Rencana "Indian
start-up launches shoes that show you the way" bertarikh 31 Ogos
2014 terbit di
thestar
New Delhi: Heroin
"Wizard of Oz" Dorothy hanya perlu menghentak kedua-dua
belah kasut beliau yang berwarna delima merah bersama-sama dan
kasut itu akan membawanya pulang ke rumahnya di Kansas.
Sekarang, sebuah
syarikat permulaan India berteknologi tinggi berjanji untuk melakukan
perkara yang sama dalam kehidupan sebenar dengan sepasang kasut sukan
pintar yang mempunyai GPS dan bergetar memberi arahan kepada
pemakainya.
Kasut berwarna merah
menyala, yang juga akan mengira berapa langkah yang telah diambil,
jarak perjalanan dan kalori yang dibakar, akan mula dijual pada bulan
September di bawah nama LeChal, yang bermaksud "bawa saya
bersama-sama" dalam bahasa Hindi.
Kasut itu disertakan
bersama penerima Bluetooth yang boleh ditanggalkan dan dihubungkan ke
aplikasi telefon pintar untuk mengarahkan pemakainya yang menggunakan
peta Google, menghantar isyarat getaran menunjukkan arah ke kiri atau
kanan.
Kasut itu adalah idea
Krispian Lawrence berusia 30 tahun dan Anirudh Sharma, 28, dua
graduan kejuruteraan yang mengasaskan syarikat teknologi mereka
Ducere di sebuah apartmen kecil pada tahun 2011 dengan sokongan
daripada pelabur dan kini mempunyai 50 orang pekerja.
"Kami mendapat
idea ini dan sedar ia benar-benar akan membantu OKU penglihatan,
berfungsi tanpa sebarang gangguan audio atau fizikal," kata
Lawrence dalam temu bual dengan AFP.
"Tetapi kami
sendiri mencubanya dahulu dan tiba-tiba terfikir, 'tunggu sekejap,
sayapun mahu kasut ini,' kerana terasa begitu bebas tidak perlu
tunduk ke bawah melihat telefon atau terikat dengan apa-apa."
"Kasut ini
berfungsi secara intuitif. Bayangkan jika seseorang menepuk bahu
kanan anda, badan anda secara semula jadi bertindak balas mengarah ke
kanan, dan itulah cara LeChal berfungsi. "
Sektor yang sedang
berkembang
Kasut pintar untuk
pasaran demografi tertentu - seperti penghidap demensia dan
kanak-kanak dengan ibu bapa yang mahu menjejaki pergerakan mereka -
sudah boleh didapati secara komersial.
Tetapi Lawrence dan
Sharma percaya rekaan mereka akan menjadi yang pertama seumpamanya
mensasarkan pengguna pasaran massa, dan telah memberi tumpuan
mewujudkan rekaan yang bergaya dan bukannya kasut yang berfungsi
semata-mata.
Selain sneaker berwarna
merah itu, syarikat tersebut memasarkan insole yang membolehkan
pengguna memasukkan teknologi tadi ke dalam kasut mereka sendiri.
"Sebelum ini,
teknologi boleh pakai sentiasa dilihat lebih seperti mesin, kaca mata
atau jam tangan yang tidak menarik, tetapi sekarang telah berubah,"
kata Lawrence.
Mereka mengatakan
bahawa sudah ada 25,000 pesanan awal untuk kasut itu yang akan dijual
pada harga antara $100 dan $150.
Permintaan setakat ini
kebanyakannya dari mulut ke mulut dan melalui laman web lechal.com.
Tetapi syarikat itu sedang berunding dengan peruncit untuk
menyediakan stok kasut menjelang musim cuti di India dan Amerika
Syarikat.
Ia meramalkan akan
menjual lebih daripada 100,000 pasang kasut, yang dibuat di China,
pada April depan.
Teknologi boleh pakai
adalah sektor global yang semakin berkembang. Pemerhati pasaran IDC
meramalkan pada bulan April bahawa jualan akan meningkat tiga kali
ganda tahun ini kepada 19 juta unit di seluruh dunia, dan terus
meningkat kepada 111.9 juta pada 2018.
Pertumbuhan pesat
industri ini telah menimbulkan kebimbangan berkaitan privasi,
walaupun Ducere berkata ia tidak akan merekodkan apa-apa data
pengguna dan mengekalkan keselamatan yang teguh.
Syarikat itu masih
berharap produknya akan berguna bagi OKU penglihatan, dan pakar-pakar
di LV Prasad Eye Institute di bandar selatan Hyderabad sedang menguji
kesesuaiannya.
"Ia adalah item
yang boleh digunakan secara intuitif yang sempurna. Anda mungkin
terlupa memakai tali pinggang atau topi keledar, tetapi anda tidak
boleh meninggalkan rumah tanpa kasut, "kata Anthony Vipin Das,
seorang doktor di institut itu.
"LeChal
menyelesaikan masalah orientasi dan hala tuju, ia adalah pembantu
yang baik untuk tongkat."
Masalah yang mungkin
timbul termasuklah kegagalan bateri atau kehilangan sambungan
Bluetooth, dan Das mengatakan boleh diperbaiki dengan menyediakan
maklumat secara langsung tentang kedudukan pengguna kepada rakan atau
saudara, dengan persetujuan mereka terlebih dahulu.
Syarikat itu berkata ia
boleh menggunakan sebahagian daripada apa-apa keuntungan masa depan
untuk memberi subsidi kasut kepada pengguna kurang upaya.
Di antara semua
ciri-ciri kasut 'berteknologi tinggi itu, perkara yang paling
digemari Lawrence adalah hakikat bahawa dia tidak lagi kehilangan
telefon beliau - jika pemakainya bergerak terlalu jauh dari telefon
beliau, kasut itu akan bergetar untuk memberi amaran kepada mereka.
"Saya seorang yang
pelupa dan apa yang amat baik ialah kasut itu tidak akan membiarkan
anda terlupa telefon anda," katanya.
No comments:
Post a Comment