Tuesday, 9 September 2014

Kolej di Mumbai mencipta papan catur celik teknologi untuk OKU penglihatan

Rencana "Mumbai college designs tech-savvy chessboard for the blind" oleh Shreya Bhandary bertarikh 21 Ogos 2014 terbit di mid-day




Pusat inovasi di Somaiya College telah mereka bentuk sebuah papan catur yang khusus untuk OKU penglihatan, dengan tulisan Braille pada buah catur, maklum balas suara untuk setiap langkah yang dimainkan, dan perbezaan tekstur di antara kotak hitam dan putih

Diilhamkan oleh keyakinan mereka bahawa tidak ada sesiapa yang patut dinafikan rangsangan intelektual yang diperolehi daripada permainan catur yang baik, pusat inovasi di kampus Somaiya College di Vidyavihar telah mengilhamkan konsep dan mereka bentuk papan catur yang meningkatkan pengalaman bermain permainan strategi yang amat menarik untuk OKU penglihatan.

"Sudah ada permainan di pasaran yang boleh digunakan oleh OKU penglihatan, tetapi papan permainan kami melibatkan teknologi yang membolehkan seseorang bermain dalam talian dan juga di papan fizikal; papan permainan itu secara automatik memainkan langkah yang diperlukan bergantung pada kekunci yang ditekan," kata Shetty Gaurang, ketua pusat inovasi.

Projek ini telah diperkenalkan oleh Shetty dua tahun yang lalu, dan siap hanya pada tahun ini, dengan bantuan tiga pelajar kolej. "Permainan papan yang sedia ada di pasaran untuk OKU penglihatan tidak lengkap. Oleh itu, kami telah bekerjasama dengan National Association for the Blind (NAB) untuk input mereka ketika melancarkan permainan papan ini," katanya, dan menambah bahawa kumpulan itu telah memfailkan permohonan untuk paten kerja mereka.

Dikenali sebagai Chess Automatik atau Automated Chess (AC), permainan papan ini boleh digunakan untuk permainan seorang atau dua orang pemain. "AC juga menyediakan pemain dengan Antara Muka Pengguna Grafik atau Graphical User Interface (GUI) melalui Internet, yang membolehkan seseorang bermain menggunakan GUI berada di mana-mana pelusok dunia, manakala seorang lagi bermain menggunakan papan catur fizikal," kata Shetty.

Super pintar

Papan catur itu terdiri daripada papan kekunci membran 64-kunci. Asas projek ini ialah Arduino, platform elektronik sumber terbuka berdasarkan perkakasan yang mudah untuk digunakan. Ia digunakan untuk memindahkan isyarat dari papan permainan ke komputer.

Papan catur direka untuk memudahkan penggunaan deria lain pemain. "Satu maklum balas suara disediakan untuk pemain. Buah catur tertulis Braille dan terdapat perbezaan tekstur di antara kotak hitam dan putih, menjadikan mereka mudah untuk digunakan oleh pemain. Pengguna akan mendapati lebih mudah untuk bukan sahaja bermain, tetapi juga akan memahami dengan lebih baik pergerakan lawan dalam permainan," kata Shetty.

Kumpulan ini telah memohon untuk menyertai Maker Faire di Rom, dan baru-baru ini telah dijemput oleh pihak penganjur untuk mempamerkan papan permainan tadi di Rom pada bulan depan. The Maker Faire Rom adalah perayaan ciptaan dan kreativiti, di mana projek dari seluruh dunia dipamerkan.

“Walaupun projek itu telah siap, kita juga cuba memasukkan ciri-ciri lain untuk papan catur ini supaya mendatangkan hasil yang lebih baik," Shetty mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment