Friday, 18 July 2014

Perkauman Makanan: Masih berbau!

Rencana “Food racism: It still stinks!” oleh Hafiz Noor Shams bertarikh 17 Julai 2014 terbit di themalaymail




Saya rasa ramai daripada kita rakyat Malaysia telah terlibat dalam perbahasan yang tidak berkesudahan tentang perkauman sebelum ini. Masalah dengan perbahasan ini ialah ia dirangka dalam konteks rakyat Malaysia dan lebih kerap tidak mengendahkan nilai sejagat kesaksamaan seluruh umat manusia.

Ini menimbulkan sifat hipokrit di kalangan orang yang percayakan kesaksamaan di kalangan rakyat Malaysia. Mereka tidak bersetuju dengan perkauman terhadap rakyat Malaysia, tetapi tidak mempunyai masalah mengamalkannya terhadap warga asing.

Saya menulis rencana ini sebagai reaksi terhadap cadangan di Pulau Pinang untuk mengharamkan orang asing daripada menjadi tukang masak di negeri itu. Saya dapati rasional di sebalik cadangan itu sangat rapuh: kerajaan negeri mahu mengekalkan keaslian makanan. Ia adalah tentang melindungi warisan Pulau Pinang.

Cadangan ini menganggap gaya masakan dan resipi tidak boleh dipelajari, oleh kerana memasak adalah keupayaan khas semula jadi. Ia menganggap ada sesuatu yang istimewa tentang anak negeri Pulau Pinang yang memasak masakan Pulau Pinang.

Tetapi hujah itu perlu dipecahkan sehingga ke penghujung yang logik, sehingga ke asas pembentukannya. Jika kita bimbang tentang warisan makanan, maka mungkin ada rakyat Malaysia yang harus dilarang daripada memasak beberapa makanan Malaysia.

Tukang masak Cina tidak harus dibenarkan memasak makanan Melayu. Tukang masak Melayu tidak harus dibenarkan menyediakan makanan India. Gunakan logik keupayaan memasak semula jadi untuk setiap kumpulan etnik dan lihat jika anda menyukai keputusannya.

Perbezaan yang dibuat di antara tukang masak Malaysia dan asing hanyalah untuk mengabui sikap prejudis. Seseorang mungkin berhujah terdapat perbezaan di antara perkauman dan sentimen anti-pendatang: kita tidak mengamalkan diskriminasi terhadap sesuatu kaum tetapi terhadap pendatang amnya.

Tetapi jauh di lubuk hati tanpa pengkelasan tiruan, benarkah wujud perbezaan antara perkauman dan xenofobia? Kedua-dua definisi mempunyai lebih daripada tanda-tanda prasangka di dalamnya. Xenofobia sama sepertti perkauman cuma dengan nama yang berbeza, masih busuk.

Selain itu, larangan yang dicadangkan mungkin akan memberi kesan kepada pekerja asing dari negara-negara miskin. Bagaimana jika tukang masak itu berasal dari Eropah? Adakah kita akan menyembah mereka sebagai tuhan bukan? Garis yang memisahkan perkauman daripada xenofobia adalah nipis dan kabur, jika adalah garis pada asalnya.

Selain itu, di internet, persoalan kebersihan ditimbulkan yang mengandaikan pekerja asing adalah orang yang kotor dan tidak sihat, menyokong larangan yang dicadangkan dan yang lebih penting, mendedahkan bentuk perkauman yang lebih teruk.

Hujah bertentangan tentang kebersihan adalah apabila anda telah pergi ke mana-mana gerai di Pulau Pinang yang dikendalikan oleh penduduk tempatan, anda akan membuat satu kesimpulan bahawa kebersihan bukanlah satu keutamaan bagi mereka. Saya memang membuat kesimpulan itu apabila makan mi dan cendol di Jalan Macalister George Town baru-baru ini.

Saya bukanlah tukang masak yang baik tetapi telah cuba memasak ketika bergelar seorang pelajar di luar negara. Apa yang saya perhatikan ialah kita boleh belajar memasak dan apa yang membuatkan ia bagus adalah latihan.

Saya tidak memasak selalu tetapi agak yakin jika kita belajar dan berlatih berbuat sesuatu, kita akan mahir melakukannya. Jika anda bercadang hendak bekerja sebagai tukang masak, maka anda perlu bekerja lebih keras untuk menjadi mahir.

Lagipun, kita mempunyai tukang masak Malaysia berbangsa Cina membuat roti canai yang agak baik di Goulburn Street Sydney. Adakah itu menjadikan ia kurang tulen? Saya makan sahaja roti canai itu dan memesan sekeping lagi.

Saya pasti terdapat lebih banyak contoh seperti itu di Malaysia dan di seluruh dunia. Jika kita benar-benar menitikberatkan kesahihan makanan dan warisan, maka rakyat Malaysia ini patut dikutuk kerana memasak sesuatu yang bukan milik warisan etnik mereka. Tetapi kita tidak.

Malah, ramai yang berbangga dengan mereka kerana menyebarkan budaya Malaysia di luar negara. Dan bagi kita yang mengembara, kadang-kadang kita rindukan makanan dari rumah dan bersyukur boleh mencari makanan Pulau Pinang di Chicago, misalnya.

Sesetengah daripada kita tidak boleh makan apa-apa selain makanan Malaysia walaupun selepas bertahun-tahun tinggal di luar negara, bergaul hanya di Kampung Malaysia di London dan di tempat-tempat lain, keadaan yang agak membimbangkan tetapi kita tidak akan memperkatakannya buat masa ini.

Oleh itu, mengapa rakyat Malaysia dibenarkan memasak makanan Malaysia tetapi tidak orang asing? Mudah. Kita menyokong kesaksamaan di kalangan rakyat Malaysia, tetapi pergi jahanam dengan orang lain. Dalam perkiraan saya prejudis itu rapat sekali dengan perkauman.

Apa-apapun, penentunya adalah pelanggan. Jika mereka sukakan masakan anda, mereka akan mengunjungi gerai-gerai atau restoran anda, membayar untuk makanan yang enak. Jika anda seorang tukang masak yang tidak mahir, walau siapapun anda, rakyat Malaysia ataupun tidak, mereka yang kelaparan dan mengambil foto tidak akan terlalu kerap berkunjung ke tempat anda. Kita tidak perlukan kerajaan untuk memberitahu bahawa kita tidak boleh membeli makanan daripada pihak-pihak tertentu. Kita boleh membuat keputusan itu sendiri.

Cadangan negeri Pulau Pinang bukanlah satu-satunya contoh perkauman seperti itu. Apabila Menteri Wilayah Persekutuan hendak mengharamkan gelandangan dan soup kitchen dari pusat bandar Kuala Lumpur, masyarakat awam menentangnya dan semua jentera-jentera kerajaan di bawah kawalannya. Dalam mempertahankan cadangan tersebut, antara lain, menteri itu berkata kebanyakan gelandangan dan pengemis adalah warga asing (tidak benar kerana berdasarkan laporan berita, Dewan Bandaraya "memindahkan" 965 orang gelandangan pada tahun 2013, dengan kira-kira 13 peratus daripada mereka warga asing).

Pada pandangan beliau, ini membuatkan cadangan tersebut lebih diterima. Oleh kerana gelandangan adalah warga asing, dia ingatkan bolehlah melakukan apa sahaja yang dia mahu, lupa bahawa warga asing adalah manusia juga.

Dan ini tidak berhenti di situ sahaja. Sesetengah daripada kita berfikir pendatang adalah makhluk yang rendah martabatnya. Oleh sebab itulah kita menyalahgunakan mereka. Berapa kali kita mendengar tentang pembantu rumah asing didera di Malaysia? Sesetengah daripada kita mahu mereka keluar, menyalahkan pendatang tentang pelbagai perkara, tidak kira sama ada ia benar atau tidak. Gaji yang rendah? Pendatang! Tiada kerja? Pendatang! Kenaikan kadar jenayah? Pendatang! Kadar penyertaan buruh wanita yang rendah? Pendatang!

Sudah tentu, benar sekali, mereka tidak maksudkan semua pendatang dan pasti bukan yang di bawah program Malaysia Rumah Kedua. Oh tidak, bukan yang dikenali sebagai pekerja berkemahiran tinggi. Hanya pendatang dari negara-negara miskin yang tertentu.

Kewarganegaraan memberi kita hak-hak tertentu, tetapi itu tidak bermakna yang bukan warganegara kurang sifat manusianya. Mereka berdarah merah juga, seperti rakyat Malaysia.

No comments:

Post a Comment