Thursday, 19 June 2014

Cara Islam Menangani Keganasan Terhadap Wanita? Lelaki Yang Beradab

Rencana "Islam's Way to End Violence Against Women? Civilized Men" oleh Qasim Rashid bertarikh 18 Jun 2014 terbit di huffingtonpost



“Dia yang buat saya melakukannya.”

Saya kerap sangat mendengar frasa ini, dan setiap kali mendengarnya hati saya terluka. Dalam kerja undang-undang pro bono saya, saya mewakili wanita miskin yang mengalami atau telah mengalami keganasan rumah tangga. Sebagai seorang peguam, sebagai seorang Muslim, sebagai suami, dan sebagai seorang bapa saudara kepada lima anak saudara perempuan yang cantik, saya melihat pelanggan saya sebagai individu yang mungkin sekali adalah keluarga saya sendiri.

Pelanggan-pelanggan saya berkulit putih, hitam, Asia dan Latin. Mereka orang Islam, Kristian, agnostik dan yang tidak menyatakan apa agama mereka. Mereka mengingatkan saya bahawa keganasan terhadap wanita merupakan wabak di seluruh dunia – dan keganasan itu adalah punca utama kecederaan terhadap wanita di Amerika. Sebahagian daripada proses temuduga pelanggan bertujuan untuk memahami akar umbi yang menyebabkan keganasan tadi. Walaupun saya tahu sebabnya, persoalannya adalah untuk memahami apa yang mereka sendiri percaya tentang punca keganasan terhadap mereka. Selalunya, pelanggan kes keganasan rumahtangga saya akan menyatakan, "Dia kata, saya puncanya, yang saya menyebabkan dia melakukannya." Kadang-kadang saya tidak lagi tahu sama ada mereka benar-benar percaya apa yang mereka katakan, atau telah dipukul - secara literal atau kiasan - untuk mempercayai kenyataan itu.

Satu rencana Washington Post baru-baru ini berhujah bahawa perkahwinan adalah sebaik-baik matlamat untuk memastikan wanita menghindari keganasan rumahtangga dan keganasan, dengan mendakwa, "wanita yang berkahwin adalah lebih selamat dibandingkan dengan rakan-rakan mereka yang belum berkahwin, dan kanak-kanak perempuan yang dibesarkan dalam rumah bersama-sama bapa mereka berkemungkinan disalahgunakan atau diserang ketara sekali jauh lebih kurang berbanding kanak-kanak yang hidup tanpa bapa mereka sendiri. "Oleh itu, penulis membuat kesimpulan "satu cara untuk menamatkan keganasan terhadap wanita [adalah] bapa yang berkahwin."

Demi hujah, saya percaya rencana itu berniat baik. Malangnya, dalam menganalisis data yang menyeluruh dan menjadikan wanita satu statistik, rencana itu- jika dilihat pada sudut terbaik - berjaya melakarkan beberapa graf bar berwarna-warni yang melaporkan tentang wanita yang kurang sedikit didera berbanding wanita lain. Rencana itu menyimpang jauh daripada sebab utama di sebalik mengapa keganasan terhadap wanita wujud, dan oleh itu tidak menjumpai penyelesaian yang betul untuk menghentikan keganasan yang berlaku.

Pakaian wanita, status perkahwinan, dan gaya hidup bukanlah pencetus keganasan terhadap wanita. Keganasan terhadap wanita wujud kerana lelaki dalam hidup mereka - bujang, berkahwin dan orang yang tidak dikenali - melakukan keganasan itu. Keganasan terhadap wanita wujud kerana lelaki tidak melayan wanita dengan hormat. Keganasan terhadap wanita wujud kerana masyarakat kita tidak menghargai ciri-ciri kesopanan moral dalam wacana, menghormati tubuh wanita, menghormati hak wanita untuk menentukan nasib sendiri, serta kesaksamaan dan ekuiti wanita amnya.

Sebaliknya, kita beralih meletakkan beban mengelakkan keganasan ke atas wanita, manakala lelaki bebas tanpa apa-apa kesan. Pendekatan sedemikian adalah amat cela kerana ia tidak berkesan - seperti yang dibuktikan oleh kes keganasan rumahtangga yang meningkat. Menyedari bahawa pendekatan ini adalah bertentangan dengan sifat manusia, Nabi Muhammad saw melaksanakan banyak pembaharuan di kalangan lelaki untuk menghentikan keganasan terhadap wanita 1400 tahun yang lalu.

Semenanjung Arab Pra-Islam merupakan lubuk kebencian terhadap wanita, keganasan terhadap wanita, dan ketidaksamaan. Wanita tidak mempunyai hak memiliki harta, membuat keputusan dalam perkahwinan, hak dalam perceraian, atau penentuan nasib sendiri. Islam mula-mula sekali dengan segera memberikan hak-hak ini kepada wanita dan melarang paksaan apa-apapun ke atas wanita. Walaupun keganasan terhadap wanita sudah menjadi wabak di beberapa bahagian dunia Islam hari ini – sama seperti di Amerika dan Barat - hidup bagi wanita selepas dan selama berabad-abad setelah Islam muncul, mewakili bagaimana ajaran tulen Islam akhirnya menaikkan taraf wanita ke tahap kesaksamaan dan sikap lelaki diperbaharui supaya berhenti melakukan keganasan.

Sebagai contoh, untuk mengajar berkenaan tubuh wanita, Islam menekankan kehormatan - tetapi meletakkan beban utama bagi kehormatan ke atas lelaki, bukan wanita. Walaupun ulama dan imam hari ini mengisytiharkan bahawa wanita perlu "berkahwin" atau "berpakaian lebih sederhana" untuk mengelakkan keganasan rumah tangga, Nabi Muhammad saw mempunyai pandangan yang berbeza. Sambil menggalakkan perkahwinan dan pakaian sederhana bagi kedua-dua lelaki dan perempuan, Nabi Muhammad saw dengan ketara dan sebagai satu asas memerintahkan lelaki, "Kamu sendiri hendaklah bersedehana, dan wanita akan bersederhana." Dia memerintahkan lelaki berhenti memberi perhatian lebih tentang bagaimana wanita berkelakuan dan berpakaian, dan sebaliknya menuntut lelaki memberi tumpuan kepada reformasi diri dan memperbaiki diri sendiri. Sementara Al-Quran memberi pengajaran kepada wanita untuk berpakaian sopan mengikut jejak langkah Maryam ibu Nabi Isa as, arahan pertama kepada lelaki adalah untuk "menundukkan pandangan" dan "tidak merenung wanita hanya untuk memuaskan nafsu syahwat" - tidak kira bagaimana seorang wanita memilih untuk berpakaian . Seorang wanita adalah bertanggungjawab kepada dirinya sendiri dan Allah cara dia berpakaian dan bertindak dengan sederhana, manakala seorang lelaki adalah amat penting bertanggungjawab terhadap wanita, kepada dirinya sendiri, dan kepada Allah menghormati wanita berkenaan.

Al-Quran mengisytiharkan lelaki dan wanita sebagai dua makhluk yang sama tara dicipta dari diri yang satu, mengisytiharkan lelaki dan wanita sebagai pakaian bagi satu sama lain yang direka untuk melindungi satu sama lain daripada bahaya dan penderitaan, dan menyuruh umat Islam bertutur dengan cara yang menyenangkan dan beradab. Setakat dakwaan bahawa "Dia yang menjadi punca penyebab," al-Quran dengan tegas memberi jawapan, "Bersamalah dengan wanita dalam kebaikan, dan jika kamu tidak menyukai mereka, mungkin kamu benci kepada sesuatu yang Allah telah berikan padanya kebaikan yang banyak." Al-Quran seterusnya menyuruh lelaki yang jika menghadapi keadaan seorang wanita memang melakukan suatu perbuatan terang-terangan - seperti berlaku curang - seorang lelaki mesti menasihatinya dengan kata-kata, dan jika masih marah memisahkan dirinya daripada keadaan yang tidak menentu - dan tidak menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya dalam apa juga keadaan.

Dalam satu perjalanan melalui padang pasir, seorang pemandu lelaki mempercepatkan kumpulannya. Nabi Muhammad saw, yang memerhatikan bahawa ada wanita dalam perjalanan itu dengan mereka dan akan rasa tidak selesa kerana perjalanannya yang sukar, memberi peringatan dan menasihatkan pemandu tadi supaya memperlahankan perjalanan, dan mengisytiharkan, "Hati-hati dengan permata yang dibawa!" Sesungguhnya, kata-kata terakhir Nabi Muhammad saw adalah "Layanlah wanita dengan baik. Kamu mempunyai hak ke atas mereka dan mereka mempunyai hak ke atas kamu. Mereka merupakan rakan kongsi kamu yang setia."

Strategi ini berjaya. Wanita selepas Islam mencapai peningkatan sehingga ke tahap ulama yang tidak ada tolok tandingnya seperti Hazrat Aisyah, tentera yang berani seperti Nusayba b. Ka'b al-Anṣārīyya dan Khawla b. al-Azwar, pemimpin masyarakat yang cemerlang seperti Zainab b. 'Ali, dan ahli akademik yang mengagumkan seperti Lubna Cordoba dan Fatima al-Fihri Maghribi. Senarai ini hanyalah secebis gambaran kejayaan yang tercapai..

Paling ketara, penyelesaian Islam untuk menghentikan keganasan terhadap wanita bukanlah jawapan agama - ia adalah jawapan sekular. Ia mewajibkan lelaki melindungi kehormatannya, melayan wanita dengan saksama, bertanggungjawab ke atas tingkah laku mereka sendiri, dan menghormati badan dan hak wanita untuk menentukan nasib sendiri

Keganasan terhadap wanita akan berhenti apabila lelaki berhenti melakukan keganasan terhadap wanita. Saya memang ingin sekali kerja pro bono saya dalam keganasan rumah tangga lenyap terus. Tetapi selagi kita merasionalkan data untuk menyokong tanggapan bahawa wanita adalah punca - atau penyebab - keganasan terhadap wanita, malang sekali saya akan mendapat lebih banyak pelanggan daripada yang boleh dikendalikan,

Demi kemanusiaan, berhentilah menyalahkan wanita. Dalam pada itu, saya akan membesarkan dua anak lelaki saya mengikut contoh Nabi Muhammad saw - bahawa kunci untuk menghentikan keganasan terhadap wanita terletak pada lelaki yang beradab dan bertanggungjawab terhadap peribadi mereka sendiri.

No comments:

Post a Comment