Wednesday, 10 September 2014

Bolehkah peta dan telefon mencegah kebutaan?

Rencana "Can maps and mobiles prevent blindness?" oleh Holly Young bertarikh 22 Ogos 2014 terbit di theguardian




Trachoma, punca utama kebutaan berjangkit, memberi kesan kepada 21 juta orang. Bolehkah pemetaan mudah alih membantu? Alex Pavluck menerangkan dalam satu wawancara

Anda telah menumpukan perhatian pada sebuah projek pemetaan global baharu. Sebelum kita mengetahui lebih lanjut tentang itu, boleh anda jelaskan apa sebenarnya trachoma yang menyebabkan kebutaan?

Trachoma adalah penyebab kebutaan berjangkit yang paling biasa di temui di dunia. Ia kini memberi kesan kepada 21 juta orang dan 180 juta lagi berisiko. Ia adalah jangkitan bakteria yang menyebabkan konjunktivitis kronik dikenali sebagai trachoma 'aktif' yang memberi kesan pada mata. Setiap episod jangkitan menyebabkan parut di bahagian dalam kelopak mata. Pada sesetengah orang, parut ini akhirnya membuatkan tepi kelopak mata beralih ke dalam. Ini dikenali sebagai trichiasis, dan pada masa ini memberi kesan kepada kira-kira 7.3 juta orang.

Di manakah ia paling biasa ditemui?

Jangkitan paling biasa ditemui pada kanak-kanak. Ini pula bermakna bahawa wanita adalah lebih terdedah kepada kesan-kesan kebutaan trachoma berbanding lelaki. Wanita, amnya, lebih banyak menjaga kanak-kanak dan oleh itu terdedah kepada lebih banyak episod jangkitan sepanjang hayat mereka. Ia merebak melalui rembesan daripada mata kanak-kanak yang dijangkiti dan merebak melalui tangan, pakaian, atau lalat yang hinggap di muka kanak-kanak yang dijangkiti.

Penghuni rumah atau kawasan kejiranan yang sesak adalah lebih mudah terdedah kepada risiko ini. Penyakit ini juga dikaitkan dengan kemiskinan melampau dan kurangnya akses kepada air dan sanitasi.

Apakah kesan trachoma yang lebih meluas?

Orang yang buta akibat trachoma mendapat pendidikan dan mempunyai prospek pekerjaan yang kurang dan sering terasing dari segi sosial atau dipulaukan. Di samping itu, ahli-ahli keluarga mungkin bertanggungjawab menjaga mereka, dan oleh itu mengeluarkan bukan satu tetapi dua individu daripada alam pendidikan atau pekerjaan. Oleh yang demikian, seperti penyakit tropika lain yang diabaikan, trachoma bukan sahaja disebabkan oleh kemiskinan, ia menggalakkan kemiskinan, dan menyebabkan kitaran kemiskinan yang tidak berkesudahan.

Beritahu kami mengenai projek trachoma dan apa yang menjadikan ia "Projek pemetaan penyakit yang terbesar pernah dicuba"?

Pemetaan Projek Trachoma Global atau The Global Trachoma Mapping Project (GTMP), sedang berusaha mengkaji sampel 4 juta orang di 30 buah negara. Sebelum projek ini bermula, memang diketahui bahawa lebih 110 juta orang tinggal di kawasan yang disahkan endemik trachoma di beberapa negara-negara termiskin di dunia. Walau bagaimanapun, kita tahu seramai 210 juta orang lagi tinggal di kawasan di mana data terkumpul adalah tidak mencukupi dan di mana terdapat tanda-tanda yang menonjol bahawa trachoma ada di situ. Ini sebabnya terdapat keperluan untuk melengkapkan pemetaan.

Apa yang kami tahu, jumlah orang yang diselidik oleh projek ini adalah lebih besar daripada mana-mana projek pemetaan penyakit yang pernah dijalankan sebelum ini. Kami kini terlibat dalam pemetaan, atau telah menamatkan pemetaan, di 20 buah negara, tetapi masih dalam peringkat perancangan di beberapa negara yang lain.

Bagaimanakah projek ini menggunakan teknologi mudah alih?

Premis asas membabitkan pasukan kajian melawat masyarakat setempat dan mengumpul data berkaitan kehadiran penyakit ini menggunakan telefon mudah alih.

Walau bagaimanapun dengan projek berskala besar seperti GTMP, kami perlu menggunakan teknologi awan untuk menyimpan dan menguruskan pangkalan data maklumat. Dan oleh itu pautan sistem atau Links telah diwujudkan. Dengan Links, pasukan-pasukan di seluruh dunia boleh mengumpul data berkaitan air dan sanitasi, isi rumah dan ciri-ciri individu dan kelaziman penyakit serta mengemukakan keputusan mereka menggunakan telefon mudah alih ke sistem pusat. Dari situ ia boleh dikaji semula oleh individu yang dibenarkan menggunakan apa sahaja peranti internet.

Apa yang penting ialah reka bentuk ini menyediakan platform yang menghormati pemilikan dan keselamatan data sesebuah negara dengan membolehkan Kementerian Kesihatan di negara berkenaan untuk segera mengkaji semula, meluluskan, atau bertanya tentang data berkaitan pada waktu yang sama ia dikumpulkan.

Apakah cabaran dan batasan dalam menggunakan teknologi ini?

Cabaran utama adalah menggalakkan penerimaan teknologi dan keupayaan untuk menggunakannya di kawasan pedalaman. Walau bagaimanapun, penerimaan sistem seperti Links telah berkembang apabila program-program nasional lebih mengenali teknologi ini. Selain itu, liputan telefon mudah alih semakin bertambah baik. Di mana kita tidak mempunyai liputan, data disimpan pada telefon dahulu sehinggalah ada rangkaian mudah alih atau Wi-Fi di sesuatu kawasan.

Bagaimana anda melihat data boleh digunakan oleh profesional kesihatan yang lain?

Data yang dikumpul melalui pemetaan membantu kementerian-kementerian kesihatan kebanyakannya di Afrika dan Asia, merancang program trachoma mereka sejajar dengan campur tangan yang disyorkan WHO dan membentuk strategi selamat.

Data yang dikumpul setakat ini telah membantu membimbing permintaan untuk antibiotik Zithromax, membantu pekerja-pekerja kesihatan merancang pembedahan, dan mewujudkan pendekatan untuk peningkatan akses kepada air, sanitasi dan kebersihan.

WHO mahukan penyakit ini dihapuskan menjelang tahun 2020. Setelah pemetaan selesai, apa yang diperlukan untuk mencapai sasaran ini?

Melengkapkan pemetaan adalah kerja besar-besaran, tetapi ia adalah sebahagian kecil daripada keseluruhan kerja yang perlu disiapkan untuk menghapuskan trachoma sebagai masalah kesihatan awam menjelang tahun 2020. Walau bagaimanapun, kelebihan menyiapkan peta dunia ini ialah ia akan memberi tumpuan kepada semua mereka yang bekerja berkaitan isu ini tentang di mana kita perlu melakukan apa dan bila, untuk memberi kita peluang mencapai matlamat tersebut.

Alex Pavluck bekerja dengan International Trachoma Initiative dan menyokong pembangunan teknologi untuk projek ini.

No comments:

Post a Comment