Rencana "Lesser-known
things about being deafblind" oleh Liz Ball
bertarikh 10 September 2014 terbit di
bbc
Bagi Liz Ball, yang
tidak lagi mempunyai pendengaran atau penglihatan, komunikasi lebih
banyak dilakukan dengan menyentuh tangan orang lain. Di sini beliau
mendedahkan lima perkara yang kurang diketahui tentang menjadi pekak
buta.
Kata-kata di
sekeliling, dan menerusi lantai
Orang yang pekak buta
tidak terjejas oleh perkara-perkara yang mungkin dianggap ramai satu
gangguan. Ini bermakna mereka boleh bekerja walaupun ketika ada
perbualan yang hangat, majlis jamuan teh pejabat, muzik kuat, ribut
petir dan seumpamanya.
Tetapi, apabila ada
pergerakan udara yang sedikit ketika mengambil sehelai kertas, atau
getaran paling kecil apabila meletakkan kaki dengan perlahan di atas
lantai, ini serta-merta mungkin menarik perhatian orang yang pekak
buta.
Ada juga
gangguan-gangguan jenis lain. Saya telah mengisytiharkan satu tempat
mesyuarat sebagai tidak boleh digunakan kerana lantai kayu di situ
menguatkan getaran dari peti sejuk di dapur yang berhampiran. Mereka
yang boleh mendengar yang bersama-sama saya ketika itu tidak sedar
tentang getaran tersebut sehinggalah saya menarik perhatian mereka
berkenaannya, tetapi saya tidak dapat menanggungnya lagi.
Anda adalah apa yang
tangan anda katakan tentang anda
Terdapat banyak bentuk
sentuhan yang berbeza, atau sentuhan komunikasi. Buku rujukan pekak
buta adalah satu bentuk mengeja dengan sentuhan jari, di mana setiap
huruf abjad mempunyai tanda yang dibuat untuk tangan anda. Ada
isyarat menggunakan tangan, apabila seseorang yang pekak buta
meletakkan tangan mereka ke atas tangan orang yang ditemui untuk
merasakan bentuk dan pergerakan Bahasa Isyarat British (BSL).
Sesetengahnya boleh menggunakan abjad blok di mana huruf besar
dibentuk dengan jari ke tapak tangan.
Cara seseorang
menyentuh boleh memberitahu banyak perkara tentang mereka. Daripada
kekakuan di tangan, ketegasan dan irama, atau keupayaan bahasa
sentuhan, pertimbangan yang cepat boleh dibuat berhubung personaliti
seseorang atau motif samalah seperti dengan wajah atau nada suara.
Orang yang pekak buta
mungkin tidak melihat rupa seseorang, atau apa yang mereka pakai,
tetapi tanggapan pertama masih diambilkira, dan ini dapat diketahui
melalui tangan.
Tangan tegang dan
pergerakan yang janggal? Neurotik. Tangan yang kuat tetapi santai
dengan irama yang stabil? Prihatin dan terbuka.
Seperti juga cara
membentuk tanggapan pertama, ia boleh jadi salah, tetapi siapa yang
boleh menghentikan diri mereka sendiri?
Bercakap semasa anda
makan
Jika anda berkomunikasi
melalui sentuhan sahaja, ia boleh menjadi sukar untuk berbual dengan
rakan-rakan semasa makan malam. Ia melibatkan regangan lengan dan
pergerakan untuk berkomunikasi di meja sambil cuba tidak melanggar
bekas minuman dan bahaya-bahaya lain yang tidak dijangka.
Dalam entri blognya
baru-baru ini, penyair pekak buta dan penulis esei John Lee Clark
mencadangkan meletakkan orang di tengah-tengah bilik dan meja di
sekeliling mereka. Saya pernah melihat orang berkomunikasi antara
satu sama lain seperti ini di majlis-majlis dan ia kelihatan seperti
cara yang baik supaya lebih mudah bersosial pada waktu makan.
Terdapat cara yang
lebih banyak untuk berkomunikasi dengan orang pekak buta daripada
bilangan orang pekak buta itu sendiri.
Komunikasi boleh
berlaku dengan banyak cara yang berbeza - ucapan jelas, sentuhan
mengeja dengan jari, membuat isyarat lebih mudah untuk dilihat atau
rasa, dan sebagainya. Tetapi, untuk merumitkan perkara lagi, orang
yang pekak buta mengolah variasi mereka sendiri terhadap kaedah ini.
Saya berkomunikasi
menggunakan manual pekak buta tetapi menggunakan lima cara yang
berbeza untuk berkomunikasi tentang nombor, bergantung kepada siapa
saya bercakap dan apa yang mereka tahu.
Sesetengah orang
mungkin menggunakan titik nombor Braille di belakang tangan saya atau
melakar nombor cetak di telapak tangan saya. Atau mereka yang lebih
mengenali BSL mungkin menyesuaikannya. Sebagai contoh seseorang itu
menggenggam jari telunjuk saya sebagai tanda nombor satu, nombor dua
ialah jari telunjuk dan jari hantu, dan nombor tiga ialah jari
telunjuk, jari hantu dan jari manis.
Sentuh untuk
bercakap
Jika seseorang yang
pekak buta disentuh, mereka menganggap ada orang yang ingin
berkomunikasi dengan mereka kerana mereka tidak dapat melihat atau
mendengar orang tadi.
Apabila seseorang
menyentuh saya, saya cuba meneka niat mereka. Sebagai contoh, jika
saya di dalam kereta api, saya anggap dia ialah seorang pemeriksa
tiket, dan menunjukkan tiket perjalanan kepadanya.
Saya boleh bercakap dan
dapat menjelaskan bagaimana orang boleh berkomunikasi dengan saya.
Saya menawarkan kad manual Braille dan cetak pekak buta supaya mereka
boleh mengeja perkataan kepada saya di tangan saya. Tetapi saya
mungkin bercakap dengan ruang kosong atau seseorang yang menyentuh
saya secara tidak sengaja. Ironinya, ia kemudiannya boleh mengambil
masa yang lama bagi mereka untuk menerangkan pada kad saya bahawa
mereka bukan benar-benar mahu bercakap.
Untuk mendapatkan
perhatian saya, sentuh bahu, lengan atau tangan saya. Berdiri rapat
jika anda mahu berkomunikasi tetapi melangkah ke belakang jika anda
tidak mahu - saya berkomunikasi rapat dengan orang tetapi juga suka
sedikit ruang peribadi.
Rakan-rakan saya dan
saya mencipta satu isyarat kod Morse rahsia untuk digunakan dengan
saya jika mereka melihat saya berjalan bersendirian dan kelihatan
tertekan atau mengabaikan sentuhan biasa. Kami menciptanya selepas
satu insiden di sebuah stesen kereta api London di mana saya sedang
menunggu rakan sekerja pada suatu pagi. Kakitangan dan penumpang cuba
membantu dengan memegang saya dan tidak mendengar apapun yang saya
katakan tentang berkomunikasi menggunakan kad saya. Saya akhirnya
menjadi sangat kecewa.
Apabila rakan saya
tiba, dia menyentuh saya tetapi saya bercakap dengan kuat memberitahu
siapa sahaja di situ supaya meninggalkan saya sendirian. Oleh sebab
itu, kami mencipta isyarat Morse rahsia sebagai cara yang cepat untuk
rakan-rakan mengatakan "Semuanya ok, saya tahu apa yang saya
lakukan, saya boleh berkomunikasi dengan anda".
Walaupun saya telah
memberi tumpuan kepada komunikasi sentuhan di halaman ini, perlu
diambilkira bahawa ramai yang menyatakan diri mereka pekak bisu boleh
melihat dan / atau mendengar sedikit.