Monday, 8 September 2014

Penyelidik OKU penglihatan UAE: 'kecacatan saya tidak pernah menjejaskan saya'

Rencana "Blind UAE researcher: 'My disability has never affected me'" oleh Mary Achkhanian bertarikh 20 Ogos 2014 terbit di gulfnews




Kakitangan kerajaan persekutuan menjalani hidup dengan sepenuhnya walaupun terdapat cabaran-cabaran sukar dalam hidup

Dubai: Sebuah video baru yang dijangka disiarkan pada hari Khamis di perkhidmatan video dalam talian kerajaan persekutuan akan menambah satu lagi cerita yang memberi inspirasi kepada naratif UAE berhubung usaha mengatasi segala kemungkinan.

Penambahan terbaru kepada apa yang dipanggil saluran YouTube kerajaan UAE memaparkan kisah hidup yang menarik seorang penyelidik undang-undang yang berpendidikan tinggi di Kementerian Hal Ehwal Sosial yang juga OKU penglihatan - saluran itu telah dilancarkan pada awal bulan Jun oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Shaikh Mohammad Bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE dan Pemerintah Dubai.

Dalam video itu, Dr Ahmad Abdullah Al Omran terus terang memberitahu bahawa kurang upaya penglihatannya tidak pernah menghalangnya daripada mencapai kehidupan yang penuh dengan ganjaran kejayaan peribadi dan profesional.

Telah berumahtangga dan mempunyai beberapa orang anak, Al Omran memperoleh ijazah kedoktoran ketika belajar di luar negara selama dua dekad.

"Hilang upaya tidak pernah menghalang saya dalam apa juga cara," kata Al Omran pada pembukaan video eksklusif itu.

"Keluarga sentiasa menggalakkan saya untuk belajar, dan saya telah menghabiskan lebih daripada 20 tahun belajar di luar negara sehingga memperoleh ijazah doktor falsafah. Saya menganggap ia hari yang paling penting dalam hidup saya dan satu pencapaian yang monumental bagi saya. "

Al Omran menganggap segala-galanya yang berlaku dalam hidupnya satu keberkatan kerana dia berupaya mengajar anak-anak perempuannya bahasa Inggeris dan juga telah dapat menghafal keseluruhan Al-Quran pada usia yang muda dalam hidupnya.

"Dengan bantuan seorang ulama Islam dan sokongan yang luar biasa daripada ibu, saya dapat membaca al-Quran, dan saya meneruskan amalan bacaan hingga ke hari ini. Saya juga sangat berminat memimpin solat di masjid sepanjang bulan Ramadan setiap tahun," kata Al Omran.

Video ini membawa kita menghayati kisah hidup Al Omran, dan kejayaan yang dapat dicapainya selama ini. Dedikasi, ketabahan dan semangatnya untuk menggunakan sebahagian besar apa sahaja yang ada adalah mesej asas.

Sepanjang seluruh masa tayangan video itu, Al Omran kerap menyebut tentang kepentingan teknologi dan bagaimana ia telah membantu mengatasi kecacatannya dan menggalakkan dia menjadi lebih produktif.

Antaranya ialah teknologi Global Position Technology (GPS), yang telah membantu dia bergerak dengan mudah, dan buku-buku elektronik, yang dia percaya adalah "di antara sumber yang paling penting dalam pengetahuan".

"Teknologi adalah sesuatu yang sangat penting dan tidak boleh diketepikan sama sekali, terutamanya bagi OKU penglihatan. Ia membolehkan kita berkomunikasi dengan orang lain dan membantu kita membaca dan belajar. Ia juga membantu produktiviti seseorang di tempat kerja. "

Video terkini dan mesejnya tentang menjalani hidup penuh dengan produktiviti adalah berpadanan dengan komen awal oleh Shaikh Mohammad pada majlis pelancaran saluran baru itu.

"Kami memanfaatkan laman media sosial supaya rakyat gembira dan meningkatkan kerja kerajaan. Kami terus menggunakan segala kaedah teknologi dan komunikasi untuk manfaat negara dan rakyatnya," kata Shaikh Mohammad pada majlis pelancaran itu.

Menurut kerajaan persekutuan, saluran itu adalah sumber rasmi dan eksklusif untuk berita berkaitan dengan kerajaan persekutuan.

Saluran ini memaparkan perkhidmatan yang disediakan oleh kementerian dan badan-badan kerajaan sebagai tambahan kepada klip video dalam talian.

No comments:

Post a Comment