Thursday, 11 September 2014

Pelari buta mengatasi halangan larian di Bruce Trail

Rencana "Blind runner breaks down barriers on the Bruce Trail" oleh Danielle Marr bertarikh 23 Ogos 2014 terbit di caledonenterprise




885 km. 20 hari. Lebih 50 penyokong sukarelawan. Dan seorang pelari ultra marathon yang juga OKU penglihatan dari segi undang-undang.

Rhonda-Marie Avery, seorang ibu berusia 36 tahun yang mempunyai tiga orang anak dan juga Jurupulih Urut Berdaftar akan berlari sepanjang seluruh Bruce Trail, hujung-ke-hujung dalam 20 hari.

"Sebagai atlet ketahanan kurang upaya, matlamat saya adalah sentiasa muncul, melakukan yang terbaik dan mengetepikan semua konsep kecacatan saya untuk mencapai satu pengembaraan yang kebanyakan orang mungkin tidak akan cuba," Avery menyatakan dalam blog 'Envisions' beliau sebelum memulakan perjalanan. "Atau ramai yang akan anggap tidak mungkin saya cuba."

Kami bertemu dengan beberapa orang penyokong Avery di salah satu perhentian di Bruce Trail sambil berbual-bual tentang cabaran yang amat besar yang telah diambilnya, dan menunggu wanita itu sendiri tiba di situ.

"Dia enggan membiarkan hakikat bahawa penglihatan beliau yang terjejas akan menghalangnya daripada melakukan perkara-perkara yang kebanyakan daripada kita tidak akan bermimpi lakukan," kata Crew Captain Don Kuzenko. "Jika anda bertanya kepada 99 peratus penduduk yang ditemui sama ada seorang pelari buta mungkin boleh berlari di Bruce Trail dari hujung ke hujung dalam 20 hari - saya sanggup bertaruh mereka semua akan mengatakan tidak, adakah anda gila? "

Tetapi dia telahpun hampir menamatkan lariannya.

Pelari ultra marathon itu akan menamatkan hari ke-20 larian pada hari Sabtu (23 Ogos) di Queenston Heights, di utara Niagara Falls dan mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk bersama-sama beliau berjalan 5km terakhir perjalanan tersebut.

Untuk mencapai matlamatnya, Avery telah berlari 42 - 50k sehari iaitu lebih kurang jarak satu maraton, menghabiskan sehingga 14 jam di laluan itu bersama-sama pasukan yang membantu beliau di setiap langkah perjalanan.

Cody Gillies, seorang penduduk Orangeville berusia 24 tahun yang kini memegang rekod berlari di Bruce Trail dari hujung ke hujung dalam masa 12 hari pada 2012 telah bersama-sama Avery sebagai pelari pemandu dan mentor.

"Saya telahpun melakukan pengembaraan ini sebelumnya dan cukup bodoh untuk mencuba sekali lagi," Gillies berkata dengan senyuman. "Ia adalah lebih sukar sebagai pemandu kerana anda terpaksa berfikir tentang setiap langkah yang diambil dan perlu menggambarkannya kepadanya."

Avery mempunyai dua pelari pemandu bersama-samanya pada setiap masa; seorang pelari kira-kira 20m di hadapan untuk mengetahui sama ada laluan boleh digunakan atau tidak manakala seorang lagi kira-kira tiga atau empat langkah di hadapan yang memberitahu tentang perkara-perkara seperti 'akar di sebelah kiri,' atau 'akar di tengah-tengah' yang membantunya mengenali bagaimana rupa permukaan laluan.

Sebahagian besar daripada ciri-ciri menjadi pelari ultra marathon, kata Gillies, ialah kemampuan mengalih perhatian otak anda yang letih pada saat-saat tertentu, "tetapi dia tidak boleh berbuat demikian, beliau perlu peka sepanjang hari, hakikat menjadi atlet itu sendiri adalah menakjubkan ditambah pula perlu sedar dan mendengar apa yang dikatakan pemandu sepanjang hari. "

Avery menekankan bahawa misi ini bukan sahaja berkenaan dia, ia adalah tentang sesiapa yang terfikir bahawa ada sesuatu yang menghalang mereka, untuk membuktikan bahawa mereka juga boleh mengatasi halangan jika benar-benar mahu.

"Saya mahu mencetus kesedaran kepada hakikat bahawa atlet kurang upaya mampu melakukan perkara yang luar biasa, bukan semestinya tentang saya yang luar biasa," katanya merendah diri. "Tetapi cuba sesuatu yang mungkin di luar jangkaan biasa."

Tujuan besar di sebalik misi ini, berserta meningkatkan kesedaran, adalah untuk membalas jasa organisasi bukan keuntungan Achilles Canada yang membantu beliau sedar tentang apa yang dia mampu sebagai seorang atlet.

"Mereka mengajar saya bagaimana hendak berlari. Mereka mencari pelari pemandu dan sukarelawan yang sesuai untuk mengajar anda beberapa kemahiran seperti apa yang dilakukan oleh kumpulan asas berlari, "jelas Avery. "Tetapi mereka juga membantu anda mengatasi halangan ketakutan dan apa langkah seterusnya yang harus diambil."

Penerimaan dan menyedari hakikat bahawa terdapat pelbagai rupa kecacatan, Avery berkata, adalah teras apa yang diharapkan difahami oleh orang ramai berbanding dunia sehari-hari individu kurang upaya.

"Mewujudkan kaedah dan peluang membantu seseorang yang perlu pergi membeli-belah atau ingin belajar berlari atau menunggang kuda atau apa juga, itulah yang masih belum ada dalam masyarakat," katanya sambil berlari di laluan pejalan kaki yang sempit dengan begitu mahir dan bersedia untuk meneruskan perjalanan di satu bahagian laluan yang agak rumit.

"Saya masih mengatakan bahawa melintas di tempat letak kereta pasaraya Wal-Mart adalah lebih menakutkan daripada apa yang saya lakukan sekarang."

No comments:

Post a Comment