Friday, 25 July 2014

Sebuah negara 'pendatang'

Rencana "A nation of ‘pendatang’" oleh Azrul Mohd Khalib bertarikh 25 Julai 2014 terbit di themalaymailonline



Saya rasa sakit dan bosan dengan orang yang melabelkan rakyat Malaysia sebagai "pendatang".

Lazimnya, istilah ini yang menggambarkan masyarakat yang telah berhijrah ke negara yang baru tidaklah dianggap meremehkan atau menghina. Di Amerika Syarikat dan United Kingdom, walaupun masih ada perdebatan berterusan mengenai imigresen dan pendatang di negara-negara ini, sumbangan pendatang telah diiktiraf sebagai sesuatu yang menjadikan negara tersebut lebih gah. Malahan John F. Kennedy menyatakan Amerika sebagai "sebuah negara pendatang."

Di Malaysia, istilah itu kadang-kadang digunakan untuk meremehkan dan menindas serta menunjukkan keunggulan atau penguasaan ke atas yang lain.

Masalahnya, selain daripada Orang Asal yang mungkin mempunyai tuntutan paling sah sebagai penduduk asli tanah ini yang dianggap sebagai tanah air kita, semua orang lain adalah pendatang dari satu-satu tempat. Jawa, Kepulauan Maluku, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Sumatera, China, India malahan Portugal!

Sebut sahaja nama sesuatu tempat di Asia Tenggara, dan anda boleh bertaruh bahawa moyang seseorang kemungkinan besar datang dengan perahu dari sana membina kehidupan yang lebih baik untuk diri mereka dan keluarga di tanah ini.

Tidak ada bahagian dalam negara ini yang belum disentuh oleh pengalaman pendatang kita. Malah kerajaan Melayu boleh mengesan asal-usul awal daripada seorang Hindu dari Sumatera, Parameswara, seorang pelarian yang melarikan diri daripada peperangan dan penganiayaan. Saya fikir dia berjaya dalam hidupnya, bukan begitu?

Negara ini telah dan sedang dibina hasil usaha rakyatnya, termasuk komuniti pendatang. Sumbangan mereka boleh dilihat dalam setiap aspek kehidupan kita.

Ia boleh dilihat dalam politik, agama, perniagaan, undang-undang dan pendidikan. Pertimbangkan hakikat bahawa Islam adalah agama asing yang dibawa ke negara kita oleh pendatang dan pedagang dari negara-negara lain.

Sama seperti pembiakbakaan bukanlah idea yang baik kerana akan meningkatkan kemungkinan gangguan genetik dalam populasi, wadah tumpuan kepelbagaian yang wujud di dalam masyarakat Malaysia hari ini adalah apa yang memastikan kita belajar, berinovasi dan mencapai kemajuan. Penglibatan dan penerimaan, dan bukannya toleransi semata-mata, adalah penting kepada kepelbagaian sosial dan pluralisme yang menjadikan Malaysia lebih kukuh dan makmur.

Penerimaan nilai-nilai inilah yang memungkinkan seorang anak dengan bapa yang asalnya berhijrah dari negeri di selatan India Kerala, melalui kerja keras, komitmen dan pengorbanan, kemudian menjadi perdana menteri keempat Malaysia.

Ini telah menjadi rahsia kemajuan dan kejayaan Malaysia selama ini. Penerimaan kepelbagaian masing-masing menerusi pengalaman pahit dan gelap masa lalu.

Apabila lebih daripada satu juta orang telah diberikan kewarganegaraan dan menjadi anggota sebuah negara baharu pada tahun 1957, tindakan itu bukanlah unutk membantu mereka, seperti yang selalu difikirkan atau diketengahkan oleh segelintir masyarakat.

Ia merupakan pengiktirafan yang jelas, pandangan jauh dan wawasan oleh pengasas seperti Tunku Abdul Rahman bahawa pembinaan negara memerlukan lebih daripada kemerdekaan. Ia memerlukan yang terbaik dan cemerlang, yang rajin dan komited, pengumpulan tenaga kerja dan kebijaksanaan. Ia memerlukan lebih daripada apa yang sudah sedia ada. Darah, peluh, air mata dan pengorbanan daripada orang yang sudah menjadi warganegara dari semua segi kecuali nama. Oleh itu, negara ini dibina berdasarkan janji apa yang kita boleh capai, dan apa yang akan menjadi jika semua berganding bahu.

Memanggil mereka "pendatang" bukan sahaja akan menolak dan tidak mengiktiraf semua orang yang membina negara ini sebelum kita melalui pengorbanan, kerja keras dan nyawa masing-masing.

Tindakan itu merupakan satu pendedahan terhadap kejahilan dan keangkuhan, serta kurangnya rasa terima kasih, penghargaan dan pemahaman wawasan besar yang dikemukakan oleh wanita dan lelaki yang mengasaskan negara ini.

Tahun ini menandakan tahun ke-57 semenjak Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Marilah kita menghabiskan bulan seterusnya merancang dan berbahas tentang 57 tahun yang akan datang di negara bertuah ini. Kita tidak harus lupa bahawa kita semua menjadi lebih baik dan makmur jika percaya serta berusaha ke arah takdir dan masa akan datang yang dikongsi bersama. Bersama-sama.

Pada satu ketika dalam sejarah, kita semua adalah pendatang. Ya, memang benar, tetapi hari ini, kita semua rakyat Malaysia.


No comments:

Post a Comment