Friday, 19 September 2014

Gadis buta semenjak bayi menang reben biru

Rencana "Girl blind since infancy wins blue ribbon" oleh Chris Hottensen bertarikh 31 Ogos 2014 terbit di thesouthern




Du Quoin, Illinois, AS - Taengkwa Sturgell mahir benar dengan persekitaran di arena persembahan.

Buta sejak lahir, gadis berusia 12 tahun dari Harmony Baru, Indiana, dengan anggun dan cekap membawa anak lembu baka limousin di sekitar arena persembahan pada hari Sabtu itu di Pesta Negeri Du Quoin.

"Ia memang mudah dan seronok," kata Sturgell.

Mempamerkan anak lembu baka limousin, dia sering bersaing dengan kakaknya, Parker yang berusia 17 tahun.

Ia satu persaingan dalam keluarga yang bersahaja, kadang-kadang Parker yang menang dan ada kala Taengkwa pula membawa pulang reben biru pada ketika lain.

Pada hari Sabtu, Taengkwa dan anak lembunya, Sunnie, mengalahkan kakaknya, dengan memenangi pertandingan Semua Baka Lain dalam pertandingan Ternakan Junior yang ditaja oleh buyafarm.com.

"Saya sangat gembira dia menang," kata Parker Sturgell.

Hakim Charles Lemenager sangat memuji kedua-dua Taengkwa dan anak lembunya.

"Ini sudah pasti apa yang dikehendaki" kata Lemenager semasa penilaian. "Kita ada seekor lembu betina merah yang benar-benar baik tanpa ragu-ragu. Saya rasa, dalam fikiran saya, wanita muda ini melakukan sesuatu yang baik mempamerkan dia. "

Bapanya, Dave Sturgell, meminjamkan mata dan suaranya untuk Taengkwa semasa di gelanggang.

"Saya ada orang yang bersama-sama saya di gelanggang dan memberitahu saya bila hendak pergi ke kiri atau kanan dan bila hendak berhenti dan mengusap lembu," kata Taengkwa.

Dilahirkan di Thailand, Taengkwa, yang bermaksud "timun" dalam bahasa Thai, telah diambil sebagai anak angkat oleh keluarga Sturgell pada tahun 2007 ketika berusia lima tahun.

Beliau senang membesar di ladang bersama-sama ibu bapa serta dua adik-beradik perempuan dan seorang lelaki.

"Keluarga ini hebat," kata Taengkwa. "Saya dapat menternak haiwan dan menaiki traktor."

Taengkwa dilahirkan dengan retinopati pra-matang, satu keadaan yang boleh dirawat, tetapi ia tidak dilakukan untuk mata Taengkwa semasa dia bayi.

"Berat badan dia kira-kira 2 paun ketika lahir. Apa yang saya fahami, mata lewat berkembang jadi apabila anda dilahirkan, mata tadi cuba berkembang dengan cepat dan sering kali menyebabkan banyak saluran darah terbentuk yang akan dibekalkan kepada mata, tetapi berakhir menyebabkan parut di tisu, dan menanggalkan retina," kata bapanya.

Tetapi Taengkwa atau lebih mesra dipanggil "Tanks" oleh keluarganya, tidak membiarkan keadaan matanya menghalangnya daripada melakukan kerja-kerja di ladang atau ke sekolah.

Dia memelihara anak-anak lembunya sendiri, memberi mereka makan dan membawa mereka berjalan. Dia malahan berbasikal di ladang.

"Pada musim bunga ini dia berkata, 'Mari kita cuba tanpa roda latihan, dan jadi kami tanggalkan roda latihan dan dalam tempoh lima minit, dia menunggang basikal tadi," kata bapanya.

Beliau menghadiri kelas arus perdana di Haubstadt Community School dan seminggu sebulan menerima latihan penjagaan diri dan pergerakan di Indiana School for the Blind.

"Dia boleh melakukan apa yang orang lain boleh," ibunya Jeanette Sturgell berkata. "Dia hanya perlu melakukannya secara berbeza."

Taengkwa mengekalkan hubungan istimewa dengan haiwan yang dipeliharanya. Selepas menerima reben biru, dia tidak berenggang langsung daripada anak lembunya, terus-menerus membelai dan menepuk-nepuk Sunnie.

"Anak-anak lembu peliharaannya memang mudah dibela," kata bapanya. "Kadang-kadang anda melihat mereka di gelanggang dan seolah-olah ada pertalian di sana."

Chris Harbison, penyelaras acara, masih ingat senyuman pada wajah Taengkwa apabila dia memenangi hadiah riben biru pertamanya di pameran itu.

"Memerhatikan perkembangannya dalam tempoh empat tahun dia berada di sini, adalah luar biasa betapa lebih selesa dia sekarang," kata Harbison. "Memang meruntun perasaan."

Melihat Taengkwa bersaing menyerlahkan semangat Pesta Negeri Du Quoin, kata Harbison.

"Inilah yang menjadikan Du Quoin, Du Quoin. Ia begitu unik sehinggakan sesiapa sahaja, tanpa mengira apa yang telah diberi dalam hidup, anda akan berpeluang hadir di sini. Anda boleh turut serta sama seperti orang lain."

No comments:

Post a Comment