Wednesday, 24 September 2014

Kemenangan R300 000 busker buta

Rencana "Blind busker’s R300 000 victory" oleh Anel Lewis dan Nontando Mposo bertarikh 5 September 2014 terbit di iol




Cape Town - Seorang busker buta Lunga Goodman Nono, yang telah dihalau secara paksa dari tempatnya bermain muzik di St George's Mall tahun lalu oleh pegawai-pegawai penguatkuasa undang-undang Bandaraya Cape Town, telah mendapat R300 000 sebagai ganti rugi.

Majistret Mas-Udah Pangarker Mahkamah Wilayah Cape Town berkata para pegawai telah gagal menegakkan undang-undang dan telah melanggar hak perlembagaan Nono.

Terdapat juga penggunaan kekerasan yang "berlebihan" , dan juga penderaan lisan dan fizikal.

Nono yang kelihatan gembira berkata pada hari Khamis bahawa makan malam "di suatu tempat mewah" adalah perkara pertama yang akan dilakukan meraikan keluarganya selepas memenangi kes mahkamah 13 bulan terhadap pihak bandaraya. Dia juga akan membelanjakan wang menambahbaik pondok satu biliknya di Delft.

Karusha Iyer dari firma Kirsten Attorneys berkata hakim memberi jumlah ganti rugi maksimum, dan mengarahkan pihak bandaraya untuk membayar semua kos undang-undang.

Penghakiman ini adalah kemenangan yang penting bagi Nono, oleh kerana mahkamah jarang-jarang memberikan jumlah maksimum dalam tuntutan ganti rugi am.

"Hakim bersetuju bahawa Nono telah mengalami penderitaan dan memang pasti hak perlembagaannya telah dicabul. Dia memang pasti difitnah. "

Nono, yang dilahirkan buta, telah dikasari dalam pergelutan dengan pegawai-pegawai penguatkuasa undang-undang pada bulan Julai tahun lepas. Gitar busker itu pecah dalam kekecohan itu.

Dia telah bermain di sudut St George Mall dan Shortmarket Street berhampiran Dataran Greenmarket sejak tahun 2008. Tetapi berikutan aduan bunyi bising daripada sebuah perniagaan yang berhampiran, beliau secara paksa dikeluarkan daripada tempat itu oleh pegawai-pegawai bandar raya.

Video dan rakaman fotografi menunjukkan bagaimana Nono diseret di atas tanah manakala isterinya, Abigail, dan anak perempuannya yang berusia 10 tahun, Portia, menyaksikannya ketakutan.

Pihak Bandaraya menegaskan bahawa Nono telah melanggar suatu undang-undang kecil, tetapi kemudian diketahui bahawa majlis perbandaran tidak mempunyai rang undang-undang kecil yang jelas tentang persembahan jalanan. Pindaan telah pun dibuat setelah itu kepada undang-undang kecil Informal Trading and Street Performances .

Nono mulanya menghadapi denda R1 500 kerana mengingkari arahan dari pegawai penguatkuasaan undang-undang bandaraya, tetapi caj ini kemudiannya digugurkan.

Sementara itu, tiga pegawai penguatkuasa undang-undang yang terbabit dalam kejadian itu telah diberi amaran akhir yang sah selama enam bulan dan dihantar untuk latihan kepekaan tentang cara menangani orang kurang upaya.

JP Smith, ahli jawatankuasa datuk bandar untuk keselamatan, berkata semalam: "Pihak Bandaraya akan mengkaji keputusan mahkamah dan mempertimbangkan pilihan kami. Pada peringkat ini kita tidak boleh mengulas lanjut tanpa menjejaskan apa-apa prosiding yang mungkin timbul pada masa depan." Pihak Bandaraya tidak pernah muncul di mahkamah untuk mempertahankan tuntutan itu, kata Iyer.

Tetapi dalam ketetapan itu, hakim dilaporkan menyatakan sebagai rekod kekecewaannya bahawa tiga pegawai penguatkuasa undang-undang yang terlibat dalam kejadian itu hanya digantung selama enam bulan.

"Ini hanya satu tamparan pada pergelangan tangan," kata Iyer.

Ia telah dicadangkan bahawa pegawai-pegawai itu sepatutnya memohon maaf kepada Nono di atas cara dia dizalimi.

Walau bagaimanapun, hakim tidak menyokong dakwaan Nono ditangkap menyalahi undang-undang, kerana hakim berkata Nono tidak pernah dipenjarakan dalam sel induk.

Oleh kerana perkara itu melibatkan tuntutan ganti rugi am, majistret meminta Nono dan isterinya memberi keterangan di mahkamah dan pasangan itu telah berbuat demikian pada 25 Ogos.

Muncul pula dalam keterangan, dan juga dicatat dalam dokumen mahkamah yang dikemukakan oleh Nono, bahawa dia kini mengalami gangguan tekanan selepas trauma. Dia mengalami mimpi ngeri dan kini perlu menjalani rawatan psikologi yang tetap.

Iyer berkata pelanggan beliau terlalu takut hendak bermain pada masa ini lebih daripada beberapa kali seminggu kerana bimbang dipukul lagi.

"Dia hilang sifat cerianya dahulu. Pegawai-pegawai itu telah melunturkan semangatnya."

Tetapi ketika bercakap kepada Cape Argus dari sudut tempat persembahan jalanannya pada hari Khamis, Nono dan Abigail tidak dapat berhenti tersenyum selepas menerima berita baik daripada peguam mereka sekitar waktu tengah hari.

"Kami telah keluar masuk mahkamah selama beberapa bulan. Saya amat gembira kami akhirnya menang," kata Nono.

Selain makan malam keluarga, Nono merancang untuk membelanjakan wang mengubah suai pondok satu bilik beliau di Delft, pendidikan Portia dan juga merakam satu "album panas".

Abigail berkata suaminya bukanlah yang sama selepas kejadian itu dan terdapat hari-hari apabila dia tidak mahu bangun untuk bekerja kerana masih trauma dengan apa yang berlaku.

Sementara itu ACDP menyatakan bahawa ia akan meminta kes tatatertib terhadap pegawai-pegawai tadi dibuka semula supaya hukuman yang lebih berat boleh dipertimbangkan. Ia juga akan memberi motivasi bagi pegawai-pegawai itu memohon maaf kepada Nono, kata wakil parti Grant Haskin.

No comments:

Post a Comment