Saturday, 14 June 2014

Islam yang seragam? Lupakanlah!

Rencana asal "A monolithic Islam? Forget about it! " oleh Ro Waseem, bertarikh 13 Jun 2014 terbit di quranalyzeit



Kadang-kadang, orang di sekeliling merisaukan saya. Mengapa orang sering menghukum, saya sering tertanya-tanya diri sendiri? Mungkin, kerana hati yang sering menghukum tidak mempunyai pertimbangan jiwa. Saya rasa itu sahaja. Ya, kurang muhasabah!

Salah satu trend paling merisaukan yang saya lihat dalam masyarakat Islam adalah betapa banyaknya rasa benci dan syak wasangka terhadap orang Islam yang mengamalkan pendekatan dan tafsiran yang berbeza tentang Islam. Seiring dengan ideologi Takfiri yang semakin meningkat, hampir setiap orang Islam menganggap dirinya sebagai "mengikut jalan yang benar" dan yang lain-lain, walaupun mereka berbeza pendapat tentang isu-isu kecil, sebagai "terpedaya oleh syaitan" atau "Fitnah", banyak menghalang kehidupan bersama dan saling menghormati di kalangan umat Islam. Oleh kerana itulah sikap berpuak-puak, yang amat tidak digalakkan dalam Al-Quran, telah menyebabkan masyarakat Islam tidak stabil dari dalam kelompoknya sendiri, dan akibatnya setiap kumpulan gembira dengan versi mereka sambil memandang rendah terhadap yang lain.

Kita mesti sedar bahawa Islam bukanlah bentuk yang sama kepada semua, dan adalah mustahil untuk hampir 2 bilion umat Islam berkongsi tafsiran yang sama tentangnya. Saya berpandangan tidak ada Islam "benar". Sebaliknya, kita menghayati Islam. Kemungkinan terbaik, Islam yang "benar", pada pendapat saya, adalah berkaitan dengan seseorang itu dan merupakan tafsiran yang membolehkan anda membesar dan berkembang secara paling baik sebagai seorang manusia, dengan syarat - satu perkara penting yang perlu diingat - teras Al-Quran tidak diubahsuai. Al-Quran menekankan hal ini berdasarkan ayat-ayat berikut:

….”Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.” Al-Quran, 39:18

….."Dan turutlah - Al-Quran - sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.” Al-Quran 39:55

Ayat-ayat ini, yang pasti menuntut perhatian dan pemikiran yang lebih daripada umat Islam arus perdana; bercakap menentang Islam yang seragam, diinstitusikan oleh kerana pembaca diminta mengikuti yang "terbaik" dari apa yang telah diwahyukan. Jika sepatutnya terdapat hanya satu "tafsiran rasmi", tidak ada gunanya meminta kita mengikut yang terbaik di dalamnya. Lagipun, bagaimana anda mengikuti yang terbaik daripada apa yang sudahpun terbaik?

Kebanyakan orang tidak menyedari hal ini, tetapi Al-Quran itu sendiri bercakap tentang kejamakan laluan menuju Islam:

….Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus. Al-Quran 5:16

Ini adalah kerana Tuhan mengakui kepelbagaian kita, menyatakannya sebagai satu daripada tanda-tanda-Nya (30:22); dan tidak seperti para ulama, tidak mahu kita semua menjadi robot yang serupa.

Menggabungkan semua perkara ini bersama-sama, Al-Quran memberikan penafian yang komprehensif kepada idea bahawa terdapat satu Islam yang "benar" yang sepatutnya dikongsi bersama oleh semua penganutnya

Mengurus perbezaan

Sememangnya, apabila kita bercakap tentang hampir 2 bilion orang Islam, akan terdapat perbezaan teologi. Walau bagaimanapun, apa yang penting, adalah bagaimana kita menangani perbezaan ini. Kita mungkin mempunyai perbezaan pendapat intelektual dalam pemikiran Islam yang pelbagai, tetapi kita seharusnya tidak memupuk kebencian terhadap kepelbagaian ini. Sama ada kita boleh mengakui perbezaan kita dan menerimanya untuk kebaikan bersama, menumpukan perhatian kepada nilai-nilai asas yang diajar Islam kepada kita, atau kita boleh terus dengan ideologi "cara saya atau nyah kamu dari sini" yang merupakan punca utama sikap berpuak-puak, sekali lagi - yang amat tidak digalakkan dalam Al-Quran.

Tidak jujur dan benar kepada diri kita sendiri, saya percaya, adalah punca sikap berpuak-puak. Kita mengutuk orang lain kerana pandangan mereka, menyedari sepenuhnya bahawa ada masanya apabila kita, diri kita sendiri, tidak tahu apa yang kita tahu hari ini. Masalahnya, adalah kita terlalu kritikal tentang orang lain, dan agak pasif berkaitan diri kita sendiri, walhal seharusnya diterbalikkan! Kita cepat menghukum orang lain kerana kita hanya melihat sesuatu perkara dari satu perspektif- iaitu perspektif kita -yang terhad dan berat sebelah. Kita tidak cuba menganalisis sebab-sebab mengapa orang itu begitu kerana itu adalah satu tugas yang sukar, yang memerlukan usaha dan fikiran yang terbuka.

Pada masa ini, ada orang yang mempunyai idea pelik bahawa berterus-terang samalah seperti menjadi provokatif, menghina, dan merendahkan martabat orang lain. Sesetengah orang, yang gemar menganggap diri mereka sebagai suka "berterus-terang" percaya yang bercakap "benar" kepada orang yang berbeza pandangan tidak memerlukan anda bersikap sopan, memahami, dan munasabah. Tidak, ciri-ciri ini dilihat sebagai cubaan "menggula" atau menjadi "diplomatik" (seolah-olah itu adalah satu perkara yang tidak baik). Nah, cuba teka? Walaupun anda betul, tidak ada siapa yang akan ingin mendengar dengan ikhlas jika anda dilihat meninggi diri dan memandang rendah terhadap orang lain. Tidakkah itu membatalkan seluruh tujuan dialog? Jika anda begitu berminat hendak menyebarkan kebenaran yang anda yakini, janganlah bermula hanya untuk menjulang ego sendiri dan membodohkan orang lain. Akhirnya, anda hanya memperbodohkan diri sendiri!

Terdapat beberapa etika dialog, dan Al-Quran menjelaskannya dengan amat baik:

….Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. Al-Quran 16:125

Socrates pernah berkata, "Apabila kalah perdebatan, fitnah menjadi alat yang kalah." Dalam erti kata lain, apabila tidak ada titik intelektual yang tinggal untuk diketengahkan, orang mengambil jalan keluar dengan serangan ad-hominem untuk memberi gambaran lebih unggul. Sekali lagi, kita mesti mengingatkan diri kita tujuan Islam. Ia bukan untuk memandang rendah terhadap orang lain, tetapi untuk membimbing diri ke tahap yang lebih tinggi. Ia bukan untuk mengkritik orang lain, tetapi yang utama diri sendiri. Islam cuba menundukkan ego, bukan untuk membesar-besarkannya. Malahan, Al-Quran berkali-kali mengingatkan pembacanya bahawa dia tidak dihantar sebagai “pengawal” atau “pemerhati” ke atas orang lain (6:107, 88:22). Kenapa fokus tidak kepada diri sendiri tetapi pada orang lain?

Kesimpulan

Walaupun beransur-ansur, saya sedar sepanjang perjalanan sebagai seorang Islam bahawa terdapat banyak laluan rohani yang membawa kepada destinasi yang sama: keamanan dan ketenangan.

Hanya kerana saya tidak bersetuju dengan X dan Y dalam beberapa perkara, tidak bermakna saya menolak perjalanan rohani mereka sebagai "tidak sah", atau saya mula memanggil mereka dengan label menghina yang lain. Apa yang penting, sebaliknya, adalah anda terus melangkah melalui laluan yang telah anda pilih untuk diri sendiri, maju dengan setiap langkah. Pertumbuhan harus menjadi keutamaan, bukan cara mana anda berkembang. Ya, kita semua boleh membantu dalam membetulkan antara satu sama lain dengan berdialog mengenai pelbagai aspek teologi dan rohani, tetapi orang yang benar-benar membuang masa hanyalah dia yang tidak mahu bergerak, tetapi menyekat jalan orang lain; menyatakan yang lain telah mengambil jalan yang salah.

Al-Quran menyatakannya dengan begitu indah:

…..Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Al-Quran 2:148





Islam yang seragam? Lupakanlah!

Islam yang inklusif dan majmuk? Ya! Dan lebih banyak sudut pandangan Islam akan menyerlah kepada anda dengan cara itu!


No comments:

Post a Comment