Saturday, 12 July 2014

Membantu gelandangan mendapat kerja

Rencana "Helping the homeless secure jobs" oleh Brenda Ch'ng bertarikh 11 Julai 2014 terbit di thestar



Hayati Ismail ialah seorang sukarelawan yang bukan sahaja memberi makan kepada gelandangan.

Dia memberi gelandangan penyelesaian jangka panjang dengan membantu mereka mendapatkan pekerjaan tetap.

"Ramai gelandangan yang mahu bekerja tetapi mereka tidak diberi peluang kerana faktor keadaan," kata Hayati.

Ibu kepada dua orang anak ini, yang mengendalikan perniagaan katering, mula mendapat tahu tentang gelandangan apabila dia terlibat mengedarkan makanan kepada mereka beberapa bulan yang lalu.

"Kebanyakan mereka adalah rakyat Malaysia. Adalah menyedihkan melihat rakyat kita menganggur dan hidup di jalan-jalan apabila warga asing boleh mencari kerja di sini dan diberikan penginapan," katanya.

Dia mendapat tahu bahawa ramai hidup di jalan-jalan selepas ditipu oleh majikan mereka dan ada yang tidak dibayar gaji selama beberapa bulan.

Hayati mendapat idea mengadakan temu duga pekerjaan di jalan-jalan dengan bantuan dua kumpulan sukarelawan lain, Religion of Love dan Al-Waasi.

Temu bual jalanan

Misi Al-Waasi adalah untuk membantu mencari pekerjaan bagi yang kurang bernasib baik dan gelandangan. Sehingga kini, ia telah membantu membawa masuk tiga syarikat yang berminat untuk dua temu duga pekerjaan jalanan atau "pop-up" bulan lalu.

Sesi temu duga kali pertama melibatkan kira-kira 14 pemohon dengan tiga disenarai pendek dan satu diberi kerja oleh sebuah syarikat kawalan serangga perosak di Shah Alam.

Sesi yang paling baru-baru ini pada 27 Jun menyaksikan 16 calon dengan dua orang disenarai pendek untuk bekerja di sebuah restoran manakala selebihnya sedang dikaji semula oleh pemilik sebuah kilang.

Sukarelawan dari Al-Waasi berada di situ untuk menjalankan temu bual dan menyaring pemohon sebelum memperkenalkan mereka kepada majikan, yang juga akan hadir pada hari tersebut.

Calon-calon yang disenarai pendek akan dimaklumkan dalam masa satu atau dua hari.

"Salah seorang daripada mereka begitu terdesak, sehinggakan beliau bersedia untuk memulakan kerja di tengah-tengah malam," katanya.

Hayati berkata lelaki itu kemudian telah mendapat kerja di sebuah restoran di Taman Dagang Ampang, termasuk penginapan percuma.

"Syarikat-syarikat perlu memenuhi dua syarat; iaitu menyediakan tempat penginapan dan juga menyumbang kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.

Mereka bercadang untuk menjalankan temu bual jalanan sekurang-kurangnya sekali setiap bulan dan Hayati menggesa lebih banyak syarikat seperti pasar raya besar dan rantaian makanan segera untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif ini.

Mereka memastikan bahawa yang menghadiri sesi temuduga di Jalan Tuanku Abdul Rahman diberi makan.

Oleh itu, mereka tidak terjejas dengan pengharaman memberi makan kepada gelandangan dalam radius 2 km dari Lot 10, yang diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Hayati juga mengedarkan pakaian dan kelengkapan peribadi hasil sumbangan orang ramai untuk gelandangan yang menghadiri temuduga pop-up.

"Ini bagi memastikan mereka berpakaian kemas dan bersih semasa temuduga kerja pada masa akan datang.''

Satu kaunter bantuan

Satu kumpulan yang lain, Religion of Love, telah menyediakan sebuah kaunter untuk membantu gelandangan dua kali sebulan sejak bulan April.

Diasaskan oleh Aminuddin Ab Kadir dan beberapa orang lain, mereka membantu gelandangan dalam mendapatkan bantuan.

"Kami membawa mereka ke Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi-agensi lain untuk mendapatkan bantuan kerana kebanyakan mereka mempunyai masalah memahami proses."

Aminuddin berkata kebanyakan gelandangan keliru dengan konsep hak-hak mereka atau bagaimana untuk memohon bantuan.

"Mereka tidak tahu bagaimana hendak mengisi borang dan tidak mempunyai wang untuk mengambil gambar bagi tujuan permohonan.

"Ramai juga yang tidak dilayan kerana mereka tidak mempunyai dokumen yang diperlukan,'' katanya.

Mereka yang mencari pekerjaan dirujuk ke sesi temuduga pop-up.

Ketiga-tiga kumpulan ini bersama-sama sedang berusaha mengumpul data berkaitan dengan gelandangan.

Hayati bercita-cita membuka sebuah pusat yang tetap untuk membantu gelandangan dan juga menawarkan penginapan dari pukul 5:00 petang ke 7:00 pagi.

Pusat ini juga akan memberi bimbingan dan kaunseling serta menjadi tempat perlindungan untuk kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa gelandangan.

"Mereka boleh tinggal di sana sepanjang hari dijaga oleh penjaga manakala ibu bapa kanak-kanak tadi di tempat kerja.

"Orang dewasa hanya dibenarkan mendaftar masuk selepas jam 5 petang dan akan keluar pada pukul 7 pagi, sebaik-baiknya untuk pergi ke tempat kerja," katanya.

Beliau berkata kemudahan seperti itu adalah penting kerana kebanyakan gelandangan yang mempunyai pekerjaan hanya berpendapatan kira-kira RM10 hingga RM20 sehari dan tidak mampu menyewa.

Beliau juga sedang memohon kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk penggunaan dua buah kontena untuk mengajar kemahiran vokasional kepada gelandangan.

"Sebagai permulaan, kami merancang untuk mengajar mereka kemahiran memasak seperti menggoreng pisang goreng, menjual nasi lemak malahan membaiki roda motosikal" katanya.

Setelah mereka dapat berdikari, gelandangan tadi boleh meminjam peralatan yang diperlukan dan akhirnya membelinya sekali apabila perniagaan mereka bertambah maju.

"Kami juga berharap DBKL akan bekerjasama dengan kami untuk membantu memberikan mereka tempat mengusahakan sebuah gerai dan menjual makanan atau menjalankan lain-lain jenis perniagaan," katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari laman-laman Facebook ini, https://www.facebook.com/alwaasikl, https://www.facebook.com/rolpages atau e-mel kepada hayaaty.ismail @ gmail.com atau aminuddin.abkadir @ gmail.com.

No comments:

Post a Comment