Rencana “A silent and
cruel war is being waged” oleh Azrul Mohd Khalib bertarikh 5 Julai
2014 terbit di themalaymailonline
Setiap tahun, tanpa
gagal, Ramadan di Malaysia adalah waktu apabila pelbagai kejadian
berlaku di mana keupayaan kita diuji untuk bertoleransi, untuk
menunjukkan kasih sayang, untuk bersabar dan memaafkan, untuk
menerima satu sama lain dan menunjukkan sifat belas kasihan.
Berpuasa sepanjang
bulan ini sepatutnya satu cara bagi kita untuk lebih dekat kepada
Tuhan menerusi rasa prihatin dengan mereka yang kurang bernasib baik,
mengingatkan diri sendiri bahawa sementara kita hidup selesa, masih
ramai orang lain yang tidak begitu bernasib baik dan tidak berupaya
bangun semula. Ia bukanlah hanya tentang berlapar dan berasa lebih
kudus daripada orang lain.
Ia adalah berkenaan
membantu mereka yang miskin, hidup dalam kesusahan dan memerlukan.
Itulah sebabnya dalam tempoh ini, umat Islam digalakkan menderma masa
dan wang mereka beramal dan terlibat dalam khidmat masyarakat, kerana
idea disebaliknya ialah bahawa dengan melakukan yang baik kepada
orang lain dan masyarakat, kita semua boleh menjadi orang yang lebih
baik.
Mungkin Menteri Wilayah
Persekutuan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Rohani Abdul Karim
masing-masing perlu diingatkan tentang ini.
Atas sebab-sebab
tertentu, kedua-duanya telah memutuskan untuk menentang gelandangan,
orang miskin, penganggur dan yang memerlukan berdasarkan kepercayaan
yang silap dan menyimpang daripada hakikat sebenar bahawa majoriti
kumpulan ini memilih untuk menjadi begitu dan adalah pemalas.
Kononnya hakikat bahawa
soup kitchen dan organisasi yang memberi makanan dan bantuan
kepada mereka memburukkan keadaan kerana ia menggalakkan dengan
sengaja tabiat menjadi gelandangan, penganggur dan oleh itu miskin.
Menteri-menteri yang mulia itu telah berulang kali memberi kenyataan
sedemikian sehingga mereka tidak boleh mendakwa telah disalaherti.
Mungkin hanya apabila
bayi seorang ibu gelandangan ditemui terkujur, barulah pihak berkuasa
akan sedar bahawa terdapat sekumpulan besar orang yang terdedah
kepada bahaya tinggal di bawah jambatan, di sepanjang tebing sungai,
di lorong-lorong gelap, beralas kotak kadbod, kepingan kayu dan kain
terpal di bangunan-bangunan terbengkalai. Orang beginilah yang Tengku
Adnan tidak ingin dilihat di bandar "beliau".
Sejak beberapa tahun
kebelakangan, usaha-usaha gigih pertubuhan sukarela bukan
berkeuntungan seperti Food Not Bombs KL, Kechara Soup Kitchen,
Pertiwi dan banyak kumpulan berasaskan agama yang lain telah
bersama-sama setiap hari dan minggu, selalunya pada waktu malam
menyediakan makanan, tempat tinggal sementara , pakaian dan bantuan
perubatan kepada kelompok tersebut.
Mereka mengisi jurang
kritikal dalam perkhidmatan kerajaan yang penting. Mereka memberi
bantuan kepada yang telah terlepas pandang oleh pihak berwajib.
Mereka melakukan apa yang kita sendiri kalau boleh mahu mengelak
daripada dilihat atau ditangani.
Saluran yang wajar
untuk bantuan? Walaupun birokrasi kerajaan sering mengharapkan orang
yang memerlukan supaya pergi kepada mereka di pejabat, berpakaian
sempurna dan berpenampilan baik, berbau wangi, celik huruf, mempunyai
kad pengenalan, mempunyai alamat rumah dan berada di sana sebelum
pejabat ditutup pada pukul 5 petang, soup kitchen sering tdak
menyoal, tidak menghukum, mempamerkan wajah yang lebih menerima untuk
menunjukkan bahawa ada yang mengambil berat dan berbuat demikian
dalam keselamatan relatif waktu malam.
Gelandangan dan yang
memerlukan memiliki sedikit sekali dan sekarang inipun mahu diambil
daripada mereka? Jika kamu mahu bertindak, biarlah ke atas kemiskinan
itu sendiri. Ambil kesempatan ini untuk meningkatkan kualiti dan
liputan perkhidmatan yang sedia ada dan bantuan sukarela kepada
gelandangan, yang memerlukan dan terabai, bukan menghukum mereka.
Jangan aniaya mereka
yang tidak dapat meluahkan perasaan sendiri, mangsa kemiskinan dan
kesusahan, dan mereka yang mahu membantu kelompok ini. Operasi "Ops
Qaseh" jauh panggang dari api. Demi Allah, tunjukkan belas
kasihan dan hayati Fardhu Kifayah.
Menggubal undang-undang
dan menjalankan operasi menolak gelandangan dan pengemis ke tepi dan
berpura-pura mereka tidak wujud tidak akan menyelesaikan masalah ini
juga tidak akan membantu mereka. Apa yang lebih dahsyat adalah
tindakan mahu menghukum orang dan organisasi yang ingin memberikan
bantuan. Sama ada dalam bulan Ramadan atau mana-mana bulan yang lain,
tidak salah membantu orang lain. Memberi makan dan membantu mereka
yang memerlukan bukanlah satu jenayah!
Di manakah rasa belas
kasihan kita sebagai manusia? Bukankah satu perkara yang baik bahawa
rakyat Malaysia membantu orang lain dan mereka yang memerlukan?
Masyarakat apakah ini jika kita lupa mereka yang kurang bernasib baik
dan telah ketinggalan di dalam arus pembangunan?
Kewujudan soup
kitchen tidak harus dilihat sebagai kritikan terhadap kerajaan.
Orang ramai faham bahawa kerajaan tidak boleh berada di serata tempat
setiap masa. Terlalu banyak keperluan dan banyak yang perlu
dilakukan. Sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab, kita juga
perlu menjalankan kewajipan.
Saya menyeru para
pembaca ruangan ini menyumbangkan masa dan tenaga mereka bersama-sama
soup kitchen dan kumpulan berasaskan agama di Kuala Lumpur.
Jumlahnya banyak. Cari satu dan daftarlah untuk satu sesi hujung
minggu ini, pada malam Isnin atau sebanyak mana yang mungkin hingga
ke akhir Ramadan. Saya sendiri akan melakukannya.
Tunjukkan bahawa mereka
mendapat sokongan kita dalam kerja-kerja membantu orang lain!
Pertubuhan-pertubuhan ini, dan komuniti yang bergantung kepadanya,
perlu tahu bahawa kita mengambil berat dan berdiri teguh bersama-sama
mereka.
No comments:
Post a Comment