Rencana "From
darkness to light" oleh Peggy Loh bertarikh 20 Julai 2014 terbit
di
nst
Chef buta Allan Fraude
memasak dengan begitu bersemangat sehinggakan orang celik pun akan
iri hati, tulis Peggy Loh
Apabila seorang rakan
memberitahu saya tentang Allan Fraude, bintang siri TV 13 episod
Cooking in the Dark, (masih dalam pasca produksi), saya tertarik
untuk berkongsi cerita beliau. Ini kerana Allan seorang buta dan
keterujaannya memasak akan memberi inspirasi kepada mereka yang
sedang melalui cabaran hidup.
Berbekalkan sikap yang
positif, Allan yang berusia 53 tahun itu telah mengatasi banyak
halangan dengan penuh azam. Bertemu beliau boleh diumpamakan seperti
satu perjumpaan semula kerana pada tahun-tahun 1950-an, ibu bapa saya
dan ibu Allan pernah bekerja bersama-sama di Hospital Besar Johor
Bahru (kini dikenali sebagai Hospital Sultanah Aminah).
Sementara ibu-ibu kami
berbual-bual, saya menyertai Allan di dapur yang hendak memulakan
demonstrasi masakan beliau. Allan selesa di dapur kerana isterinya,
Wong Man Chen, telah menguruskan ruang tersebut sebegitu rupa supaya
Allan tahu di mana segala-galanya berada dan boleh mencapai
barang-barang itu secara intuitif. Sinki berkembar, ruang penyaliran
yang sempit serta dapur gas dengan empat alat pemanas adalah
daerahnya.
Allan begitu mesra
berceloteh sementara beliau memasak tujuh hidangan untuk makan tengah
hari kami. Sepanjang masa tersebut, Allan bergerak dengan tangkas di
antara sinki, dapur serta peti sejuk dan saya berhati-hati tidak
menghalang pergerakannya.
PENGARUH AWAL
Allan, anak keenam
dalam sebuah keluarga dengan lima orang kakak dan seorang adik
lelaki, secara beransur-ansur hilang penglihatannya pada tahun 1990
akibat glaukoma. Mendiang bapanya, Kalliff Paul Fraude, seorang
Serani keturunan Scotland dan Thai dilahirkan di Ipoh dan datang ke
Johor untuk bekerja di Kulai Palm Oil Estate. Neneknya dari Thailand
selalu menyediakan hidangan pedas dan bapa beliau serasi dengan
masakan berempah itu, begitu juga Allan dan adik-beradiknya. Allan
mengimbas kembali bagaimana dia sering membantu neneknya membeli
bahan-bahan masakan dan mungkin ini mencetuskan minatnya memasak.
CILI PADI
Cili padi memang banyak
dalam resipi yang diperturunkan daripada nenek Thai beliau kepada
bapanya. Bapa Allan mempunyai beberapa kegemaran seperti kari Devil,
kway teow goreng dan nasi goreng yang selalu dimasak untuk keluarga,
serta banyak melibatkan cili padi. Beliau masih ingat betapa
menariknya kari Devil bapanya kerana tidak kira seberapa pedas,
mereka akan memberanikan diri memakannya.
Di estet, mereka
tinggal di sebuah banglo dan melalui zaman kanak-kanak yang
menggembirakan, merayau-rayau di serata estet dan bergaul bebas
dengan jiran pelbagai budaya. Allan berkata mereka menemui keenakan
makanan tradisional Melayu dan India serta didedahkan dengan pelbagai
masakan dan budaya terutama sekali pada musim perayaan.
FUSION RASA
Salah satu imej yang
masih diingat dengan baik dari zaman kanak-kanak adalah bagaimana
ibunya akan mengisar pes cili sendiri menggunakan batu giling atau
batu pengisar, untuk kari beliau yang terkenal dan masakan pedas
lain. Ibunya keturunan Teochew dan di antara resipi Cina beliau dan
hidangan Serani bapanya, mereka mencipta beberapa kegemaran keluarga
yang unik, yang paling popular adalah satu bentuk Roti John yang
mereka namakan Roti Babi kerana ia adalah sandwich yang diisi daging
babi cincang, dicelup dalam adunan telur sebelum digoreng dan
kemudian dinikmati dengan sos celup pedas.
Pada masa itu, peniaga
yang berulang alik akan mendirikan satu pasar malam yang kecil di
dalam estet pada hari-hari pembayaran upah untuk menjual makanan dan
pakaian. Allan berkata ini masa yang dinanti-nantikan setiap hujung
bulan bagi seisi keluarga kerana bapanya sering membeli mereka sate
dan ketupat. Beliau berkata mereka jarang makan di luar dan
satu-satunya masa mereka boleh makan di restoran adalah apabila
dijemput untuk sesuatu majlis perkahwinan.
TITIK PERUBAHAN
Isterinya, Man Chen,
adalah bekas rakan sekolah yang menjadi kekasihnya dan mereka
berkahwin pada tahun 1989. Selama 10 tahun Allan bekerja di sebuah
bank di Kulaijaya dan selama itu, beliau sering mengalami tekanan
mata yang teruk dan kemudian disahkan menghidap glaukoma. Dia tidak
sedar bahawa kerosakan saraf optik berlaku secara beransur-ansur
dalam matanya dan penglihatannya telah semakin merosot
perlahan-lahan. Man Chen mengimbas kembali rasa cemas apabila
dipanggil ke bank pada satu hari apabila Allan tiba-tiba berdarah
pada mata kirinya.
Dia bergegas ke
hospital tetapi selepas rawatan, kerosakan kekal pada saraf optik
menyebabkan beliau beransur-ansur hilang penglihatan pada mata
kirinya. Man Chen tidak akan lupa satu malam pada tahun 1990 semasa
dia mengandung dan air tubannya pecah di penghujung waktu kehamilan.
Beliau berkata ia adalah satu keajaiban Allan berjaya memandu dengan
selamat ke hospital di Johor Bahru pada jam 2 pagi apabila dia
mempunyai kurang daripada 10 peratus penglihatan pada mata kanannya.
Penglihatan Allan
merosot dengan pantas dan apabila anak perempuan mereka, Rebecca,
hanya berusia dua bulan, beliau menjadi buta. Pada tahun 1993, Allan
menyertai Pusat Latihan Gurney di Kuala Lumpur di mana dia belajar
membaca Braille dan kemahiran yang lain untuk hidup dengan
kecacatannya. Walaupun Allan mengambil kursus latihan dalam terapi
urut, beliau tidak menjadikannya sebagai kerjaya.
Man Chen menjadi
pencari nafkah tunggal keluarga dan oleh kerana dia tidak mempunyai
masa untuk memasak, mereka makan di rumah mertua atau di
restoran-restoran yang berdekatan. Oleh kerana ibunya semakin berumur
dan kurang memasak, beliau mengambil keputusan mencuba memasak
sendiri.
Ini merupakan titik
perubahan untuk Allan apabila dia membuat keputusan untuk memasak
hidangan kegemaran keluarganya. Jika beliau tidak pasti tentang
sesuatu resipi, dia akan menelefon ibunya. Dia sedar bahawa jika dia
tidak belajar memasak hidangan kegemaran keluarga, dia mungkin tidak
akan lagi merasainya kerana adik-beradik beliau tidak pernah
menguasai resepi keluarga mereka.
"Isteri dan anak
perempuan saya menjadi bahan uji saya," kata Allan. Keberanian
isterinya menyokong usaha memasak beliau meraih manfaat bersama
kerana Allan mendapat keyakinan baru, dan dapat pula menikmati
hidangan zaman kanak-kanak beliau dan berkongsi dengan keluarga dan
rakan-rakan.
MEMASAK DALAM GELAP
Perubahan diri Allan
menarik perhatian anak saudara beliau, Sonia Chall, yang
memperkenalkan dia kepada sebuah syarikat penerbitan tempatan,
Crooked Mirror Productions. Penerbit menjadikan dia bintang siri TV
13 episod Cooking in the Dark di mana beliau berkongsi rahsia resipi
keluarganya.
Dalam program 30 minit
yang dihoskan oleh personaliti TV Malaysia, Jay Menon, Allan
menunjukkan kebolehannya memasak dalam gelap. Siri TV ini bertujuan
memberi inspirasi kepada orang kurang upaya dengan semangat
"boleh-buat" Allan dan menggunakan masakan sebagai analogi
hidup untuk menunjukkan bagaimana kita boleh mengatasi
halangan-halangan hidup.
Beliau mengimbas
kembali pengalaman penggambaran yang menarik di Kuala Lumpur dan
cabaran memasak di dapur yang belum biasa digunakan. Tetapi, beliau
berkata, adalah menyeronokkan menyediakan lebih daripada 20 resipi
keluarganya untuk siri ini. Selain kari Devil bapanya, Allan juga
memasak hidangan kegemaran tempatan seperti popiah, nasi lemak,
sambal petai dan juga kari ikan India.
"Saya tidak pernah
terluka setakat ini," kata Allan dengan senyuman puas ketika dia
menggunakan pisau dengan tepat memotong timun untuk digoreng
bersama-sama udang kering dan bawang putih. Menggunakan deria sentuh
dan rasa, Allan membubuh udang kering dan bawang putih ke dalam
lesung dan ditumbuk dengan alu.
Saya terpesona melihat
Allan membasuh dan mengukur terung serta bendi dan dengan cekap
memotongnya dalam ukuran panjang yang sama untuk ditambah ke dalam
kari ikan yang sedang menggelegak. Dia mendengar detaran dan menghidu
bau aroma bahan-bahan yang ditumis untuk menentukan setakat mana lauk
itu telah dimasak. Semua ini dilakukan serentak dengan pergerakannya
mengalih periuk dan kuali di dapur dan sinki dengan kemahiran yang
menakjubkan.
Apabila kami duduk
untuk menikmati makanan, saya berasa rendah diri. Kekaguman terhadap
Allan meningkat dengan setiap suap kari Devil, kari ikan, kentang
lecek masala, omelet telur, goreng timun dengan udang kering dan
bawang putih, ayam rebus dalam sos hitam dan taugeh goreng dengan
ikan masin.
Azamnya untuk hidup
lebih berdikari dan menyumbang kepada kesejahteraan keluarganya,
sesungguhnya adalah satu inspirasi. Sementara Rebecca membantu
menghidangkan makanan di meja dan Man Chen mengemas di dapur, saya
dapat merasakan rasa bangga mereka yang tidak diucapkan terhadap
Allan.
No comments:
Post a Comment