Rencana asal "Letter
to my non-Bumi daughter" oleh Abdar Rahman Koya, bertarikh 14
Jun 2014 terbit di themalaysianinsider
Salma
Ayah masih ingat hari pertama kamu di
taman didikan kanak-kanak. Kami berdiri di luar bilik darjah kamu,
melihat hidung mancungmu yang terserlah di antara semua yang ada di
situ. Ayah tahu bagaimana perasaan mempunyai hidung seperti itu
berbanding yang tidak langsung seperti itu.
Kamu kemudian bertanya ayah, “Kenapa
semua kawan saya matanya kecil-kecil?” Kami memberitahu, “Jangan
cakap macam tu depan orang, terutama sekali mak cik yang kamu selalu
jumpa di luar.” Tetapi kami tidak dapat menahan ketawa. Kamu mesti
bingung ketika itu.
Kemudian pada satu hari ketika ayah
mengambil kamu dari sekolah, cikgu kamu bertanya, “Boleh saya tahu,
encik ni bangsa apa? Kami sedang menjalankan satu aktiviti kelas dan
saya tidak pasti hendak bubuh bangsa apa untuk anak encik.”
Ayah beritahu “India”. Tetapi kamu
tidak pernah bertanya tentang kejadian itu.
Ayah pulang ke rumah hari itu,
terkenangkan hari ayah mendaftarkan kelahiran kamu di Jabatan
Pendaftaran Negara. Pegawai bertugas bertanya tentang bangsa apa yang
harus diletakkan untuk kamu. Orang tidak bertanya tentang itu di
negara-negara lain. Jika ibu bapa seseorang itu berbangsa India,
tentulah anaknya pun India.
Mungkin kerani itu menjangkakan ayah
meminta kamu didaftarkan sebagai Melayu. Seperti yang dillakukan oleh
ibu bapa sepupu-sepupu kamu. Seperti yang dilakukan oleh ramai
kawan-kawan Islam bukan Melayu kita.
Setengah-setengahnya berkulit gelap,
tetapi adalah Melayu. Sesetengah masih melawat keluarga mereka di
India tetapi adalah Melayu. Ada juga seorang dua yang tidak mahu ke
JPN mendaftarkan bayi mereka yang baru lahir.
Sebaliknya, rakan-rakan Melayu
diwakilkan melakukannya untuk mereka, bimbang wajah bukan Melayu
mereka akan mengurangkan peluang anak didaftarkan sebagai Melayu
Begitulah takutnya mereka tentang apa
yang akan berlaku sebagai bukan Melayu. Saya tahu bahawa ada yang
berulang kali menunaikan haji di Mekah, namun kembali tanpa petunjuk
tentang tanda-tanda Allah. Tetapi Malcolm X hanya pergi sekali sahaja
ke Mekah untuk mengubah keseluruhan perspektif beliau tentang bangsa
dan kesaksamaan
Ayah juga seorang Melayu mengikut
definisi Perkara 160. Ayah dilahirkan di Malaysia dan seorang Muslim
-. Dan seorang Muslim Shafi'i pula - sama seperti orang Melayu lain.
Ayah lazimnya bercakap bahasa Melayu
dengan loghat yang boleh menyebabkan orang Melayu yang makan petai
dan fobia terhadap kari pun berasa malu. Dan ayah mengamalkan –
katakanlah lebih kurang - adat resam Melayu.
Malahan ayah juga suka belacan dan
semua lauk-pauk yang baunya semacam. Apa yang menonjol ialah ayah
suka sangat makan kambing, dan tidak menonton filem Melayu (tetapi,
difikir-fikirkan, begitu juga ramai kawan-kawan berkulit sawo matang
ayah yang lain).
Salma, ayah tahu semua ini
membingungkan kamu. “Jadi, apa masalahnya?” kamu mungkin
bertanya. Tetapi kamu di Malaysia. Kamu perlu tahu karut-marut yang
berhubung dengan bangsa. Mereka akan memberitahu, ini berkaitan
dengan masa hadapan kamu.
Tahun hadapan kamu akan ke Sekolah
Rendah. Ayah tidak mampu menghantar kamu ke sekolah swasta (kamu
harus sedar, ayah bekerja di The Malaysian Insider). Di sekolah, akan
ada tekanan supaya sama dengan yang lain.
Ayah telah mengalami semua itu. Dalam
pemahaman ayah yang terhad ketika itu, ayah telah cuba menerangkan
kepada rakan-rakan Melayu bahawa ayah bukan Melayu, namun ayah masih
Islam.
Mereka keliru. "Bagaimana kamu
boleh menjadi 'Islam' tetapi tidak 'Melayu'?" Mereka tidak dapat
menerima penjelasan ayah. Akhirnya, ayah terima saja menjadi Melayu.
Tahun dahulu, apabila adik-adik kembar
kamu dilahirkan, ayah terpaksa membuat perjalanan itu lagi. Pegawai
itu memberitahu ayah, "Jadi saya letak Melayu ya, sebab emak
diorang Melayu kan."
Itulah jenis tindak balas yang hanya
boleh diimpikan oleh ramai ibu bapa bukan Melayu Islam. Oh, betapa
berusahanya mereka, untuk mendapatkan pengiktirafan itu pada sijil
kelahiran anak-anak mereka!
Dan siapa yang boleh menyalahkan
mereka? Lagipun, ia datang dengan banyak faedah. Hak istimewa, saham
yang telah diperuntukkan secara khusus, pendidikan universiti,
biasiswa.
Di JPN, ayah teringat bahawa bangsa
kamu telah didaftarkan sebagai India. Jadi bagi adik-adik kamu, ayah
meminta mereka melakukan yang serupa. Bagaimana boleh ayah tidak
melakukannya? Adakah ayah mahu mereka membesar sebagai Melayu dan
kamu sebagai India? Bagaimana ayah akan menjelaskan kepada kamu semua
kekeliruan ini?
Ayah tak kisah kamu membesar sebagai
apa, tetapi kamu berada di Malaysia, tanah pelbagai kaum. Di sinilah
di mana keadilan Tuhan diuji, dan di mana hujah seorang ateis mungkin
bermakna: sekiranya Tuhan wujud, bagaimana Dia boleh menjadi begitu
kejam membuat saya dilahirkan seorang bukan Melayu tanpa
keistimewaan?
Ayah tidak mahu menjadi sebahagian
daripada sistem hodoh ini. Ayah menentang layanan istimewa kerana
bangsa atau agama seseorang, itulah sebabnya ayah tidak ragu-ragu
membenci Zionisme, tidak kisahlah semua hujah-hujah oleh bangsa lain
yang mengatakan ia bukan perkauman atau apartheid.
Ayah meyakini al-Quran, yang menyatakan
bahawa manusia adalah hanya satu negara (2:213), tetapi yang dicipta
Allah dalam pelbagai warna, yang bertutur pelbagai bahasa untuk
menunjukkan tanda-tanda kekuasaanNya (30:22) dan yang Allah
menciptakan berbagai bangsa dan suku-suku supaya kita mengenali di
antara satu sama lain (49:13).
Oleh itu adakah betul untuk ayah,
sebagai seorang Muslim, meraih manfaat daripada sistem yang tidak
bertuhan ini? Bagaimana ayah boleh membenarkan kamu mendapat biasiswa
apabila ayah tahu ia menyebabkan bebanan kepada pelajar bukan Islam
miskin yang lulus cemerlang dengan ibu bapa kelas pertengahan yang
terpaksa membiayai semula rumah mereka bagi membolehkan anak dihantar
ke kolej-kolej swasta atau ke luar negara?
Bagaimana pula mereka yang bukan kelas
menengah? Sentiasa menyanyikan Negaraku dan mengibarkan Jalur
Gemilang tetapi kehidupan mereka tidak tentu arah.
Beberapa saudara-mara kita tidak
percaya apabila mereka mendapat tahu bahawa ayah mendaftarkan kamu
sebagai India. "Dia akan menghadapi banyak kesukaran satu hari
nanti." Ayah tidak peduli. Tetapi ayah faham perasaan mereka.
Hanya bulan lepas, salah seorang sepupu
kamu yang berjaya mendapat semua A dalam SPM telah tidak diterima
masuk ke sebuah universiti awam. Semuanya kerana 18 tahun lalu, ibu
bapanya gagal mendaftarkan dia sebagai Melayu.
Sesetengah orang mengulangi cerita ini
kepada ayah dengan nada menghina, seolah-olah untuk mengingatkan
tentang kebodohan ayah, ayah memusnahkan masa depan kamu dengan tidak
mahu berbohong bahawa kamu adalah Melayu.
Malah rakan-rakan bukan Islam ayahpun
terkejut. Walaupun penuh kebencian kerana tidak dilayan dengan adil,
ayah mengesyaki mereka juga jika diberikan separuh peluang, akan
bersemangat untuk meraih hak keistimewaan.
Salma, ayah tidak menyesal dengan apa
yang telah dilakukan. Ayah berharap suatu hari nanti kamu akan
berterima kasih bahawa bapa kamu tidak memulakan hidup kamu dengan
satu pembohongan.
Ayah berharap suatu hari nanti kamu
akan berjaya, atau kurang berjaya (terpulang bagaimanapun kamu
menentukannya), kerana kerja keras sendiri, dan bukan kerana sistem
yang tidak adil mengiktiraf status kaum kamu sebagai yang terunggul.
Tuhan bersama kamu. Beliau melihat kebenaran, tetapi menunggu.
Ayah mungkin mementingkan diri sedikit
berbuat begini. Tetapi ini yang ayah akui: Ayah tidak mahu satu hari
nanti berdiri di hadapan Allah yang akan mempersoalkan mengapa ayah,
walaupun Islam, telah bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada
sistem yang tidak adil ini.
Ayah boleh lebih praktikal dan
pragmatik dan tidak membenarkan kamu mengalami kehidupan yang tidak
menentu. "Jadi apa masalahnya? Bubuh je dia sebagai Melayu. Kamu
tidak rugi apa-apa malah semakin untung."
Terima kasih banyak-banyak sajalah.
Kamu boleh ambil semua keistimewaan dan kuota.
Jadi Salma, bukan niat ayah menyukarkan
hidup kamu. Ayah yakin kamu akan bekerja keras satu masa kelak untuk
menjadi manusia yang baik.
Malah, ayah pasti kamu akan bekerja
lebih keras, dan kejayaan kamu bukan kerana sesiapa tetapi hasil
keimanan kepada Allah.
Sementara itu, ayah berharap kamu boleh
belajar satu dua perkara daripada rakan-rakan kamu yang bermata
kecil. Tetapi jangan tinggalkan kari daging kambing. Itu adalah
warisan kamu yang tidak boleh dipisahkan.
No comments:
Post a Comment