Rencana “Loving
Hitler and hating Jews” oleh Zurairi AR bertarikh 13 Julai 2014
terbit di
themalaymailonline
Bagi sesetengah rakyat
Malaysia dan masyarakat antarabangsa, tweet Wakil Rakyat Barisan
Nasional Bung Mokhtar Radin memberi hormat kepada diktator Nazi Adolf
Hitler selepas Jerman memenangi perlawanan separuh akhir Piala Dunia
merupakan pendedahan pertama tentang sanjungan pelik terhadap Hitler
yang menular di dalam masyarakat Melayu.
Walaupun Bung telah
meminta maaf selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
menyatakan bahawa Bung bukanlah mewakili suara Malaysia, hakikat
sebenar jauh berbeza.
Penghormatan bagi
Hitler bukan hanya telah lama wujud, tetapi seolah-olah meningkat
berikutan serangan yang tidak seimbang oleh Angkatan Pertahanan
Israel di Semenanjung Gaza.
Pada hari Jumaat,
penyanyi popular Melayu Shila Amzah menulis tweet bahawa dia "ingin
sekali Hitler masih hidup", sebelum menarik balik dan
menghapuskan tweet beliau berikutan kemarahan orang ramai. Dia
mengalah, tetapi tidak sebelum mendakwa bahawa mereka yang
mencercanya kerana menyokong seorang pembunuh besar-besaran adalah
"fanatik" semata-mata.
Pada hari yang sama,
bekas Menteri Penerangan dan bekas ketua editor harian berbahasa
Melayu Utusan Malaysia Zainuddin Maidin juga memuji Bung dengan
"Bravo" kerana menyanjung Hitler, dan berkata ia adalah
sesuai memandangkan serangan baru-baru ini.
Satu sebab utama di
sebalik sanjungan yang tidak masuk akal terhadap Hitler berpunca
daripada hakikat bahawa dia dianggap sebagai pembasmi orang Yahudi
paling “hebat”, membasmi berjuta-juta kaum tersebut di kem-kem
tahanan semasa Holocaust.
Malahan terdapat satu
ungkapan yang terkenal menjadi buah mulut orang beragama Islam untuk
membuktikan bagaimana “betul”nya Hitler:
"Saya boleh
membunuh semua orang Yahudi di dunia, tetapi saya biarkan sebahagian
daripada mereka hidup supaya anda akan tahu mengapa saya membunuh
mereka."
Seolah-olah Hitler
bersifat "baik" apabila dia membiarkan beberapa orang
Yahudi hidup selepas membunuh berjuta-juta yang lain
sewenang-wenangnya.
Ungkapan ini telah
beredar dalam talian sejak permulaan Internet, dan malah pernah
dipaparkan di muka depan Utusan pada satu ketika.
Petikan ini juga palsu.
Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa Hitler pernah mengatakannya.
Tetapi sudah tentu ini tidak akan menghentikan orang Islam daripada
mengongsinya, kerana ia mengesahkan keyakinan mereka menentang orang
Yahudi.
Sesetengah umat Islam
juga percaya bahawa Hitler sangat mengagumi Islam dan penganutnya.
Pada tahun 2010,
terdapat surat rantaian bertajuk "penghormatan saya kepada
seorang lelaki yang hebat, Hitler" yang mengatakan bahawa Hitler
sering bertemu ulama Islam untuk belajar tentang iman, dan bagaimana
dia melayan tentera Islamnya dengan baik.
Surat itu juga mendakwa
Hitler telah terdorong membunuh orang Yahudi selepas dia diilhamkan
oleh al-Quran, dan memasukkan ikrar kepada Allah untuk tenteranya.
Ini juga tidaklah benar
walau sedikitpun. Saya masih tertanya-tanya bagaimana contoh sejarah
yang dioleh semula sebegitu rupa dan tidak masuk akal secara
terang-terangan boleh dipercayai oleh ramai orang Melayu dan umat
Islam.
Perasaan cintakan
Hitler ini hampir seiring dengan berapa ramai orang Melayu yang tanpa
ragu-ragu membenci orang Yahudi sebagai satu bangsa.
Pada bulan Mei, satu
kajian oleh NGO Yahudi Anti-Defamation League mendapati hampir dua
dalam tiga rakyat Malaysia cenderung mempunyai sifat anti-Semitik,
jauh melebihi purata global sebanyak 24 peratus serta 22 peratus di
seluruh negara lain di Asia. Malaysia juga adalah yang ke-19 dalam
senarai 102 negara, di belakang negara-negara yang paling
anti-Semitik dari Timur Tengah dan Afrika Utara. Ia juga adalah
negara Asia yang paling prejudis terhadap orang Yahudi.
Sebahagian daripada
kebencian ini datang daripada sokongan umat Islam bagi
saudara-saudara Palestin mereka dalam konflik yang tidak berkesudahan
dengan Israel.
Tetapi walau sekeras
mana mereka mungkin cuba menafikan, faktor penyumbang yang besar
perasaan anti-Semitisme adalah kerana hampir semua orang Melayu di
negara ini telah dididik dengan orang Yahudi sebagai momok mereka,
musuh orang Islam.
Rujukan tentang orang
Yahudi di dalam kitab suci Al-Quran kebanyakannya negatif, dan adalah
suatu perkara biasa mendengar penghinaan terhadap Yahudi semasa
khutbah Jumaat.
Orang Yahudi begitu
mudah dijadikan kambing hitam, dipersalahkan untuk hampir
segala-galanya daripada keruntuhan moral masyarakat menerusi apa yang
dikatakan penjajahan budaya mereka, sehinggalah membiayai pembangkang
di negara ini untuk menggulingkan pentadbiran pemerintah.
Apabila bersangkutan
dengan orang Yahudi, orang Melayu seolah-olah dengan senang membuang
otak mereka keluar tingkap. Hanya kebencian mendorong mereka.
Tidak ada sesiapa yang
boleh menafikan kekejaman yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap
rakyat Palestin, tetapi saya tidak selesa sedikitpun apabila
mengetahui bahawa jawapan rakan-rakan Melayu saya 'kepada kemusnahan
rakyat Palestin ialah dengan kemusnahan orang Israel pula.
Tidak ramai yang
berminat dalam penyelesaian dua negara. Hanya penghapusan Israel
sepenuhnya akan memberi kepuasan kepada mereka.
Ini juga dapat dilihat
dalam banyak jawapan yang saya temui berikutan serangan ke atas
Semenanjung Gaza. Banyak kenyataan adalah berbentuk "Yahudi
laknatullah" (orang Yahudi yang terkutuk oleh Allah) dan berdoa
semoga Tuhan "memusnahkan" orang Yahudi.
Nampaknya tidak banyak
perbezaan antara orang Yahudi, Israel, dan Zionis. Mereka semua
dengan mudah digabungkan ke dalam satu kelompok bersama-sama sebagai
musuh yang perlu dihancurkan, tidak kiralah bahawa terdapat ramai
orang Yahudi yang menentang kekejaman itu sendiri.
Logik menetapkan bahawa
jika seseorang tidak menyokong pembersihan etnik umat Islam Palestin,
maka seseorang itu perlu juga bersuara menentang penindasan terhadap
orang Yahudi. Anda tidak boleh membenarkan pembunuhan seseorang
dengan menyokong pembunuhan yang lain.
Tetapi sebab yang
munasabah tidak mempunyai tempat manakala kebencian yang telah lama
dipegang kukuh dalam sanubari. Tidaklah menghairankan bagaimana ini
membawa kepada sekumpulan yang menyokong Hitler dan inginkan dia
menghapuskan orang Yahudi dari muka Bumi, walaupun Hitler akan
melakukan perkara yang sama terhadap umat Islam jika dia masih hidup.
No comments:
Post a Comment