Wednesday, 3 September 2014

Kumpulan kurang upaya penglihatan memenangi hadiah perarakan

Rencana "Visually impaired pull off prize-winning march" oleh Tapasya Mitra Mazumder bertarikh 15 Ogos 2014 terbit di bangaloremirror




Maruthi KN berumur 11 tahun ketika serangan demam kepialu meragut penglihatannya. Pembedahan yang dijalankan beberapa kali tidak dapat mengembalikan cahaya ke dunia gelapnya. Sekarang berumur 23 tahun, beliau kelihatan begitu teruja sambil bersedia untuk mengambil bahagian dengan pasukan dari Shree Ramana Maharishi Akademy for the Blind di JP Nagar, dalam perarakan Hari Kemerdekaan yang diadakan di kawasan Manekshaw Parade. Berpakaian seragam pasukan yang berwarna merah dan kuning, beliau berkata, "Saya tahu pandangan orang ramai yang kagum apabila mereka melihat perarakan kerana saya telah melihatnya sebelum ini. Tetapi bagi saya sekarang, kepuasan adalah mendengar tepukan gemuruh penonton apabila kami berarak di hadapan mereka. "

Pelajar-pelajar di SRMAB berlatih selama lebih sebulan untuk hari itu. Jurulatih mereka, Thimmaiah yang juga guru mobiliti dan pendidikan jasmani mereka, menghabiskan sekurang-kurangnya tiga jam bersama mereka setiap hari, mengajar mereka perkara-perkara seperti berarak dengan seragam dan berpusing arah sebanyak 90 darjah - perkara-perkara asas untuk yang berpenglihatan normal. Thimmaiah berkata, "Oleh kerana kebanyakan pelajar tidak dapat melihat, kami meletakkan mereka yang berpenglihatan separa di hadapan memegang tongkat panjang yang boleh dipegang dalam satu garisan hingga ke belakang. Dengan cara ini, pelajar-pelajar di belakang tahu bila hendak bertukar arah. Kemudian kita perlu mengajar mereka mengangkat lengan dan kaki serentak dengan seluruh kontinjen pada sudut tertentu. Tetapi amatlah menggembirakan melihat pelajar menghayati aktiviti itu secepat pelajar yang berpenglihatan normal, dan sudah tentu ia adalah suatu perkara yang membanggakan melihat mereka melakukannya dengan baik dalam perarakan Hari Kemerdekaan. "

Thimmaiah telah bersama sekolah tersebut sejak tahun 1992 dan mereka telah mengambil bahagian dalam perarakan semenjak 22 tahun yang lalu. "Kecuali tiga kali - apabila kami mendapat tempat kedua sebanyak dua kali dan tempat ketiga sekali - kita telah berjaya meraih tempat pertama 41 kali termasuk di perarakan Hari Republik. Ini adalah kali ke-41 kami telah menerima trofi dan ini adalah kejayaan yang bukan kecil maknanya," kata Thimmaiah memegang trofi untuk tempat pertama dalam kategori kurang upaya.

S Eshwarappa, 18 tahun, dilahirkan buta dan tidak pernah melihat pelbagai warna yang terserlah semasa sambutan Hari Kemerdekaan. Dia berkata, "Saya buta sejak lahir dan walaupun tidak tahu bagaimana rupa perayaan, saya suka bunyi tepukan. Itu menggalakkan saya untuk mengambil bahagian dalam perarakan tahun demi tahun. Apabila cikgu Thimmaiah meminta saya mengambil bahagian dalam perarakan buat kali pertama, saya terfikir ia adalah satu tugas yang amat sukar. Tetapi dia telah menunjukkan kepada kami caranya dan pencapaian setakat ini adalah hasil usaha beliau. Saya tidak dapat membayangkan OKU penglihatan mengambil bahagian dalam perayaan itu, tetapi cikgu Thimmaiah dan seluruh pasukan di SRMAB telah memungkinkannya berlaku."

No comments:

Post a Comment