Friday, 20 June 2014

Gunakanlah bahasa yang sama

Surat kepada editor "Speak the common language" oleh Sumathi Sivamany bertarikh 19 Jun 2014 terbit di thestar



Saya menghadiri perjumpaan semula murid-murid sedarjah setelah 36 tahun berlalu pada Sabtu lepas. Perjumpaan itu berjaya diadakan hasil kerja kuat beberapa orang di dalam kumpulan kami. Kami juga terpaksa bergantung kepada media sosial untuk menguruskan rancangan sehinggalah menjadi nyata pada 14 Jun.

Kami berjaya menghubungi 23 daripada 42 rakan sedarjah dan 21 orang dapat menghadiri perjumpaan. Kumpulan kami memang mencerminkan konsep 1Malaysia dengan baik sekali kerana kami terdiri daripada mereka yang berketurunan Melayu, China dan India.

Kami membentuk satu kumpulan melalui Whatsapp dan mula menghantar pesanan sesama sendiri. Pesanan saling bertukar dan kami selesa berkomunikasi menggunakan Bahasa Melyu dan Inggeris kerana kami boleh bertutur dengan baik di dalam kedua-dua bahasa.

Semuanya berjalan dengan baik sehingglah tiba hari Selasa, apabila salah seorang ahli kumpulan mula bertukar-tukar pesanan menggunakan bahasa ibundanya (versi rumi tentunya) dan ini diikuti oleh yang lain yang menggunakan bahasa yang sama. Mereka yang tidak faham apa yang diperkatakan berhenti menghantar pesanan. Saya kecewa sedikit dan mengakhiri pesanan dengan ucapan “Selamat Malam” oleh kerana saya juga tidak faham apa yang sedang dibincangkan.

Pengerusi kumpulan kami sedar tentang apa yang telah berlaku dan menghentikan perbuatan tadi. Dia menasihatkan ahli kumpulan supaya tidak menggunakan bahasa yang tidak difahami oleh yang lain-lain dan tidak lama kemudian kami bertukar-tukar pesanan seperti biasa.

Mujurlah peristiwa yang saya sebutkan tadi berakhir dengan baik kerana ada yang faham apa yang sedang berlaku dan mengambil tindakan menangani masalah yang timbul.

Malangnya, kejadian seperti yang berlaku tadi semakin meluas di dalam masyarakat kita.

Saya pernah menghadiri pelbagai jamuan makan dan perjumpaan sosial dengan tuan rumah yang mengambil masa dan usaha meletakkan para tetamu dengan baik supaya mereka rasa selesa antara satu sama lain.

Apa yang sering terjadi di majlis-majlis ini ialah apabila seorang tetamu mula bercakap dalam bahasa ibundanya akan diikuti pula dengan perbualan seterusnya di dalam bahasa masing-masing.

Tetamu-tetamu lain di meja yag sama rasa tersisih dan tidak menyertai perbualan kerana mereka tidak tahu hujung pangkal apa yang sedang dikatakan.

Ini adalah amalan yang tidak sihat tetapi malangnya kerap berlaku setiap masa. Di dalam sebuah negara seperti Malaysia, kebanyakan daripada kita boleh bertutur sekurang-kurangnya satu bahasa yang boleh difahami semua. Mungkin tidak sempurna daripada segi sebutan dan tatabahasa tetapi difahami semua.

Hakikatnya, setengah-setengah daripada kita berjaya menjalin persahabatan berdekad-dekad dengan kawan-kawan pelbagai kumpulan etnik dengan bertutur menggunakan Bahasa Melayu atau Inggeris sahaja.

Saya mempunyai kawan-kawan pelbagai latarbelakang bangsa dan sosial dan kami sentiasa berusaha bertutur sama ada dalam Bahasa Melayu atau Inggeris ketika berjumpa supaya semua yang hadir faham apa yang sedang diperkatakan.

Kami mahu semua yang hadir berasa sebagai sebahagian daripada kumpulan dan boleh mengambil bahagian di dalam perbualan. Ada ketikanya seseorang secara tidak sengaja bercakap tentang sesuatu menggunakan bahasa mereka sendiri, tetapi mereka akan menterjemahkannya untuk memastikan bahawa apa yang dikatakan akan difahami oleh semua.

Bertutur menggunakan bahasa yang sama menyatukan rakyat pelbagai bangsa tanpa mengira kedudukan sosial dan kepercayaan. Apabila kita bertutur dalam bahasa yang difahami oleh semua, ia adalah satu tanda hormat kepada orang lain dalam kumpulan itu kerana ia menunjukkan bahawa kita mengiktiraf kehadiran mereka.

Saya tidak menentang orang berbual dalam bahasa ibunda atau dialek etnik mereka. Tidak salah berbuat demikian, tetapi pastikan ia adalah dalam kumpulan di mana semua yang hadir dapat memahami dan juga mengambil bahagian.

No comments:

Post a Comment