Surat kepada editor
"Domestic Violence Act: Men, too, can become victims of mental,
physical abuse" oleh Dr Muzaffar Syah Mallow, bertarikh 18 Jun
2014 terbit di nst
Keganasan rumah tangga diakui sebagai
satu isu penting di Malaysia. Pada tahun 1994, Akta Keganasan Rumah
Tangga (Akta 521) telah akhirnya diluluskan oleh Parlimen, menjadikan
Malaysia negara Asia dan Islam yang pertama menerima pakai
undang-undang seperti itu.
Keganasan rumah tangga adalah satu
corak tingkah laku menganiaya dan mengancam termasuklah keganasan
fizikal, emosi, ekonomi dan seksual serta ugutan, pengasingan dan
paksaan.
Matlamat keganasan rumah tangga adalah
untuk mewujudkan dan menggunakan kuasa dan kawalan ke atas orang
lain. Keganasan rumah tangga, juga dikenali sebagai penganiayaan
rumahtangga, penderaan pasangan, serangan atau keganasan keluarga,
adalah corak tingkah laku yang melibatkan penderaan oleh satu
pasangan terhadap yang lain dalam suatu hubungan intim, seperti
perkahwinan
Pada masa ini, sistem keadilan jenayah
terlalu memberi tumpuan kepada bukti fizikal jenayah ganas. Namun
begitu, mengawal secara paksa dan ugutan emosi, tidak meninggalkan
parut atau lebam – juga meninggalkan kesan yang buruk. Oleh itu,
pada tahun 2012, pindaan telah dibuat terhadap Akta Keganasan Rumah
Tangga 1994 (Akta 521). Ia berkuat kuasa pada 20 Februari tahun itu.
Di bawah pindaan tersebut, keganasan
rumah tangga diperluaskan merangkumi penderaan mental, emosi dan
psikologi. Ia juga memberi asas berkanun kepada definisi kerajaan
berhubung keganasan rumah tangga, menawarkan perlindungan yang lebih
banyak kepada mangsa dan menjadikannya kewajipan pihak polis untuk
menyiasat. Akta ini adalah "neutral jantina" dan bukan
hanya meliputi pasangan tetapi juga bekas pasangan, kanak-kanak dan
orang dewasa tak berkeupayaan atau mana-mana anggota keluarga yang
lain.
Adalah penting mengubah anggapan bahawa
Akta ini hanya melindungi wanita. Lelaki juga boleh menjadi mangsa
keganasan rumah tangga.
Majoriti lelaki yang menjadi mangsa
keganasan rumah tangga enggan membuat laporan kerana beberapa sebab.
Satu ialah rasa malu atau berfikiran mereka mungkin dapat menangani
keadaan dengan lebih baik. Sesetengah mangsa lelaki bimbang bahawa
mereka akan diejek kerana mengakui didera isteri.
Mungkin tidak mudah mengenali keganasan
rumah tangga terhadap lelaki. Pada awal hubungan, pasangan mungkin
kelihatan memberi penuh perhatian, murah hati dan melindungi yang
kemudian berubah mengawal dan menakutkan.
Keganasan rumah tangga terhadap lelaki
mungkin termasuk kejadian kedua-dua pasangan menampar atau menolak
satu sama lain apabila mereka marah, dan setiap pasangan tidak
melihatnya sebagai didera atau dikawal.
Tanda-tanda dan gejala keganasan rumah
tangga, terutamanya terhadap lelaki, termasuklah diejek, penghinaan
atau merendah-rendahkan mangsa secara emosi, menghalang mangsa
daripada pergi bekerja, mennyekat mangsa daripada melihat keluarga
atau rakan-rakan, kawalan ketat tentang cara mangsa membelanjakan
wang mereka, ke mana dia pergi atau apa yang harus dipakainya,
bertindak cemburu atau mengongkong atau sentiasa menuduh mangsa tidak
setia dan mengancam mangsa dengan keganasan atau senjata, dan
penganiayaan lain.
Ramai orang masih percaya bahawa
pertikaian rumah tangga yang ganas perlu diselesaikan secara peribadi
antara suami dan isteri atau dalam keluarga dan jika keadaan
benar-benar seburuk yang dikatakan mangsa, maka mangsa yang didera
hendaklah meninggalkan pasangan mereka dan bukannya terus tinggal
bersama.
Adalah penting realiti keganasan rumah
tangga difahami oleh orang yang bekerja di agensi-agensi yang diberi
mandat untuk membantu dalam masalah mangsa keganasan rumah tangga.
Ini termasuklah agensi kebajikan sosial, polis, organisasi
undang-undang dan agama, agensi perubatan dan organisasi yang
menyediakan tempat perlindungan atau perkhidmatan untuk semua mangsa
keganasan rumah tangga tidak kira jantina mereka dalam sesuatu
krisis.
No comments:
Post a Comment