'Tengok la Bangla tu dengan pakaiannya
yang teruk! Dia orang ni menyakitkan mata. Tinggal kat rumah entah
berapa orng dan bau pulak semacam!'
Hilai ketawa.....
Saya sedang menikmati secawan kopi
berhampiran sebatang jalan yang sibuk di Kuala Lumpur, terdengar
perbualan tadi yang sudah menjadi lumrah. Saya terpaku sejenak
mengenangkan kata-kata yang menyakitkan itu sementara mungkin
kebanyakan orang terutama sekali yang duduk di belakang saya
mengiakan bahawa apa yang diutarakan adalah satu jenaka.
Perbualan pun diteruskan.
'Ada mamat Afrika tu baru pindah ke
kawasan kami. Dan ada pulak sekumpulan pekerja India yang pulang dari
tempat kerja mereka berbasikal setiap hari. Bawakla kereta! I kalau
boleh duduk jauh-jauh dari dia orang. Bukan saja kerana dia orang ni
nampak berbahaya. Dia orang ni macam berpeluh sepanjang masa dan tak
pakai deodrant. Dia orang ni ada lebih kilang peluh ke dari kita.'
Ketawa berderai lagi.......
Saya memejamkan mata cuba membayangkan
seorang lelaki muda, harapannya yang telah berkecai kerana dia tidak
mampu mendapatkan pendidikan yang sewajarnya, tidak mendapat
pekerjaan, tidak berjaya mendapatkan wang yang cukup untuk memberi
makan kepada adik-beradik atau membayar bil perubatan ibu bapa yang
sakit. Saya terfikir bagaimana terdesak perasaannya, dan apa jalan
keluar yang terakhir. Pergi ke negara lain di mana beliau boleh
mencari sedikit wang mungkin amat bermakna kepadanya.
Saya pernah mendengar cerita seorang
gadis warga asing yang pada awalnya hidup biasa. Kemudian dia bekerja
sebagai pembantu rumah, didera dan dieksploitasi, setelah bapanya
menjual semua hartanya untuk membayar perbelanjaan perubatan ibunya
yang sakit tenat.
Saya pernah disapa oleh seorang remaja
Mesir ketika berjalan bersama teman-teman di taman Maamoura di
Alexandria beberapa tahun dulu. Dengan wajah berseri-seri dia
bertanya sama ada kami dari Malaysia. Mungkin dia dapat menerka
daripada cara kami berpakaian. Dia tak sabar-sabar memberitahu kami
bahawa dia telah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti
Teknologi Petronas (UTP). Dia memang terdesak hendak meninggalkan
negaranya.
Saya bertanya kenapa dan senyumnya
memudar. 'Tengoklah macam mana kami dilayan di sini.' dia merintih.
'Saya tidak punya harapan dan masa depan di negara ini.'
Saya sedar wujud berjuta-juta orang
yang terdesak di luar sana, tua dan muda, dengan hak asasi mereka
yang dinafikan oleh tidak lain daripada kerakusan kumpulan yang
bergelumang dengan rasuah dan eksploitasi serta ketidakadilan yang
dikenakan oleh pihak pemerintah. Malangnya, nasib mereka lebih kurang
sama di mana sahaja mereka pergi dan berhijrah menerima ejekan,
diskriminasi dan layanan buruk.
Adakah apartheid wujud di Malaysia?
Tentu sekali tidak! Ramai yang akan naik darah jika mereka mendengar
perkataan itu. Hakikatnya, ada berjuta-juta rakyat Malaysia, penganut
agama Islam atau bukan Islam yang dengan bangga mengakui diri mereka
sebagai pejuang menentang dasar perkauman, ketidaksamaan dan
diskriminasi. Mereka mahu hak sama rata. Mereka jijik dengan layanan
yang tidak adil.
Ironinya, prinsip yang sama seolah-olah
tidak terpakai apabila bercakap tentang orang asing. Pada saya orang
asing tidak bermakna pelancong Eropah yang kelihatan mewah-atau
pelawat Arab yang kaya yang tinggal di hotel-hotel lima bintang dan
berkeliaran di sekitar Kuala Lumpur dengan kamera mahal dan peralatan
yang canggih. Saya bercakap tentang pekerja asing, dari Indonesia,
Bangladesh, Pakistan, Myanmar, Cambodia dan negara-negara lain.
Mereka yang bekerja siang dan malam dan
menerima kurang daripada separuh apa yang diterima oleh rakyat
Malaysia sendiri. Mereka yang berpeluh dan berbau semacam. Mereka
yang berbasikal dan tinggal di rumah-rumah yang penuh sesak. Mereka
yang dilihat memang bersalah dari awal lagi oleh masyarakat
sehinggalah dibuktikan tidak bersalah. Mereka yang menjadi bahan
jenaka rakyat Malaysia.
Tidak ramai yang sedar tentang
sumbangan pekerja asing dan kesan ekonomi yang dibawa oleh mereka.
Pandangan orang ramai agak terpengaruh oleh dakwaan mengatakan bahawa
warga asing yang 'tidak keruan ' ini kebanyakannya penjenayah. Bukan
sahaja laporan sering berat sebelah, media juga cenderung memberikan
lebih perhatian kepada jenayah yang dilakukan oleh orang asing
berbanding penduduk tempatan. Adakah benar bahawa kebanyakan jenayah
dilakukan oleh mereka? Tiada siapa yang boleh mengatakan dengan
pasti. Kekurangan statistik yang dipercayai, peranan politik dan
pasukan keselamatan yang tidak konsisten semuanya perlu
dipertimbangkan dengan teliti sebelum kesimpulan dicapai.
Sesetengah penganut agama Islam tidak
dianggap sama
Memang mudah menarik perhatian ramai
orang beragama Islam apabila acara kebajikan dan ceramah diadakan
tentang isu-isu berkaitan Palestine, Syria dan Mesir. Oleh kerana
sebab-sebab komitmen moral dan/atau agama, orang ramai bersatu dan
bertekad menunjukkan perpaduan dengan mereka yang teraniaya di sana.
Walau bagaimanapun, amat menghairankan apabila pekerja asing di
Malaysia tidak dilihat sebagai saudara seagama yang sama. Mereka
lebih dianggap pengacau dan mengganggu. Mereka kelihatan 'kurang
layak' kerana sebab-sebab tertentu.
Bukan sesuatu yang luar biasa melihat
ada yang menangis mengenangkan rakyat Palestin di masjid pada satu
hari dan mengutuk beberapa 'Bangla' atau 'Indon' di jalan pada hari
berikutnya. Masyarakat kita juga penuh dengan wira yang secara
terbuka bercakap menentang penindasan orang Islam Rohingya di
Myanmar, tetapi amat marah apabila melihat pengemis Rohingya di
kawasan kejiranan mereka. Seolah-olah kita sudah bersedia mati untuk
Islam, tetapi kita tidak sanggup melihat orang Islam yang serba
kekurangan dan berpeluh.
Majoriti pekerja asing di mana-mana,
adalah orang yang tidak mempunyai banyak pilihan dalam hidup, atau
mungkin tiada pilihan sama sekali. Mereka datang bukan untuk
berekreasi atau bersiar-siar tetapi untuk terus hidup. Mereka
teragak-agak meninggalkan keluarga yang menaruh harapan dapat
mencapai kehidupan yang lebih baik, dan kenangan yang menghantui
mereka setiap hari. Jika kita boleh melihat mereka sebagai manusia
yang sama dan saudara-saudara seagama, struktur masyarakat manusia
secara umum, dan umat Islam khususnya, akan diperkukuhkan.
Rasulullah (saw) tidak pernah dalam
hidupnya membezakan antara sahabat yang datang dari latar belakang
keluarga yang kaya dan elit berbanding mereka yang teraniaya seperti
Bilal (seorang hamba hitam) atau Salman (warga asing). Beliau
menerima semua serta menunjukkan kasih sayang yang sama dan mengambil
berat terhadap semua. Mengapa pula kita, walaupun lantang
mengisytiharkan diri pengikut setia Nabi, lebih memilih orang Islam
berkulit putih berbanding yang hitam, kaya berbanding miskin, dan
yang dihormati berbanding yang serba kekurangan? Kita memang tidak
memahami semangat sebenar ajaran Nabi.
Ketika saya berkira-kira melangkah
pergi dari orang ramai yang ketawa di belakang saya, saya menarik
nafas panjang dan memandang ke arah bangunan pencakar langit yang
tersergam, bersinar di sekitar yang menjadikan ibu negara Malaysia
begitu bersemangat. Semua telah dibina hasil 'peluh dan bau semacam'
pekerja asing yang menjengkelkan ', yang tidak dihargai sesiapa.
Adakah masyarakat Malaysia pernah peduli untuk tahu berapa ramai yang
jatuh, cedera dan meninggal dunia dalam proses tersebut? Tiada siapa
yang tahu. Tiada siapa peduli.
Tiba-tiba telefon bimbit saya
berdering. Panggilan rakan dari Malaysia yang baru-baru ini berpindah
ke Singapura mencari wang yang lebih banyak dan kehidupan yang lebih
baik
'Tau tak?' Beliau menjerit. Mereka
(rakyat Singapura) memandang rendah terhadap kami di sini!
Mentang-mentang kita datang ke sini untuk bekerja, tidak bermakna
status kita lebih rendah, atau penjenayah! '
Oh, oh!. Bunyi macam pernah dengar.
Saya berpaling melihat orang ramai yang
sedang ketawa. Sekumpulan lelaki dan wanita muda yang kelihatan
golongan-kelas menengah, berpendidikan dan jelas beragama Islam.
Sekiranya mereka pernah mengalami rasa lemah dan teraniaya, mungkin
mereka tidak akan ketawa sebegitu. Atau mungkin bau semacam itu
tidaklah selucu mana.
No comments:
Post a Comment