Sunday 31 August 2014

Anjing pemandu dan senapang: lelaki OKU penglihatan bersenjata Amerika

Rencana "Guide dogs and guns: America's blind gunmen" oleh William Kremer bertarikh 12 Ogos 2014 terbit di bbc









Di Amerika Syarikat, kurang upaya penglihatan bukanlah penghalang memiliki dan membawa senjata api. OKU penglihatan yang berbuat demikian mengatakan mereka hanya menggunakan hak perlembagaan sedia ada, dan tidak mendatangkan bahaya kepada orang ramai.



Apabila Carey McWilliams pergi ke pejabat sheriff di Fargo, North Dakota, untuk memberi maklumat yang perlu untuk mendapatkan permit membawa senjata yang tersimpan, kakitangan di situ segera perasan dia memegang abah-abah atau harness untuk anjing pemandu.



Wanita di belakang meja petugas menegaskan bahawa beliau perlu lulus ujian menembak sebelum diberi lesen, tetapi McWilliams berkata, dia tahu tentang syarat itu. Dia memberitahu, wanita tadi tidak perlu bimbang.



"Kemudian dia telah mengambil gambar saya dan permohonan itu melalui tahap demi tahap pegawai-pegawai - borang permohonan mendapat tandatangan ketua polis Fargo, sheriff dan pejabat peguam negeri - dan mereka terus menerus memanggil saya, berkata: 'Ada ujian menembak, ada ujian menembak.' "



Hari ujian pun tiba, dan McWilliams pergi ke lapangan sasar polis bersama-sama seorang rakan yang juga cuba mendapatkan permit. Sasaran adalah cut-out penyerang separuh saiz manusia, sejauh tujuh ela (6.4m) dari kedudukan menembak. McWilliams melepaskan satu siri tembakan dengan magnum 0.357, semuanya kena di sekitar bahagian jantung sasaran beliau.



Jelas sekali, dia tahu apa yang dia lakukan.



Beliau meminati senjata api sejak berumur 15 tahun, apabila, sebagai seorang kadet tentera udara, dia menyertai kem tentera. Marin yang bertanggungjawab bagi lapangan sasar mempunyai seorang abang yang telah kehilangan penglihatannya tetapi mereka masih pergi memburu bersama-sama, jadi dia membiarkan McWilliams mengendalikan mesingan M16. McWilliams, yang sebelum dia kehilangan penglihatannya pada usia 10 tahun berangan-agan menyertai perkhidmatan tentera, serta-merta teruja.



Tiga tahun kemudian, beliau meminta untuk mendaftarkan diri dalam kursus kemahiran menembak pistol yang dikendalikan oleh Kor Latihan Pegawai Simpanan, badan yang melatih pegawai-pegawai untuk angkatan tentera Amerika Syarikat. Pada masa itu tidak ada keperluan berada dalam tentera untuk mengambil kursus ini, dan selepas beberapa perbincangan, pengajar bersetuju untuk mengambilnya. Di lapangan sasar, McWilliams belajar mengacu ke matlamat tembakan dengan mendengar bunyi sasarannya digerakkan ke dinding. Latihan ini banyak membantunya. McWilliams berkata dia menembak lebih baik daripada dua pertiga kelas, dan dalam peperiksaan akhir beliau mengumpul 105 daripada 100 mata, dengan satu peluru yang entah bagaimana terpelanting dan melalui sasaran dua kali.



Dia menggunakan teknik yang sama pada bulan Oktober 2000, di lapangan sasar menembak polis di Fargo.



"Timbalan sheriff berkata:" Nah, anda mempunyai semua pelekat ini di sini yang memberitahu saya bahawa anda buta, tetapi anda lulus ujian, jadi anda mendapat permit anda. Anda mungkin menghadapi banyak kerumitan kerana anda merupakan kes ujian bagi keseluruhan sistem, tidak ada orang yang pernah berbuat begini sebelum ini. "



Permit membawa senjata api yang disimpan - lesen yang dikehendaki untuk membawa pistol di khalayak ramai - dikeluarkan di peringkat negeri, dan kriteria serta kaedahnya berbeza-beza di seluruh AS. Walaupun tidak ada apa-apa dalam undang-undang North Dakota untuk menghalang seseorang buta - atau orang yang mempunyai apa-apa kecacatan fizikal - membawa senjata api, di Florida, sebagai contoh, "ketidakupayaan fizikal untuk mengendalikan senjata api dengan selamat" disenaraikan sebagai alasan tidak layak. Namun begitu, walaupun di sana, orang yang buta dengan lesen North Dakota masih akan dapat membawa senjata apinya, kerana Florida mengiktiraf permit dari negeri itu.



Adalah lebih mudah bagi OKU penglihatan untuk memiliki senjata api jika mereka berpuas hati meninggalkannya di rumah. Di kebanyakan negeri, anda tidak perlu melakukan ujian menembak atau mendapatkan lesen untuk membeli senjata api. Oleh itu, tidak ada orang yang tahu berapa ramai rakyat Amerika OKU penglihatan yang memiliki senjata api sendiri untuk melindungi rumah daripada penceroboh, berlatih menembak di lapangan sasar atau memburu.



Carey McWilliams mula memburu pada tahun 2008. Apabila itik terbang, beliau berkata, mereka membuat bunyi seperti tayar basikal di kaki lima, dan dia mengesan mereka dengan senapangnya. Untuk memburu binatang-binatang lain, seperti rusa, dia pergi bersama-sama teman, yang membisikkan arah - ke atas sedikit, kiri sedikit, kanan sedikit - tetapi tidak dibenarkan untuk menyentuh senjatanya.



Memburu dengan cara ini bukan bermakna tidak menggunakan kemahiran, kata McWilliams. Sebagai peminat ketenteraan, beliau berhujah bahawa ini tidak berbeza daripada bagaimana pasukan sniper bekerja di medan tempur, dengan peninjau memberi arahan lisan kepada penembak. Pada masa dia menekan picu, terasa sungguh adrenalin mengalir di badannya. "Anda mungkin boleh mengangkat kereta pada ketika itu. Selepas anda selesai ia seperti memecahkan belon dan terasa penat. "



Carey McWilliams



"Pada mulanya saya fikir ia adalah satu gurauan, bahawa OKU penglihatan hendak memburu buaya," kata Mark Clemens, yang menguruskan sebuah syarikat yang pakar dalam acara memburu di pantai Florida. "Kemudian saya menghantar e-mel dan dia memang serius. Dan sebaik sahaja saya berbual dengan dia di telefon, anda tahu, dia berkata bahawa adalah sukar mencari sesiapa yang mahu membawanya. Itulah perkara yang menyedihkan. Semua orang menyangka bahawa beliau tidak mampu melakukannya. Beliau pasti mampu melakukannya, jika dia mempunyai arahan. "



Buaya yang ditembak Carey McWilliams bersama-sama Clemens dan kumpulannya pada tahun 2009 adalah lebih daripada 11 kaki (3.4 m) panjang. Ketika McWilliams menceritakan bagaimana dia membunuh haiwan itu dengan bangstick 0.44 Magnum - senjata seperti pistol dan tombak - suaranya penuh emosi. Dia menggambarkan kilat, lasso, trak yang hampir terjatuh dari benteng dan buaya kedua yang mendekati kumpulan itu dari pantai. "Mereka tidak mati seperti yang kelihatan di TV," katanya.



Sejak itu, McWilliams telah berjaya menembak seekor beruang hitam dan kini bercita-cita memburu di Afrika. Beliau memiliki "lapan atau sembilan" senjata api, termasuk mesingan AR-15, versi awam M16 yang dikendalikannya ketika remaja. Sementara itu, beliau terus memberi tunjuk ajar kepada OKU penglihatan Amerika yang lain tentang bagaimana mereka boleh mendapatkan permit membawa senjata api yang disimpan - dia telahpun membimbing hampir 100 orang.



Salah seorang daripada mereka ialah Jim Miekka, yang dari segi sosial datang dari dunia yang berbeza. Carey McWilliams tidak bekerja dan tinggal di sebuah rumah treler dengan isterinya, Victoria, yang mengatakan Carey ialah seorang "Redneck - tetapi Redneck yang tidak berbahaya - jika Carey boleh memandu dia akan mempunyai trak pikap yang besar". Jim Miekka, sementara itu, adalah peniaga kewangan yang membahagikan masa di antara Florida dan Maine, di mana beliau tinggal di tanah kediaman seluas 80 ekar. Tetapi kedua-dua lelaki itu mempunyai sikap yang tidak tahu erti mengalah, berbangga kerana bebas berfikir dan benar-benar teruja dengan senjata.



Berusia 20-an, Miekka hilang penglihatannya - dan dua daripada jarinya - dalam satu letupan di dapur beliau, ketika cuba mengadun bahan kimia yang boleh digunakan dalam perlombongan. Tidak lama selepas itu, dia mula menggunakan kepintarannya untuk memudahkan dirinya berfungsi dalam keadaan baru. Dengan bantuan daripada bapanya, seorang jurutera kimia yang mempunyai kira-kira 20 paten atas namanya, Miekka membeli fotosel kadmium sulfida dan menyambungnya supaya maklumat visual bertukar menjadi klik seperti pada kaunter Geiger. Klik itu bertambah kuat apabila peranti tadi diarahkan ke garisan luar sesuatu objek, membolehkan Miekka mengenali tepi bangunan dan jalan raya.



"Saya dapati bahawa ia berfungsi begitu baik dengan teleskop," Miekka mengimbas kembali, "dan pada masa yang sama rakan terbaik saya Bill sering terlibat menembak sasaran, dan beliau berkata, 'Mengapa tidak kita cuba pasang pada pistol dan lihat bagaimana ia berfungsi? '"



Sistem ini adalah sama dengan yang digunakan bagi acara menembak kategori OKU penglihatan dalam sukan Paralimpik, di mana nada frekuensi tinggi memberitahu pesaing sejauh mana mereka dari pusat sasaran, yang berwarna lebih terang daripada sasaran bahagian luar.



Jim Miekka



Selama bertahun-tahun Miekka, kini 54 tahun, telah memperbaiki teknologi beliau, dan beralih kepada sepasang fotodiod stereoskopik. Skop yang terbaru, dibuat bersama-sama dengan seorang pembuat senjata, membolehkan dia menembak sasaran sebiji oren bergaris pusat 0.17inci (4mm) pada jarak 100 ela (91 meter) - sesuatu yang katanya empat rakan-rakan dengan penglihatan 20-20 tidak dapat lakukan. Ia juga boleh mengecam sasaran standard National Rifle Association (NRA), membenarkan beliau bersaing dengan penembak penglihatan normal



"Saya suka pergi ke lapangan sasar menembak dan mengalahkan mereka yang boleh melihat," kata Miekka. Bapanya, Dick Miekka, tidak pernah mengalahkan dia, dan berkata memang luar biasa melihat Jim beraksi. "Dia menembak tepat ke pusat sasaran. Dan kemudian tiada apa yang berlaku. Tiada apa-apa yang bergerak dan peluru keluar. Dia berdiam diri. Anda tidak pernah tahu bahawa dia yang menggunakan pistol kecuali anda mendengar dan melihat hasil pada sasaran. "



Sepanjang hidupnya, Jim Miekka telah menggunakan tekad yang tidak berbelah-bahagi dan luar biasa ini untuk menyelesaikan beberapa siri teka-teki intelektual. Dia adalah pencipta dua algoritma matematik untuk meramalkan kemerosotan di pasaran saham - Formula Miekka dan Hindenberg Omen - yang telah lama digunakan oleh peniaga-peniaga di Wall Street. Baru-baru ini, beliau telah menjadi taksub dengan kes pembunuhan yang terjadi 22 tahun dahulu selepas menonton sebuah rencana TV, yakin bahawa senario yang dikemukakan kepada juri bertentangan dengan undang-undang fizik dan tertuduh telah salah dipenjarakan.



Tetapi apabila ditanya apa pencapaian beliau yang paling dibanggakan, Miekka berkata dia gembira mengetahui hakikat bahawa jika sesiapa menaip perkataan "penembak sasaran terbaik dunia" ke dalam Google, hasil pertama yang anda mungkin dapat adalah video dia di lapangan sasar. Cinta Miekka terhadap senjata api tidak berakhir dengan menembak sasaran sahaja. Beliau juga gemar berpakaian seperti koboi dan bersaing dalam pertandingan pantas menembak menggunakan nama samaran Midnight Gunslinger. Dia boleh mengeluarkan senjata dan melepaskan tembakan menggunakan pistol enam penembak dalam masa setengah saat.



Pada tahun 2007, Miekka terserempak dengan satu buku yang menarik dalam katalog perpustakaan pita, Anjing Pemandu dan Senapang. "Keupayaan menembak saya telah didokumenkan dan tidak dapat dinafikan," kata iklan pada kulit sampul penutup belakang." Jadi bersedialah melangkah ke dalam dunia yang dipenuhi dengan Braille, mesingan, tongkat, ikan paus pembunuh, anjing pemandu dan senjata nuklear. Ini bukan satu biografi seorang buta yang lemah mengatasi semua benda biasa tetapi ia adalah satu nukilan tanpa berselindung walaupun pada masa-masa lucu, tentang kehidupan penembak OKU penglihatan pertama Amerika. "



Ia adalah autobiografi Carey McWilliams. Miekka menelefon McWilliams dan mendengar nasihat beliau tentang bagaimana mendapatkan permit senjata yang disimpan. "Saya belajar dari Carey yang anda perlu agak tidak menonjol," katanya. "Saya tahu perkara yang utama ialah mendapatkan pengajar yang ramah."



Nasihat ini berdasarkan kegagalan McWilliams mendapatkan permit untuk Minnesota, negeri ke timur Fargo. Walaupun dia lulus ujian menembak, McWilliams yakin pengajar NRA yang bertanggungjawab telah memberitahu sheriff bahawa dia OKU penglihatan. "Saya tidak tahu kenapa dia berbuat begitu kerana jika calon itu dari kaum atau etnik atau jantina lain atau apa sahaja sudah tentu tercetus rusuhan di jalanan akibat tindakannya, kerana itu adalah isu hak-hak sivil," katanya.



Sheriff, Bill Bergquist, merujuk perkara itu kepada hakim, McWilliams mempertahankan dirinya di mahkamah dan kalah. "Dia OKU penglihatan, dan itulah sebabnya kami membawanya ke mahkamah," Bergquist hanya berkata, sambil menambah bahawa kakitangan pejabatnya sendiri yang memberitahu beliau berkenaan ketidakupayaan McWilliams ', bukan pengajar NRA.



Jim Miekka mengambil ujian menembak di satu pameran senjata di Florida, di bawah seorang pengajar yang, dia rasakan pasti, tidak akan mengatakan apa-apa tentang ketidakupayaannya, dan memang tepat dia menerima permitnya walaupun peraturan Florida melarang mereka yang mempunyai "ketidakupayaan fizikal" daripada membawa senjata. Nampaknya kes dia terlepas pandang.



Miekka berkata dia memerlukan permit itu supaya dia boleh membawa senjata-senjata miliknya ke lapangan sasar dan acara pantas menembak. Tetapi dia juga membawa pistol apabila berjalan setiap hari melalui kawasan luar bandar, kerana takut diserang anjing. "Ada kemungkinan 99% bahawa jika anda perlu menggunakan senjata mempertahankan diri ia adalah terhadap anjing," katanya.



Carey McWilliams juga mengambil berat tentang anjing, dan mempunyai alasan yang kukuh untuk bersikap demikian. Pada tahun 2009 beliau telah diserang oleh tiga ekor anjing German sheperd dan terpaksa berada di hospital beberapa hari menerima rawatan. Untuk beberapa minggu selepas itu beliau bimbang meninggalkan rumah dan masih memerlukan morfin sehingga hari ini. Beliau berkata kejadian itu adalah sebab kenapa dia tidak lagi boleh bekerja.



Beliau tidak membawa pistol pada masa kejadian dan tidak pasti ia akan membantu beliau, kerana dia terlalu sibuk melindungi leher dan muka untuk mencapai senjata. Tetapi bukan hanya anjing yang membimbangkan dia.



"OKU penglihatan secara semula jadi lebih terdedah kepada unsur jenayah," katanya. "Anda secara semula jadi lebih berjalan kaki. Anda tidak boleh mengelakkan situasi yang berbahaya atau melarikan diri jika serangan berlaku. Jadi anda terpaksa berhadapan dan melawan dengan apa juga cara yang ada. Bagi saya, itu adalah pistol 9mm. "



Sebagai sandaran, dia kadang-kadang membawa pisau bertempur marin 10 inci (25cm) di dalam poket jaket.



"Setakat ini saya terpaksa mengeluarkan pistol tiga atau empat kali untuk mempertahankan diri. Pada satu masa ada orang yang menerkam saya, dan pada masa lain ada pemandu kereta yang cuba melanggar saya ketika saya cuba berjalan menuju ke satu tempat. Apabila saya mengeluarkan senjata, mereka melihat tindakan itu, terus beredar dan kejadian itu pun berakhir. Kalau tidak, mungkin dalam sesaat dua radiator dia akan terkena peluru. "



Pada masa yang sama, McWilliams berkata berulang kali bahawa dia hanya akan menggunakan senjata terhadap seseorang pada jarak dekat - ". Saya menganggap pistol saya adalah pisau dengan letupan" Itulah satu-satunya cara, dia boleh yakin yang dia benar-benar diserang - walaupun menggunakan kemahiran menembak akustik beliau - menentukan seseorang itu memang penyerang.



Untuk mengurangkan bahaya kepada pejalan kaki, dia berkata senjatanya dimuatkan dengan peluru mudah patah, yang tidak akan mendatangkan bahaya selepas keluar daripada badan penyerang itu. "Pakar bedah benar-benar membenci tembakan seperti yang saya gunakan kerana menyebabkan banyak kerosakan dalaman," katanya. "Tembakan itu akan mengakibatkan luka sebesar kira-kira saiz duit syiling pada sasaran dan luka apabila keluar daripada badan kira-kira saiz besbol, dan tidak akan pergi lebih jauh daripada itu."


Saturday 30 August 2014

OKU Penglihatan Mendapat Manfaat Daripada Peranti Inframerah Baharu

Rencana "Visually Impaired Will Benefit From New Infrared Device: Enactive Torch Helps The Blind To 'See' Without Canes" oleh Anthony Rivas bertarikh 11 Ogos 2014 terbit di medicaldaily




"Tongkat putih memberikan anda banyak maklumat, tetapi terdapat beberapa perkara yang menghampakan saya: kerusi dan meja (tongkat saya tergelongsor ke bawah), ranting pokok (sekali lagi, tongkat saya tidak cukup tinggi), dan retak di jalan raya (kadang-kadang tongkat saya melantun kembali, yang menyakitkan hati)," kata pengguna laman Quora Cristina Hartmann menjawab soalan yang bertanya apa rasanya menjadi buta.

Bergerak mungkin salah satu perkara yang sukar dihadapi sebagai seorang buta, manakala tongkat dan anjing pemandu benar-benar merupakan satu-satunya alat yang mereka miliki untuk membantu - pemandu manusia kadang-kadang tidak peka kepada keperluan mereka. Peranti baru yang dibangunkan oleh Tom Froese dan Adam Spiers, yang pernah belajar di Department of Cybernetics University of Reading, United Kingdom, dan diuji oleh penyelidik di University of Cincinnati, bagaimanapun, mungkin membuka era baru alat navigasi untuk orang buta .

Sebagai peranti pertama seumpamanya, lampu suluh enaktif kelihatan seperti alat kawalan jauh yang besar dihubungkan dengan wayar ke 'wristband'. Ia berfungsi sama seperti tongkat putih. Walau bagaimanapun, ia tidak perlu menyentuh apa-apa untuk memberitahu orang yang menggunakannya bahawa ada halangan dalam perjalanan mereka. Sebaliknya, ia menggunakan sensor inframerah untuk mengesan objek di hadapannya, selepas itu ia menghantar isyarat kepada 'wristband' supaya bergetar. Apabila objek itu semakin dekat, ia bergetar dengan lebih kuat. Kajian baru ini, yang akan dibentangkan pada konvensyen tahunan American Psychological Association di Washington, DC, mendapati bahawa lampu suluh enaktif berfungsi sebaik penglihatan yang normal apabila melibatkan navigasi.

"Apabila anda membandingkan pertimbangan para peserta menggunakan penglihatan, tongkat, dan lampu suluh enaktif, tidak ada perbezaan yang signifikan, yang bererti bahawa mereka membuat pertimbangan yang sama," kata Luis Favela, seorang pelajar siswazah dalam falsafah dan psikologi di universiti itu, dalam satu kenyataan akhbar. "Ketiga-tiga kaedah berfungsi sama. Orang ramai boleh melaksanakan apa yang diperlukan hampir kepada tahap yang sama, sama ada mereka menggunakan penglihatan atau deria sentuh. Saya benar-benar terkejut."

Lampu suluh itu dapat mengemudi peserta cacat penglihatan dengan selamat melalui bukaan yang sama seperti pintu begitu juga dengan perkara-perkara lain. Secara keseluruhan, 27 pelajar sarjana muda dengan penglihatan biasa atau yang diperbetulkan ke normal diminta berjalan melalui pintu sama ada menggunakan penglihatan normal, tongkat sementara mata ditutup, atau lampu suluh enaktif manakala mata ditutup. Walaupun tidak jelas bagaimana peranti itu akan berfungsi dalam situasi dunia sebenar (apabila berhadapan kotak kadbod kosong di jalan, misalnya), penciptaannya menunjukkan bahawa alat navigasi untuk orang buta tidak lama lagi boleh dipertingkatkan.

Ikut Kami

Menurut Centers for Disease Control and Prevention, lebih daripada 3.4 juta rakyat Amerika yang berumur 40 dan lebih tua adalah sah buta atau cacat penglihatan. Bilangan itu dijangka meningkat kepada enam juta pada tahun 2030, apabila lebih ramai generasi baharu mengalami penyakit kencing manis dan penyakit yang berkaitan dengan usia. Tetapi peranti ini, atau yang diolah sepertinya pada masa depan, juga baik untuk kanak-kanak yang membesar kurang upaya penglihatan. "Dalam kajian saya, saya telah mendapati bahawa terdapat satu stigma emosi yang dialami oleh orang yang mempunyai masalah penglihatan, terutamanya kanak-kanak," kata Favela. "Apabila anda seorang kanak-kanak di sekolah rendah, anda mahu bergaul dan menjadi sebahagian daripada kumpulan itu. Sukar untuk melakukannya apabila anda menggunakan tongkat putih. "

Memandangkan lampu suluh enaktif mempunyai saiz yang sama seperti tiga hingga empat alat kawalan jauh yang disusun bersama-sama, kanak-kanak masih perlu membawanya ke sana sini membantu pergerakan. Walau bagaimanapun, Favela mengatakan bahawa rupa bentuk peranti itu pada masa depan akan "lebih kecil dan padat" supaya kanak-kanak yang menggunakannya tidak akan menonjol, dan mungkin "merasa seperti mereka lebih bergaul." Tetapi sebelum itu boleh berlaku, ujian lanjut untuk menilai keupayaan membantu orang melangkah halangan atau menggunakan tangga diperlukan, katanya.

Friday 29 August 2014

Tidak semua perkara memerlukan mata untuk menilainya: kata majistret OKU penglihatan Umaria

Rencana "No need of eyes for judging everything: Visually impaired Umaria collector" bertarikh 10 Ogos 2014 terbit di business-standard




Untuk pertama kalinya di negeri Madhya Pradesh, seorang pegawai IAS (Indian Administrative Service) cacat penglihatan telah ditugaskan menjadi majistret sebuah daerah.

Krishna Gopal Tiwari Majistret Daerah Umaria yang baharu dilantik, dan cacat penglihatan, berkata seseorang tidak perlu mata untuk menghakimi segala-galanya.

"Mata bukanlah segala-galanya. Anda tidak perlukan mata untuk menghakimi segala-galanya. Jika itulah hakikatnya maka seseorang yang boleh melihat tidak harus melakukan apa-apa kesilapan dalam hidup ... maka tidak ada majistret yang harus melakukan apa-apa kesilapan," Tiwari yang berasal dari daerah Ambedkar Nagar Uttar Pradesh, dengan yakin memberitahu PTI ketika ditanya sama ada beliau akan menemui sebarang kesukaran menjadi ketua satu daerah.

"Saya ada cara tersendiri membuat pertimbangan tentang apa-apa isu serta fail dan saya sama seperti mana-mana individu lain," kata Majistret berusia 33 tahun, pegawai IAS (Rekrut Biasa) kumpulan tahun 2008, yang secara rasmi akan bertanggungjawab bagi daerah itu pada 12 Ogos.

"Selain itu, tidak ada yang baru berhubungan ini semua kerana saya pernah berkhidmat dengan jayanya sebagai majistret sub-bahagian (SDM) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) panchayat daerah Hoshangabad sebelum ditugaskan sebagai majistret Umaria. Saya tidak menghadapi sebarang masalah untuk berurusan dengan apa juga isu, "katanya.

Beliau, bagaimanapun, berkata beliau perlu lebih peka daripada orang lain.

"Satu-satunya perbezaan antara seorang pegawai IAS biasa dan diri saya ialah saya perlu kekal lebih cergas, perlu bekerja lebih sedikit untuk memahami sesuatu perkara, tetapi pertimbangan saya adalah sentiasa betul," katanya dengan yakin.

Tiwari memilih kakitangan sendiri di kalangan yang sedia ada dan melatih mereka mengikut keperluannya. Beliau biasanya menurunkan tandatangan tanpa sebarang masalah di atas kertas selepas merasa "titik" (gambaran) yang timbul hasil cucukan pin.

Salah seorang pembantunya berkata Tiwari telah meneka kualiti satu bahagian dinding bangunan setelah memukulnya dengan besi. Selepas dinding retak, dia segera mengarahkan perobohan dan memastikan bahawa dinding baru dibina.

Apabila ditanya, Tiwari mengesahkan bahawa beliau sering memeriksa kualiti pembinaan dengan cara ini dan mempercayai nalurinya tentang sesuatu yang tidak betul.

Di Umaria juga, dia akan menyenarai pendek kakitangan peribadinya dari kalangan penjawat awam untuk melaksanakan tugas sebagai Majistret Daerah, katanya.

Thursday 28 August 2014

People Mover Anchorage menyiasat kekecohan yang melibatkan penumpang buta

Rencana "Anchorage's People Mover investigating disturbance involving blind passenger" oleh Devin Kelly bertarikh 9 Ogos 2014 terbit di adn.




Pegawai-pegawai perkhidmatan bas Anchorage telah meminta maaf dan sedang menyiasat gangguan fizikal di dalam sebuah bas yang melibatkan seorang pemandu bas dan seorang penumpang cacat penglihatan yang berkata beliau telah ditolak oleh pemandu tersebut.

Kejadian itu berlaku kira-kira 10 petang pada 1 Ogos, apabila polis menyiasat satu laporan kekecohan yang berlaku di dalam bas People Mover di Northwood Street dan Strawberry Road. Pemandu bas itu menghubungi polis dan berkata seorang penumpang telah menyerangnya dan enggan turun dari bas, jurucakap polis Anchorage Jennifer Castro memberitahu melalui e-mel.

Pegawai-pegawai yang tiba mendapati pemandu dan penumpang diasingkan dan duduk diam di dalam bas, tulis Castro. Pemandu memberitahu polis penumpang itu menaiki bas dan cuba memasukkan wang ke dalam slot yang salah pada mesin, dan dia telah cuba membantu dengan mengalihkan tangannya ke slot yang betul.

Pemandu juga memberitahu polis penumpang tadi "menggunakan penumbuk menghentak tangan pemandu ke atas mesin wang itu," menurut Castro. Tetapi penumpang, William Toliver II, memberitahu polis bahawa dia hanya menepis tangan pemandu itu.

"Saya bersuara dengan nada biasa, 'saya boleh buat sendiri," Toliver, yang berumur 70 tahun dan telah hampir buta sepenuhnya sejak tujuh tahun lepas, berkata dalam satu temu bual.

Pemandu itu memberitahu polis bahawa dia menyuruh Toliver turun dari bas, dan apabila Toliver enggan berbuat demikian, pemandu itu cuba menolak dia keluar, kata Castro. Toliver berkata pemandu itu berdiri dan menolaknya.

Baik pemandu mahupun Toliver tidak mahu membuat dakwaan pada masa kejadian itu tetapi Toliver menghubungi polis dua hari kemudian meminta untuk berbuat demikian, kata Castro. Pegawai polis membantu Toliver mengisi borang penangkapan awam, dan kes itu telah dikemukakan kepada pejabat pendakwa perbandaran untuk semakan, menurut Castro.

Lance Wilber, pengarah People Mover, enggan mengulas secara khusus tentang kes itu. Tetapi dia berkata rakaman video kejadian itu sedang diteliti, dan jabatan sedang menjalankan siasatan berdasarkan interaksi antara Toliver dan pemandu berkenaan.

"Ia bukanlah jenis pendekatan menurut standard yang kami tetapkan dan perkhidmatan pelanggan yang ditekankan," kata Wilber dalam satu wawancara.

Wilber berkata beliau secara peribadi memanggil Toliver sebaik sahaja dia tahu tentang kejadian itu dan meminta maaf atas apa yang telah berlaku. Katanya beliau juga telah bercakap kepada pemandu, yang tidak dinamakan.

Wilber berkata apa-apa tindakan disiplin selanjutnya akan ditentukan semasa penyiasatan.

Toliver ialah naib presiden Alaska Independent Blind, sebuah pertubuhan advokasi pengguna bukan keuntungan. Beliau berkata, dia telah tinggal di Anchorage selama 30 tahun, dan People Mover setakat ini "baik kepada saya."

"Saya bukan orang yang berfkiran negatif. Saya bukan cuba untuk mendapatkan pengiktirafan," kata Toliver. Dia menyatakan bahawa dengan bersuara, dia berharap memberi sokongan bagi pihak orang lain yang buta atau orang kurang upaya.

Regan Mattingly, pengarah pemulihan penglihatan pertubuhan bukan keuntungan Alaska Center for the Blind and Visually Impaired, berkata beliau belum mendengar tentang kejadian berhubung People Mover dan tidak mengenali Toliver secara peribadi. Tetapi secara umum, beliau berkata, orang ramai tidak selalu tahu apa yang perlu dilakukan apabila mereka bertemu atau berdepan dengan orang buta.

Beliau berkata tindakan terbaik adalah tidak menarik atau menyentuh seseorang yang buta apabila hendak memberi bantuan, tetapi bertanya terlebih dahulu.

"Anda perlu menghampiri dan bertanya dengan sopan - bertanya terlebih dahulu," kata Mattingly. "Dan kadang-kadang orang inginkan bantuan, dan kadang-kadang tidak. Ia merupakan satu pilihan individu. "

Ahli-ahli Alaska Independent Blind mengadakan mesyuarat hari ini untuk membincangkan insiden People Mover, dan mereka merancang untuk memberi keterangan bagi menyokong Toliver di mesyuarat bulanan Americans with Disabilities Act Advisory Commission pada hari Rabu, kata presiden organisasi, Richard Gardenhire.

Wednesday 27 August 2014

Banduan melatih anak anjing untuk membantu orang buta

Rencana "Prisoners helping to train puppies to help the blind" oleh Grace Petersen bertarikh 8 Ogos 2014 terbit di norfolkdailynews




Berbuat baik kepada orang buta.

Itulah kata-kata Helen Keller, pada tahun 1923, kepada Kelab Lions di konvensyen antarabangsanya di Dallas, Texas.

"Kami bersetuju," kata Frank Tucker, ahli Norfolk Lions Club. "Dan sejak itu, kami telah melakukan sesuatu untuk membantu orang yang cacat penglihatan di Amerika Syarikat."

Salah satu program sokongan Lions ialah Leader Dogs for the Blind Rochester Hills, Mich. Three Lions memulakan sekolah anjing pemandu pada tahun 1939 dan meneruskan usaha tersebut langkah demi langkah semenjak itu.

"Saya fikir ia adalah salah satu program Lions yang terbaik pernah dijalankan bersama-sama dan kami telah menyokongnya selama bertahun-tahun," kata Tucker.

Di dalam satu mesyuarat Lions baru-baru ini di Norfolk, Dr David Johnson Blair berkongsi pengalamannya dengan Leader Dogs for the Blind. Johnson mengendalikan Blair Small Animal Clinic dan juga apa yang dikenali sebagai pembela anjing jarak jauh selama 17 tahun.

"Tidak lama selepas saya lulus dari sekolah vetirinar, saya mendapat seorang pelanggan buta dengan Leader Dogs for the Blind. Saya terfikir ia adalah sesuatu yang boleh menjadi sebahagian daripada hidup saya," kata Johnson. "Bapa mertua saya ialah presiden Blair Lions Club ketika isteri saya berusia 12 tahun. Isteri Johnson masih ingat dengan jelas ayahnya membantu orang buta di Blair untuk mendapatkan anjing pemimpin. Beliau juga sentiasa mahu menjadi sebahagian daripada program itu. Saya rasa apabila kami berdua bertemu memang ditakdirkan kami akan memelihara anak-anak anjing ini. "

Beliau kini sedang melatih anjing ke-17 beliau, Mack, dan berbuat demikian sejak Labrador Retriever hitam itu berusia 7 minggu.

"Anjing tersebut menunjukkan prestasi yang baik dalam latihan setakat ini," kata Johnson. "Masa kami bersama-sama semakin pendek kerana saya perlu memulangkan dia pada hujung minggu Hari Buruh supaya dia boleh meneruskan latihan dan menjadi mata pembantu untuk seseorang yang kurang upaya penglihatan."

Anak anjing yang melalui program ini diajar ketaatan asas, tali pemegang kiri yang longgar untuk membantu pergerakan, latihan di rumah menurut perintah, kesedaran tentang keadaan trafik, keyakinan dan adab sosial yang baik.

Selepas kira-kira setahun latihan, anak anjing itu kembali selama 5-9 bulan untuk latihan formal sebelum diberi kpada rakan mereka yang buta. Pasangan anjing pemandu kemudian berlatih bersama-sama di kampus Leader Dogs for the Blind selama kira-kira sebulan. Beliau berkata kira-kira 400 pasangan anjing pemandu lulus dari Leader Dogs for the Blind setiap tahun.

Johnson berkata anak anjing ke-18 beliau telahpun lahir dan akan diambil apabila dia berusia kira-kira 6 sehingga 7 minggu.

Lebih menarik lagi dalam mesyuarat itu, Johnson bercakap tentang inisiatif baru Leader Dogs for the Blind - pembela anak anjing di penjara.

Pada masa lalu, anak-anak anjing dibesarkan oleh pembela anjing tempatan atau jarak jauh seperti Johnson. Model membesarkan anak anjing yang agak baru ini - pembela anak anjing di penjara - mempunyai matlamat yang sama dan objektif seperti pembela anak-anak anjing yang lain tetapi dilakukan oleh banduan penjara kawalan sederhana dan tinggi di Fort Dodge, Iowa. Pada masa ini, terdapat 115 anak anjing di penjara itu.

"Apabila saya melihat video itu, kali pertama saya melihatnya saya benar-benar ternganga kehairanan kerana tidak tahu mereka telah melakukan perkara-perkara seperti itu," kata Tucker. "Saya fikir ia adalah satu program yang hebat. Ia adalah satu program yang hebat untuk penghuni, juga anjing-anjing serta semua orang yang berkenaan. "

Johnson bersetuju.

"Banduan mempunyai banyak masa terluang dan boleh menumpukan hampir setiap waktu untuk melatih anjing," kata Johnson. "Selepas satu tahun, mereka mengembalikan anak anjing yang terlatih kepada Leader Dogs for the Blind ."

Banduan-banduan itu, kata Johnson, mungkin buat pertama kali dalam hidup mereka, mengalami perasaan kasih sayang.

"Mereka menjaga serta membela anjing itu dan kemudian merasakan peritnya berpisah apabila masa setahun itu berlalu. Perasaan itu tidak lama kemudian diikuti pula dengan kepuasan mengetahui bahawa anda telah membantu meningkatkan kualiti hidup orang lain - orang yang buta, "kata Johnson. "Ia memulihkan tahanan ini menjadi manusia yang lebih penyayang dan bertimbang rasa."

"Kemenangan" yang tidak dijangka adalah kesan menenangkan anak anjing tersebut ke atas banduan, kata Johnson.

"Ketegangan sesama banduan dan juga di antara banduan dan pengawal berkurangan," kata Johnson. "Warden sukakan program ini kerana peningkatan secara keseluruhan suasana yang lebih baik di penjara."

Anjing-anjing itu juga mendapat manfaat. Johnson berkata peratusan yang lebih tinggi anjing yang dilatih banduan lulus latihan berbanding dengan yang dibela di tempat lain.

Sebabnya? Johnson berkata ia adalah kerana anjing-anjing itu menerima lebih banyak perhatian daripada pembela anjing di penjara berbanding apa yang dapat dicapai dengan pembela tempatan atau jarak jauh.

"Peningkatan bilangan anak anjing membolehkan Leader Dogs for the Blind memberi khidmat kepada lebih ramai pelanggan buta yang mahu berdikari, melalui pergerakan dan kebebasan yang diberikan oleh anjing pemandu," kata Johnson.

Ini merpakan situasi menang-menang untuk orang buta juga, kata Johnson.

"Mereka juga telah berada dalam sebuah penjara. Kurang upaya penglihatan seolah-olah penjara yang merampas kebebasan dan mobiliti mereka, "kata Johnson. "Klien menerima anjing pemandu yang membuka pintu ke satu perjalanan yang lebih selamat dan bebas juga meluaskan pandangan serta menimbulkan perasaan yang hampir mustahil untuk diungkap dengan kata-kata. Melalui pemberian Leader Dogs for the Blind mereka dibebaskan dari penjara peribadi masing-masing. "

Tuesday 26 August 2014

Nasib mereka yang buta di Liberia

Rencana "The plight of Liberia's blind" bertarikh 7 Ogos 2014 terbit di dw




Orang buta di Liberia menghadapi banyak cabaran, termasuk tidak mempunyai pendapatan yang cukup untuk meneruskan hidup dan tinggal di kediaman sementara. Kumpulan hak asasi manusia telah menggambarkan keadaan hidup orang buta di Liberia sebagai mengerikan.

Oleh kerana cabaran setiap hari yang dihadapi, ditambah dengan ketidaktentuan di mana sesuap nasi seterusnya akan diperolehi, ramai orang buta di ibu negara Liberia, Monrovia terpaksa mengemis untuk terus hidup. Antaranya ialah Flomo Jallah berusia 19 tahun.

"Bagi saya, sebenarnya saya hidup di jalanan, kerana setiap hari kita datang ke sini meminta bantuan orang ramai untuk terus hidup serta membayar yuran sekolah dan sewa," kata Flomoh.

Orang buta di Monrovia sering menggunakan kanak-kanak sebagai pembantu apabila mereka keluar mengemis, walaupun ini tidak digalakkan oleh pihak berkuasa.

Tetapi tidak semua yang buta mengemis untuk terus hidup. Ada yang menjadi penghibur. Abraham Kamara, 25 tahun ialah penyanyi utama dalam satu kumpulan pengemis buta di Monrovia. Mesej kumpulan itu dalam lagu-lagu mereka bertemakan harapan dan diselitkan dengan ayat-ayat Alkitab serta didendangkan kepada sesiapa yang mahu mendengar

Di penghujung hari kumpulan itu berkongsi apa sahaja yang telah dikumpulkan dalam kotak yang diletakkan di hadapan mereka dan pulang ke rumah. Abraham tidak gembira bahawa mereka perlu melalui semua ini setiap hari, sama ada ketika hujan atau panas.

"Bagi meneruskan hidup, saya pergi ke jalan-jalan dan meminta bantuan daripada orang ramai. Saya tidak suka mengemis di jalan-jalan tetapi tidak mempunyai pilihan lain. Kami tidak mendapat sokongan daripada mana-mana pihak, "katanya.

Lebih banyak sumbangan diperlukan

Untuk menangani beberapa cabaran yang dihadapi oleh orang buta, Christian Association of the Blind (CAB), sebuah pertubuhan bukan kerajaan tempatan, memainkan peranan sebagai penasihat dan mencuba memastikan bahawa terdapat peluang yang sama untuk mereka di Liberia.

Beyan Kota, ketua CAB dan dirinya sendiri buta, berkata organisasi mereka komited untuk memperjuangkan hak-hak mereka yang cacat penglihatan kerana sering didiskriminasikan dan dihina. CAB belum mampu berdikari sepenuhnya dan bergantung kepada dana daripada penderma untuk menjalankan aktivitinya.

"Operasi kami bergantung kepada sokongan kemanusiaan, derma daripada individu, perkongsian - kadang-kadang sokongan dari luar negara," katanya. "Ia menjadi semakin sukar apabila sokongan dari luar negara tidak diterima."

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Liberia mempunyai anggaran 35,000 orang yang hidup dengan pelbagai bentuk kurang penglihatan. Ramai mengalami katarak pada satu atau kedua-dua belah mata, yang jika tidak dibedah membawa kepada kecacatan penglihatan dan buta.

Terdapat gambar seorang kanak-kanak membimbing orang buta di dalam rencana tadi dengan kapsyen "orang buta mengatakan kekurangan sokongan memaksa mereka untuk keluar mengemis"

Monday 25 August 2014

App membantu mereka yang cacat penglihatan apabila menggunakan pengangkutan awam

Rencana "App helps guide visually impaired on public transport" bertarikh 6 Ogos 2014 terbit di optometry




Satu app telefon pintar baharu boleh membantu OKU penglihatan mencari jalan melalui stesen-stesen kereta api dan tiub.

Aplikasi wayfindr, yang dibangunkan dengan kerjasama Royal Society of London Blind People (RLSB) dan studio reka bentuk digital, ustwo, direka untuk membantu orang buta dan cacat penglihatan mengemudi rangkaian pengangkutan awam.

Aplikasi ini berfungsi dengan mengambil isyarat daripada beacon yang boleh diletakkan di sekitar terminal pengangkutan, seperti stesen tiub. Menggunakan teknologi Bluetooth, beacon ini mengeluarkan satu denyutan biasa yang dikesan oleh telefon pintar pengguna, di mana pengguna boleh menerima maklumat audio berkenaan tanda-tanda dan arah.

Aplikasi ini boleh membandingkan kekuatan isyarat antara beacon, bekerja di luar lokasi mereka dan menghantar maklumat kepada pengguna melalui sepasang 'bone-conducting headphone', yang membolehkan mereka mengemudi dari beacon ke beacon dengan mentafsirkan kekuatan isyarat. 'Bone-conducting headphone' ini membolehkan pengguna mendengar arahan dari app tanpa menyekat pengumuman stesen dan bunyi latar belakang lain yang penting.

Konsep ini datang daripada Forum Belia RLSB, yang terdiri daripada anak-anak muda yang buta dan cacat penglihatan, berusia lingkungan 16-25 tahun. Salah satu daripada isu-isu yang dibangkitkan adalah masalah yang dihadapi oleh orang muda buta dan cacat penglihatan apabila menggunakan rangkaian pengangkutan seperti London Underground.

Courtney Nugent, ketua kumpulan kerja pengangkutan Forum Belia di RLSB, berkata: "wayfindr adalah bantuan praktikal dan berpatutan navigasi untuk mereka yang mempunyai penglihatan yang terjejas. Projek bersama kami dengan ustwo adalah contoh yang baik bagaimana badan amal dan sektor swasta boleh bekerja bersama-sama, menggunakan pendekatan terkini dalam reka bentuk digital untuk membuat perubahan, dengan cepat. "

Umesh Pandya, pengarah pengalaman pengguna di ustwo, menambah: "Kami telah menerima maklum balas yang luar biasa berhubung wayfindr dan kami juga RLSB sedang berbincang dengan pengendali pengangkutan tentang usaha menjalankan percubaan."

Saturday 23 August 2014

Resipi sempurna untuk chef buta Sheffield

Rencana "Perfect recipe for blind Sheffield chefs" oleh Ellen Beardmore bertarikh 5 Ogos 2014 terbit di thestar.co.uk




Gossip dan kek terbukti resipi yang sempurna untuk tukang masak buta meningkatkan keyakinan mereka.

Mereka yang memang suka membuat roti - dan bercakap - memeriahkan suasana di kelas popular yang dianjurkan oleh Sheffield Royal Society for the Blind.

Dan, dengan bantuan bahan-bahan khas seperti gelombang mikro dan penimbang bersuara, mereka menghasilkan pelbagai hidangan daripada roti yang dibakar dengan sempurna, kek dan manisan lain untuk keluarga dan rakan-rakan.

Ivy Andrews yang sudah bergelar moyang, dari Stannington, mendedahkan kelas itu adalah kemuncak minggunya sementara beliau kagum dengan kek halia yang dibuat dengan sempurna.

Wanita Besi Sheffield yang berusia 90 tahun itu, merupakan seorang pemandu kren di English Steel semasa Perang Dunia Kedua dan mempunyai glaukoma, berkata: "Saya tidak boleh membakar di rumah sekarang, adalah sukar untuk menggunakan ketuhar tetapi di sini lebih mudah kerana kita diajar dan dijaga.

"Saya memberikan beberapa keping kek kepada dua orang lelaki di penginapan terlindung saya - mereka sentiasa menanti-nantikannya setiap hari Rabu.

"Kek kegemaran saya ialah kek halia dan kita telah membuat bun Bailey. Saya peminat Bailey dan mencampurkannya dalam kopi - mengapa tidak."

Bau tepung penaik yang segar memenuhi ibu pejabat persatuan itu di Mappin Street setiap hari Selasa dan Rabu.

Teknik membakar secara tradisional dari masa dahulu dikongsi, begitu juga berjenaka tentang roti lembut, sementara sukarelawan menyelia kumpulan pembuat roti itu menimbang berat adunan, mencampur dan menyajikan segala-galanya daripada kek lemon sehinggalah roti biasa.

Ketuhar di dapur juga dilengkapi dengan butang sentuhan khas yang menunjukkan tetapan yang betul.

Jean Linton, 75 tahun yang boleh dipanggil nenek, dari Wincobank, berkata: "Saya dapat melihat lebih baik sedikit daripada beberapa orang lain dalam kumpulan ini dan oleh kerana itu mereka mencetak resipi untuk kami selepas kelas berakhir.

"Berkumpul beramai-ramai adalah ciri istimewa kumpulan, kami berbual tentang semua perkara dan bagaimana sesuatu dilakukan pada masa lalu.

"Memang mengejutkan bagaimana kami berjaya ketika itu, tidak ada apa-apa seperti ketuhar gelombang mikro bersuara untuk membantu anda.

"Anda dapat belajar tentang pelbagai perkara yang berbeza, hari ini kita telah bercakap tentang pear advokat yang saya tidak pernah gunakan jadi saya fikir sekurang-kurangnya saya telah belajar sesuatu yang baru."

Kelas tersebut telah berjalan selama tiga tahun dan penganjur mengatakan ia membantu meningkatkan keyakinan pengguna dan kebebasan mereka.

Mereka mencari lebih ramai sukarelawan untuk membantu supaya jumlah sesi dapat dipertingkatkan.

Sukarelawan dan pelanggan Sue Walker, yang juga didaftarkan buta, berkata: "Saya berdaftar buta tetapi saya tidak pernah mengalah dan saya tidak bersedia untuk itu - anda perlu terus ke hadapan.

"Apabila anda kehilangan penglihatan anda, anda boleh kehilangan keyakinan jadi ini adalah tentang mendapatkan kembali semangat itu.

"Ia mungkin hanya sesi membuat kek tetapi ini seolah-olah telah mencetus perubahan besar-besaran."

Membantu kanak-kanak lelaki buta memberi tumpuan kepada impiannya di Turki

Rencana "Helping a blind boy to focus on his dreams in Turkey" bertarikh 4 Ogos 2014 terbit di unhcr




Kem Pelarian Midyat Turki, 4 Ogos (UNHCR) - Ashraf berkata semua orang yang dihalau dari rumah mereka dan terpaksa menjadi pelarian, mendapati hidup adalah satu perjuangan: "Apabila anda datang ke sebuah negara baharu, ia seolah-olah semua orang adalah buta."

Tidak semua orang ceria dan berdaya tahan seperti kanak-kanak berusia 15 tahun itu, yang terpaksa melarikan diri dari Aleppo di utara Syria ke Turki dengan enam anggota keluarganya hampir setahun yang lalu. Dalam kesnya, buta bukan sahaja metafora: Ashraf dan adiknya mempunyai masalah penglihatan.

Hakikat itu menjadikan perjalanan ke Midyat dan penyesuaian seterusnya untuk hidup dalam buangan lebih sukar bagi mereka daripada pelarian lain.

Semenjak tiba, Ashraf telah menghadiri sekolah di kem pelarian Midyat dan baru-baru ini tamat Gred Tujuh. Walaupun tiada bahan braille atau peralatan bertulis khusus untuk dia, dia adalah salah seorang yang mencapai prestasi terbaik.

"Saya hanya mendengar di dalam kelas dan belajar dengan mendengar dan menghafal," katanya. Untuk peperiksaan, pelajar yang lebih tua atau guru membaca soalan dan beliau menjawab secara lisan. Walau bagaimanapun, adalah jelas peralihan ke sekolah kem ini tidak sentiasa mudah.

"Saya pernah menghadiri sebuah sekolah untuk orang buta di Aleppo di mana kami belajar membaca braille. Di sana saya tidak berasa berbeza daripada orang lain," katanya. "Kami juga bermain bola sepak dengan bola khas yang mempunyai loceng supaya kami tahu di mana ia berada, tetapi di sini saya tidak mempunyai sesiapa untuk bermain."

Bekerja rapat dengan kerajaan Turki, agensi pelarian PBB telah membantu pelarian Syria dan menyediakan bahan dan sokongan teknikal bagi menolong pihak berkuasa berdepan dengan krisis dan mengurus peningkatan ketibaan. UNHCR menyokong program pendaftaran kerajaan untuk memastikan bahawa mereka yang mempunyai keperluan khas dikenal pasti lebih awal dan dirujuk kepada mekanisme yang sesuai.

Midyat bukanlah kem yang besar mengikut piawaian Turki, menempatkan lebih kurang 2,800 pelarian seperti Ashraf dan keluarganya. Terdapat sejumlah 22 kem pelarian dengan 220,000 pelarian Syria di Turki. Daripada lebih 1 juta pelarian Syria yang dianggarkan berada di negara ini, hanya 20 peratus yang berdaftar di kem-kem. Selebihnya tinggal di bandar-bandar.

Separuh daripada pelarian adalah kanak-kanak, beberapa daripada mereka dengan keperluan khas. Kementerian Pelajaran telah menubuhkan sekolah-sekolah di semua kem-kem pelarian yang diuruskan kerajaan di tenggara Turki, membolehkan kira-kira 61,000 kanak-kanak pelarian Syria menghadiri sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh guru-guru sukarelawan Syria. UNHCR menyokong usaha-usaha ini dengan menyediakan bahan-bahan sokongan pendidikan mengikut permintaan.

Agensi itu baru-baru ini membeli sebuah penulis braille - sebuah mesin taip yang digunakan untuk menghasilkan dokumen braille - untuk kegunaan kanak-kanak dan orang dewasa yang cacat penglihatan sebagai sebahagian daripada sokongan agensi terhadap pendidikan untuk kanak-kanak pelarian Syria.

"Walaupun saya belajar membaca braille di Syria, saya tidak mempunyai banyak peluang untuk menggunakan penulis," kata Ashraf malu-malu. Tetapi jelas akses kepada penulis memperluaskan kemahirannya; dia teruja menunjukkan kepada kakitangan UNHCR bagaimana dia kini boleh menulis frasa dalam kedua-dua bahasa Arab dan abjad Turki.

Penulis braille adalah alat penting bagi seorang remaja cacat penglihatan seperti Ashraf, tetapi keperluan pendidikan pelarian adalah besar, manakala sumber adalah terhad. Satu-satunya bahan braille yang terdapat di kem yang boleh dbaca Ashraf ialah Al-Quran yang dibawa dari Syria.

Ini tidak menghalang impiannya untuk masa hadapan. "Saya ingin menjadi seorang ahli psikologi satu hari nanti," kata Ashraf. "Saya seorang pendengar yang baik dan selalu membantu orang mencari penyelesaian berkaitan masalah mereka."

Turki menjadi tuan rumah penduduk pelarian Syria yang kedua terbesar di rantau ini - selepas Lebanon - tetapi hanya menerima 17 peratus daripada pembiayaan yang diperlukan. Secara keseluruhan, UNHCR dan rakan-rakannya menyeru penderma untuk membiayai program bantuan sebanyak US$3.74 bilion di Lebanon, Jordan, Turki, Iraq dan Mesir untuk menyelamatkan nyawa, mencegah bahaya, melindungi golongan yang mudah terjejas dan mengukuhkan kapasiti dan daya tahan pelarian juga masyarakat tuan rumah manakala krisis yang terjadi telah melangkah ke tahun keempat.

Friday 22 August 2014

Orang yang lahir buta menggunakan 'empati neural' untuk memahami situasi yang boleh dilihat oleh orang lain, menurut penyelidik

Rencana "People born blind use 'neural empathy' to understand situations others can see, researchers say" oleh Latarsha Gatlin bertarikh 4 Ogos 2014 terbit di jhu




Kajian menunjukkan persamaan dalam cara berfikir orang celik dan buta berfikir tentang dunia


Dengan menggunakan cerita-cerita lisan, penyelidik dari Johns Hopkins University telah mendapati bahawa otak orang yang dilahirkan buta bertindak balas kepada situasi sama seperti cara orang yang celik.

Marina Bedny, seorang saintis otak di Krieger School of Arts and Sciences Johns Hopkins University, mendapati bahawa orang yang buta sejak lahir mempunyai pengetahuan tentang keadaan yang dibayangkan dengan penglihatan dalam cara yang sama seperti orang celik. Beliau berkata keupayaan ini mungkin disebabkan oleh interaksi harian individu buta dengan yang boleh melihat. Keputusan kajian menonjolkan persamaan dalam cara orang buta dan celik berfikir tentang dunia.

Bedny dan rakan-rakan penyelidik beliau - Jorie Koster-Hale dan Rebecca Saxe dari Department of Brain and Cognitive Science Massachusetts Institute of Technology - melaporkan penemuan mereka dalam satu kertas kajian baru-baru ini yang diterbitkan dalam jurnal Cognition. Tiga penyelidik itu mendapati bahawa orang buta menggunakan sejenis saraf empati untuk memahami situasi yang boleh dilihat oleh orang lain, tetapi yang mereka sendiri tidak pernah alami. Koster-Hale dan Saxe masing-masing merupakan penulis utama dan kanan kertas kajian itu .

"Persoalan yang mennarik minat kami adalah dari manakah pengetahuan itu datang? Sejauh mana pengetahuan kita tentang orang lain datang dari pengalaman sendiri? " kata Bedny, penolong profesor di Department of Psychological and Brain Sciences, John Hopkins University. "Kami memilih untuk bekerjasama dengan masyarakat yang buta dalam kajian ini kerana pengalaman deria individu buta berbeza secara dramatik daripada pengalaman orang celik. Sebaliknya, pengalaman sosial orang buta dan celik sebahagian besarnya adalah sama. "

Para penyelidik telah menulis tentang sama ada mendengar cerita di mana penglihatan memainkan komponen yang besar dalam penceritaan itu diproses secara berbeza oleh kumpulan yang buta sejak lahir berbanding kumpulan dengan penglihatan biasa. Salah satu contoh ialah melihat pasangan romantis dari jauh masuk ke dalam kereta dengan perempuan lain.

"Jelas sekali, orang dewasa yang buta akan memahami beban emosi menemui kemungkinan kecurangan seorang kekasih, tetapi bolehkah seseorang yang buta membuat kesimpulan yang sama tentang sumber visual penemuan itu?" lapor kertas kajian tadi. "Berapa banyak yang akan difahami oleh orang yang buta tentang pengalaman melihat orang yang dikenali bersama-sama seorang wanita yang tidak diketahui, dari jauh, dalam gelap?"

Walaupun kekurangan visi, ternyata otak orang buta boleh membuat banyak kesimpulan.

Penyelidik mengkaji dua kumpulan - orang yang celik dan mereka yang lahir tanpa penglihatan. Setiap kumpulan mendengar 32 cerita, setiap satu sepanjang 13 saat. Separuh daripada cerita-cerita itu menggunakan penglihatan sebagai suatu tindakan ("Gladys melihat nota di pintu rumahnya") manakala separuh lagi menggunakan pendengaran sebagai tindakan ("Gladys mendengar mesej telefon baru").

Setiap satu daripada cerita-cerita juga berakhir sama ada baik atau buruk bagi watak utama. Sebagai contoh, satu cerita menyebut, "Saya berharap untuk berjumpa kamu malam ini," sementara yang lain berkata, "Maaf, saya tidak dapat berjumpa malam ini." Peserta buta dan celik membayangkan bagaimana perasaan watak utama dalam sesuatu cerita - gembira, sedih, atau acuh tak acuh.

Dengan menggunakan mesin pengimejan resonans magnetik (fMRI) yang berfungsi mengukur tindak balas saraf, penyelidik mendapati tiada perbezaan ketara dalam cara bagaimana otak mengekod kombinasi cerita yang berbeza, bagi mereka yang celik atau buta.

Bedny berkata ada dua teori utama untuk memahami bagaimana orang memahami pengalaman. Salah satu daripadanya adalah melalui simulasi di mana seseorang membayangkan dirinya dalam situasi tertentu dengan menggunakan sesuatu peristiwa sebelum itu atau yang serupa daripada pengalaman hidupnya sendiri. Teori kedua dipanggil teori intuitif, yang mengambil satu siri tindakan dan maklum balas yang terdahulu yang tidak dialami secara peribadi dan mengandaikan bagaimana seseorang akan bertindak balas. Penemuan terkini menunjukkan bahawa kedua-dua orang buta dan celik bergantung kepada teori intuitif untuk memahami keadaan mental orang lain.

"Dengan memerhatikan variasi yang berlaku secara semula jadi dalam pengalaman seseorang, kita mendapat maklumat tentang asas-asas yang menjadikan kita semua manusia," kata Bedny. "Kita semua mempunyai kehidupan yang berbeza. Tugas kita sebagai ahli-ahli sains adalah untuk meneliti perbezaan sistematik yang boleh dipelajari. "