Thursday, 18 September 2014

Haiwan liar yang melompat dari halaman buku

Rencana "Wild animals that jump from the page" oleh Supoj Wancharoen bertarikh 30 Ogos 2014 terbit di bangkokpost




Sejenis buku Braille baru untuk Thailand membuat kejutan kepada dunia pendidikan OKU penglihatan

Apabila jari Sitthikorn Munglai mengesan keluk rupa bentuk patung di dalam buku di hadapannya, dia berseri-seri dengan kegembiraan. Ia adalah sesuatu yang tidak pernah dialami sebelumnya dalam hidupnya.

"Saya rasa berbeza," kata pelajar yang cacat penglihatan dari The Bangkok School for the Blind. Dia belajar tentang bentuk haiwan yang tidak pernah dilihatnya di dalam buku Dueng Dueng Dueng itu.

"Rupa bentuk gambar itu muncul dari lembaran kertas yang rata. Ia berbeza daripada Braille yang biasa saya gunakan untuk belajar. Hati saya berdebar-debar," katanya sementara enggan berhenti menikmati pengalaman baru ini.

Diilhamkan oleh guru yang kini menjadi penulis Cheewan Wisasa, Dueng Dueng Dueng Dueng (dueng meniru bunyi lucu yang dibuat oleh haiwan apabila mereka melompat) telah diubahsuai oleh Thongyoi Chiengthong, seorang guru di Bangkok School for the Blind. Dia menukar cerita tadi ke dalam bentuk buku ukiran timbul, membolehkan pelajar cacat penglihatan "melihat" haiwan.

Cik Thongyoi menjelaskan haiwan yang dipilih untuk buku tersebut mestilah yang boleh melompat supaya menepati tajuk buku ini.

"Kanak-kanak sukakan buku ini kerana mereka boleh merasa bentuk binatang sebenar yang melengkung keluar dari kertas," katanya sambil menambah pelajar-pelajar cuba meniru lompatan haiwan di dalam kelas.

Disertakan dengan teks Braille, buku 10 muka surat itu mempunyai pelbagai jenis haiwan dengan ciri-ciri dan bentuk fizikal yang unik. Sebagai contoh, seekor arnab mempunyai telinga panjang dan ekor pendek yang berbentuk bulat, manakala katak mempunyai badan bulat dan dua mata besar tetapi tiada ekor. Ia sesuai untuk dipelajari kanak-kanak, kata Cik Thongyoi.

Buku untuk orang buta ini, yang dilancarkan tahun lepas, merupakan kerjasama antara Yayasan SCG yang komited meningkatkan kesedaran berhubung aktiviti membaca untuk ahli keluarga dan menggalakkan kanak-kanak menjalin tabiat membaca, dengan Foundation for the Blind di Thailand di bawah Naungan Diraja Baginda Queen Sirikit.

Dilancarkan pada tahun lepas, Cik Thongyoi mendakwa buku ini adalah yang pertama seumpamanya mempunyai ukiran timbul untuk pembaca yang cacat penglihatan. Terdapat 350 salinan untuk edisi pertama, diedarkan kepada 20 buah sekolah untuk orang buta di seluruh negara.

Buku ini boleh menjadi alat yang baik untuk orang yang cacat penglihatan. Ia boleh mencetuskan imaginasi mereka apabila belajar menggunakan deria untuk meneroka rupa bentuk yang timbul di atas kertas. Oleh itu, mereka kini boleh bayangkan bagaimana rupa seekor haiwan," kata Cik Thongyoi, yang telah menjadi guru pelajar-pelajar OKU penglihatan selama 20 tahun dan mempunyai pengalaman bertahun-tahun menyediakan bahan-bahan pengajaran untuk mereka.

Dia berkata Dueng Dueng Dueng Dueng adalah alat yang sempurna untuk meningkatkan imaginasi kanak-kanak yang mungkin tidak memahami sepenuhnya bahan Braille.

Sebelum projek unik ini, bahan-bahan pengajaran beliau untuk OKU penglihatan sentiasa meliputi bentuk-bentuk geometri. Walau bagaimanapun, Dueng Dueng Dueng Dueng hadir dengan butir-butir bentuk ukiran timbul yang unik.

"Saya mahu membuat suatu perubahan. Dan saya mahu pelajar mempunyai pengalaman pembelajaran yang baru," kata guru itu. Buku ini telah dicipta menggunakan kertas Brailon yang kuat dan tahan lama tetapi sangat mahal.

Walaupun harganya tinggi, dia berkata, kertas yang berkualiti tinggi itu adalah sempurna untuk penciptaan rupa bentuk haiwan dan bermakna buku ini boleh bertahan selama lebih daripada 10 tahun.

"Kita perlu melabur untuk mewujudkan bahan yang baik untuk orang buta. Itulah sebabnya buku seperti ini jarang ditemui dan digunakan untuk kumpulan tertentu," katanya.

Cik Thongyoi berkata sesetengah guru memutuskan untuk menggunakan teknik perbandingan apabila mengajar pelajar cacat penglihatan mereka tentang perbezaan dengan menjelaskan bahawa harimau kelihatan seperti kucing, tetapi lebih besar.

Tetapi guru yang berinovasi ini berkata kelebihan Dueng Dueng Dueng Dueng untuk orang buta adalah ia membolehkan pelajar cacat penglihatan menumpukan perhatian, menghasilkan peningkatan pembelajaran kemahiran. Ia juga menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih seronok. Selain itu, ia memberi peluang kepada kanak-kanak berlatih bertanya soalan.

"Setelah mereka merasa rupa bentuk yang timbul, mereka boleh berkongsi bagaimana bentuk itu kelihatan bersama rakan-rakan. Ramai mula mempersoalkan jika apa yang mereka rasa adalah sama dengan apa yang orang lain rasa," kata Cik Thongyoi.

Satu lagi faedah penting yang telah diperhatikan adalah bahawa buku itu meningkatkan tahap interaksi di antara guru dan pelajar semasa sesi soal jawab, di samping menggalakkan penyertaan di dalam kelas.

"Kita tidak tahu jika pelajar suka atau tidak sesuatu mata pelajaran apabila mereka belajar dengan menggunakan bahan-bahan pembelajaran Braille," katanya.

"Saya teruja menghadiri kelas yang boleh belajar daripada Dueng Dueng Dueng Dueng," kata pelajar cacat penglihatan Thitikorn Nuengkhum di Bangkok School for the Blind. "Saya dapati buku itu amat menyeronokkan dan menghiburkan. Ia menjadikan kelas lebih menarik. Amatlah baik jika terdapat lebih banyak buku seperti ini. "

Cik Thongyoi berkata guru dan ibu bapa yang berminat belajar membuat sebuah buku yang dihiasi dengan rupa bentuk yang melengkung keluar daripada kertas boleh menghubungi Bangkok School for the Blind di mana mereka boleh memperoleh pengetahuan dan teknik-teknik secara percuma.

"Saya bersedia untuk memberi pengetahuan yang boleh menjadi berguna bagi orang. Saya suka mengajar," kata guru itu.

Permulaan yang kecil

Bangkok School for the Blind telah ditubuhkan pada tahun 1939 oleh seorang guru cacat penglihatan Amerika bernama Genevieve Caulfield. Dia menyewa sebuah rumah kecil di daerah Sala Daeng yang berkhidmat sebagai sebuah sekolah untuk orang buta.

Sepuluh tahun kemudian, Field Marshal Plaek Piboonsongkram meluluskan penempatan semula sekolah itu ke lokasi baru di kawasan seluas lapan rai yang dimiliki oleh Biro Harta DiRaja di daerah Ratchathewi. Sekolah ini telah didaftarkan di bawah Kementerian Pelajaran pada tahun 1960.

Bangkok School for the Blind adalah sebuah sekolah rendah yang menyediakan pendidikan untuk pelajar-pelajar di Tadika sehingga Gred 6. Terdapat kira-kira 150 pelajar yang mempunyai masalah penglihatan.

No comments:

Post a Comment