Tuesday, 29 July 2014

Mereka yang cacat penglihatan bergelut dengan kehidupan selepas tsunami

Rencana "Visually impaired struggle with life in post-tsunami towns" oleh Masataka Yamaura and Masakazu Higashino bertarikh 24 Julai 2014 terbit di asahi




Orang cacat penglihatan di kawasan yang dilanda gempa bumi 2011 dan bencana tsunami semakin enggan meninggalkan rumah mereka kerana terpaksa menghadapi kaki lima yang masih dalam kehancuran, bandar yang telah berubah rupa dan kekurangan kumpulan sokongan.

Pada awal pagi 12 Julai, apabila amaran tsunami berbunyi di seluruh pantai Pasifik di timur laut Honshu, Ryo Nakamura,pengamal akupunktur berusia 61 tahun yang tinggal berhampiran pelabuhan bandar raya itu, dipindahkan dengan kakaknya Mimiko berusia 58 tahun ke hospital berdekatan.

Tetapi oleh kerana Nakamura seorang buta dan Mimiko juga cacat penglihatan, mereka terpaksa bergantung kepada Masakatsu Tokiwa, pemandu celik berusia 69 tahun yang membantu orang kurang upaya penglihatan.

"Adalah mustahil bagi kami untuk berpindah sendiri, jadi Tokiwa yang datang menjemput dengan kereta amatlah membantu," kata Nakamura.

Walaupun telah lebih daripada tiga tahun sejak Gempa Bumi Besar Timur Jepan, tepi kaki lima dan lorong-lorong masih rosak akibat tsunami yang melanda selepas itu. Kaki lima kekal tidak sama rata, dan banyak penanda sentuhan yang bertujuan membantu yang cacat penglihatan sama ada telah rosak atau diliputi kotoran dan serpihan.

Apa yang menjadikannya lebih sukar, banyak bangunan baru kini sedang didirikan dalam usaha rantau itu membangun semula.

"Saya pernah menentukan kedudukan kereta berdekatan dengan mendengar bagaimana bunyi terpantul daripada dinding bangunan apabila ia berlalu," kata Nakamura. "Tetapi sekarang, bunyi berubah dengan mendadak. Bunyi pembinaan yang ada di mana-mana sahaja lebih mengelirukan saya."

Sejurus selepas gempa bumi, satu kumpulan sokongan dari luar wilayah menubuhkan cawangan di bandar, membantu penduduk dalam perjalanan mereka di antara rumah dan hospital atau kedai-kedai. Tetapi kumpulan tadi beredar dari bandar itu pada musim luruh yang lepas.

Pada masa ini, Nakamura dibantu oleh Tokiwa, yang menjadi ahli organisasi bukan berasaskan keuntungan Kobe Eyelight Association, tetapi perkhidmatan tersebut dijadualkan berakhir pada bulan September.

"Mereka memerlukan sokongan yang paling banyak bermula daripada sekarang, semasa bandar tersebut berubah bentuk," kata Tokiwa. Tokiwa, mangsa yang terselamat dalam Gempa Bumi Besar Hanshin pada tahun 1995, pada masa ini membantu kira-kira 30 orang yang tinggal di kawasan Kamaishi.

Sehingga akhir Mac, kira-kira 4,700 orang yang disahkan kurang upaya tinggal di 27 buah bandar dan kampung yang dilanda gempa bumi di wilayah Iwate dan Miyagi.

Hari ini, organisasi bukan berasaskan keuntungan ditubuhkan di peringkat tempatan telah mengambil alih peranan pelbagai kumpulan yang pada mulanya membantu orang kurang upaya selepas kejadian bencana. Walau bagaimanapun, kebanyakan organisasi-organisasi ini terlalu sibuk di siang hari membantu dari segi keperluan asas harian mereka yang kurang upaya dan tidak mempunyai masa untuk membawa sesiapa keluar membeli-belah atau ke hospital.

"Mereka yang cacat penglihatan, yang sudahpun mempunyai masalah hendak keluar (sebelum bencana), mendapati begitu sukar untuk meninggalkan rumah mereka semenjak gempa bumi," kata seorang pegawai Persekutuan Orang Buta Jepun. "Kita bimbang sama ada cukup atau tidak tenaga sukarelawan untuk membantu perjalanan harian mereka. Penubuhan satu sistem untuk membantu mereka yang paling memerlukan di peringkat tempatan, serta menerima sokongan dari kawasan-kawasan lain, adalah amat penting. "

No comments:

Post a Comment