Rencana "The
difference between compromise and cowardice" oleh Erna Mahyuni
bertarikh 25 Jun 2014 terbit di themalaymailonline
Ada yang berkata kepada
saya, lupakan saja isu Allah . "Akhirnya, apabila kita berada di
hadapan-Nya, semua ini tidak ada makna."
Memang terserlah inilah cara Malaysia
melihat sesuatu perkara. Jangan bercakap tentang perkara ini -
terlalu sensitif. Jangan pentaskan pertunjukan atau buat filem
tentang itu – berapi nanti.
Kita amat berhati-hati sepanjang masa,
sedaya upaya tidak mahu orang itu atau orang ini marah.
Tetapi biarlah kita berterus-terang di
sini; seolah-olah hanya ada satu bangsa yang kita takut rasa
tersinggung manakala tiada masalah mengheret kepala lembu merata-rata
atau melontar koktel Molotov ke gereja.
Kita tidak boleh terus-menerus
mengenepikan masalah yang timbul kerana takut akan berlaku rusuhan
awam. Kita tidak boleh berterusan mengharamkan buku-buku dan
filem-filem serta memberitahu penganut agama minoriti supaya berhenti
"mengancam" kepercayaan majoriti.
Memang benar, wujud orang yang
berbahaya. Orang bersenjata, memiliki bom, mereka yang sama sekali
tidak ragu-ragu membunuh hanya untuk meneruskan impian mereka.
Tetapi sekarang, lebih daripada
sebelumnya, kita perlu berdialog. Kita perlu berbincang sesama
sendiri tentang perkara-perkara yang paling menakutkan kita; kita
perlu mula mendengar pendapat-pendapat yang mengganggu cara kita
sendiri melihat sesuatu perkara.
Yang paling penting, rakyat Malaysia
perlu belajar bersetuju untuk tidak bersetuju. Namun apa yang kita
perhatikan ialah perbuatan mengejek-ejek seperti di zaman sekolah di
mana kita menghina satu sama lain dan bukannya cuba memahami
pandangan pihak yang bertentangan.
Saya sudah benar-benar bosan apabila
orang mengatakan bahawa jelaslah bahawa hidaup saya yang kekurangan
seks yang menyebabkan saya tidak tahu berdiam tentang hal ehwal
semasa. Jangan libatkan badan saya dalam perbincangan. Di manapun
kepala saya, sudah pasti bukan di situ tempatnya.
Yang lebih membimbangkan, saya sentiasa
disoal bagaimana hendak "menyatukan" Timur dan Barat
Malaysia. Jawapan pendek: api dan darah. Apabila ada kuasa asing yang
mengisytiharkan perang terhadap kita, saya pasti semangat patriotik
akan mencapai tahap yang epik.
Jawapan panjang ialah perpaduan,
kawan-kawan, diberi penekanan yang melampau. Perpaduan adalah impian
palsu, kepercayaan yang bermasalah bahawa semua rakyat harus dan
mesti mahu perkara yang sama. Amatlah sangat jelas bahawa saya mahu
sebuah negara sekular dan adalah sangat jelas pula bahawa PAS mahukan
sebuah negara Islam.
Semua warganegara harus menghormati
undang-undang negara dan juga mempunyai hak untuk membantah
pelaksanaan satu set undang-undang yang kedua. Semua warganegara
perlu mempunyai akses kepada hak asasi dan dapat mempersoalkan arahan
kerajaan tanpa dihumban ke dalam tahanan.
Lawan perpaduan bukanlah anarki; tetapi
kewujudan pilihan. Satu keadaan di mana perbezaan diterima, di mana
kita tidak secara paksa diminta mentaati kerajaan atau pemerintah.
Kepelbagaian dan perbezaan bukanlah
perkara-perkara yang perlu ditakuti, tetapi ketakutan seolah-olah
menjadi satu-satunya alat tawar-menawar yang digunakan oleh kerajaan
kita tanpa batasan. Undi kami atau negara ini akan runtuh. Undi kami
atau minoriti akan mengambil-alih semua hak-hak anda. Undi kami
kerana pihak lawan adalah penyokong LGBT yang hedonistik dan
penyembah syaitan.
Kita perlu berhenti menjadi begitu
takut sepanjang masa tetapi kita kadang-kadang terlampau pengecut,
hingga hampir memalukan hendak mengaku rakyat Malaysia. Sedarlah, ini
Malaysia. Tiada ada skuad pembunuh berkeliaran di jalan-jalan. Anda
tidak akan ditembak di katil anda oleh penguatkuasa kerajaan kerana
mempunyai sesuatu pendapat. Memanglah satu perasaan biasa jika hendak
menumbuk jiran anda yang begitu fanatik, tetapi adalah salah jika
benar-benar mahu bertumbuk.
Bercakaplah tentang perkara-perkara
yang menakutkan anda. Bercakap. Fikirkan. Baca. Fahami. Hanya cahaya
yang akan menerangi kegelapan dan membiarkan orang (dan isu-isu)
dalam kegelapan tidak membantu sesiapa.
Saya tahu ini satu permintaan yang
besar tetapi apabila ada orang yang pada masa depan memberitahu saya
supaya berdiam diri untuk "menjaga keamanan", saya mungkin
akan mencadangkan pemindahan tulang belakang adalah amat perlu. Kita
tidak dapat mencari tulang belakang kerajaan jadi mungkin lebih elok
kita sendiri berusaha memilikinya.
No comments:
Post a Comment