Encik Fong, bapa kepada
dua orang anak mengendalikan sebuah pusat urut orang buta di
Brickfields.
Ketika saya
berfikir-fikir tentang siapa yang hendak ditemuramah, tukang urut
buta merupakan salah satu pilihan utama. Saya pun ke Persatuan Orang
Buta Malaysia atau Malaysian Association for the Blind (MAB) yang
terletak di Jalan Tun Sambanthan. Dua orang penyambut tetamu OKU
kurang penglihatan mengarahkan saya ke pusat-pusat urutan yang banyak
terdapat di Jalan Thambypillai dan Jalan Padang Belia, yang teletak
tidak jauh dari pejabat Persatuan.
Apabila saya masuk ke
pusat urut orang buta yang pertama di Jalan Thambypillai, seorang mak
cik China berteriak ke arah bilik-bilik di belakang ruang menyambut
tetamu bertanyakan jika sesiapa berminat untuk ditemuramah. Hati saya
berdebar-debar juga ketika bertemu Encik Lo yang baik hati dan
sanggup pula berbual. Saya cuba menguasai kemahiran bertanya tentang
soal-soal peribadi dan yang lebih mendalam tanpa kelihatan tidak
sensitif.
Encik Lo secara terbuka
mengkisahkan ceritanya dan dalam sekelip mata, saya mula menyedari
betapa bertuahnya saya mempunyai penglihatan dan berpeluang memahami
nasib orang buta. Saya meninggalkan Brickfields menghargai apa yang
saya miliki.
Malangnya, beberapa
hari sebelum rakaman, apabila saya membuat panggilan untuk
mengesahkan temujanji kami, Encik Lo memberitahu bahawa setelah
berfikir semula, dia mengambil keputusan tidak mahu meneruskan
temuramah. Saya hampa tetapi faham dan menghormati keputusan beliau.
Sedih dengan perubahan
yang mendadak tetapi masih tidak kecewa, saya ke Brickfields lagi.
Saya pergi ke dua pusat urut orang buta tetapi mereka semua enggan
ditemuduga. Ketika saya melangkah naik dan masuk ke Pusat Urut Cahaya
Suria, saya disambut mesra oleh seorang lelaki muda. Selepas
mendengar permintaan saya dia memberitahu bahawa dia akan mencari
seseorang untuk saya; yang rupa-rupanya ayahnya sendiri. Encik Fong
bersetuju bercakap dengan saya dan terus menceritakan kisahnya,
cerita yang serupa dan juga berbeza dari kisah orang buta lain.
Walaupun Encik Lo dan Encik Fong hilang pemglihatan oleh sebab-sebab
yang berbeza dan pada peringkat yang berbeza pula dalam hidup mereka,
kedua-duanya telah belajar menerima kebutaan mereka dan menjalani
kehidupan biasa di samping menyumbang kepada masyarakat.
Cerita Encik Fong telah
memberikan perspektif baru kepada saya. Saya mula melihat lorong
pejalan kaki berwarna kuning dengan pandangan baru, saya naik darah
apabila melihat motosikal diletakkan di atasnya, saya berdiri di tepi
jalan dan menutup mata merasakan gegaran yang menakutkan apabila
sebuah lori lalu berhampiran, dan saya senyum tanpa disedari apabila
melihat seseorang membantu seorang wanita buta melintas jalan. Di
bandar konkrit yang direka untuk kenderaan, marilah kita berfikir
sejenak tentang orang buta di kalangan kita yang menjalani hidup
dengan cara yang berbeza
No comments:
Post a Comment