Friday, 6 June 2014

Keganasan seksual dan hubungan jantina di Kelantan

Rencana asal "Sexual violence and gender relations in Kelantan" oleh Pauline Fan bertarikh 4 Jun 2014 terbit di themalaymailonline

Pada 20 Mei, seorang gadis berumur 15 tahun telah dirogol beramai-ramai diberitakan oleh sehingga 38 lelaki di sebuah rumah tertinggal di Ketereh, Kelantan. Laporan menyatakan bahawa mangsa telah diperdaya oleh seorang rakan perempuan untuk pergi ke Ketereh dari Kuala Krai yang terletak lebih kurang 30 kilometer jauhnya.

Apabila mangsa tiba, setelah memujuk seorang rakan lelaki membawanya menggunakan motosikal lelaki tadi, gadis itu dibawa ke sebuah rumah tertinggal di Kampung Huta Pasir, di mana sekumpulan lelaki memerangkap, merogol dan meliwat budak sekolah itu berjam-jam sehingga dia pengsan sementara rakan lelakinya dipaksa memerhatikan kejadian. Rakan perempuan mangsa juga mungkin telah dirogol. Kebanyakan atau mungkin kesemua perogol sedang khayal kesan pengambilan dadah dan ramai di antara mereka yang mempunyai hubungan keluarga, termasuklah seorang bapa dan dua orang anak lelakinya.

Kejadian dirogol beramai-ramai di Ketereh bukan sekadar satu tindakan kejam keganasan seksual, ia juga merupakan simptom status wanita dan hubungan jantina yang semakin meruncing di Kelantan. Melewati kengerian insiden tersebut, kes ini menimbulkan persoalan penting tentang perubahan sikap di antara jantina, dan juga hubungan antara kealiman agama dan sifat degil yang belum pernah berlaku yang melanda masyarakat Kelantan dan Malaysia secara keseluruhannya.

Walaupun kes rogol beramai-ramai ini amat mengejutkan, ia juga bukanlah perkara baru. Apa yang membimbangkan ialah kes rogol yang semakin meningkat di Kelantan sejak sekurang-kurangnya lima tahun yang lalu, dan banyak kes yang melibatkan kanak-kanak di bawah umur. Statistik menunjukkan bahawa Kelantan berulang kali menunjukkan kadar tertinggi kes rogol, penyalahgunaan dadah dan kes-kes HIV positif di negara ini

Pada 2012, Bernama melaporkan bahawa kes rogol di Kelantan telah meningkat setiap tahun. Dua ratus dua puluh lapan kes dilaporkan pada 2007, meningkat kepada 563 pada 2008 dan 656 pada 2010. Ini belum lagi mengambil kira kes yang tidak dilaporkan. Lebih teruk lagi, ramai mangsa adalah kanak-kanak berusia seawal 12 tahun.

Memandangkan kedudukan penting wanita dalam masyarakat tradisional Kelantan, kekerapan dan peningkatan kekejaman keganasan gender di negeri ini mendedahkan corak keruntuhan sosial yang amat tidak menyenangkan yang perlu diselidik dengan serius dan ditangani pada akar umbinya.

Wanita yang kuat dalam masyarakat tradisional

Pentingnya wanita di dalam masyarakat Kelantan tradisional ini terbukti daripada kehadiran wanita yang berkuasa dalam mitologi Kelantan dan juga ekonomi tempatan.

Landskap mitos Kelantan-Pattani dihuni tokoh-tokoh wanita, terutamanya permaisuri dan puteri yang merupakan pemerintah yang berkuasa dalam kerajaan mereka. Ratu legenda Kelantan, Che Siti Wan Kembang, dikatakan telah memerintah pada abad ke-14, terkenal dengan kecantikannya, kebijaksanaan dan kemahiran sebagai pahlawan. Dia dan anak angkat perempuannya Puteri Saadong - yang kemudian dinobatkan sebagai Raja Kelantan - juga dipercayai mempunyai kuasa mistik.

Terdapat juga legenda Empat Permaisuri Pattani - tiga saudara perempuan diraja bernama Raja Hijau (Hijau), Raja Biru (Biru) dan Raja Ungu (Ungu), yang memerintah kerajaan dari 1584-1635 dan telah digantikan oleh Raja Kuning (Kuning), puteri Raja Ungu. Pemerintahan Empat Permaisuri adalah era gemilang kestabilan dan kemakmuran Kerajaan Pattani

Siti Dewi - heroin tradisi Wayang Kulit Kelantan - adalah salah satu watak yang paling dikagumi dan dihargai, lebih digemari sebenarnya daripada suaminya yang besar kepala, Putera Seri Rama.

Di dunia nyata, peranan tradisional wanita di Kelantan adalah sebagai salah seorang yang berkuasa di rumah dan dalam bidang ekonomi. Semasa pelayaran ke Kelantan pada tahun 1837, Munsyi Abdullah memerhatikan bahawa wanita Kelantan menguasai perdagangan di pasaran dan menyentuh tentang kerajinan mereka. Malah pada hari ini, wanita lebih banyak menonjolkan diri dan kuasa berbanding lelaki di pasaran tempatan di Kelantan dan sering menguruskan perbelanjaan keluarga. Walau bagaimanapun, semangat waja wanita Kelantan itu sendiri seolah-olah semakin lama semakin kurang jelas di kalangan wanita muda yang telah melalui sistem sekolah dan persekitaran sosial pada masa ini.

Dalam bukunya, Visible Women in East Coast Malay Society: On the Reproduction of Gender in Ceremonial, School and Market (Scandinavian University Press, 1994), Prof. Ingrid Rudie melakar perubahan status dan peranan wanita di Kelantan, membandingkan penemuan kerja lapangan beliau pada 1986-88 dengan kajian awalnya yang dijalankan pada 1964-1965.

Rudie mendapati bahawa wanita Kelantan mempunyai kebebasan yang lebih besar, skop dan kuasa dalam rumahtangga dan kehidupan ekonomi pada tahun-tahun 1960-an, sedangkan di akhir 1980-an, kebangkitan semula Islam di seluruh Malaysia telah mempengaruhi dengan ketara peranan gender di Kelantan. Retorik nilai-nilai Islam menyaksikan pentakrifan semula secara beransur-ansur tentang tugas dan kedudukan wanita dalam keluarga - termasuk ketaatan kepada lelaki yang menjadi ketua dalam keluarganya.

Pandangan ini nampaknya sama dengan Prof Wazir Jahan Karim yang menegaskan dalam buku beliau, Women and Culture: Between Malay Adat and Islam (Westview Press, 1992), bahawa adat Melayu (undang-undang adat) memberi wanita satu saluran kebebasan dan penyertaan yang telah dilemahkan oleh kekuasaan ortodoks Islam di Malaysia dalam dekad kebelakangan ini.

Semua ini membuktikan penurunan secara keseluruhan status wanita sejak beberapa dekad yang lalu di Kelantan (dan juga bahagian-bahagian lain di negara ini), dan membataskan kuasa tradisional wanita dalam ruang awam dan swasta. Tidaklah perlu dinyatakan, penurunan dalam status wanita sering seiring dengan peningkatan dalam sikap gender yang secara tidak sengaja menyokong keganasan terhadap wanita, termasuk rogol

Bayang-bayang Puritanisme

Ramai yang menuding jari ke arah sistem pendidikan kita yang lemah sebagai punca kepada kejadian rogol beramai-ramai yang begitu kejam di Ketereh. Sementara itu beberapa pemimpin agama, termasuk Naib Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, telah mencadangkan bahawa kes ini hanya membuktikan perlunya pelaksanaan undang-undang hudud.

Kedua-dua pandangan ini seolah-olah tidak memahami bahawa keganasan seksual yang semakin kerap di Kelantan dan tempat lain di Malaysia berakar umbi dalam dilema sosio-budaya-psikologi yang tidak mudah diselesaikan dengan pembaharuan dalam sistem luaran seperti pendidikan atau undang-undang.

Kecenderungan ke arah keganasan seksual seperti ini menyemarak dan semakin merebak di bawah bayang-bayang Puritanisme yang meresapi semua aspek kehidupan sosial di Kelantan. Penguatkuasaan fatwa yang, antara lain, menyeru pengasingan jantina di tempat-tempat awam, telah memburukkan nama tradisi budaya lama seperti Wayang Kulit dan Mak Yong, dan malahan cubaan melarang pendandan rambut wanita daripada melayan pelanggan lelaki, hanya berfungsi menekankan perbezaan di antara politik moral yang berpura-pura suci dengan dinamik kehidupan masyarakat sebenar.

Walaupun amalan agama di Kelantan sejak dahulu memang bersifat konservatif, ia juga wujud bersama-sama dengan nilai-nilai sosial tradisional dan pandangan dunia tempatan, di mana wanita memainkan peranan yang dominan dan sering dilihat dalam kehidupan masyarakat. Sebaliknya, kebangkitan Islam yang meningkat populariti dan pengaruhnya di Malaysia sejak akhir 1980-an telah diiringi dengan pendekatan Puritanisme baru yang menyisihkan kedua-dua wanita dan lelaki Kelantan daripada identiti budaya mereka dan jati diri sendiri.

Daripada pengalaman kerja bertahun-tahun yang rapat dengan tradisi budaya di Kelantan, saya perhatikan bahawa generasi lama rakyat Kelantan seolah-olah tidak terjejas oleh politik dan persekitaran Puritan berbanding generasi muda. Generasi orang Kelantan yang tua lebih ketara yakin siapa diri mereka dan, tetap meneruskan semangat Kelantan yang bebas, tidak akan mengendahkan atau mengabaikan terus fatwa yang tidak masuk akal kepada kehidupan mereka.

Generasi muda kurang mempunyai pegangan seperti itu. Dengan amlan budaya yang telah terpisah dari diri mereka dan peluang meningkatkan mobiliti sosial yang kurang, mereka tidak punya apa-apa untuk dilakukan, tidak ada tempat untuk dituju, dan tidak ada cara meluahkan tenaga muda yang tidak terhad itu ke arah yang baik. Tidaklah begitu mengejutkan mereka cenderung ke arah perlumbaan motosikal, dadah, dan melibatkan diri dalam kegiatan membuli dan keganasan? Pengasingan jantina dan ditambah dengan penyisihan daripada diri mereka sendiri, hairankah kita anak-anak muda di Kelantan telah kehilangan seni berkomunikasi dan berinteraksi dengan wanita?

Larangan terhadap tradisi kebudayaan seperti Wayang Kulit, Mak Yong, Manora, dan Main Puteri dengan ketara menyumbang terhadap gejala hakisan jati diri rakyat Kelantan, dan kemerosotan hubungan jantina terutamanya di kalangan anak-anak muda.

Tradisi Mak Yong yang berkisar pada peranan wanita sebenarnya adalah ruang untuk anak-anak muda didedahkan kepada kuasa dan pelbagai sudut seorang wanita. Dengan menyaksikan dan menghayati kuasa dan pelbagai emosi watak wanita Mak Yong, lelaki dan wanita muda belajar bagaimana menyelami pelbagai hakikat diri masing-masing.

Semua tradisi ini juga menawarkan strategi budaya di mana anak-anak muda mengetahui bahawa keghairahan adalah sebahagian daripada keperibadian manusia dan merupakan dimensi semulajadi dan bersahaja dalam kehidupan bermasyarakat.

Jika semua kesan keghairahan dan gurauan dibuang dari persekitaran dan pengalaman anak-anak muda, mereka akan membesar menjadi malu dan membenci naluri semulajadi mereka, dan akan berakhir menghampiri seks menerusi keganasan atau perasaan takut.

Pendidikan moral bukanlah punca mahupun penawar gejala sosial di kalangan golongan muda di Kelantan. Pelaksanaan hudud pun tidak akan menyelesaikan peningkatan keganasan seksual dan keruntuhan masyarakat.

Mungkin langkah pertama menangani masalah-masalah ini adalah dengan mengakui bahawa ia berasal dari dalam diri sosio-budaya dan jiwa yang telah didera, dimanipulasi dan beralih arah akibat aliran Puritanisme berdekad-dekad dan politik moral yang berkeras memaksa kita menelannya.

No comments:

Post a Comment