Rencana "People
born blind use 'neural empathy' to understand situations others can
see, researchers say" oleh Latarsha Gatlin bertarikh 4 Ogos 2014
terbit di
jhu
Kajian menunjukkan
persamaan dalam cara berfikir orang celik dan buta berfikir tentang
dunia
Dengan menggunakan
cerita-cerita lisan, penyelidik dari Johns Hopkins University telah
mendapati bahawa otak orang yang dilahirkan buta bertindak balas
kepada situasi sama seperti cara orang yang celik.
Marina Bedny, seorang
saintis otak di Krieger School of Arts and Sciences Johns Hopkins
University, mendapati bahawa orang yang buta sejak lahir mempunyai
pengetahuan tentang keadaan yang dibayangkan dengan penglihatan dalam
cara yang sama seperti orang celik. Beliau berkata keupayaan ini
mungkin disebabkan oleh interaksi harian individu buta dengan yang
boleh melihat. Keputusan kajian menonjolkan persamaan dalam cara
orang buta dan celik berfikir tentang dunia.
Bedny dan rakan-rakan
penyelidik beliau - Jorie Koster-Hale dan Rebecca Saxe dari
Department of Brain and Cognitive Science Massachusetts Institute of
Technology - melaporkan penemuan mereka dalam satu kertas kajian
baru-baru ini yang diterbitkan dalam jurnal Cognition. Tiga
penyelidik itu mendapati bahawa orang buta menggunakan sejenis saraf
empati untuk memahami situasi yang boleh dilihat oleh orang lain,
tetapi yang mereka sendiri tidak pernah alami. Koster-Hale dan Saxe
masing-masing merupakan penulis utama dan kanan kertas kajian itu .
"Persoalan yang
mennarik minat kami adalah dari manakah pengetahuan itu datang?
Sejauh mana pengetahuan kita tentang orang lain datang dari
pengalaman sendiri? " kata Bedny, penolong profesor di
Department of Psychological and Brain Sciences, John Hopkins
University. "Kami memilih untuk bekerjasama dengan masyarakat
yang buta dalam kajian ini kerana pengalaman deria individu buta
berbeza secara dramatik daripada pengalaman orang celik. Sebaliknya,
pengalaman sosial orang buta dan celik sebahagian besarnya adalah
sama. "
Para penyelidik telah
menulis tentang sama ada mendengar cerita di mana penglihatan
memainkan komponen yang besar dalam penceritaan itu diproses secara
berbeza oleh kumpulan yang buta sejak lahir berbanding kumpulan
dengan penglihatan biasa. Salah satu contoh ialah melihat pasangan
romantis dari jauh masuk ke dalam kereta dengan perempuan lain.
"Jelas sekali,
orang dewasa yang buta akan memahami beban emosi menemui kemungkinan
kecurangan seorang kekasih, tetapi bolehkah seseorang yang buta
membuat kesimpulan yang sama tentang sumber visual penemuan itu?"
lapor kertas kajian tadi. "Berapa banyak yang akan difahami oleh
orang yang buta tentang pengalaman melihat orang yang dikenali
bersama-sama seorang wanita yang tidak diketahui, dari jauh, dalam
gelap?"
Walaupun kekurangan
visi, ternyata otak orang buta boleh membuat banyak kesimpulan.
Penyelidik mengkaji dua
kumpulan - orang yang celik dan mereka yang lahir tanpa penglihatan.
Setiap kumpulan mendengar 32 cerita, setiap satu sepanjang 13 saat.
Separuh daripada cerita-cerita itu menggunakan penglihatan sebagai
suatu tindakan ("Gladys melihat nota di pintu rumahnya")
manakala separuh lagi menggunakan pendengaran sebagai tindakan
("Gladys mendengar mesej telefon baru").
Setiap satu daripada
cerita-cerita juga berakhir sama ada baik atau buruk bagi watak
utama. Sebagai contoh, satu cerita menyebut, "Saya berharap
untuk berjumpa kamu malam ini," sementara yang lain berkata,
"Maaf, saya tidak dapat berjumpa malam ini." Peserta buta
dan celik membayangkan bagaimana perasaan watak utama dalam sesuatu
cerita - gembira, sedih, atau acuh tak acuh.
Dengan menggunakan
mesin pengimejan resonans magnetik (fMRI) yang berfungsi mengukur
tindak balas saraf, penyelidik mendapati tiada perbezaan ketara dalam
cara bagaimana otak mengekod kombinasi cerita yang berbeza, bagi
mereka yang celik atau buta.
Bedny berkata ada dua
teori utama untuk memahami bagaimana orang memahami pengalaman. Salah
satu daripadanya adalah melalui simulasi di mana seseorang
membayangkan dirinya dalam situasi tertentu dengan menggunakan
sesuatu peristiwa sebelum itu atau yang serupa daripada pengalaman
hidupnya sendiri. Teori kedua dipanggil teori intuitif, yang
mengambil satu siri tindakan dan maklum balas yang terdahulu yang
tidak dialami secara peribadi dan mengandaikan bagaimana seseorang
akan bertindak balas. Penemuan terkini menunjukkan bahawa kedua-dua
orang buta dan celik bergantung kepada teori intuitif untuk memahami
keadaan mental orang lain.
"Dengan
memerhatikan variasi yang berlaku secara semula jadi dalam pengalaman
seseorang, kita mendapat maklumat tentang asas-asas yang menjadikan
kita semua manusia," kata Bedny. "Kita semua mempunyai
kehidupan yang berbeza. Tugas kita sebagai ahli-ahli sains adalah
untuk meneliti perbezaan sistematik yang boleh dipelajari. "
No comments:
Post a Comment