Thursday, 10 July 2014

Peranti jari MIT membaca untuk orang buta di dalam masa nyata

Rencana "MIT finger device reads to the blind in real time" oleh Rodrique Ngowi bertarikh 8 Julai 2014 terbit di ap



Para saintis di Massachusetts Institute of Technology sedang membangunkan peranti membaca audio untuk dipakai di jari telunjuk orang yang mempunyai masalah penglihatan, memberikan mereka akses kepada perkataan yang dicetak dengan harga yang berpatutan dan segera.

Apa yang dipanggil FingerReader, prototaip yang dihasilkan oleh pencetak 3-D ini, berperanan seperti cincin di jari pengguna, dilengkapi dengan kamera kecil yang mengimbas teks. Satu suara yang disintesis membaca perkataan dengan kuat, dan dengan cepat menyuarakan kandungan buku, menu restoran serta bahan-bahan lain yang diperlukan untuk kehidupan setiap hari, terutama di luar rumah atau pejabat.

Membaca menjadi semudah menunjuk jari pada teks. Perisian khas menjejaki pergerakan jari, mengenal pasti kata-kata dan memproses maklumat. Peranti itu mempunyai motor getaran yang memberi amaran kepada pembaca apabila mereka terpesong dari skrip, kata Roy Shilkrot, yang sedang membangunkan peranti tersebut di MIT Media Lab.

Bagi Jerry Berrier, 62, yang dilahirkan buta, daya penarik FingerReader adalah kerana ia mudah alih dan menawarkan fungsi masa nyata di sekolah, pejabat doktor dan restoran.

"Apabila saya pergi ke pejabat doktor, mungkin ada borang yang hendak dibaca dahulu sebelum saya mengisinya," kata Berrier.

Beliau berkata terdapat peranti-peranti lain yang boleh mengenali aksara optik di pasaran untuk mereka yang mempunyai masalah penglihatan, tetapi setakat apa yang diketahuinya tidak ada yang akan membaca dalam masa nyata.

Berrier menguruskan latihan dan penilaian untuk satu program persekutuan yang mengedarkan teknologi untuk rakyat berpendapatan rendah yang telah kehilangan penglihatan dan pendengaran mereka di Massachusetts dan Rhode Island. Dia bekerja dari Perkins School for the Blind di Watertown, Massachusetts.

"Ke mana sahaja kita pergi, bagi orang yang boleh melihat, ada perkara-perkara yang memberitahu kita tentang produk yang akan dihadapi. Saya juga mahu berinteraksi dengan produk-produk yang sama, tidak kiralah bagaimana saya lakukan, "kata Berrier.

Pattie Maes, seorang profesor MIT yang mengasaskan dan menerajui kumpulan penyelidikan Fluid Interfaces yang membangunkan prototaip itu, berkata bahawa FingerReader adalah seperti "membaca dengan hujung jari anda dan jauh lebih fleksibel, lebih cepat daripada apa-apa penyelesaian yang ada sekarang. "

Membangunkan alat itu telah mengambil masa tiga tahun dalam membentuk perisian pengekodan, bereksperimen dengan pelbagai reka bentuk dan bekerja berdasarkan maklum balas daripada kumpulan ujian orang cacat penglihatan. Masih banyak kerja yang harus dibuat sebelum ia bersedia untuk pasaran, Shilkrot berkata, termasuklah menjadikannya berfungsi pada telefon bimbit.

Shilkrot berkata pemaju percaya mereka akan dapat memasarkan FingerReader pada harga patut tetapi dia belum lagi dapat menganggarkan harganya. Pasaran yang berpotensi termasuklah sejumlah 11.2 juta orang di Amerika Syarikat yang mengalami masalah penglihatan, menurut anggaran Biro Bancian Amerika Syarikat.

Teknologi semasa yang digunakan di rumah dan pejabat menawarkan pengimbas yang tidak begitu mesra pengguna yang perlu memproses skrip yang dikehendaki sebelum ia boleh dibaca dengan kuat oleh perisian pengenalan aksara yang dipasang pada komputer atau telefon pintar, kata Shilkrot. FingerReader tidak akan menggantikan Braille - sistem titik timbul yang membentuk perkataan, yang ditafsirkan melalui sentuhan. Sebaliknya, Shilkrot berkata, peranti baru itu akan membolehkan pengguna mengakses sejumlah besar buku-buku dan bahan-bahan lain yang buat masa ini tidak boleh didapati dalam bentuk Braille.

Pemaju terpaksa mengatasi cabaran yang luar biasa untuk membantu orang dengan masalah penglihatan menggerakkan jari bacaan mereka sepanjang satu garis lurus teks bercetak yang tidak dapat dilihat mereka. Pengguna juga perlu dimaklumkan pada awal dan akhir bahan bacaan tersebut.

Penyelesaian mereka? Isyarat audio dalam perisian yang memproses maklumat dari FingerReader dan getaran motor di cincin yang dipakai.

FingerReader boleh membaca kertas, buku, majalah, surat khabar, skrin komputer dan peranti lain, tetapi ia mempunyai masalah dengan teks pada skrin sentuh, tambah Shilkrot.

Ini kerana menyentuh skrin dengan hujung jari itu akan menggerakkan teks di merata-rata skrin, satu hasil yang tidak diingini. Melumpuhkan fungsi skrin sentuh menghapuskan masalah ini, katanya.

Berrier berkata penetapan harga yang mampu dimiliki boleh membuat FingerReader alat utama untuk membantu orang dengan masalah penglihatan mengintegrasikan diri ke dalam ekonomi maklumat moden.

"Apa juga alat yang boleh diperolehi yang memberikan kami akses yang lebih baik kepada bahan bercetak membantu kami untuk hidup lebih bermakna, lebih berpengetahuan, dan menikmati kehidupan yang lebih produktif, kata Berrier.

No comments:

Post a Comment