Rencana "See them
in action" oleh Stuart Danker bertarikh 12 Julai 2014 terbit di
nst
Dengan semua tumpuan
pada perlawanan akhir Piala Dunia, Stuart Danker mengalihkan
pandangan beliau pada sukan yang kurang dikenali tetapi sedang
membangun - futsal orang buta
Orang ramai senyap
menjangkakan sesuatu. Seorang pembantu berjalan ke sebelah tiang gol
dan menjerit, "Kiri!" sebelum mengetuknya dengan sebatang
logam. Dia berlari ke arah yang bertentangan, melakukan perkara yang
sama, sambil menjerit, "Kanan!" Kemudian dia berjalan ke
tengah dan bertepuk tangan. Dengan menggunakan petunjuk bunyi, Mohd
Azwan Azhar membentuk imej mental tentang sasaran beliau. Ia adalah
tendangan penalti penentu dalam permainan. Menggosok peluh daripada
penutup mata beliau, Azwan melangkah dan membuat sepakan.
Bola melayang melepasi
penjaga gol, menepati sasaran menyentuh jaring gol. Permainan telah
dimenangi dan Azwan berlari ke arah rakan sepasukan untuk
meraikannya. Masuklah ke alam futsal orang buta, di mana pemain
mengatasi kekurangan penglihatan mereka untuk meneruskan minat dalam
sukan. Jika anda tidak pernah mendengar tentang sukan ini, ia mungkin
kerana futsal orang buta agak baru menurut piawaian antarabangsa,
dengan pertandingan peringkat dunia yang pertama berlangsung pada
tahun 1998. Ketua jurulatih Sunny Salesh berkata pasukan kebangsaan
mempunyai peluang menjadi juara dunia jika ia terus meningkat pada
tahap yang ditunjukkan ini.
"Kami mula
bertanding pada tahun 2009. Kami tidak menang tetapi ia merupakan
satu pengalaman yang baik untuk kami. Kami sedar bahawa kami
mempunyai peluang dalam sukan ini dan sejak kekalahan itu, kami telah
berlatih dengan lebih keras, "katanya.
Kaedah latihan untuk
futsal orang buta memerlukan lebih daripada kecergasan fizikal.
Pemain perlu mengasah deria pendengaran mereka, dan cukup yakin untuk
bertindak balas dengan sewajarnya. Sunny melatih pemainnya dengan
latihan mendengar sebanyak yang ditumpukan dalam mempertingkatkan
ketahanan mereka.
"Kami melakukan
banyak latihan mendengar. Permainan ini amat bergantung pada
pendengaran sehingga ia biasanya dimainkan dalam keadaan yang senyap.
Sehingga penonton pun dikehendaki tidak membuat bising. Mereka hanya
boleh bersorak apabila bola di luar permainan atau selepas gol
dijaringkan. Ini adalah untuk menghalang mereka daripada mengganggu
pemain," tambah beliau.
Aapabila semakin banyak
permainan dipertontonkan sepanjang hari, adalah jelas bahawa suasana
yang senyap menjadikan persekitaran lebih kondusif. Walaupun stadium
sarat dengan bunyi, kebanyakannya datang daripada jurulatih, pembantu
atau penjaga gol. Kepada mereka yang belum mengenalinya, ia mungkin
seperti jaringan bunyi biasa dalam pertandingan futsal tetapi bagi
para peserta, setiap bunyi memberikan mereka satu set khusus
isyarat-isyarat.
Pembantu membantu
peserta mengagak kedudukan tiang gol. Jurulatih menyelaraskan
pembentukan permainan para pemain, penjaga gol menyelaras pertahanan
dan bola itu sendiri penuh dengan galas untuk mendedahkan
pergerakannya. Pemandu, jurulatih dan penjaga gol tidak dibenarkan
untuk memberi arahan di luar kawasan mereka yang telah diperuntukkan,
iaitu bahagian sepertiga masing-masing di padang permainan.
Halangan yang adapun -
yang digunakan terutamanya untuk menjaga bola dalam permainan -
berperanan sebagai poket bunyi untuk pemain mengagak kedudukan mereka
di atas padang. Bola dan bunyi sama-sama melantun daripada halangan
ini, menjadikan pemain peka tentang hantaran bola atau kehadiran
pemain lain.
Keajaiban otak
Hasil yang dipamerkan
adalah sangat menakjubkan dan satu faktor utama yang menyumbang
kepadanya ialah penggunaan neuroplasticity. Ikut kata mudah,
neuroplasticity ditakrifkan sebagai perubahan di dalam otak yang
memenuhi tabiat seseorang. Satu kajian terkenal yang menjelaskan
tentang neuroplasticity menunjukkan bahawa pemandu teksi di London
mempunyai hippocampi lebih besar dalam otak mereka berbanding
penduduk umum. Hippocampus adalah sebahagian daripada otak yang
memproses memori dan navigasi spatial.
Dalam perkembangan yang
sama, para penyelidik Jerman mendapati bahawa orang buta memahami
ucapan dua kali lebih cepat berbanding orang yang boleh melihat.
Dalam kes ini, imbasan menunjukkan bahawa bahagian-bahagian yang
biasanya digunakan untuk penglihatan sedang digunakan semula untuk
mengendalikan tugas-tugas yang berkaitan dengan ucapan. Sudah tentu,
ia juga bergantung kepada aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh orang
itu apabila bersangkutan dengan evolusi otak.
Tetapi walaupun dengan
deria yang peka, kemalangan berlaku juga dan perlanggaran kerap
terjadi, terutamanya apabila berlari pada kelajuan tinggi. Walau
bagaimanapun, terdapat langkah berjaga-jaga yang diambil untuk
mengelakkan kemalangan ini, serta mewujudkan persekitaran yang
selamat untuk para peserta.
Sebagai pendatang baru
dalam sukan ini, Malaysia telah membangun dengan pesat, dan berharap
untuk mengekalkan trend ini. "Ketika pertama kali bertanding
pada tahun 2009, Iran menewaskan kita 8-0. Empat tahun selepas itu,
mereka terpaksa bermatian-matian dalam kemenangan 2-0 ke atas kita.
Ini menunjukkan bahawa kerja keras kita sudah mula berbaloi. Kami
memberi tumpuan untuk menjadi yang terbaik di Asia. Selepas itu, kami
merancang untuk mengambil bahagian dalam Piala Dunia, yang diadakan
setiap empat tahun, "kata Sunny, penuh bersemangat.
Dia menyatakan bahawa
dalam Sukan Paralimpik Asean, ranking pertama, kedua, dan ketiga
masing-masing dipegang oleh Thailand, Malaysia dan Myanmar.
Kehidupan di luar
dan di atas padang
Setiap pemain membawa
pengalaman sendiri ke padang dan sebagai pemain akan mengakui, ia
bukan satu sukan yang mudah untuk latihan. Azwan berkongsi: "Saya
memang berminat bermain bola sepak. Saya menghadapi beberapa detik
yang sukar dalam kehidupan dan futsal adalah satu cara melepaskan
tekanan untuk saya. Dari satu segi, ia adalah cara saya mengingatkan
diri sendiri bahawa saya boleh mengatasi sebarang halangan."
Azwan tidak dilahirkan
buta. Dalam suatu kemalangan yang tidak dijangka, mata Azwan telah
tercucuk, menyebabkan trauma dan kecederaan saraf yang tidak dapat
dipulihkan, yang perlahan-lahan meragut penglihatannya Beliau
mengakui bahawa tempoh penyesuaian itu merupakan masa yang sukar
dalam hidupnya.
"Berkenaan sukan
ini pula, saya terpaksa perlahan-lahan membiasakan diri mengemudi
melalui bunyi. Ia mengambil masa dua tahun sebelum saya boleh mula
berlari dengan bola. Sebelum itu, saya berasa kekok dan tidak dapat
menggelecek bola serta menendang seperti yang lazim dilakukan dahulu.
Tetapi saya terus berusaha, disamping latihan keras dan pada hari
ini, saya boleh melakukan semuanya dengan selesa, "tambah
beliau.
Seorang lagi pemain,
Ahmad Hairul Amidi, berkongsi bahawa bermain dengan cemerlang dalam
futsal orang buta membantu derianya lebih peka dalam situasi lain
kehidupan. "Oleh kerana pendengaran saya telah dilatih sebegitu
banyak untuk permainan, saya menyedari bahawa kemahiran ini mula
membantu dalam aktiviti-aktiviti seharian yang lain juga. Saya rasa
lebih sedar tentang persekitaran saya."
Menetapkan cita-cita
untuk menjadi seorang pensyarah, Hairul mengimbangi waktu belajar dan
latihan futsal, menghadkan masa untuk aktiviti-aktiviti lain. Dia
berkata: "Sekarang, saya memberi tumpuan kepada dua perkara
utama dalam hidup saya. Tentang latihan pula, kekurangan kemudahan
yang terdapat di luar stadium menjadikannya sukar bagi saya untuk
melakukan latihan futsal yang berkaitan, itulah sebabnya saya
tumpukan perhatian kepada kecergasan am ketika latihan sendiri. "
Kedua-dua pemain menggalakkan mereka yang cacat penglihatan untuk
mencuba sukan itu. Ia mungkin kelihatan menakutkan pada mulanya, kata
Hairul, tetapi memang seronok.
Juara yang berbeza
Kemudahan-kemudahan itu
memerlukan masa dan usaha untuk menjadi kenyataan dan banyak pihak
perlu bersama-sama membantu memacu perkembangan ini. Columbia Asia
adalah salah satu kumpulan yang memperjuangkan pertumbuhan sukan
paralimpik dalam negara. Ketua Pegawai Eksekutif Asia Tenggara
kumpulan itu, Kelvin Tan, berkata bahawa rancangan awal adalah untuk
mewujudkan kesedaran tentang manfaat kehidupan yang sihat. Beliau
percaya bahawa hidup sihat perlu merangkumi aktiviti sukan dan itulah
rancangan awal pembekal penjagaan kesihatan ini.
"Dalam proses itu,
peluang terbuka bagi kami untuk menyokong pasukan Badminton
Paralimpik dan Bola Sepak Orang Buta Kebangsaan. Kami mengambil
peranan ini dengan serius. Sebagai satu-satunya kumpulan hospital di
negara ini yang menyokong usaha tersebut, ia merupakan satu kebetulan
dan kami gembira kerana diberi peluang untuk membantu mereka yang
kurang upaya dan diharapkan mampu membuat perbezaan dalam kualiti
usaha mereka yang bercita-cita menjadi juara dalam acuan mereka
sendiri," katanya.
Cabaran
Tetapi menjana
kesedaran di bidang yang tidak diketahui ramai ini terbukti suatu
tugas yang sukar. Pucuk pangkalnya, faktor yang paling penting adalah
menggalakkan penyertaan berterusan pemain supaya mendaftar. Bakat
tempatan untuk sukan ini sukar didapati. Kejayaan awal sukan itu akan
terbantut jika atlet baru tidak berminat dalam sukan tersebut.
Sumber-sumber seperti
masa dan wang juga merupakan aspek penting dalam pembangunan,
terutamanya untuk mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk pemain
berlatih. Seperti yang dinyatakan Hairul, pemain mendapati sukar
berlatih khusus untuk sukan itu apabila di luar stadium. Ini adalah
kesulitan yang besar kepada atlet yang ingin memperbaiki diri mereka
sendiri.
Ketika diminta mengulas
tentang keperluan sukan itu, Tan berkata bahawa sokongan yang lebih
besar daripada media, institusi nasional dan rakan kongsi korporat
adalah penting dalam meningkatkan tahap kemajuan.
"Mendapatkan media
untuk melakukannya adalah satu cabaran. Majoriti media arus perdana
sering keberatan untuk meliputi topik berkenaan sukan paralimpik.
Tanpa sokongan daripada media, penulis blog dan media sosial, tidak
akan ada keterlihatan, jadi kami berharap untuk menjana lebih
kesedaran melalui saluran ini. " Tan menambah orang ramai perlu
menunjukkan kepercayaan bahawa mencapai kecemerlangan adalah milik
yang upaya dan juga kurang upaya.
Sunny menggesa lebih
ramai sukarelawan mengambil bahagian dalam acara-acara ini. "Walaupun
sokongan kewangan adalah penting, sumbangan tidak semestinya semua
berbentuk wang. Terdapat juga keperluan membantu membawa air,
persediaan semasa pertandingan, membawa pemain, menyokong permainan
dan membantu menjana kesedaran, semua ini memainkan peranan yang sama
penting dalam sumbangan terhadap sukan itu. "
Semangat waja atlet ini
ditambah pula dengan sifat tidak mementingkan diri daripada pihak
yang terlibat bertindak sebagai peringatan untuk kita terus berusaha
mencapai matlamat dan mengambil risiko. Tetapi mungkin pelajaran yang
lebih penting ialah kita perlu mengambil masa untuk menghargai
perkara-perkara yang ada dalam kehidupan dan berusaha menghadapi
sebarang cabaran yang mendatang.
Peraturan
• Futsal orang buta
dimainkan dengan bola yang mengandungi galas supaya pemain dapat
mengesan kedudukannya.
• Sukan ini
dibahagikan ke dalam tiga kategori: B1, B2, dan B3. B1 meliputi
pemain yang buta sepenuhnya, sementara gred B2 dan B3 berbeza tahap
kebutaan.
• Permainan ini
dimainkan dengan empat pemain bagi setiap pasukan, tidak termasuk
penjaga gol.
• Penjaga gol boleh
melihat, dan terhad kepada ruang kecil di antara tiang gol.
• Pemain B1
dikehendaki memakai penutup mata.
• Pemain tanpa bola
dikehendaki menjerit "voy" apabila berhampiran bola. Ini
supaya pemain yang memiliki bola boleh berhati-hati daripada
berlanggar.
• Jurulatih berada di
tengah-tengah padang di bangku pemain pengganti.
• Pemandu dibenarkan
berdiri di belakang tiang gol pasukan lawan.
• Penjaga gol memberi
panduan kepada pemain pertahanan, tetapi mereka hanya boleh berbuat
demikian di dalam kawasan yang diperuntukkan.
• Satu sistem
makluman awam adalah penting dalam sukan ini, membolehkan pemain tahu
perkembangan permainan seperti penggantian, foul dan time-out.
• Penonton dan orang
ramai dinasihatkan senyap untuk mengelakkan mengganggu isyarat
pendengaran pemain.
Kejohanan dunia
Futsal orang buta juga
dimainkan di peringkat antarabangsa, dengan Kejohanan IBSA (Persatuan
Sukan Antarabangsa Orang Buta) Futsal Orang Buta Dunia melihat
pasukan seperti Korea, Jepun, Greece, dan Colombia bersaing untuk
tempat teratas.
Berikut adalah
pertandingan yang telah diadakan setakat ini:
Tahun, Pemenang, Tempat
Pertandingan
1998, Brazil, Brazil
2000, Brazil, Sepanyol
2002, Argentina, Brazil
2006, Argentina,
Argentina
No comments:
Post a Comment