Tuesday, 1 July 2014

Gelandangan: Perangi kemiskinan bukan orang miskin

Surat kepada editor "Homelessness: Wage war against poverty, not the poor" oleh Wong Ee Lynn bertarikh 30 Jun 2014 terbit di nst



Kenyataan tangkap muat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim tentang gelandangan malas dan dimanjakan (NST, 23 Jun), menunjukkan kurangnya rasa belas kasihan dan pemahaman pihak kementerian terhadap salah satu kumpulan yang paling terpinggir dalam masyarakat kita.

Ini merupakan petanda malang keadaan masyarakat kita apabila mereka yang bertanggungjawab untuk kebajikan rakyat lebih senang menyalahkan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan bagi keadaan individu yang miskin dan tiada tempat tinggal.

Saya telah menjadi sukarelawan organisasi yang terbabit dengan mereka yang tiada tempat tinggal selama beberapa tahun, dan saya menekankan bahawa pertubuhan-pertubuhan dan sukarelawan mereka tidaklah naif dan tidak pula bodoh, seperti yang digambarkan oleh kerajaan. Organisasi-organisasi itu menawarkan lebih daripada sekadar makanan. Hampir semua menawarkan perkhidmatan asas kaunseling, kaunseling pekerjaan dan rujukan, bantuan kepada keluarga dan individu yang tidak berdaya, nasihat dan bantuan guaman, perkhidmatan bantuan kecemasan dan bantuan perubatan, dan peluang untuk mereka mencari pekerjaan yang lebih baik dan berada semula dalam masyarakat arus perdana. Bagi kebanyakan daripada individu-individu yang paling tersisih dari segi sosial, bantuan praktikal yang diberi adalah cara kami memberitahu mereka: "Anda mempunyai rakan-rakan. Kami berada di sini untuk menyokong anda, dan membantu anda apabila anda sudah bersedia. Kita boleh berbual, apabila perut anda tidak lagi lapar. Ini sedikit makanan, dan anda tidak perlu mengambil langkah yang menyalahi undang-undang atau menjatuhkan maruah untuk mendapatkannya. "

Kebanyakan individu yang kehilangan tempat tinggal di negara ini tidak menganggur, tetapi bekerja dengan gaji yang rendah. Ada yang mempunyai penyakit mental atau kecerdasan sub-purata dan, dengan itu, tidak dapat bekerja. Ada yang kehilangan pekerjaan kerana keadaan ekonomi yang semakin buruk, masalah peribadi, kemurungan klinikal atau isu-isu perubatan yang lain. Ada yang menjadi mangsa jenayah, penderaan seksual atau keganasan rumah tangga. Ada yang telah ditipu gaji mereka oleh majikan atau telah berkongsi perniagaan yang gagal. Ada warga emas yang ditinggalkan oleh keluarga mereka dan tidak dapat mencari rumah kebajikan yang mahu menerima mereka. Tetapi, ramai cuma rakyat biasa yang bergelut untuk hidup dan menghantar wang kepada keluarga mereka di bandar-bandar dan kampung-kampung lain.

Sebab-sebab peningkatan bilangan gelandangan di jalan-jalan di Kuala Lumpur adalah sama seperti di mana-mana sahaja di dunia - penghijrahan ke bandar untuk mencari peluang ekonomi yang lebih baik, tiada kenaikan gaji dan kenaikan kos sara hidup. Kenaikan sewa, kos utiliti dan kos bahan api bermakna individu berpendapatan rendah yang sebelum ini dapat menyewa bilik di bandar kini tidak lagi mampu membayarnya.

Walaupun perumahan yang mampu dimiliki terdapat di pinggiran kawasan bandar, kos memiliki kenderaan persendirian dan kekurangan pengangkutan awam yang boleh diharapkan bermakna individu-individu ini tidak mempunyai pilihan perjalanan yang mudah untuk berulang-alik ke tempat kerja. Akibatnya, ramai memilih untuk tidur di kawasan awam tidak jauh dari tempat kerja mereka.

Saya menekankan sekali lagi bahawa tidak ada di kalangan mereka yang manja, malas atau menuntut hak yang bukan-bukan. Semua gelandangan yang kami temui berbangga memberitahu apabila mereka telah menemui bilik sewa, mendapat kerja yang lebih baik atau telah menabung secukupnya untuk kembali ke kampung masing-masing. Mereka sentiasa bersedia dan sanggup membantu satu sama lain dan pertubuhan-pertubuhan yang membantu mereka. NGO dan makanan yang kami beri bukan merupakan sebab orang tidur di jalan-jalan. Banyak yang dengan sopan menolak menerima makanan apabila mereka telahpun makan, dan meminta kami memberi makanan itu kepada orang lain yang lebih memerlukan. Ada juga yang menjaga binatang yang berkeliaran dan para sukarelawan kemudian membantu supaya binatang itu dikasi, diberi vaksin dan makan. Ada pula yang berjimat dalam soal sewa supaya mereka boleh menghantar pulang wang untuk membantu orang tua mereka atau adik-beradik bersekolah.

Bergelandangan bukanlah satu pilihan. Tidak ada kanak-kanak yang bermimpi menjadi orang yang tidur di jalan-jalan apabila mereka membesar. Ada sesuatu yang berlaku dalam perjalanan hidup mereka. Tugas kami ialah untuk mengetahui apa masalah itu dan mencari penyelesaian. Kita tidak boleh menghukum orang hanya kerana mereka miskin.

Langkah-langkah yang dicadangkan oleh kerajaan mungkin menghadapi halangan praktikal dalam pelaksanaannya. Kerajaan telah menyediakan pusat persinggahan dan tempat perlindungan sementara di mana gelandangan dan orang miskin di bandar boleh mendapatkan makanan dan mempunyai tempat untuk mandi dan berehat. Walau bagaimanapun, tempat perlindungan ini sering tidak beroperasi atau terbuka kepada gelandangan. Oleh itu, NGO dan sukarelawan berhak berasa bimbang bahawa pusat perlindungan kelolaan kerajaan yang dicadangkan dan dapur sup tidak dapat beroperasi secara konsisten atau boleh diakses oleh semua gelandangan.

Terdapat juga kebimbangan bahawa individu-individu yang paling lemah - yang didera, pesakit mental, yang kelainan upaya dan mangsa-mangsa keganasan jalanan - tidak akan dapat datang ke dapur sup dan tempat perlindungan untuk bantuan yang diperlukan.

Jika kerajaan ikhlas dalam usaha untuk menghapuskan kemiskinan dan gelandangan, ia mestilah membasmi rasuah dan kerenah birokrasi yang menjadikan akses ke tempat perlindungan dan rumah kebajikan satu cabaran yang besar. Mestilah ada undang-undang dan langkah-langkah yang sebenar untuk melaksanakan gaji minimum yang munasabah untuk hidup; melindungi hak-hak pekerja; meminda undang-undang kebankrapan dan perampasan; dan memperuntukkan peratusan tanah dan perumahan untuk golongan miskin dan kurang bernasib baik serta memastikan bahawa ini dikhaskan untuk rakyat berpendapatan rendah.

Penyelesaian jangka panjang juga boleh dilaksanakan dengan menyediakan pendidikan berkualiti tinggi dan latihan kemahiran yang dibiayai kerajaan, pinjaman kredit mikro untuk yang layak, rawatan dan bantuan kesihatan mental untuk mereka yang sakit mental dan penagih, asrama dan latihan kerja untuk bekas banduan dan bekas pengguna dadah, dan bantuan undang-undang dan rumah-rumah selamat untuk wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, pemerdagangan manusia atau yang terperangkap ke dalam perdagangan seks.

Siasatan perlu dijalankan tentang kes pengambilalihan tanah yang tidak adil, pencemaran air dan tanah serta lain-lain bentuk kemusnahan kawasan luar bandar yang mengancam kesinambungan ekonomi masyarakat luar bandar, menyebabkan penduduk luar bandar berhijrah ke bandar-bandar dan berakhir sebagai warga setinggan. Sebagai ganti melancarkan perang terhadap yang tiada tempat tinggal, undang-undang dan masyarakat perlu memerangi kemiskinan. Kerajaan tidak boleh mengatakan gelandangan menyalahi undang-undang melainkan terdapat sistem yang menjadikannya hampir mustahil untuk berlaku.

No comments:

Post a Comment