Thursday, 24 July 2014

Pulang ke asal untuk menyokong orang buta

Rencana "Man returns to roots to advocate for blind" oleh Alexis Cubit bertarikh 22 Julai 2014 terbit di hidesertstar



Karl Mundstock, 47, dari LembahYucca, bukanlah buta semenjak lahir.

Pada Disember 2005, beliau disahkan menghidap Sindrom Usher, yang melibatkan kehilangan pendengaran dan retinitis pigmentosa, penyakit mata yang menyebabkan kehilangan penglihatan. Walaupun beliau berjuang dengan apa yang dialami pada mulanya, Mundstock kini berdamai dengan keadaannya.

"Semua orang berfikir ia adalah satu perkara yang mengejutkan dan dalam banyak hal, memang ia," kata Mundstock. "Tetapi, ia juga satu rahmat kerana telah memaksa saya untuk menimbangkan semula halatuju hidup saya dan melihat apa yang penting bagi saya. Apa yang akan memberikan makna dalam kehidupan saya mulai saat ini? Dalam proses itu, kembali ke sini (Lembah Yucca) adalah sebahagian daripadanya. Berada di tempat biasa yang tidak banyak berubah adalah menyenangkan. "

Apabila tahu dia boleh menjaga dirinya tanpa penglihatan, Mundstock membuat keputusan untuk mendapatkan anjing pemandu.

"Kami telah berpasangan semenjak tahun lalu di Guide Dogs in America di Sylmar," katanya. "Berlaku sedikit ketegangan ketika itu kerana saya tidak biasa dengan haiwan dan anjing itu pula, jelas, belum biasa dengan saya semasa latihan."

Menurut laman web Guide Dogs in America, ia mengambil masa kira-kira enam bulan hingga setahun untuk anjing pemandu dan pengendalinya "belajar bekerja selari."

Sama seperti pengendali dan anjing mesti mengenali antara satu sama lain, orang di sekeliling mereka harus menyedari etika dan garis panduan yang betul apabila menghampiri kedua-duanya.

"Sudah tentu mulakan dengan 'hai,'" kata Mundstock. "Biarkan mereka tahu anda berada di situ kerana sering kali ramai orang buta tidak mempunyai rasa tentang ruang; kadang-kadang mereka telah kehilangan pendengaran seperti saya. Biar mereka tahu anda berada di situ dan jika mahu bertegur sapa, cakaplah, 'Apa khabar? Cakap sahaja sesuatu secara umum."

Kaedah-kaedah umum yang lain termasuklah memperakui kehadiran orang itu dan bukannya anjing tersebut. Jangan panggil, belai atau ganggu anjing pemandu yang sedang bekerja dan jangan tarik tali pemegang daripada pengendali. Banyak peraturan bergantung kepada personaliti pasukan pemandu itu, tetapi ada satu peraturan umum yang dipatuhi semua.

"Peraturan asas ialah bertanya apabila ragu-ragu," kata Mundstock. "Tanya orang itu. Jangan bercakap dengan anjing itu, jangan bercakap dengan orang di sekeliling, tetapi tanyalah orang yang berkenaan."

Mundstock percaya semua yang berlaku mempunyai sebab dan kepulangannya ke Lembah Yucca juga tidak berbeza. Beliau merancang mendidik orang ramai tentang pasukan pemandu dan meningkatkan kesedaran berkenaan isu-isu yang dihadapi oleh mereka yang kehilangan penglihatan, termasuk kekurangan pengangkutan.

"Saya dikunjungi seorang pelajar dari Institut Braille minggu lalu," kata Mundstock. "Dia tidak punya pilihan lain ke sini selain daripada menumpang menggunakan iklan Craigslist dan itu amat menakutkan. Itu tidak perlu berlaku. Saya ingin melihat beberapa jenis hubungan di antara perkhidmatan pengangkutan Sunline dan apa yang kami ada di sini. "

Mundstock ingin melihat beberapa perkara bertambah baik bagi orang-orang buta di Lembangan Morongo, tetapi bersyukur kepada mereka yang terus membantunya.

"Para peniaga tempatan, semenjak saya pulang ke sini, benar-benar baik, khususnya, pasaraya Stater Bros," katanya. "Kakitangannya begitu bertimbangrasa dan saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka."


No comments:

Post a Comment