Rencana asal "Open
letter to the PM on citizenship for stateless children adopted by
Malaysians" oleh Kim Tiruchelvam, bertarikh 11 Jun 2014 terbit
di akhbar themalaymailonline
Ke hadapan Perdana Menteri yang
dihormati
Semalam saya menerima sepucuk surat
daripada Kementerian Dalam Negeri, menolak permohonan
kewarganegaraan. anak perempuan saya. Apa yang paling membingungkan
dan mengecewakan adalah kerana permohonan kami yang dikemukakan dua
tahun yang lalu kepada KDN, adalah juga atas arahan KDN. Malahan
pegawai anda membantu kami mengisi borang permohonan!
Pada bulan Mac 2010, kami telah ditanya
sama ada ingin menimbangkan mengambil seorang kanak-kanak pelarian
sebagai anak angkat, yang telah ditinggalkan di hospital Kuantan dan
berada di bawah jagaan JKM. Sedar bahawa kanak-kanak ini tidak
mempunyai taraf kerakyatan dan oleh kerana kedua-dua kami datang dari
latar belakang undang-undang, kami tahu bahawa ia bukanlah perjalanan
yang mudah. Jika difikir kembali, kewarganegaraan di Malaysia adalah
menurut budi bicara mutlak Menteri Dalam Negeri. Namun begitu, kami
meneruskan niat, kerana merasakan kami berada pada kedudukan yang
lebih baik daripada kebanyakan ibu bapa untuk menangani cabaran masa
hadapan. Dan kami tidak menyesal. Anak kami Alaani, ialah anak yang
cantik, yang tidak lama lagi akan menyambut ulang tahun keempatnya.
Walau bagaimanapun, pada hari ini
apabila ditanya jika saya akan mempertimbangkan mengambil seorang
lagi kanak-kanak tanpa taraf kerakyatan sebagai anak angkat, jawapan
saya adalah "tidak." Ini kerana di Malaysia - walaupun
kedua-dua ibu bapa merupakan rakyat Malaysia - tidak ada proses yang
jelas atau tempoh masa tertentu yang membawa kepada taraf
kewarganegaraan, apabila ia bersangku-paut dengan anak angkat anda.
Kami adalah sebahagian daripada
sekumpulan ibu bapa Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat, yang
telah meringankan beban sistem kebajikan Kerajaan dan memikul
tanggungjawab yang mencabar apabila dengan sengaja memelihara dan
menjaga kanak-kanak tanpa taraf kerakyatan. Berikutan laporan media
tentang pengambilan anak angkat secara haram, kami telah melakukan
segala-galanya menurut undang-undang.
Apabila kami mula-mula diraikan dalam
majlis pertemuan anjuran JPM dan KDN di Putrajaya pada tahun 2011,
apa yang mengagumkan saya adalah hakikat bahawa kumpulan ibu bapa ini
datang dari semua kaum dan lapisan masyarakat. Ada pegawai tentera,
penoreh getah, pastor, pekerja sosial, pembantu rumah dan peguam.
Diketuai oleh Dr Hartini Zainudin dari Yayasan Nur-es-salam, kami
telah dijanjikan bahawa agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan akan
membantu menyelesaikan isu-isu sijil kelahiran, pengambilan anak dan
proses kewarganegaraan.
Namun begitu saya terpaksa empat kali
ke Putrajaya sebelum akhirnya berjaya mendapatkan sijil kelahiran
merah Alaani pada tahun 2012. Setelah kami menerima sijil kelahiran,
kami sekali lagi bertemu dengan pegawai-pegawai KDN untuk mengisi
permohonan kewarganegaraan, dan diberitahu hendaklah dikemukakan
sebelum mereka akan membantu kami dengan proses penerimaan anak
angkat secara rasmi.
Tahun lepas, kami membuat keputusan
akan menggunakan Mahkamah untuk proses pengambilan anak angkat. Ia
mengambil masa hanya tiga bulan untuk JKM dan mahkamah meluluskan
perintah itu dan kami tertanya-tanya bahawa walaupun kami
berpendidikan, mengapa tidak melakukan ini semua lebih awal.
Selepas dua tahun menunggu permohonan
kewarganegaraan untuk diproses, kami menerima surat penolakan ini
semalam. Ketika membacanya, saya tertanya-tanya jika pegawai yang
berkuasa mempunyai sebarang rasa tanggungjawab moral tentang kesannya
terhadap kehidupan orang lain apabila keputusan sewenang-wenangnya
telah dibuat. Adakah orang ini mempunyai anak? Adakah orang ini sedar
sebagai contoh bahawa apabila membawa anak saya ke Taman Burung saya
perlu membayar yuran asing bagi beliau kerana dia tidak mempunyai
MyKid? Atau bahawa setiap kali kami ke luar negara, ibu bapa saya
yang hampir menyentuh umur 80-an perlu datang dan menjaga Alaani
kerana dia tidak mempunyai pasport dan tidak boleh bersama-sama kami?
Sehinggalah beliau menerima sijil kelahirannya, kami tidak boleh
terbang ke sesuatu destinasi, jadi kami memandu ke semua destinasi
percutian tempatan. Namun begitu ia adalah "Cuti-cuti"
Semenanjung Malaysia sahaja, kerana dia memerlukan MyKid untuk ke
Sabah dan Sarawak. Apa yang akan berlaku apabila kami perlu mencari
sekolah untuk dia?
Tuan Perdana Menteri, adakah adil
apabila dua orang ibu bapa warga Malaysia, yang telah melalui jentera
dan proses kerajaan menurut undang-undang , diberitahu bahawa
permohonan anak mereka untuk kewarganegaraan tidak berjaya, tanpa
apa-apa penjelasan diberi? Dan apalah yang difikirkan oleh pegawai
yang berkuasa apabila menamatkan suratnya dengan ... "jika tuan
masih berminat, tuan boleh mengemukakan permohonan yang baru ...."
Bolehkah dipakai"Jika"?
Saya berharap Tuan Perdana Menteri akan
meneliti perkara ini dan mengambil tindakan yang betul.
No comments:
Post a Comment