Thursday 31 July 2014

'Zoo menyentuh alat muzik' membolehkan kanak-kanak cacat penglihatan mendapat pengalaman jarak dekat

Rencana "'Instrument petting zoo' allows visually impaired kids hands-on experience" oleh Arika Herron bertarikh 24 Julai 2014 terbit di journalnow







Tutup mata anda, dan nota seruling yang nyaring mendayu melalui lagu Little Red School House Tracy di kampus Industries for the Blind (IFB) hampir menyerupai kicauan burung.



Ledakan trompet pula hampir meniru pekikan gajah.



Itu bukan sebabnya mengapa Winston-Salem Symphony memanggil inisiatif barunya zoo menyentuh alat muzik. Ini merupakan peluang pertama untuk sebahagian besar kanak-kanak memegang alat muzik, kata Jessica Munch-Dittmar, pengarah pendidikan dan penglibatan masyarakat simfoni ini.



Orang yang berkhemah di kem musim panas Student Enrichment Experience (SEE) IFB tidak perlu menutup mata mereka pada hari Khamis tersebut. Lebih kurang dua belas orang dalam lingkungan umur murid sekolah rendah yang berkhemah di situ rata-rata mempunyai kalau tidak banyak, sedikit masalah penglihatan sehinggalah yang buta sepenuhnya.



Muzik adalah penting bagi kebanyakan kanak-kanak, yang juga diperkenalkan kepada gitar dan drum di kem itu, kata Jenny Viars, penyelaras kem SEE. Aktiviti pada hari Khamis itu adalah "zoo menyentuh" alat muzik yang pertama di kem tersebut.



"Saya suka tekan kekunci," kata Elisa Simmons, 9, yang baru selesai bermain alat kegemarannya - seruling. Chelsea Pulliam, seorang pelatih dengan simfoni tadi, meniup melalui corong sambil Elisa - yang mengaku sukakan irama jaz - merasakan panjang alat itu, menekan kunci yang berbeza untuk menukar nota.



"Saya suka muzik yang tenang," katanya.



Elisa adalah pekhemah yang kembali semula sebagaimana ramai yang lain dalam kumpulan itu, kata Jenny.



Program musim panas ini adalah peluang untuk kanak-kanak buta dan cacat penglihatan bergaul bersama kanak-kanak seperti mereka. Sokongan rakan sebaya adalah penting, kata Jenny.



Kem selama tiga minggu ini, yang akan berterusan sehingga minggu depan, membantu pelajar-pelajar buta dan cacat penglihatan dari peringkat tadika sehinggalah gred 12. Dari pembelajaran kemahiran dapur ke kelas yoga, kem itu membina semangat berdikari pelajar, kata Jenny. Hari-hari di kem merupakan gabungan kelas dan aktiviti yang membina kemahiran sementara masih menyediakan suasana kem musim panas yang dirasakan oleh "rakan-rakan celik mereka," kata Jenny.



Winston-Salem Symphony memulakan inisiatif zoo menyentuh alat muzik awal tahun ini sebagai satu cara memperkenalkan murid-murid gred lima kepada alat-alat muzik sebelum mereka menjejak kaki ke sekolah menengah dan mempunyai peluang menyertai band atau orkestra, kata Jessica.



"Ini membolehkan kanak-kanak mendekati dan merasa selesa dengan alat muzik yang biasanya hanya dilihat dari jauh," katanya.



Program ini telah berkembang lebih luas daripada hanya melibatkan murid-murid sekolah menengah. Jenny berkata, dia menjangka ia akan terus berkembang apabila progam itu meningkat ke tahun pertama persekolahan selagi penglibatan sukarelawan berkembang seiring. Zoo menyentuh alat muzik dipacu oleh sukarelawan, dan pengalaman muzik sukarelawan merangkumi mereka yang tidak berpengalaman langsung hinggalah ke pemain horn utama kumpulan simfoni itu, Bob Campbell.



Bob, yang menunjukkan cara bermain trombon pada hari Khamis itu, berkata sesetengah pelajar cepat selesa dengan alat muzik itu manakala yang lain adalah lebih teragak-agak. Tetapi matlamat beliau hanyalah untuk membolehkan mereka merasai pengalaman membuat bising dengan alat muzik tersebut. Bob berkata beliau biasanya hanya menunjukkan pelajar bagaimana hendak menggerakkan bibir mereka dengan cara yang diperlukan untuk trombon, tetapi bekerja dengan pelajar-pelajar buta merupakan satu cabaran pada mulanya. Bob berkata beliau terkejut apabila kanak-kanak tadi dapat meniru tindakannya dengan hanya mendengar.



"Kami mahu kanak-kanak berminat dalam muzik," katanya. "Kanak-kanak adalah masa depan muzik."

Wednesday 30 July 2014

Pelajar cacat penglihatan belajar kemahiran hidup yang penting

Rencana "Visually impaired students learning important life lessons" oleh Marc Stempka bertarikh 24 Julai 2014 terbit di wjactv







State College, Pa - Pelajar buta dan cacat penglihatan belajar kemahiran hidup yang penting semasa berada di sebuah kem di Penn State University di Centre County minggu ini.



Pelajar-pelajar sekolah menengah ini mengambil bahagian dalam akademi musim panas dan adalah dari seluruh negara. Mereka belajar tentang kemahiran yang akan membantu masing-masing berdikari.



Pada pagi Rabu, pelajar-pelajar telah mengambil bahagian dalam latihan yang melibatkan mereka melintas persimpangan-persimpangan sibuk di pusat bandar State College. Seperti yang diketahui oleh orang yang biasa dengan pusat bandar State College, jalan-jalan di situ boleh menjadi agak sibuk.



"Ia merupakan satu keadaan hidup atau mati jika mereka membuat kesilapan," kata pengajar kem Dan Wood.



Menurut National Federation of the Blind, terdapat lebih daripada 6.6 juta rakyat Amerika yang buta atau cacat penglihatan, dan ramai daripada mereka berjalan dan menyeberang jalan-jalan yang sibuk setiap hari.



Pelajar-pelajar di pagi Rabu itu seperti Madeline Link, berpeluang mencuba kemahiran yang telah dipelajari.



"Saya mengalami cone dystrophy, dan tidak dapat melihat suatu apapun di sini," kata Link. "Impian saya adalah untuk hidup di bandar besar, sama ada di New York atau Washington, DC, jadi ia amat penting bagi saya."



Lintasan pejalan kaki dan isyarat tidak semestinya berguna kepada sesetengah daripada mereka yang menggunakan tongkat. Mereka perlu berhenti dan mendengar.



"Saya boleh mendengar kesibukan lalu lintas, yang kami panggil lonjakan lalu lintas, dan saya dapat melintas jalan dengan cara itu," kata pelajar Michael Brown.



Beberapa pelajar mengambil masa lebih lama daripada yang lain sebelum cukup yakin menyeberang jalan.



"Bagi saya, timbul rasa agak takut kerana tidak tahu siapa yang membelok, dan siapa yang ke hadapan," kata Link.



Pengajar dari Pennsylvania Bureau of Blind and Visual Services membimbing pelajar apabila bertemu persimpangan yang berbeza di pusat bandar.



Beberapa kali pemandu kereta berhenti di persimpangan, menunggu pelajar untuk melintas, tetapi sesetengah mengatakan bahawa tindakan yang dianggap baik itu sebenarnya lebih mengelirukan daripada membantu.



"Terus memandu dan jangan berhenti," kata Brown. "Dan jangan melopong."



Pelajar-pelajar akan terus didedahkan dengan latihan-latihan lain, seperti memasak dan hidup di luar yang juga meliputi perjalanan ke taman rimba Shaver's Creek.

Tuesday 29 July 2014

Mereka yang cacat penglihatan bergelut dengan kehidupan selepas tsunami

Rencana "Visually impaired struggle with life in post-tsunami towns" oleh Masataka Yamaura and Masakazu Higashino bertarikh 24 Julai 2014 terbit di asahi




Orang cacat penglihatan di kawasan yang dilanda gempa bumi 2011 dan bencana tsunami semakin enggan meninggalkan rumah mereka kerana terpaksa menghadapi kaki lima yang masih dalam kehancuran, bandar yang telah berubah rupa dan kekurangan kumpulan sokongan.

Pada awal pagi 12 Julai, apabila amaran tsunami berbunyi di seluruh pantai Pasifik di timur laut Honshu, Ryo Nakamura,pengamal akupunktur berusia 61 tahun yang tinggal berhampiran pelabuhan bandar raya itu, dipindahkan dengan kakaknya Mimiko berusia 58 tahun ke hospital berdekatan.

Tetapi oleh kerana Nakamura seorang buta dan Mimiko juga cacat penglihatan, mereka terpaksa bergantung kepada Masakatsu Tokiwa, pemandu celik berusia 69 tahun yang membantu orang kurang upaya penglihatan.

"Adalah mustahil bagi kami untuk berpindah sendiri, jadi Tokiwa yang datang menjemput dengan kereta amatlah membantu," kata Nakamura.

Walaupun telah lebih daripada tiga tahun sejak Gempa Bumi Besar Timur Jepan, tepi kaki lima dan lorong-lorong masih rosak akibat tsunami yang melanda selepas itu. Kaki lima kekal tidak sama rata, dan banyak penanda sentuhan yang bertujuan membantu yang cacat penglihatan sama ada telah rosak atau diliputi kotoran dan serpihan.

Apa yang menjadikannya lebih sukar, banyak bangunan baru kini sedang didirikan dalam usaha rantau itu membangun semula.

"Saya pernah menentukan kedudukan kereta berdekatan dengan mendengar bagaimana bunyi terpantul daripada dinding bangunan apabila ia berlalu," kata Nakamura. "Tetapi sekarang, bunyi berubah dengan mendadak. Bunyi pembinaan yang ada di mana-mana sahaja lebih mengelirukan saya."

Sejurus selepas gempa bumi, satu kumpulan sokongan dari luar wilayah menubuhkan cawangan di bandar, membantu penduduk dalam perjalanan mereka di antara rumah dan hospital atau kedai-kedai. Tetapi kumpulan tadi beredar dari bandar itu pada musim luruh yang lepas.

Pada masa ini, Nakamura dibantu oleh Tokiwa, yang menjadi ahli organisasi bukan berasaskan keuntungan Kobe Eyelight Association, tetapi perkhidmatan tersebut dijadualkan berakhir pada bulan September.

"Mereka memerlukan sokongan yang paling banyak bermula daripada sekarang, semasa bandar tersebut berubah bentuk," kata Tokiwa. Tokiwa, mangsa yang terselamat dalam Gempa Bumi Besar Hanshin pada tahun 1995, pada masa ini membantu kira-kira 30 orang yang tinggal di kawasan Kamaishi.

Sehingga akhir Mac, kira-kira 4,700 orang yang disahkan kurang upaya tinggal di 27 buah bandar dan kampung yang dilanda gempa bumi di wilayah Iwate dan Miyagi.

Hari ini, organisasi bukan berasaskan keuntungan ditubuhkan di peringkat tempatan telah mengambil alih peranan pelbagai kumpulan yang pada mulanya membantu orang kurang upaya selepas kejadian bencana. Walau bagaimanapun, kebanyakan organisasi-organisasi ini terlalu sibuk di siang hari membantu dari segi keperluan asas harian mereka yang kurang upaya dan tidak mempunyai masa untuk membawa sesiapa keluar membeli-belah atau ke hospital.

"Mereka yang cacat penglihatan, yang sudahpun mempunyai masalah hendak keluar (sebelum bencana), mendapati begitu sukar untuk meninggalkan rumah mereka semenjak gempa bumi," kata seorang pegawai Persekutuan Orang Buta Jepun. "Kita bimbang sama ada cukup atau tidak tenaga sukarelawan untuk membantu perjalanan harian mereka. Penubuhan satu sistem untuk membantu mereka yang paling memerlukan di peringkat tempatan, serta menerima sokongan dari kawasan-kawasan lain, adalah amat penting. "

Monday 28 July 2014

Cahaya di hujung terowong

Rencana "The light at the end of the tunnel" bertarikh 24 Julai 2014 terbit di thehindu



Kami meminta anda menamakan satu perkara yang akan membuat sekolah anda lebih mesra kepada yang kurang upaya penglihatan.

Berikut ialah beberapa jawapan yang diterima:

Saya merasakan bahawa bukan infrastruktur yang menjadikan mana-mana sekolah mudah diakses oleh pelajar cacat penglihatan tetapi guru khusus untuk menangani pelajar-pelajar keperluan khas. Jika kurikulum dan aktiviti-aktiviti lain boleh memenuhi keperluan kumpulan ini maka tiada apa yang boleh menghalang mereka daripada mencapai kejayaan cemerlang dalam kehidupan masing-masing. Secara keseluruhan, andai kata sekolah saya boleh menyediakan seorang guru seperti Cik Sullivan, maka setiap pelajar cacat penglihatan akan menjadi Helen Keller atau John Milton.

Vishal Kulkarni

Class X, KV Bijapur



Apabila melihat di sekeliling bilik darjah dalam sekolah saya, saya segera mengerti bahawa papan yang digunakan di sini boleh digantikan dengan rak-rak buku penuh dengan buku-buku Braille yang membolehkan mereka yang cacat penglihatan membaca dan belajar.

Eupho.C.J,

Excel Central School, Thiruvattar



Di sekolah seperti yang saya hadiri iaitu bukan sebuah sekolah untuk pelajar buta, pelajar cacat penglihatan mungkin berasa sukar untuk bergerak. Jadi perkara pertama yang boleh diubah ialah menukar tangga menjadi ramp untuk menghalang pelajar-pelajar buta daripada tersandung. Papan tanda dalam Braille juga boleh dipasang supaya pelajar dapat membaca arahan.

Sohail Sanjay Moideen,

St. Paul’s International School, Kalamassery.



Kurikulum perlu diajar menggunakan audio dan bukan dengan kertas bagi pelajar kurang upaya penglihatan. Sebagai ganti menulis nota, pelajar kurang upaya penglihatan boleh belajar sukatan pelajaran mereka dengan mendengar maklumat yang direkodkan dalam pemain audio. Peperiksaan bertulis boleh digantikan dengan ujian lisan. Saya percaya perubahan ini akan memberi manfaat kepada pelajar kurang upaya penglihatan dalam pendidikan mereka.

Athira Sivadas

Class VIII, Bharatiya Vidya Bhavan Pottore, Thrissur



Perubahan utama yang perlu dilakukan di sekolah untuk menjadikannya lebih mesra pelajar cacat penglihatan adalah dengan mengekalkan persekitaran yang tidak bising, kerana ini boleh membantu mereka menumpukan perhatian kepada pendengaran. Meletakkan jalur di laluan pejalan kaki juga akan membantu mereka berasa laluan, yang membolehkan pelajar-pelajar itu lebih berdikari.

Subathradevi.S,

Class X, Alwin Memorial Public School



Sekolah kami boleh membuat persiapan untuk komputer dengan teknologi yang bertambah baik dilengkapi pembaca skrin. Teks, gambar dan filem yang disimpan di dalam komputer boleh dihantar melalui isyarat yang akan dilihat dan dianalisis oleh pelajar yang cacat penglihatan melalui antara muka.

K.Akhil Vasanth

Class VI, Pushpalata British International School, Tirunelveli

Sunday 27 July 2014

Penyanyi buta belajar seni visual memimpin koir

Rencana "Blind singer learns visual art of conducting a choir" bertarikh 24 Julai 2014 terbit di BBC



Bagaimana hendak memimpin koir jika anda tidak dapat melihat nota muzik atau pemain muzik yang berada di hadapan?

Bagi penyanyi opera buta Victoria Oruwari ini adalah cabaran yang dihadapinya apabila dia menyertai empat pemuzik cacat penglihatan lain yang telah bersama-sama menghadiri satu masterclass memimpin koir sebelum secara terbuka memegang baton dan memimpin persembahan muzik yang dipilih mereka sendiri di Wigmore Hall London.

Dikendalikan oleh Royal National Institute of Blind People, kelas itu bertujuan membantu pemuzik buta dan cacat penglihatan mendapat pemahaman yang lebih banyak tentang peranan seorang konduktor muzik dan juga memberikan mereka peluang belajar daripada salah seorang yang terbaik dalam bidangnya di negara ini.

Victoria buta sepenuhnya dan mengatakan bahawa, apabila membuat persembahan, dia tidak pula berfikir tentang apa yang konduktor lakukan. Oleh itu untuk menguasai kemahiran dalam masa satu hari adalah satu cabaran, terutamanya kerana dia perlu belajar isyarat-isyarat rumit dengan sentuhan.

Saturday 26 July 2014

Kasut pintar untuk membantu mereka yang cacat penglihatan bergerak dilancarkan oleh sebuah syarikat baharu di India

Rencana "Smart shoes to help visually impaired get around debuted by Indian start-up” oleh Caroline Preece bertarikh 24 Julai 2014 terbit di itpro







Kasut pintar baru yang direka oleh sebuah syarikat di India mungkin menjadi sesuatu yang akan meledak popular pada masa akan datang dalam teknologi yang boleh dipakai.



Kasut pintar yang direka untuk membantu mereka yang cacat penglihatan bergerak lebih mudah telah diumumkan oleh syarikat Ducere Technologies Pvt.



Kasut ini adalah contoh terbaru teknologi yang dapat dipakai dan berpotensi berjaya.



Kasut bluetooth, digelar Lechal, selaras dengan aplikasi Google Maps pada telefon pintar anda dan bergetar apabila pemakai perlu bertukar arah atau tiba di destinasi yang dikehendaki.



Apabila tiba masanya untuk membelok ke kanan atau kiri, pemakai akan merasa getaran - satu ciri yang sangat berguna bagi pengguna cacat penglihatan yang sebelum ini terpaksa bergantung kepada penggunaan tongkat ketika berjalan.



Krispian Lawrence, pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif syarikat itu, berkata: "Kasut ini adalah lanjutan daripada badan manusia. Anda mungkin akan meninggalkan rumah tanpa jam tangan atau gelang tangan, tetapi anda tidak akan meninggalkan rumah tanpa kasut. "



Sebagai tambahan kepada fungsi membantu orang buta dan yang kurang upaya penglihatan, kasut itu juga dijangka boleh menjadi aksesori menarik untuk pejalan kaki dan pelancong yang mahu mengemudi perjalanan tanpa perlu sentiasa memeriksa telefon mereka. Mereka boleh mencari jalan dengan hanya menurut getaran setelah menyelaraskan kasut ke Google Maps.



Pengesan kecergasan telah menjadi sangat popular, dan kasut Lechal (yang bermaksud "bawa saya bersama-sama" dalam bahasa Hindi) boleh menjadi alternatif yang menarik berbanding jam tangan pintar dan gelang tangan.

Friday 25 July 2014

Sebuah negara 'pendatang'

Rencana "A nation of ‘pendatang’" oleh Azrul Mohd Khalib bertarikh 25 Julai 2014 terbit di themalaymailonline



Saya rasa sakit dan bosan dengan orang yang melabelkan rakyat Malaysia sebagai "pendatang".

Lazimnya, istilah ini yang menggambarkan masyarakat yang telah berhijrah ke negara yang baru tidaklah dianggap meremehkan atau menghina. Di Amerika Syarikat dan United Kingdom, walaupun masih ada perdebatan berterusan mengenai imigresen dan pendatang di negara-negara ini, sumbangan pendatang telah diiktiraf sebagai sesuatu yang menjadikan negara tersebut lebih gah. Malahan John F. Kennedy menyatakan Amerika sebagai "sebuah negara pendatang."

Di Malaysia, istilah itu kadang-kadang digunakan untuk meremehkan dan menindas serta menunjukkan keunggulan atau penguasaan ke atas yang lain.

Masalahnya, selain daripada Orang Asal yang mungkin mempunyai tuntutan paling sah sebagai penduduk asli tanah ini yang dianggap sebagai tanah air kita, semua orang lain adalah pendatang dari satu-satu tempat. Jawa, Kepulauan Maluku, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Sumatera, China, India malahan Portugal!

Sebut sahaja nama sesuatu tempat di Asia Tenggara, dan anda boleh bertaruh bahawa moyang seseorang kemungkinan besar datang dengan perahu dari sana membina kehidupan yang lebih baik untuk diri mereka dan keluarga di tanah ini.

Tidak ada bahagian dalam negara ini yang belum disentuh oleh pengalaman pendatang kita. Malah kerajaan Melayu boleh mengesan asal-usul awal daripada seorang Hindu dari Sumatera, Parameswara, seorang pelarian yang melarikan diri daripada peperangan dan penganiayaan. Saya fikir dia berjaya dalam hidupnya, bukan begitu?

Negara ini telah dan sedang dibina hasil usaha rakyatnya, termasuk komuniti pendatang. Sumbangan mereka boleh dilihat dalam setiap aspek kehidupan kita.

Ia boleh dilihat dalam politik, agama, perniagaan, undang-undang dan pendidikan. Pertimbangkan hakikat bahawa Islam adalah agama asing yang dibawa ke negara kita oleh pendatang dan pedagang dari negara-negara lain.

Sama seperti pembiakbakaan bukanlah idea yang baik kerana akan meningkatkan kemungkinan gangguan genetik dalam populasi, wadah tumpuan kepelbagaian yang wujud di dalam masyarakat Malaysia hari ini adalah apa yang memastikan kita belajar, berinovasi dan mencapai kemajuan. Penglibatan dan penerimaan, dan bukannya toleransi semata-mata, adalah penting kepada kepelbagaian sosial dan pluralisme yang menjadikan Malaysia lebih kukuh dan makmur.

Penerimaan nilai-nilai inilah yang memungkinkan seorang anak dengan bapa yang asalnya berhijrah dari negeri di selatan India Kerala, melalui kerja keras, komitmen dan pengorbanan, kemudian menjadi perdana menteri keempat Malaysia.

Ini telah menjadi rahsia kemajuan dan kejayaan Malaysia selama ini. Penerimaan kepelbagaian masing-masing menerusi pengalaman pahit dan gelap masa lalu.

Apabila lebih daripada satu juta orang telah diberikan kewarganegaraan dan menjadi anggota sebuah negara baharu pada tahun 1957, tindakan itu bukanlah unutk membantu mereka, seperti yang selalu difikirkan atau diketengahkan oleh segelintir masyarakat.

Ia merupakan pengiktirafan yang jelas, pandangan jauh dan wawasan oleh pengasas seperti Tunku Abdul Rahman bahawa pembinaan negara memerlukan lebih daripada kemerdekaan. Ia memerlukan yang terbaik dan cemerlang, yang rajin dan komited, pengumpulan tenaga kerja dan kebijaksanaan. Ia memerlukan lebih daripada apa yang sudah sedia ada. Darah, peluh, air mata dan pengorbanan daripada orang yang sudah menjadi warganegara dari semua segi kecuali nama. Oleh itu, negara ini dibina berdasarkan janji apa yang kita boleh capai, dan apa yang akan menjadi jika semua berganding bahu.

Memanggil mereka "pendatang" bukan sahaja akan menolak dan tidak mengiktiraf semua orang yang membina negara ini sebelum kita melalui pengorbanan, kerja keras dan nyawa masing-masing.

Tindakan itu merupakan satu pendedahan terhadap kejahilan dan keangkuhan, serta kurangnya rasa terima kasih, penghargaan dan pemahaman wawasan besar yang dikemukakan oleh wanita dan lelaki yang mengasaskan negara ini.

Tahun ini menandakan tahun ke-57 semenjak Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Marilah kita menghabiskan bulan seterusnya merancang dan berbahas tentang 57 tahun yang akan datang di negara bertuah ini. Kita tidak harus lupa bahawa kita semua menjadi lebih baik dan makmur jika percaya serta berusaha ke arah takdir dan masa akan datang yang dikongsi bersama. Bersama-sama.

Pada satu ketika dalam sejarah, kita semua adalah pendatang. Ya, memang benar, tetapi hari ini, kita semua rakyat Malaysia.


Jurugambar yang buta

Rencana "The photographer who is blind" oleh Don Battley bertarikh 23 Julai 2014 terbit di abc



Brenden Borellini dilahirkan pekak seratus peratus dan dengan penglihatan terhad yang berterusan menjadi buta penuh. Kecacatannya membangkitkan banyak halangan semasa beliau membesar tetapi dengan kerja keras dan bantuan daripada Unit Pendidikan Khas Cavendish Road State School di Brisbane, beliau menjadi pelajar pekak dan buta yang pertama menamatkan pendidikan sekolah tinggi dan masuk ke universiti.

Pada tahun 1989 beliau telah diiktiraf dan memenangi anugerah Australian of the Year untuk pencapaian akademik. Tetapi Brenden tidak berhenti di situ sahaja.

Perubahan bermula selepas berpindah dari Brisbane ke Mackay apabila Brenden bertemu Steve Mayer-Miller, pengarah seni Crossroad Arts, sebuah pertubuhan tempatan yang membangunkan peluang-peluang bagi orang kurang upaya mengakses dan mengambil bahagian dalam seni.

Steve mengatakan bahawa idea keseluruhan fotografi untuk seseorang yang pekak dan buta adalah baru kepadanya. Beliau telah bekerja dengan orang pekak sebelumnya dan orang buta juga, tetapi, gabungan kedua-duanya adalah sesuatu yang belum pernah diterokai.

Selepas menunjukkan Brenden butang pada kamera, dia dengan cepat mengambil inisiatif dan mula mengambil gambar.

Seorang jurugambar buta ... Bagaimana?

Steve mahu bermula dengan memberikan maklum balas secara objektif, teknikal dan subjektif kepada Brenden tentang gambar yang telah diambil .

Menggunakan peranti yang menukarkan teks kepada Braille, mereka yang bekerja dengan Brenden dapat memberi pandangan yang objektif dengan menjelaskan gambar tersebut secara terperinci.

Brenden kemudian menerima maklum balas teknikal menggunakan bahasa fotografi seperti komposisi, cahaya, kesan shutter dan kedalaman.

Kemudian dia menerima tafsiran subjektif gambar dan emosi yang dirasai setiap orang, memberikan sejumlah tiga sudut pandangan yang berbeza.

Apa yang Brenden lihat?

Soalan ini menyebabkan kumpulan seni tadi meneliti peranti yang membolehkan imej dua dimensi menjadi tiga dimensi supaya Brenden juga boleh mentafsirkan tekstur dalam gambar.

Estetik fotografi tidak pernah menjadi matlamat sebenar. Ini lebih kepada pengalaman mengambil gambar dan bukan gambar yang dihasilkan itu sendiri.

Proses ini membantu menghilangkan rasa terasing Brenden akibat kecacatannya dan menghubungkan dia dengan masyarakat di sekitar.

Thursday 24 July 2014

Pulang ke asal untuk menyokong orang buta

Rencana "Man returns to roots to advocate for blind" oleh Alexis Cubit bertarikh 22 Julai 2014 terbit di hidesertstar



Karl Mundstock, 47, dari LembahYucca, bukanlah buta semenjak lahir.

Pada Disember 2005, beliau disahkan menghidap Sindrom Usher, yang melibatkan kehilangan pendengaran dan retinitis pigmentosa, penyakit mata yang menyebabkan kehilangan penglihatan. Walaupun beliau berjuang dengan apa yang dialami pada mulanya, Mundstock kini berdamai dengan keadaannya.

"Semua orang berfikir ia adalah satu perkara yang mengejutkan dan dalam banyak hal, memang ia," kata Mundstock. "Tetapi, ia juga satu rahmat kerana telah memaksa saya untuk menimbangkan semula halatuju hidup saya dan melihat apa yang penting bagi saya. Apa yang akan memberikan makna dalam kehidupan saya mulai saat ini? Dalam proses itu, kembali ke sini (Lembah Yucca) adalah sebahagian daripadanya. Berada di tempat biasa yang tidak banyak berubah adalah menyenangkan. "

Apabila tahu dia boleh menjaga dirinya tanpa penglihatan, Mundstock membuat keputusan untuk mendapatkan anjing pemandu.

"Kami telah berpasangan semenjak tahun lalu di Guide Dogs in America di Sylmar," katanya. "Berlaku sedikit ketegangan ketika itu kerana saya tidak biasa dengan haiwan dan anjing itu pula, jelas, belum biasa dengan saya semasa latihan."

Menurut laman web Guide Dogs in America, ia mengambil masa kira-kira enam bulan hingga setahun untuk anjing pemandu dan pengendalinya "belajar bekerja selari."

Sama seperti pengendali dan anjing mesti mengenali antara satu sama lain, orang di sekeliling mereka harus menyedari etika dan garis panduan yang betul apabila menghampiri kedua-duanya.

"Sudah tentu mulakan dengan 'hai,'" kata Mundstock. "Biarkan mereka tahu anda berada di situ kerana sering kali ramai orang buta tidak mempunyai rasa tentang ruang; kadang-kadang mereka telah kehilangan pendengaran seperti saya. Biar mereka tahu anda berada di situ dan jika mahu bertegur sapa, cakaplah, 'Apa khabar? Cakap sahaja sesuatu secara umum."

Kaedah-kaedah umum yang lain termasuklah memperakui kehadiran orang itu dan bukannya anjing tersebut. Jangan panggil, belai atau ganggu anjing pemandu yang sedang bekerja dan jangan tarik tali pemegang daripada pengendali. Banyak peraturan bergantung kepada personaliti pasukan pemandu itu, tetapi ada satu peraturan umum yang dipatuhi semua.

"Peraturan asas ialah bertanya apabila ragu-ragu," kata Mundstock. "Tanya orang itu. Jangan bercakap dengan anjing itu, jangan bercakap dengan orang di sekeliling, tetapi tanyalah orang yang berkenaan."

Mundstock percaya semua yang berlaku mempunyai sebab dan kepulangannya ke Lembah Yucca juga tidak berbeza. Beliau merancang mendidik orang ramai tentang pasukan pemandu dan meningkatkan kesedaran berkenaan isu-isu yang dihadapi oleh mereka yang kehilangan penglihatan, termasuk kekurangan pengangkutan.

"Saya dikunjungi seorang pelajar dari Institut Braille minggu lalu," kata Mundstock. "Dia tidak punya pilihan lain ke sini selain daripada menumpang menggunakan iklan Craigslist dan itu amat menakutkan. Itu tidak perlu berlaku. Saya ingin melihat beberapa jenis hubungan di antara perkhidmatan pengangkutan Sunline dan apa yang kami ada di sini. "

Mundstock ingin melihat beberapa perkara bertambah baik bagi orang-orang buta di Lembangan Morongo, tetapi bersyukur kepada mereka yang terus membantunya.

"Para peniaga tempatan, semenjak saya pulang ke sini, benar-benar baik, khususnya, pasaraya Stater Bros," katanya. "Kakitangannya begitu bertimbangrasa dan saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka."


Wednesday 23 July 2014

Dari gelap ke terang

Rencana "From darkness to light" oleh Peggy Loh bertarikh 20 Julai 2014 terbit di nst



Chef buta Allan Fraude memasak dengan begitu bersemangat sehinggakan orang celik pun akan iri hati, tulis Peggy Loh

Apabila seorang rakan memberitahu saya tentang Allan Fraude, bintang siri TV 13 episod Cooking in the Dark, (masih dalam pasca produksi), saya tertarik untuk berkongsi cerita beliau. Ini kerana Allan seorang buta dan keterujaannya memasak akan memberi inspirasi kepada mereka yang sedang melalui cabaran hidup.

Berbekalkan sikap yang positif, Allan yang berusia 53 tahun itu telah mengatasi banyak halangan dengan penuh azam. Bertemu beliau boleh diumpamakan seperti satu perjumpaan semula kerana pada tahun-tahun 1950-an, ibu bapa saya dan ibu Allan pernah bekerja bersama-sama di Hospital Besar Johor Bahru (kini dikenali sebagai Hospital Sultanah Aminah).

Sementara ibu-ibu kami berbual-bual, saya menyertai Allan di dapur yang hendak memulakan demonstrasi masakan beliau. Allan selesa di dapur kerana isterinya, Wong Man Chen, telah menguruskan ruang tersebut sebegitu rupa supaya Allan tahu di mana segala-galanya berada dan boleh mencapai barang-barang itu secara intuitif. Sinki berkembar, ruang penyaliran yang sempit serta dapur gas dengan empat alat pemanas adalah daerahnya.

Allan begitu mesra berceloteh sementara beliau memasak tujuh hidangan untuk makan tengah hari kami. Sepanjang masa tersebut, Allan bergerak dengan tangkas di antara sinki, dapur serta peti sejuk dan saya berhati-hati tidak menghalang pergerakannya.

PENGARUH AWAL

Allan, anak keenam dalam sebuah keluarga dengan lima orang kakak dan seorang adik lelaki, secara beransur-ansur hilang penglihatannya pada tahun 1990 akibat glaukoma. Mendiang bapanya, Kalliff Paul Fraude, seorang Serani keturunan Scotland dan Thai dilahirkan di Ipoh dan datang ke Johor untuk bekerja di Kulai Palm Oil Estate. Neneknya dari Thailand selalu menyediakan hidangan pedas dan bapa beliau serasi dengan masakan berempah itu, begitu juga Allan dan adik-beradiknya. Allan mengimbas kembali bagaimana dia sering membantu neneknya membeli bahan-bahan masakan dan mungkin ini mencetuskan minatnya memasak.

CILI PADI

Cili padi memang banyak dalam resipi yang diperturunkan daripada nenek Thai beliau kepada bapanya. Bapa Allan mempunyai beberapa kegemaran seperti kari Devil, kway teow goreng dan nasi goreng yang selalu dimasak untuk keluarga, serta banyak melibatkan cili padi. Beliau masih ingat betapa menariknya kari Devil bapanya kerana tidak kira seberapa pedas, mereka akan memberanikan diri memakannya.

Di estet, mereka tinggal di sebuah banglo dan melalui zaman kanak-kanak yang menggembirakan, merayau-rayau di serata estet dan bergaul bebas dengan jiran pelbagai budaya. Allan berkata mereka menemui keenakan makanan tradisional Melayu dan India serta didedahkan dengan pelbagai masakan dan budaya terutama sekali pada musim perayaan.

FUSION RASA

Salah satu imej yang masih diingat dengan baik dari zaman kanak-kanak adalah bagaimana ibunya akan mengisar pes cili sendiri menggunakan batu giling atau batu pengisar, untuk kari beliau yang terkenal dan masakan pedas lain. Ibunya keturunan Teochew dan di antara resipi Cina beliau dan hidangan Serani bapanya, mereka mencipta beberapa kegemaran keluarga yang unik, yang paling popular adalah satu bentuk Roti John yang mereka namakan Roti Babi kerana ia adalah sandwich yang diisi daging babi cincang, dicelup dalam adunan telur sebelum digoreng dan kemudian dinikmati dengan sos celup pedas.

Pada masa itu, peniaga yang berulang alik akan mendirikan satu pasar malam yang kecil di dalam estet pada hari-hari pembayaran upah untuk menjual makanan dan pakaian. Allan berkata ini masa yang dinanti-nantikan setiap hujung bulan bagi seisi keluarga kerana bapanya sering membeli mereka sate dan ketupat. Beliau berkata mereka jarang makan di luar dan satu-satunya masa mereka boleh makan di restoran adalah apabila dijemput untuk sesuatu majlis perkahwinan.

TITIK PERUBAHAN

Isterinya, Man Chen, adalah bekas rakan sekolah yang menjadi kekasihnya dan mereka berkahwin pada tahun 1989. Selama 10 tahun Allan bekerja di sebuah bank di Kulaijaya dan selama itu, beliau sering mengalami tekanan mata yang teruk dan kemudian disahkan menghidap glaukoma. Dia tidak sedar bahawa kerosakan saraf optik berlaku secara beransur-ansur dalam matanya dan penglihatannya telah semakin merosot perlahan-lahan. Man Chen mengimbas kembali rasa cemas apabila dipanggil ke bank pada satu hari apabila Allan tiba-tiba berdarah pada mata kirinya.

Dia bergegas ke hospital tetapi selepas rawatan, kerosakan kekal pada saraf optik menyebabkan beliau beransur-ansur hilang penglihatan pada mata kirinya. Man Chen tidak akan lupa satu malam pada tahun 1990 semasa dia mengandung dan air tubannya pecah di penghujung waktu kehamilan. Beliau berkata ia adalah satu keajaiban Allan berjaya memandu dengan selamat ke hospital di Johor Bahru pada jam 2 pagi apabila dia mempunyai kurang daripada 10 peratus penglihatan pada mata kanannya.

Penglihatan Allan merosot dengan pantas dan apabila anak perempuan mereka, Rebecca, hanya berusia dua bulan, beliau menjadi buta. Pada tahun 1993, Allan menyertai Pusat Latihan Gurney di Kuala Lumpur di mana dia belajar membaca Braille dan kemahiran yang lain untuk hidup dengan kecacatannya. Walaupun Allan mengambil kursus latihan dalam terapi urut, beliau tidak menjadikannya sebagai kerjaya.

Man Chen menjadi pencari nafkah tunggal keluarga dan oleh kerana dia tidak mempunyai masa untuk memasak, mereka makan di rumah mertua atau di restoran-restoran yang berdekatan. Oleh kerana ibunya semakin berumur dan kurang memasak, beliau mengambil keputusan mencuba memasak sendiri.

Ini merupakan titik perubahan untuk Allan apabila dia membuat keputusan untuk memasak hidangan kegemaran keluarganya. Jika beliau tidak pasti tentang sesuatu resipi, dia akan menelefon ibunya. Dia sedar bahawa jika dia tidak belajar memasak hidangan kegemaran keluarga, dia mungkin tidak akan lagi merasainya kerana adik-beradik beliau tidak pernah menguasai resepi keluarga mereka.

"Isteri dan anak perempuan saya menjadi bahan uji saya," kata Allan. Keberanian isterinya menyokong usaha memasak beliau meraih manfaat bersama kerana Allan mendapat keyakinan baru, dan dapat pula menikmati hidangan zaman kanak-kanak beliau dan berkongsi dengan keluarga dan rakan-rakan.

MEMASAK DALAM GELAP

Perubahan diri Allan menarik perhatian anak saudara beliau, Sonia Chall, yang memperkenalkan dia kepada sebuah syarikat penerbitan tempatan, Crooked Mirror Productions. Penerbit menjadikan dia bintang siri TV 13 episod Cooking in the Dark di mana beliau berkongsi rahsia resipi keluarganya.

Dalam program 30 minit yang dihoskan oleh personaliti TV Malaysia, Jay Menon, Allan menunjukkan kebolehannya memasak dalam gelap. Siri TV ini bertujuan memberi inspirasi kepada orang kurang upaya dengan semangat "boleh-buat" Allan dan menggunakan masakan sebagai analogi hidup untuk menunjukkan bagaimana kita boleh mengatasi halangan-halangan hidup.

Beliau mengimbas kembali pengalaman penggambaran yang menarik di Kuala Lumpur dan cabaran memasak di dapur yang belum biasa digunakan. Tetapi, beliau berkata, adalah menyeronokkan menyediakan lebih daripada 20 resipi keluarganya untuk siri ini. Selain kari Devil bapanya, Allan juga memasak hidangan kegemaran tempatan seperti popiah, nasi lemak, sambal petai dan juga kari ikan India.

"Saya tidak pernah terluka setakat ini," kata Allan dengan senyuman puas ketika dia menggunakan pisau dengan tepat memotong timun untuk digoreng bersama-sama udang kering dan bawang putih. Menggunakan deria sentuh dan rasa, Allan membubuh udang kering dan bawang putih ke dalam lesung dan ditumbuk dengan alu.

Saya terpesona melihat Allan membasuh dan mengukur terung serta bendi dan dengan cekap memotongnya dalam ukuran panjang yang sama untuk ditambah ke dalam kari ikan yang sedang menggelegak. Dia mendengar detaran dan menghidu bau aroma bahan-bahan yang ditumis untuk menentukan setakat mana lauk itu telah dimasak. Semua ini dilakukan serentak dengan pergerakannya mengalih periuk dan kuali di dapur dan sinki dengan kemahiran yang menakjubkan.

Apabila kami duduk untuk menikmati makanan, saya berasa rendah diri. Kekaguman terhadap Allan meningkat dengan setiap suap kari Devil, kari ikan, kentang lecek masala, omelet telur, goreng timun dengan udang kering dan bawang putih, ayam rebus dalam sos hitam dan taugeh goreng dengan ikan masin.

Azamnya untuk hidup lebih berdikari dan menyumbang kepada kesejahteraan keluarganya, sesungguhnya adalah satu inspirasi. Sementara Rebecca membantu menghidangkan makanan di meja dan Man Chen mengemas di dapur, saya dapat merasakan rasa bangga mereka yang tidak diucapkan terhadap Allan.

Tuesday 22 July 2014

Kegembiraan mengembara bagi mereka yang cacat penglihatan

Rencana "The joy of travelling for the visually impaired" oleh Chester Chin bertarikh 19 Julai 2014 terbit di thestar



Kurangnya pilihan bersiar-siar tidak menghalang orang buta dan cacat penglihatan daripada melancong.

Selepas pendakian yang lama dan sukar pada satu hari di bulan Disember 1981, Liza Maria Beh mendapati dirinya di atas Ayers Rock di Australia. Walaupun pejalan kaki lain menikmati pandangan indah MacDonnell Ranges, ia adalah satu pengalaman yang sangat berbeza untuk Beh. Rasa panas, angin dan bunyi memberikan sensasi yang mendebarkan bagi wanita yang dilahirkan buta itu.

"Anda kehilangan input penglihatan, tetapi anda masih menerima input lain, seperti bunyi dan rasa di persekitaran," kata Beh.

"Melancong adalah sangat baik, sama ada anda buta atau tidak. Anda belajar tentang budaya penduduk tempatan dan berpeluang mencuba makanan di tempat-tempat yang anda lawati," dia menambah.

Mendengar pengalaman wanita berusia 57 tahun ini, kita dapat rasakan bahawa selain daripada bersiar-siar, mengembara benar-benar tidak banyak bezanya untuk orang buta dan cacat penglihatan jika dibandingkan dengan mereka yang boleh melihat.

Walau bagaimanapun, Beh - yang telah mengembara ke tempat-tempat seperti Boston, Massachusetts di Amerika Syarikat dan England - cepat menyatakan bahawa pemandu celik sebagai aspek penting dalam perjalanan orang buta itu.

Bekas Timbalan Pengarah Eksekutif Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) Godfrey Ooi, 65, bersetuju dengan Beh.

"Bagi orang buta, pengembaraan boleh menjadi masalah, jadi kita memerlukan bantuan daripada sukarelawan. Oleh kerana kita tidak dapat melihat sesuatu dengan mata kita sendiri, kita perlu orang lain untuk menggambarkan pemandangan yang dilihat bagi pihak kami," kata Ooi.

Ahli majlis MAB K. Sundralingam, 78, adalah salah seorang sukarelawan tersebut. Lelaki yang telah membantu Ooi dalam perjalanannya ke beberapa tempat menarik di negara ini mengatakan bahawa nisbah yang terbaik pemandu celik untuk pengembara buta adalah 1:1 kerana ini membolehkan pemandu memberi perhatian penuh kepada teman perjalanan beliau.

Apabila menggambarkan pemandangan kepada orang buta atau cacat penglihatan, Beh menekankan bahawa adalah penting untuk memberitahu apa sebenarnya, supaya mereka tidak terlepas pengalaman yang sepenuhnya.

Bagi membimbing orang buta, teman yang celik harus membiarkan orang buta memegang siku mereka atau meletakkan tangan mereka di bahu dan berjalan ke hadapan selangkah-selangkah pada satu masa dan bukannya menolak orang buta dari belakang.

Manakala mempunyai teman yang celik adalah tidak ternilai, perjalanan solo juga boleh dicapai bagi orang buta dan cacat penglihatan. Dr Tan Tok Shiong, 56, adalah salah seorang individu yang berdikari itu.

Lelaki itu melancong hanya dengan tongkat, beg sandang dan sedikit wang tunai.

Tan, dengan cacat penglihatan yang berpunca daripada mutasi genetik yang berkembang sejak lahir, menikmati perjalanan dengan berjalan jauh.

"Satu-satunya benda yang boleh saya lihat dengan jelas adalah garis putih di jalan raya. Dengan mengikuti garis putih, saya boleh pergi dari bandar ke bandar, "jelas bekas pensyarah itu. Antara tempat-tempat yang telah dilawatinya termasuklah Brunei, Thailand dan Pulau Samosir di Indonesia.

"Kegembiraan berjalan sahaja sudah membuatkan saya ingin mengembara. Apabila saya memulakan perjalanan saya, saya rasa begitu gembira dan saya berjalan selama beberapa hari. Hanya apabila saya mula berasa bosan atau apabila kaki saya mula tidak larat baharulah saya mengakhiri perjalanan dan pulang ke rumah," kata Tan.

Tan membuat semua persiapan logistik yang diperlukannya sendiri dan mengemudi jalan dengan bertanyakan penduduk tempatan.

"Apabila ada orang yang memotong saya, ia juga merupakan satu peluang untuk berbual-bual. Saya pun akan bertanya kepada mereka bagaimana hendak sampai ke tempat-tempat tertentu atau sama ada saya bergerak ke arah yang betul," jelas Tan.

Beliau menambah bahawa orang yang tidak dikenali yang ditemuinya memang bertolak ansur. Walau bagaimanapun, keadaan boleh menjadi rumit sedikit di negara-negara dengan penduduk yang lebih ramai memandu kenderaan, seperti di Brunei, kerana kurang pejalan kaki yang boleh diminta bantuan. Pada masa ini, Tan mengambil bahagian dalam pengembaraan yang dianjurkan oleh MAB.

Pilihan terhad

Apabila memperkatakan tentang pusat pelancongan tempatan, pilihan untuk orang buta adalah terhad. Muzium-muzium di Malaysia, kata pembantu penglihatan rendah MAB Barnarbas Lee, agak tidak mesra orang buta dan cacat penglihatan.

"Di muzium tempatan, mereka sangat takut apabila orang buta menyentuh apa yang dipaparkan. Apabila anda mahu sentuh paparan, anda biasanya mendapat jawapan seperti 'Ia akan pecah', 'Ia akan kotor' atau 'Anda akan meninggalkan cap jari," kata Lee. Untuk satu aktiviti yang mudah seperti membeli-belah, beliau berkata, kebanyakan pekedai biasanya sangat berhati-hati kerana mereka takut orang buta akan terlanggar barang-barang yang dipamerkan.

Walaupun Lee memahami kegusaran beberapa pegawai tersebut, dia berkata bahawa orang buta dan cacat penglihatan juga inginkan pengalaman melancong di Malaysia.

Ooi mengatakan bahawa adalah penting untuk menggabungkan sentuhan yang meningkatkan pengalaman keseluruhan. Beliau mencadangkan bahawa muzium-muzium menyediakan penerangan dalam Braille dan model paparan yang boleh dirasai oleh orang buta dengan tangan mereka.

Lee mengatakan bahawa industri pelancongan tempatan perlu mencontohi beberapa rakan mereka di luar negara. "Apabila anda pergi ke Eropah atau Australia, pertunjukan pentas dan persembahan disertakan bersama dengan audio deskriptif yang membantu orang buta," katanya.

Beliau menambah bahawa adalah agak sukar juga untuk berurusan dengan syarikat pelancongan tempatan.

"Saya agak kebanyakan syarikat pelancongan tempatan rasa bimbang. Saya tidak menyalahkan mereka. Mungkin mereka tidak mengetahui keperluan orang buta apabila kita mengembara, "kata Lee.

Apa-apapun, kekurangan pengetahuan adalah salah satu daripada halangan terbesar yang mencegah industri pelancongan daripada benar-benar boleh diakses oleh orang buta.

Lapangan terbang adalah salah satunya, menurut Beh, tempat wujudnya kekurangan kesedaran menyebabkan orang buta dan cacat penglihatan secara tidak sengaja dipandang rendah.

"Anda meminta bantuan, dan mereka membawa keluar kerusi roda pula. Entah bagaimana, orang cenderung menganggap bahawa orang kurang upaya memerlukan kerusi roda. Orang buta boleh berjalan jadi kami tidak memerlukan kerusi roda. Apa yang kami perlukan adalah pemandu celik untuk membantu kami," kata Beh.

Walau bagaimanapun, Beh tidak kesal dengan pengalaman pahit itu kerana dia tahu bahawa mendidik orang awam tentang kebutaan adalah proses yang berterusan.

Pasaran yang belum diterokai

Perkara yang pokok ialah orang buta dan komuniti OKU tetap disisih oleh masyarakat. Ini secara tidak sengaja menjadikan mereka peluang pasaran baru dalam industri pelancongan.

Ini tidak mengambil kira hakikat bahawa ia masih pasaran yang mempunyai potensi besar, kata Sia Siew Chin, 47, pengarah eksekutif Beautiful Gate Foundation for the Disabled . Yayasan ini telah menganjurkan persidangan di peringkat negara dan serantau untuk menggalakkan pelancongan yang boleh diakses orang kurang upaya.

Sia berkata industri pelancongan perlu sedar akan ada lebih ramai orang yang tidak mempunyai penglihatan penuh akibat bilangan warga emas yang kian meningkat sejajar dengan kualiti penjagaan kesihatan umum yang semakin baik.

Walaupun memang ada potensi yang belum diterokai dalam pelancongan untuk orang buta, pengarah urusan Cherry Bird Travel & Tours George Woo berkata permintaannya masih rendah. Agensi pelancongan itu pernah mengendalikan pelancongan dan pemindahan untuk orang buta dan kurang upaya.

"Apa yang dilakukan ialah kita akan meninjau tempat penginapan dan tempat-tempat yang menarik untuk memastikan ia sesuai dan mesra orang kurang upaya," kata Woo.

"Mengendalikan lawatan untuk orang buta dan orang kurang upaya memerlukan lebih banyak persiapan daripada lawatan biasa. Ia mencabar tetapi tidak mustahil," tambah beliau.

Walaupun kekurangan kemudahan yang sepatutnya tidak menghalang orang buta dan cacat penglihatan daripada mengembara, Beh berkata adalah lebih baik jika lebih ramai orang bersedia membantu masyarakat buta.

"Orang buta perlu diberi kuasa untuk pergi menikmati pengembaraan mereka sendiri," dia membuat kesimpulan.