Rencana "Anchorage's
People Mover investigating disturbance involving blind passenger"
oleh Devin Kelly bertarikh 9 Ogos 2014 terbit di
adn.
Pegawai-pegawai
perkhidmatan bas Anchorage telah meminta maaf dan sedang menyiasat
gangguan fizikal di dalam sebuah bas yang melibatkan seorang pemandu
bas dan seorang penumpang cacat penglihatan yang berkata beliau telah
ditolak oleh pemandu tersebut.
Kejadian itu berlaku
kira-kira 10 petang pada 1 Ogos, apabila polis menyiasat satu laporan
kekecohan yang berlaku di dalam bas People Mover di Northwood Street
dan Strawberry Road. Pemandu bas itu menghubungi polis dan berkata
seorang penumpang telah menyerangnya dan enggan turun dari bas,
jurucakap polis Anchorage Jennifer Castro memberitahu melalui e-mel.
Pegawai-pegawai yang
tiba mendapati pemandu dan penumpang diasingkan dan duduk diam di
dalam bas, tulis Castro. Pemandu memberitahu polis penumpang itu
menaiki bas dan cuba memasukkan wang ke dalam slot yang salah pada
mesin, dan dia telah cuba membantu dengan mengalihkan tangannya ke
slot yang betul.
Pemandu juga
memberitahu polis penumpang tadi "menggunakan penumbuk
menghentak tangan pemandu ke atas mesin wang itu," menurut
Castro. Tetapi penumpang, William Toliver II, memberitahu polis
bahawa dia hanya menepis tangan pemandu itu.
"Saya bersuara
dengan nada biasa, 'saya boleh buat sendiri," Toliver, yang
berumur 70 tahun dan telah hampir buta sepenuhnya sejak tujuh tahun
lepas, berkata dalam satu temu bual.
Pemandu itu memberitahu
polis bahawa dia menyuruh Toliver turun dari bas, dan apabila Toliver
enggan berbuat demikian, pemandu itu cuba menolak dia keluar, kata
Castro. Toliver berkata pemandu itu berdiri dan menolaknya.
Baik pemandu mahupun
Toliver tidak mahu membuat dakwaan pada masa kejadian itu tetapi
Toliver menghubungi polis dua hari kemudian meminta untuk berbuat
demikian, kata Castro. Pegawai polis membantu Toliver mengisi borang
penangkapan awam, dan kes itu telah dikemukakan kepada pejabat
pendakwa perbandaran untuk semakan, menurut Castro.
Lance Wilber, pengarah
People Mover, enggan mengulas secara khusus tentang kes itu. Tetapi
dia berkata rakaman video kejadian itu sedang diteliti, dan jabatan
sedang menjalankan siasatan berdasarkan interaksi antara Toliver dan
pemandu berkenaan.
"Ia bukanlah jenis
pendekatan menurut standard yang kami tetapkan dan perkhidmatan
pelanggan yang ditekankan," kata Wilber dalam satu wawancara.
Wilber berkata beliau
secara peribadi memanggil Toliver sebaik sahaja dia tahu tentang
kejadian itu dan meminta maaf atas apa yang telah berlaku. Katanya
beliau juga telah bercakap kepada pemandu, yang tidak dinamakan.
Wilber berkata apa-apa
tindakan disiplin selanjutnya akan ditentukan semasa penyiasatan.
Toliver ialah naib
presiden Alaska Independent Blind, sebuah pertubuhan advokasi
pengguna bukan keuntungan. Beliau berkata, dia telah tinggal di
Anchorage selama 30 tahun, dan People Mover setakat ini "baik
kepada saya."
"Saya bukan orang
yang berfkiran negatif. Saya bukan cuba untuk mendapatkan
pengiktirafan," kata Toliver. Dia menyatakan bahawa dengan
bersuara, dia berharap memberi sokongan bagi pihak orang lain yang
buta atau orang kurang upaya.
Regan Mattingly,
pengarah pemulihan penglihatan pertubuhan bukan keuntungan Alaska
Center for the Blind and Visually Impaired, berkata beliau belum
mendengar tentang kejadian berhubung People Mover dan tidak mengenali
Toliver secara peribadi. Tetapi secara umum, beliau berkata, orang
ramai tidak selalu tahu apa yang perlu dilakukan apabila mereka
bertemu atau berdepan dengan orang buta.
Beliau berkata tindakan
terbaik adalah tidak menarik atau menyentuh seseorang yang buta
apabila hendak memberi bantuan, tetapi bertanya terlebih dahulu.
"Anda perlu
menghampiri dan bertanya dengan sopan - bertanya terlebih dahulu,"
kata Mattingly. "Dan kadang-kadang orang inginkan bantuan, dan
kadang-kadang tidak. Ia merupakan satu pilihan individu. "
Ahli-ahli Alaska
Independent Blind mengadakan mesyuarat hari ini untuk membincangkan
insiden People Mover, dan mereka merancang untuk memberi keterangan
bagi menyokong Toliver di mesyuarat bulanan Americans with
Disabilities Act Advisory Commission pada hari Rabu, kata presiden
organisasi, Richard Gardenhire.
No comments:
Post a Comment