Rencana "Guide
dogs and guns: America's blind gunmen" oleh William Kremer
bertarikh 12 Ogos 2014 terbit di
bbc
Di Amerika Syarikat,
kurang upaya penglihatan bukanlah penghalang memiliki dan membawa
senjata api. OKU penglihatan yang berbuat demikian mengatakan mereka
hanya menggunakan hak perlembagaan sedia ada, dan tidak mendatangkan
bahaya kepada orang ramai.
Apabila Carey
McWilliams pergi ke pejabat sheriff di Fargo, North Dakota, untuk
memberi maklumat yang perlu untuk mendapatkan permit membawa senjata
yang tersimpan, kakitangan di situ segera perasan dia memegang
abah-abah atau harness untuk anjing pemandu.
Wanita di belakang meja
petugas menegaskan bahawa beliau perlu lulus ujian menembak sebelum
diberi lesen, tetapi McWilliams berkata, dia tahu tentang syarat itu.
Dia memberitahu, wanita tadi tidak perlu bimbang.
"Kemudian dia
telah mengambil gambar saya dan permohonan itu melalui tahap demi
tahap pegawai-pegawai - borang permohonan mendapat tandatangan ketua
polis Fargo, sheriff dan pejabat peguam negeri - dan mereka terus
menerus memanggil saya, berkata: 'Ada ujian menembak, ada ujian
menembak.' "
Hari ujian pun tiba,
dan McWilliams pergi ke lapangan sasar polis bersama-sama seorang
rakan yang juga cuba mendapatkan permit. Sasaran adalah cut-out
penyerang separuh saiz manusia, sejauh tujuh ela (6.4m) dari
kedudukan menembak. McWilliams melepaskan satu siri tembakan dengan
magnum 0.357, semuanya kena di sekitar bahagian jantung sasaran
beliau.
Jelas sekali, dia tahu
apa yang dia lakukan.
Beliau meminati senjata
api sejak berumur 15 tahun, apabila, sebagai seorang kadet tentera
udara, dia menyertai kem tentera. Marin yang bertanggungjawab bagi
lapangan sasar mempunyai seorang abang yang telah kehilangan
penglihatannya tetapi mereka masih pergi memburu bersama-sama, jadi
dia membiarkan McWilliams mengendalikan mesingan M16. McWilliams,
yang sebelum dia kehilangan penglihatannya pada usia 10 tahun
berangan-agan menyertai perkhidmatan tentera, serta-merta teruja.
Tiga tahun kemudian,
beliau meminta untuk mendaftarkan diri dalam kursus kemahiran
menembak pistol yang dikendalikan oleh Kor Latihan Pegawai Simpanan,
badan yang melatih pegawai-pegawai untuk angkatan tentera Amerika
Syarikat. Pada masa itu tidak ada keperluan berada dalam tentera
untuk mengambil kursus ini, dan selepas beberapa perbincangan,
pengajar bersetuju untuk mengambilnya. Di lapangan sasar, McWilliams
belajar mengacu ke matlamat tembakan dengan mendengar bunyi
sasarannya digerakkan ke dinding. Latihan ini banyak membantunya.
McWilliams berkata dia menembak lebih baik daripada dua pertiga
kelas, dan dalam peperiksaan akhir beliau mengumpul 105 daripada 100
mata, dengan satu peluru yang entah bagaimana terpelanting dan
melalui sasaran dua kali.
Dia menggunakan teknik
yang sama pada bulan Oktober 2000, di lapangan sasar menembak polis
di Fargo.
"Timbalan sheriff
berkata:" Nah, anda mempunyai semua pelekat ini di sini yang
memberitahu saya bahawa anda buta, tetapi anda lulus ujian, jadi anda
mendapat permit anda. Anda mungkin menghadapi banyak kerumitan kerana
anda merupakan kes ujian bagi keseluruhan sistem, tidak ada orang
yang pernah berbuat begini sebelum ini. "
Permit membawa senjata
api yang disimpan - lesen yang dikehendaki untuk membawa pistol di
khalayak ramai - dikeluarkan di peringkat negeri, dan kriteria serta
kaedahnya berbeza-beza di seluruh AS. Walaupun tidak ada apa-apa
dalam undang-undang North Dakota untuk menghalang seseorang buta -
atau orang yang mempunyai apa-apa kecacatan fizikal - membawa senjata
api, di Florida, sebagai contoh, "ketidakupayaan fizikal untuk
mengendalikan senjata api dengan selamat" disenaraikan sebagai
alasan tidak layak. Namun begitu, walaupun di sana, orang yang buta
dengan lesen North Dakota masih akan dapat membawa senjata apinya,
kerana Florida mengiktiraf permit dari negeri itu.
Adalah lebih mudah bagi
OKU penglihatan untuk memiliki senjata api jika mereka berpuas hati
meninggalkannya di rumah. Di kebanyakan negeri, anda tidak perlu
melakukan ujian menembak atau mendapatkan lesen untuk membeli senjata
api. Oleh itu, tidak ada orang yang tahu berapa ramai rakyat Amerika
OKU penglihatan yang memiliki senjata api sendiri untuk melindungi
rumah daripada penceroboh, berlatih menembak di lapangan sasar atau
memburu.
Carey McWilliams mula
memburu pada tahun 2008. Apabila itik terbang, beliau berkata, mereka
membuat bunyi seperti tayar basikal di kaki lima, dan dia mengesan
mereka dengan senapangnya. Untuk memburu binatang-binatang lain,
seperti rusa, dia pergi bersama-sama teman, yang membisikkan arah -
ke atas sedikit, kiri sedikit, kanan sedikit - tetapi tidak
dibenarkan untuk menyentuh senjatanya.
Memburu dengan cara ini
bukan bermakna tidak menggunakan kemahiran, kata McWilliams. Sebagai
peminat ketenteraan, beliau berhujah bahawa ini tidak berbeza
daripada bagaimana pasukan sniper bekerja di medan tempur, dengan
peninjau memberi arahan lisan kepada penembak. Pada masa dia menekan
picu, terasa sungguh adrenalin mengalir di badannya. "Anda
mungkin boleh mengangkat kereta pada ketika itu. Selepas anda selesai
ia seperti memecahkan belon dan terasa penat. "
Carey McWilliams
"Pada mulanya saya
fikir ia adalah satu gurauan, bahawa OKU penglihatan hendak memburu
buaya," kata Mark Clemens, yang menguruskan sebuah syarikat yang
pakar dalam acara memburu di pantai Florida. "Kemudian saya
menghantar e-mel dan dia memang serius. Dan sebaik sahaja saya
berbual dengan dia di telefon, anda tahu, dia berkata bahawa adalah
sukar mencari sesiapa yang mahu membawanya. Itulah perkara yang
menyedihkan. Semua orang menyangka bahawa beliau tidak mampu
melakukannya. Beliau pasti mampu melakukannya, jika dia mempunyai
arahan. "
Buaya yang ditembak
Carey McWilliams bersama-sama Clemens dan kumpulannya pada tahun 2009
adalah lebih daripada 11 kaki (3.4 m) panjang. Ketika McWilliams
menceritakan bagaimana dia membunuh haiwan itu dengan bangstick 0.44
Magnum - senjata seperti pistol dan tombak - suaranya penuh emosi.
Dia menggambarkan kilat, lasso, trak yang hampir terjatuh dari
benteng dan buaya kedua yang mendekati kumpulan itu dari pantai.
"Mereka tidak mati seperti yang kelihatan di TV," katanya.
Sejak itu, McWilliams
telah berjaya menembak seekor beruang hitam dan kini bercita-cita
memburu di Afrika. Beliau memiliki "lapan atau sembilan"
senjata api, termasuk mesingan AR-15, versi awam M16 yang
dikendalikannya ketika remaja. Sementara itu, beliau terus memberi
tunjuk ajar kepada OKU penglihatan Amerika yang lain tentang
bagaimana mereka boleh mendapatkan permit membawa senjata api yang
disimpan - dia telahpun membimbing hampir 100 orang.
Salah seorang daripada
mereka ialah Jim Miekka, yang dari segi sosial datang dari dunia yang
berbeza. Carey McWilliams tidak bekerja dan tinggal di sebuah rumah
treler dengan isterinya, Victoria, yang mengatakan Carey ialah
seorang "Redneck - tetapi Redneck yang tidak berbahaya - jika
Carey boleh memandu dia akan mempunyai trak pikap yang besar".
Jim Miekka, sementara itu, adalah peniaga kewangan yang membahagikan
masa di antara Florida dan Maine, di mana beliau tinggal di tanah
kediaman seluas 80 ekar. Tetapi kedua-dua lelaki itu mempunyai sikap
yang tidak tahu erti mengalah, berbangga kerana bebas berfikir dan
benar-benar teruja dengan senjata.
Berusia 20-an, Miekka
hilang penglihatannya - dan dua daripada jarinya - dalam satu letupan
di dapur beliau, ketika cuba mengadun bahan kimia yang boleh
digunakan dalam perlombongan. Tidak lama selepas itu, dia mula
menggunakan kepintarannya untuk memudahkan dirinya berfungsi dalam
keadaan baru. Dengan bantuan daripada bapanya, seorang jurutera kimia
yang mempunyai kira-kira 20 paten atas namanya, Miekka membeli
fotosel kadmium sulfida dan menyambungnya supaya maklumat visual
bertukar menjadi klik seperti pada kaunter Geiger. Klik itu bertambah
kuat apabila peranti tadi diarahkan ke garisan luar sesuatu objek,
membolehkan Miekka mengenali tepi bangunan dan jalan raya.
"Saya dapati
bahawa ia berfungsi begitu baik dengan teleskop," Miekka
mengimbas kembali, "dan pada masa yang sama rakan terbaik saya
Bill sering terlibat menembak sasaran, dan beliau berkata, 'Mengapa
tidak kita cuba pasang pada pistol dan lihat bagaimana ia berfungsi?
'"
Sistem ini adalah sama
dengan yang digunakan bagi acara menembak kategori OKU penglihatan
dalam sukan Paralimpik, di mana nada frekuensi tinggi memberitahu
pesaing sejauh mana mereka dari pusat sasaran, yang berwarna lebih
terang daripada sasaran bahagian luar.
Jim Miekka
Selama bertahun-tahun
Miekka, kini 54 tahun, telah memperbaiki teknologi beliau, dan
beralih kepada sepasang fotodiod stereoskopik. Skop yang terbaru,
dibuat bersama-sama dengan seorang pembuat senjata, membolehkan dia
menembak sasaran sebiji oren bergaris pusat 0.17inci (4mm) pada jarak
100 ela (91 meter) - sesuatu yang katanya empat rakan-rakan dengan
penglihatan 20-20 tidak dapat lakukan. Ia juga boleh mengecam sasaran
standard National Rifle Association (NRA), membenarkan beliau
bersaing dengan penembak penglihatan normal
"Saya suka pergi
ke lapangan sasar menembak dan mengalahkan mereka yang boleh
melihat," kata Miekka. Bapanya, Dick Miekka, tidak pernah
mengalahkan dia, dan berkata memang luar biasa melihat Jim beraksi.
"Dia menembak tepat ke pusat sasaran. Dan kemudian tiada apa
yang berlaku. Tiada apa-apa yang bergerak dan peluru keluar. Dia
berdiam diri. Anda tidak pernah tahu bahawa dia yang menggunakan
pistol kecuali anda mendengar dan melihat hasil pada sasaran. "
Sepanjang hidupnya, Jim
Miekka telah menggunakan tekad yang tidak berbelah-bahagi dan luar
biasa ini untuk menyelesaikan beberapa siri teka-teki intelektual.
Dia adalah pencipta dua algoritma matematik untuk meramalkan
kemerosotan di pasaran saham - Formula Miekka dan Hindenberg Omen -
yang telah lama digunakan oleh peniaga-peniaga di Wall Street.
Baru-baru ini, beliau telah menjadi taksub dengan kes pembunuhan yang
terjadi 22 tahun dahulu selepas menonton sebuah rencana TV, yakin
bahawa senario yang dikemukakan kepada juri bertentangan dengan
undang-undang fizik dan tertuduh telah salah dipenjarakan.
Tetapi apabila ditanya
apa pencapaian beliau yang paling dibanggakan, Miekka berkata dia
gembira mengetahui hakikat bahawa jika sesiapa menaip perkataan
"penembak sasaran terbaik dunia" ke dalam Google, hasil
pertama yang anda mungkin dapat adalah video dia di lapangan sasar.
Cinta Miekka terhadap senjata api tidak berakhir dengan menembak
sasaran sahaja. Beliau juga gemar berpakaian seperti koboi dan
bersaing dalam pertandingan pantas menembak menggunakan nama samaran
Midnight Gunslinger. Dia boleh mengeluarkan senjata dan melepaskan
tembakan menggunakan pistol enam penembak dalam masa setengah saat.
Pada tahun 2007, Miekka
terserempak dengan satu buku yang menarik dalam katalog perpustakaan
pita, Anjing Pemandu dan Senapang. "Keupayaan menembak saya
telah didokumenkan dan tidak dapat dinafikan," kata iklan pada
kulit sampul penutup belakang." Jadi bersedialah melangkah ke
dalam dunia yang dipenuhi dengan Braille, mesingan, tongkat, ikan
paus pembunuh, anjing pemandu dan senjata nuklear. Ini bukan satu
biografi seorang buta yang lemah mengatasi semua benda biasa tetapi
ia adalah satu nukilan tanpa berselindung walaupun pada masa-masa
lucu, tentang kehidupan penembak OKU penglihatan pertama Amerika. "
Ia adalah autobiografi
Carey McWilliams. Miekka menelefon McWilliams dan mendengar nasihat
beliau tentang bagaimana mendapatkan permit senjata yang disimpan.
"Saya belajar dari Carey yang anda perlu agak tidak menonjol,"
katanya. "Saya tahu perkara yang utama ialah mendapatkan
pengajar yang ramah."
Nasihat ini berdasarkan
kegagalan McWilliams mendapatkan permit untuk Minnesota, negeri ke
timur Fargo. Walaupun dia lulus ujian menembak, McWilliams yakin
pengajar NRA yang bertanggungjawab telah memberitahu sheriff bahawa
dia OKU penglihatan. "Saya tidak tahu kenapa dia berbuat begitu
kerana jika calon itu dari kaum atau etnik atau jantina lain atau apa
sahaja sudah tentu tercetus rusuhan di jalanan akibat tindakannya,
kerana itu adalah isu hak-hak sivil," katanya.
Sheriff, Bill
Bergquist, merujuk perkara itu kepada hakim, McWilliams
mempertahankan dirinya di mahkamah dan kalah. "Dia OKU
penglihatan, dan itulah sebabnya kami membawanya ke mahkamah,"
Bergquist hanya berkata, sambil menambah bahawa kakitangan pejabatnya
sendiri yang memberitahu beliau berkenaan ketidakupayaan McWilliams
', bukan pengajar NRA.
Jim Miekka mengambil
ujian menembak di satu pameran senjata di Florida, di bawah seorang
pengajar yang, dia rasakan pasti, tidak akan mengatakan apa-apa
tentang ketidakupayaannya, dan memang tepat dia menerima permitnya
walaupun peraturan Florida melarang mereka yang mempunyai
"ketidakupayaan fizikal" daripada membawa senjata.
Nampaknya kes dia terlepas pandang.
Miekka berkata dia
memerlukan permit itu supaya dia boleh membawa senjata-senjata
miliknya ke lapangan sasar dan acara pantas menembak. Tetapi dia juga
membawa pistol apabila berjalan setiap hari melalui kawasan luar
bandar, kerana takut diserang anjing. "Ada kemungkinan 99%
bahawa jika anda perlu menggunakan senjata mempertahankan diri ia
adalah terhadap anjing," katanya.
Carey McWilliams juga
mengambil berat tentang anjing, dan mempunyai alasan yang kukuh untuk
bersikap demikian. Pada tahun 2009 beliau telah diserang oleh tiga
ekor anjing German sheperd dan terpaksa berada di hospital beberapa
hari menerima rawatan. Untuk beberapa minggu selepas itu beliau
bimbang meninggalkan rumah dan masih memerlukan morfin sehingga hari
ini. Beliau berkata kejadian itu adalah sebab kenapa dia tidak lagi
boleh bekerja.
Beliau tidak membawa
pistol pada masa kejadian dan tidak pasti ia akan membantu beliau,
kerana dia terlalu sibuk melindungi leher dan muka untuk mencapai
senjata. Tetapi bukan hanya anjing yang membimbangkan dia.
"OKU penglihatan
secara semula jadi lebih terdedah kepada unsur jenayah,"
katanya. "Anda secara semula jadi lebih berjalan kaki. Anda
tidak boleh mengelakkan situasi yang berbahaya atau melarikan diri
jika serangan berlaku. Jadi anda terpaksa berhadapan dan melawan
dengan apa juga cara yang ada. Bagi saya, itu adalah pistol 9mm. "
Sebagai sandaran, dia
kadang-kadang membawa pisau bertempur marin 10 inci (25cm) di dalam
poket jaket.
"Setakat ini saya
terpaksa mengeluarkan pistol tiga atau empat kali untuk
mempertahankan diri. Pada satu masa ada orang yang menerkam saya, dan
pada masa lain ada pemandu kereta yang cuba melanggar saya ketika
saya cuba berjalan menuju ke satu tempat. Apabila saya mengeluarkan
senjata, mereka melihat tindakan itu, terus beredar dan kejadian itu
pun berakhir. Kalau tidak, mungkin dalam sesaat dua radiator dia akan
terkena peluru. "
Pada masa yang sama,
McWilliams berkata berulang kali bahawa dia hanya akan menggunakan
senjata terhadap seseorang pada jarak dekat - ". Saya menganggap
pistol saya adalah pisau dengan letupan" Itulah satu-satunya
cara, dia boleh yakin yang dia benar-benar diserang - walaupun
menggunakan kemahiran menembak akustik beliau - menentukan seseorang
itu memang penyerang.
Untuk mengurangkan
bahaya kepada pejalan kaki, dia berkata senjatanya dimuatkan dengan
peluru mudah patah, yang tidak akan mendatangkan bahaya selepas
keluar daripada badan penyerang itu. "Pakar bedah benar-benar
membenci tembakan seperti yang saya gunakan kerana menyebabkan banyak
kerosakan dalaman," katanya. "Tembakan itu akan
mengakibatkan luka sebesar kira-kira saiz duit syiling pada sasaran
dan luka apabila keluar daripada badan kira-kira saiz besbol, dan
tidak akan pergi lebih jauh daripada itu."
No comments:
Post a Comment