Surat kepada editor
"Abide by A-G, he has final say" oleh Shad Saleem Faruqi ,
bertarikh 17 Jun 2014 terbit di thestar
Sebagai seorang Muslim dan pelajar
undang-undang perlembagaan, saya malu dan kecewa akibat beberapa
tindakan melampau dan menindas yang diambil oleh MAIS (Majlis Agama
Islam Selangor) dan JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) sejak
beberapa bulan lalu.
Beberapa tindakan tersebut termasuklah
perampasan 321 Al-Kitab dari Bible Society of Malaysia (BSM) pada 2
Januari, serbuan di sebuah kuil Hindu dengan tujuan menangkap seorang
pengantin perempuan beragama Hindu yang disyaki seorang Muslim dan
tentangan pihak-pihak berkuasa negeri berkenaan terhadap keputusan
yang telah diambil mengikut perlembagaan oleh Peguam Negara, Tan Sri
Abdul Gani Patail, bahawa BSM tidak melakukan apa-apa kesalahan
apabila mengimport atau memiliki Al-Kitab dalam bahasa Melayu atau
Iban.
Peguam Negara ialah pegawai
undang-undang negara yang tertinggi di bawah Artikel 145 Perlembagaan
Persekutuan. Dialah dan bukan JAIS yang berkuasa menentukan sama ada
pendakwaan perlu dimulakan di mahkamah sivil (BSM tidak tertakluk di
bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.)
Peguam Negara dilantik oleh Yang
di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
Statusnya ialah seperti seorang hakim
Mahkamah Persekutuan dan untuk mengetepikan pandangan beliau mengenai
sesuatu perkara dengan implikasi perlembagaan, antarabangsa dan
politik yang penting jelas mempamerkan tindakan yang melulu dan
angkuh.
Adalah benar di sisi undang-undang
bahawa di bawah Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan, Dewan
Undangan Negeri diberi kuasa untuk "mengawal atau menyekat
pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan"
orang Islam.
Menurut kuasa ini, Selangor telah
menggubal Seksyen 9 Enakmen 1988 tentang Agama Bukan Islam (Kawalan
Penyebaran Di kalangan Umat Islam) yang mengharamkan penggunaan 35
perkataan, termasuk istilah "Allah". Undang-undang ini
adalah melampau dan (pada pandangan saya) jelas tidak mengikut
perlembagaan. Ia tidak mengaitkan penggunaan perkataan yang dilarang
dengan penyebaran. Lebih tidak masuk akal, ia mengenakan pengharaman
mutlak
Perkataan Allah ada di dalam lagu
negeri Selangor. Perkataan Allah dan Muhammad ada pada setiap lencana
polis. Adakah kita kemudian akan percaya bahawa tiap-tiap pegawai
polis yang bukan beragama Islam memakai lencana polis itu cuba
menukar pegangan agama umat Islam dan oleh itu mesti didakwa?
Untuk memahami undang-undang ini, ia
mesti dibaca bersama-sama bahagian-bahagian lain Perlembagaan,
terutamanya Perkara 10 tentang kebebasan bersuara dan Perkara 11
berhubung kebebasan beragama. Hanya jika penggunaannya menjejaskan
ketenteraman awam, keselamatan negara atau merupakan satu penyebaran,
barulah undang-undang ini boleh digunapakai.
Inilah juga pandangan Peguam Negara
yang mendapati bahawa pengimportan dan pemilikan Al-Kitab oleh BSM
tidak melanggar syarat apa juga undang-undang.
Pandangan MAIS dan JAIS bahawa Al-Kitab
yang dirampas tidak harus dikembalikan tetapi hendaklah dirujuk
kepada mahkamah untuk dilupuskan di bawah Seksyen 407A Kanun Tatacara
Jenayah. Pemahaman saya adalah bahawa seksyen itu terpakai hanya jika
pertuduhan telah dibuat. Peguam Negara telah pun menyatakan bahawa
tidak akan ada sebarang pertuduhan.
Menurut MAIS dan JAIS, Peguam Negara
adalah salah. Perintah kerajaan Selangor adalah salah. Hanya MAIS dan
JAIS yang betul
Ini jelas sifat bermegah-megah dan
sombong yang kedua-duanya mengancam sistem kedaulatan undang-undang
kita dan melanggar semangat Islam.
Saya teringat ayat 17:37 Al Quran:”Dan
janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana
sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak
akan dapat menyamai tingginya gunung-ganang.”
No comments:
Post a Comment