Monday, 30 June 2014

Melawan arus: Buta bukan penghalang kejayaan

Rencana “Against all odds: Being blind is not an obstacle to success” oleh Naveena Nathene James bertarikh 29 Jun 2014 terbit di thestar




Wong Shin Yee mungkin buta tetapi itu tidak menghalang dia daripada mencapai cita-citanya.

Kemiskinan, penderaan, ketaksuban, peperangan dan bencana - ini adalah krisis sosio-ekonomi yang biasa berlaku di seluruh dunia. Kelihatan mustahil bagi seseorang dari latar belakang yang mencabar itu untuk melihat impian mereka tercapai.

Oleh itu, memang suatu kejutan yang sentiasa menyenangkan apabila melihat bakat yang muncul walaupun dalam keadaan sedemikian.

Kita mendapat inspirasi dan bermotivasi apabila membaca tentang orang yang telah mencapai kejayaan yang besar walaupun mereka perlu melalui pelbagai perjuangan.

Sebagai contoh, Perdana Menteri India yang baru dilantik, Narendra Modi, membesar sebagai seorang remaja yang mengendalikan sebuah gerai teh dengan adiknya. Tidak lupa juga Subhas Chandra Bose yang terkenal, pemimpin radikal yang berjuang untuk kemerdekaan di India, yang telah dipenjarakan beberapa kali dan dipukul dengan kejam. Mereka mampu melawan arus dan menjadikan yang mustahil sesuatu yang mungkin.

Walau bagaimanapun, cerita-cerita yang kita baca atau tonton di televisyen ini, sering berakhir sebagai tidak lebih daripada perbualan makan malam atau topik untuk perbincangan akademik.

Cerita-cerita ini tidak menyentuh kita secara peribadi kerana tidak melibatkan sesiapa yang diketahui. Tetapi bagaimana jika ada seseorang berhampiran anda, seseorang yang tinggal di seberang jalan atau belajar di sekolah yang sama seperti yang anda, yang telah mencapai kejayaan cemerlang yang memberi inspirasi kepada anda untuk mengejar impian anda sendiri?

Saya bernasib baik bertemu orang seperti itu. Ini mengubah cara saya berfikir tentang perkara-perkara tertentu dan terima kasih kepada beliau kerana telah memberi kesan kepada hidup saya.

Seorang gadis pintar yang bersahaja, yang saya dengan bangganya boleh katakan sebagai rakan saya sekarang, cerita Wong Shin Yee saya percaya perlu diketahui dunia.

Beliau buta dan yang pasti, membesar tidaklah mudah walaupun ahli keluarganya sentiasa berada di sampingnya memberi sokongan, terutama sekali ibunya. Semasa kanak-kanak, Shin Yee cepat mempelajari sesuatu kerana dia memahami perkataan dengan mudah. Ibunya mengajar beliau menggunakan muzik dan puisi kanak-kanak, jadi kebanyakan pembelajaran beliau adalah melalui pendengaran.

Beliau menamatkan pengajian sekolah rendah di SK Sg Kantan dan kemudian lulus dari SMK Kajang Utama selepas Tingkatan Lima. Sebahagian besar masa pengajiannya, Shin Yee telah menggunakan Braille dan komputernya dengan bantuan perisian komputer yang menuturkan maklumat yang terpapar di skrin.

Di sekolah, dia belajar di kelas biasa dengan bantuan seorang guru yang menterjemahkan bahan-bahan pembelajaran ke dalam Braille untuknya. Dia juga mempunyai sekumpulan rakan-rakan yang membantunya dalam kelas dengan membaca apa yang telah ditulis di atas papan hitam.

Saya amat terkejut apabila diberitahu bahawa dia belajar bahasa Inggeris sendiri dengan bantuan komputer kerana dia bukanlah daripada latar belakang berbahasa Inggeris. Menurut ibunya, Shin Yee boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik hanya ketika berada di tahun terakhir beliau di sekolah rendah. Video dan audio Bahasa Inggeris membantu beliau meningkatkan perbendaharaan kata dan sekarang, dia bercakap dengan lancar.

Cintanya terhadap bahasa itu semakin bertambah apabila dia menjadi kagum dengan cara guru muzik beliau bercakap dalam bahasa tersebut dengan gaya yang menarik. Dari saat itu dan seterusnya, minatnya terhadap Bahasa Inggeris meningkat dan dia telah menulis banyak cerpen dalam talian. Dia merancang menamatkan kursus ijazah dalam Bahasa Inggeris dan Sastera, dan bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah atau penulis.

Beliau suka membaca novel dan yang paling digemarinya ialah Touching Spirit Bear oleh Ben Michaelson. Ketika belajar di Tingkatan Empat, beliau mewakili Malaysia dalam satu forum kanak-kanak antarabangsa yang diadakan di Singapura.

Shin Yee juga bermain piano dan apabila ditanya bagaimana dia belajar untuk bermain tanpa bantuan penglihatan, dia berkata: "Saya bergantung kepada pendengaran saya dan walaupun ia mengambil masa lebih sedikit, dengan latihan dan bantuan pengajar, saya berjaya melengkapkan skor.'' Walaupun muzik beralun dengan deria pendengaran kita, kebanyakan kita bergantung kepada lembaran skor muzik dan cenderung melihat kunci piano untuk memainkan sebuah lagu. Hakikat bahawa Shin Yee mampu lulus peperiksaan muzik berprestij dan bermain piano dengan baik memperlihatkan satu sifat yang menakjubkan di dalam dirinya.

Mengimbau kembali pertemuan kami, saya bernasib baik dapat bertemu Shin Yee dalam satu majlis anugerah. Saya berjaya mencapai keputusan yang baik di dalam peperiksaan SPM. Tidak lama selepas saya meninggalkan pentas, jurucakap majlis memanggil nama dia dan saya teruja menyaksikan gadis ini yang telah berjaya melepasi pelbagai cabaran dan berjaya memperoleh 6A, empat daripadanya A +, menikmati kejayaan beliau di pentas yang sama selepas saya.

Pembawaan dirinya amat baik dan dia juga mempunyai kemahiran komunikasi yang baik. Saya amat kagum dan menjadi lebih teruja apabila saya tahu bahawa dia tinggal 10 minit dari rumah saya.

Saya berkunjung ke rumahnya dan berbual dengan dia, tanda permulaan persahabatan baharu yang indah.

Satu perkara yang dikatakannya benar-benar menyentuh hati saya: dia mengaku bahawa dia berasa tidak ada keperluan yang mendesak untuk mempunyai penglihatan kerana beliau gembira seadanya. Dalam perbualan saya dengan beliau, tidak pernah sekalipun dia melihat kehidupannya sebagai sesuatu yang sukar.

"4K hidup: Keghairahan, Kesabaran, Ketabahan dan Kegigihan adalah penting untuk mencapai impian anda,'' kata Shin Yee apabila saya meminta beliau memberi pandangan tentang kejayaan. Beliau percaya bahawa hidup boleh menyebabkan kita rasa murung dan juga gembira, tetapi kita mesti sentiasa kekal positif dan tidak sekali-kali berputus asa. Setiap masalah ada penyelesaian. Jadi mesti ada cara untuk menyelesaikannya.

Secara peribadi, saya percaya Shin Yee akan menyedarkan dunia supaya melihat sesuatu dengan pandangan yang berbeza, bukan sahaja disebabkan oleh bagaimana dia telah mengatasi cabaran yang dihadapi tetapi sikapnya yang tidak pernah menganggap kebutaannya menjadi penghalang kepada matlamatnya mencapai kejayaan. Cara berfikir beliau perlu dicontohi oleh semua orang, terutamanya generasi muda.

"Tiada ada sesiapa yang mempunyai kuasa untuk menghancurkan impian anda, melainkan anda memberikannya kepada mereka," kata pengarang Amerika, Maeve Greyson.

Kadang-kadang, hidup menyeret kita ke tahap paling rendah sehingga kelihatan seolah-olah lebih baik mengaku kalah. Walau bagaimanapun, apabila kita memilih untuk bekerja keras dan membuktikan kepada orang lain bahawa mereka salah, itulah ketikanya apabila kita benar-benar melawan arus dan menjadi orang yang kita dambakan. Sama seperti Shin Yee.

No comments:

Post a Comment