yang diperlukan untuk hidup berdikari.

Walaupun begitu, kemajuan dalam teknologi memang membantu. Cik Robins menunjukkan mod telefon "kurang upaya penglihatan", yang membimbing beliau melayari aplikasi menggunakan isyarat lisan; pada skala yang lebih besar pula, semua teksi kuning mempunyai ciri-ciri audio untuk memberikan maklumat terkini tentang lokasi dan tambang.

Kini, Cik Robins mahu menumpukan usaha beliau untuk membantu orang lain yang hilang penglihatan seperti yang pernah dialaminya.

"Saya tidak terfikir langsung tentang penglihatan saya pada masa dahulu, dan kurang sedar tentang penduduk yang kurang upaya penglihatan," katanya. "Apabila saya mendapat semua yang diperlukan, saya mahu menjadi seorang pembela hak mereka yang senasib."

No comments:

Post a Comment